Friday, October 5, 2012

Kita dan Dunia Maya

Assalamualaikum w.b.t.

Kini, kebanyakan kita telah tarlalu taksub dengan dunia maya, dunia tanpa sempadan. Kebanyakan kita telah mula dibelenggu dengan 'connectivity' kepada dunia maya. Antara yang polular seperti facebook, tweeter dan sebagainya. Yang jauh terasa dekat.... Sehari tidak melayari facebook, sebagai ada kekurangan yang dirasakan. Adakah kita semua sudah mulai gila...?
 
Dunia maya tanpa sempadan kini menjadi penghubung antara pemikiran manusia sejagat, tanpa mengira lokasi dan latar belakang diri. Mungkin kita tidak mengenal sama sekali secara peribadi susuk icon yang menjadi teman dalam dunia maya, tapi keakraban yang terjalin di alam maya adalah sesuatu yang 'nyata'.
 


Sememangnya teknologi maklumat dan komputer telah mengalami perubahan yang cukup besar dalam beberapa dekad ini. Teknologi komputer bermula dengan mesin sebesar bilik dengan 'punch card' sebagai media penyimpan maklumat. Kian masa berlalu, teknologi semakin mengecil dari segi saiz sebaliknya dengan kemampuan penyimpanan dan pemprosesan maklumat yang semakin bertambah.
 
Teringat dizaman persekolahan saya sewaktu mula-mula diperkenalkan dengan teknologi komputer pada pertengahan tahun 80an. Ketika itu komputer lebih kelihatan seperti mesinkira wang di pasaraya, dengan skrin hijau gelap dan paparan tulisan hijau.
 
Untuk memulakan operasi komputer, terpaksa menggunakan flopy disk 6"-DOS pada drive A. Hanya selepas itu baru komputer boleh dioperasikan. Seingat saya ketika itu menggunakan komputer IBM di sekolah.
 
Programme language yang ada hanyalah Basic, Basica dan Fortran (itu saja yang saya pelajari...). programan paling canggih yang ada hanyalah permainan bola hijau angkasa, ataupun 'spaceship' menembak 'musuh-musuh' di angkasa....hehehe
 
Kemudian barulah muncul paparan skrin bertulisan putih kebiruan. Dari Flopy disk 6" berubah kepada Flopy disk 3.5" pada Drive B, dan kini.... semuanya built-in dalam komputer...
 
Seingat saya, internet mula muncul sekitar tahun 1991. Ketika itu, hanya mereka yang mahir dengan komputer saja boleh melayari rangkaian maya internet, serta berhubung dengan rakan di luar negara. Menjadi fenomena apabila ramai pelajar yang berjaga malam di makmal komputer sehingga ke pagi, semata-mata mahu bersembang atau 'chatting' dengan rakan luar negara. Mereka balik hanya apabila menjelang subuh, itu pun kerana perlu menghadiri kelas pagi..... :)
 
Kini, rangkaian maya menjadi kegilaan kebanyakan kita, tanpa mengenal usia. Prosesnya terlalu mudah sehinggakan anak kecil pun boleh melayari internet.... agak bahaya kerana tanpa tapisan dan pengawalan dari ibu bapa, anak-anak kecil terdedah kepada anasir-anasir buruk yang banyak berlegar di dunia maya....
 
Rangkaian penghubung sosial seperti facebook dan tweeter seakan suatu keperluan. Hampir kebanyakan kita mempunyai akaun laman sosial tersebut. Kita berkongsi pengalaman, gambar, malah luahan hati dan perasaan melalui laman-laman berkenaan. Malah kadang-kadang kita lupa bahawa catatan-catatan itu boleh dibaca oleh hampir semua 'rakan' kita, juga oleh 'public'.
 
Anak-anak remaja kita seakan berlumba-lumba memaparkan gambar-gambar peribadi mereka yang 'kiut-miut' kepada umum, dengan harapan ada yang memuji dan menunjukkan minat. Tetapi kita lupa bahawa paparan sedemikian seakan suatu 'bom jangka' yang boleh meledak dan memakan diri kita sendiri di kemudian hari.
 
Cuba kita bayangkan suatu hari nanti apabila kita sudah tua, mungkin ketika itu kita sudah berusia 50 tahun dan ingin bertaubat, sejauh manakah kita tahu yang gambar-gambar yang pernah kita muatkan di laman facebook itu tidah menyumbang kepada pertambahan dosa kita....?
 
Maka seharusnya kita lebih berhati-hati tentang apa yang kita 'share' di dalam laman sosial tersebut, agar ianya tidak memakan diri di kemudian hari...     
 
Wassallam.
 
 

Saturday, August 18, 2012

Ramadhan dan Idilfitri


Assalamualaikum w.b.t.

Hari ini 29 Ramadhan 1433H bersamaan 18 Ogos 2012. Jika anak bulan kelihatan pada petang ini, bermakna esok adalah hari raya idilfitri untuk umat Islam di Malaysia. (dan dari yang saya dengar, esok sememangnya Hari Raya.... walaupun anak bulan belum kelihatan....hehehe).

Hari ini merupakan hari ke lima anak lelakiku, Muhamad Danish Iman berpuasa penuh (jika dia dapat menyempurnakan puasanya sehari ini, insya-Allah). Walaupun pada awalnya dahulu, Iman hanya berpuasa setengah hari, namun atas usaha Mamanya memujuk Iman untuk cuba berpuasa penuh, akhirnya Iman bersetuju untuk mencuba berpuasa penuh walaupun ada ketikanya Iman merengek untuk makan, perut yang lapar, kehausan dan sebagainya. Dalam usianya yang baru melepasi 5 tahun, itu adalah suatu cabaran besar buat dirinya. Namun sebagai ibu bapa, kami cuba memujuk Iman meneruskan puasanya sehingga petang. Namun, kami bersedia membenarkan Iman berbuka sekiranya dia benar-benar tidak mampu meneruskan puasanya.

Sambutan Hari Raya di Malaysia sememangnya meriah. Para perantau yang mencari rezeki di kota atau lokasi yang jauh dari kampung halaman, berpusu-pusu balik ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Hari Raya Idilfitri bersama ibu bapa dan atuk nenek di kampung. Pergerakan yang hampir serentak ini menyebabkan laluan utama seperti lebuhraya utara-selatan dan laluan yang menyambungkan pantai timur dan pantai barat mengalami kesesakan teruk. Malah kesesakan lebuhraya ini sudah sinonim dengan musim perayaan di Malaysia, sehingga ada yang mengatakan sekiranya tidak bersesak-sesak di lebuhraya ketika balik ke kampung, terasa raya mereka kurang meriah.... :) 

Apabila diperhatikan, sememangnya budaya balik kampung ini hanya ketara di Malaysia, dan sinonim dengan orang Melayu. Kaum Melayu seolah terikat dengan kampung halaman dan semangat kekeluargaan yang tinggi. Jadi, walaupun jauh merantau mencari rezeki dan penghidupan, apabila menjelangnya hari raya (atau musim perayaan yang lain yang melibatkan cuti panjang) maka akan kelihatan orang Melayu berbondong-bondong keluar menuju ke kampung halaman bagi menjenguk ibu dan bapa serta datuk dan nenek. 

Itulah kesempatan yang ada dicelah-celah kesibukan harian bagi menziarahi sanak saudara sama ada jauh maupun dekat. Itulah kesempatan yang ada bagi memperkenalkan anak-anak kepada saudara-saudara yang jauh, mengeratkan tali silaturrahim sesama sanak saudara, jauh dan dekat.

Maka, semasa musim perayaan berlangsung, kita akan dapati Kota Kuala Lumpur akan lengang dari hiruk pikuk perantau dari desa, namun kekosongan ini diisi pula oleh perantau-perantau dari luar yang mengambil kesempatan  cuti perayaan ini untuk berjumpa sesama mereka, mengeratkan silaturrahim sesama mereka. Maka Kota Kuala Lumpur akan sebahagiannya bertukar menjadi Jakarta ataupun Dhakka apabila dimonopoli oleh pendatang-pendatang Indonesia mahupun Bangladesh yang keluar berpusu-pusu dari segenap ceruk pinggiran kota. Sehinggakan, penduduk asli Kuala Lumpur yang tidak balik ke kampung halaman menjadi keresahan, seolah-oleh diri berada di Jakarta atau Bandung.


Gambar hiasan...
Dan apabila Idilfitri menjelang, kebanyakan kita merayakannya dengan bersungguh-sungguh. Jelas terpamer wajah-wajah kegembiraan, namun kurang pasti adakah kegembiraan yang terpamer merupakan rentetan dari kejayaan mengharungi Ramadhan dengan jayanya, ataukah kegembiraan bebas dari Ramadhan. 

Sememangnya Idilfitri harus disambut dengan kegembiraan, namun janganlah melampau-lampau sehingga apa yang sepatutnya ditarbiah di dalam madrasah Ramadhan akhirnya hilang disapa angin lalu. Segalanya kembali seperti asal sebelum Ramadhan. Maka jadilah kita orang yang kerugian apabila mengabaikan pengajaran dari madrasah Ramadhan.

Sesungguhnya Ramadhan datang dan pergi, dan kita mengharunginya saban tahun selagi ada umur dan diizinkan Allah s.w.t. Seandainya kita muhasabah diri, sudah berapa Ramadhan kita lalui, dan bagaimana peningkatan diri kita selepas setiap Ramadhan, adakah bertambah baik ataukah bertambah buruk.

Dan kita juga tidak tahu sama ada kita masih berkesempatan untuk bertemu Ramadhan akan datang sekiranya Ramadhan datang bertamu. Namun seandainya ini Ramadhan terakhir, kita mengharapkan kebaikan yang sesungguhnya sebagai bekalan perjalanan kita menuju Ilahi....

Amiin.....

     

Thursday, August 9, 2012

Kuliah Zuhor 20 Ramadhan 1433H


Assalamualaikum w.b.t.


Kuliah Zuhor di surau Persada PLUS hari ini disampaikan oleh Imam Muda Syed Faris Syed Roslan. Sebagaimana semalam, kuliah berkisar tentang puasa Ramadhan yang sedang umat Islam lalui ketika ini. 

Beberapa intipati kuliah yang dapat saya catat sebagaimana di bawah: 
  1. Walaupun ibadah puasa yang difardhukan kepada umat manusia itu adalah hak Allah s.w.t. Kita sebagai manusia harus juga berkira-kira tentang ibadat kita sendiri. Kita sebolehnya cuba menilai dengan membandingkan puasa kita hari ini dengan puasa kita yang sebelumnya, dan tahun-tahun sebelum ini.
  2.  
  3. Persediaan untuk menyambut Ramadhan bukanlah dilakukan pada awal Ramadhan, tetapi hendaklah dilakukan terlebih awal dari itu. Nabi Muhammad s.a.w. sendiri menyarankan umatnya melakukan persediaan untuk menyambut Ramadhan bermula dari bulan Rejab, dengan melakukan puasa sunat serta memperbanyakkan membaca Al-Quran.   
  4.  
  5. Ibadah puasa adalah antara ibadah tertua yang dilakukan oleh orang-orang terdahulu. Manusia pertama yang berpuasa adalah nabi Allah Adam a.s. Manakala puasa yang paling Allah s.w.t. sukai adalah puasa Nabi Daud a.s. dimana baginda berpuasa berselang hari.
  6.  
  7. Sebagaimana mukjizat para nabi terdahulu, adalah bertujuan bagi membendung kelebihan yang dipunyai oleh kaum yang menentang dan mematahkan hujah mereka. Contonhya: Nabi Musa diutus kepada kaum yang pandai ilmu sihir, maka mukjizat baginda adalah bagi menentang sihir kaumnya. Begitu juga dengan nabi-nabi yang lain, Nabi Daud dengan teknologi pertukangan, Nabi Nuh dengan teknologi perkapalan, maka Al-Quran juga mengandungi banyak mukjizat sepanjang zaman meliputi mukjizat seni, sosial, kemasyarakatan, undang-undang dan juga mukjizat saintifik. Ini sejajar dengan jaminan Allah s.w.t. bahawa Al-Quran akan sentiasa terpelihara sehingga hari Kiamat.
  8.  
  9. Perkara untuk direnungkan; mengapa puasa kita sukar untuk mencapai tahap sebagaimana puasa para sahabat dan orang terdahulu. Tiga (3) perkara harus diberi perhatian iaitu 1)Tahap iman kita yang lemah, 2) Tahap ilmu kita yang cetek, dan 3) Mudahnya kita berjumpa maksiat setiap hari. Maka berhati-hatilah. 
  10.  
  11. Pesanan akhir adalah supaya kita menjaga 2 perkara dalam usaha kita untuk memelihara puasa kita iaitu dengan menjaga lidah dan banyakkan bersedekah di dalam bulan Ramadhan.  
  12.  
Sekian, semoga ada manfaat untuk kita semua.

Wassallam.



Wednesday, August 8, 2012

Kuliah Zuhor 19 Ramadhan 1433H

Assalamualaikum w.b.t.

Hari ini 8 Ogos 2012 bersamaam 19 Ramadhan 1433H. Bermakna kita telah melepasi 18 hari berpuasa bulan Ramadhan tahun ini.

Hari ini surau Persada PLUS telah mengadakan Kuliah Zuhor setelah hampir sebulan ketandusan majlis ilmu dalam bulan Ramadhan. Untuk makluman, semalam juga telah diadakan Kuliah Zuhor oleh Ustaz Zawawi, tetapi saya tidak dapat hadir kerana bercuti.

Kuliah Zuhor hari ini disampaikan oleh Ustaz Syarul Azman Syaharuddin, Pensyarah Jabatan Dakwah KUIS dengan tajuk Puasa Ramadhan. 


Masjid Nabawi (Gambar Hiasan)
Menjelang Ramadhan, ramai umat Islam yang menyambutnya, sama ada dengan perasaan gembira ataupun berduka. Ini bergantung kepada tahap keimanan masing-masing.

Ramadhan merupakan madrasah bagi mendidik jiwa manusia yang beriman. Berpuasa dalam bulan Ramadhan adalah antara suruhan Allah s.w.t. terhadap hamba-hambaNya yang beriman, kecil, besar, tua dan muda. Kewajiban ini adalah juga diberikan kepada umat-umat nabi-nabi yang terdahulu. Suruhan dan kewajiban yang Allah s.w.t. perintahkan bukanlah perkara main-main, ianya untuk menjadikan orang-orang yang beriman, supaya lebih bertakwa. Peningkatan takwa hanya dapat digapai dengan melakukan ibadah puasa yang berkualiti.

"Orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa..."

Imam Al-Ghazali membahagikan puasa umat Islam kepada 3:
  • Puasa orang awam; menahan diri dari lapar dan dahaga dari subuh hingga ke waktu maghrib sebagaimana disuruh oleh Allah.
  • Puasa orang Khusus; menahan diri daripada lapar dan dahaga, serta menahan diri daripada melakukan maksiat yang zahir. Contoh maksiat zahir adalah perbuatan mengumpat, tidak menutup aurat, melihat perkara yang haram dan sebagainya.
  • Puasa para Nabi dan Rasul; menahan diri dari makan dan minum, menahan diri dari melakukan maksiat yang zahir, serta berupaya menahan diri dari melakukan maksiat hati. Contoh maksiat hati adalah berburuk sangka, lintasan hati yang buruk, keinginan melakukan maksiat dsb.
Persoalannya di sini, di manakah tahap puasa yang kita lakukan sekarang ini? Adakah puasa orang awam, atau kita berusaha meningkatkan diri kepada tingkatan puasa yang lebih tinggi?

Di dalam melakukan ibadah dalam bulan Ramadhan ini, kita seharusnya sentiasa berkira-kira. Kita harus sentiasa mengira, berapa banyakkah pahala yang boleh kita perolehi hari ini, berapa banyakkah pahala yang hilang oleh perbuatan maksiat kita hari ini. Berapa banyakkah Al-Quran yang sudah kita baca, berapa banyakkah sedekah yang telah kita hulurkan, berapa banyakkah perbuatan mengumpat yag kita lakukan hari ini.... segalanya harus kita hisab, lakukan muhasabah diri sebanyak mungkin.

Ramadhan adalah madrasah untuk mendidik diri kita. Ia bukanlah tujuan terakhir, tetapi permulaan kita melakukan baik pulih diri dalam usaha meningkatkan takwa bagi bulan dan tahun mendatang. Beramallah sebaik mungkin dalam Ramadhan ini kerana kita tidak tahu bila akhiran hidup kita ini. Berkemungkinan kita tidak akan dapat bertemu dengan Ramadhan akan datang.

Beberapa lagi pesanan ustaz:
  • Nasihat yang kita terima, sebenarnya adalah dari Allah, melalui perantaraan manusia. Hakikatnya, kita sentiasa berada dalam pengawasan Allah s.w.t., apa yang berlaku adalah suratan dan peringatan dari Allah untuk kita.
  • Puasa itu adalah hak Allah s.w.t. dan hanya Allah s.w.t. yang boleh menilai puasa kita. 
  • Tutuplah aurat, kerana orang yang tidak menutup aurat melakukan maksiat yang berpanjangan mengingkari perintah Allah.
  • Jauhilah maksiat seboleh mungkin, kerana kita tidak tahu bila tarikh akhir hidup kita.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada kita semua. Aminn...

Wassallam.     
     

Tuesday, July 31, 2012

11 Ramadhan 1433H


Assalamualaikum w.b.t.

Hari ini 11 Ramadhan 1433H. Perjalanan hari ini dimulai dengan meredah hujan lebat menuju ke tempat kerja. Sepanjang perjalanan hujan turun, kadangkala lebat, kadangkala renyai. Hujan itu antara rahmat Allah s.w.t. kepada bumi dan segala penghuninya.

Alhamdulillah..... segala puji kepada Allah s.w.t. kerana menurunkan hujan pagi ini, walaupun ada segelintir manusia yang mengeluh kesah oleh hujan yang turun. Harap-harap kita tergolong dalam golongan yang selalu bersyukur dengan rahmatNya.

Sedikit ilmu dari tazkirah ringkas yang diberikan oleh Ustaz Ibrahim selepas subuh pagi tadi.

Sebahagian bijak pandai membandingkan kehidupan manusia dengan sifat alam. Sifat alam yang utama ada empat (4) iaitu tanah, air, api dan angin:
  • Tanah: diumpamakan dengan sifat sabar dalam diri manusia. Ianya menjadi hamparan yang luas, memberikan manfaat kepada hidupan lain di atasnya. Menumbuhkan tanaman.  Dipijak, ia diam, tetap setia memberi bakti atas perintah Allah s.w.t.   
  • Air: Air itu menyejukkan dan menyuburkan tanah, menumbuhkan tanaman. Menjadi asas kepada setiap kehidupan dimuka bumi ini. Itulah ilmu dan iman
  • Api: Api bersifat panas. Bermanfaat apabila digunakan pada tempatnya. Tetapi apabila tidak dikawal dan merebak, akan memusnahkan apa yang ada di sekitarnya. Perumpamaan bagi api adalah sifat marah.
  • Angin: Angin bersifat adil. Sebagaimana manusia perlu kepada keadilan.




Sekian. Wasallam.

Saturday, July 21, 2012

1 Ramadhan 1433H

Assalamualaikum w.b.t.

Hari ini adalah 1 Ramadhan 1433H bersamaan 21 Julai 2012. Hari pertama umat Islam di Malaysia berpuasa pada tahun ini. 

Hari ini juga misi kami untuk mula mengajar Danish Iman berpuasa Ramadhan. Dalam usia 5 tahun, Danish Iman masih tidak faham akan kewajiban puasa Ramadhan bagi umat Islam. Awal pagi kami sama-sama bangun untuk bersahur. Iman hanya menjamah beberapa suap nasi, mungkin agak kurang selera makan di awal pagi.

Seperti biasa, Iman banyak menghabiskan masa dengan laptop mamanya, kalau tidak ultraman, angry bird. Jam 9.30 pagi,...

"ayah.... nak roti milo" memang itulah kesukaan Danish Iman, roti tawar yang disapu serbuk milo di atasnya.

"adik... adik kan puasa har ni..." aku cuba memujuk.

"alaaa..... adik lapar..."

Aku cuba terus memujuk, namun Danish Iman terus merayu minta makan, lapar katanya, sehingga akhirnya dia menangis. Aku mengalah lalu membuatkan 'roti milo' untuk Danish Iman. Tangisannya reda apabila aku menghulurkan 'roti milo' kegemarannya. Nampak gaya Danish Iman cuma berpuasa 'suku hari' saje hari ini...

Malam kedua solat terawih di Masjid Bandar Di Raja, Medan Pasar Klang. Kami membawa bersama Danish Iman. Nampaknya Danish Iman sudah boleh mengawal diri, walaupun sebenarnya dia kelihatan resah, terpaksa menahan diri dari berlari-lari dan bermain. Aku mengambil tempat di hujung saf di sebelah kanan, bersebelahan pintu, manakala Iman disisi kanan. (Iman meminta untuk duduk disebelahku... tidak mahu berpisah, maklum suasana baru baginya).

Kadangkala terasa sayu juga dan terselit perasaan bangga apabila melihat anak sekecil Iman sudah boleh belajar untuk sujud kepada Allah s.w.t. Walaupun hanya mengikut perbuatan orang dewasa tanpa memahami hakikat sebenarnya, namun aku rasakan itu satu permulaan yang baik untuk Iman. Semoga Iman terus beriman dengan sebenar-benarnya....

Dan aku berdoa, semoga Iman akan menjadi anak yang soleh yang boleh mendoakan kedua ibu bapanya kelak. Aminn.....     



Wednesday, November 23, 2011

Kuliah Zuhor 22 Nov 2011: Perubatan Islam

Assalamualaikum,

Hari ini saya ingin berkongsi sedikit ilmu yang didapati dari Kuliah Zuhor Surau Persada PLUS yang diadakan semalam iaitu 22 Nov 2011.

Kuliah tersebut adalah kuliah bersiri berkenaan Perubatan Islam. Berikut adalah point-point yang sempat dikutip:
  • Sebagai makhluk, kita hendaklah sentiasa bersyukur dengan segala nikmat pemberian Allah s.w.t. sama ada semasa kita sihat, apatah lagi semasa kita sakit, kerana kadang-kadang sakit yang Allah berikan sebagai peringatan tentang umur kita yang kian dekat dengan kematian.
  • Sewaktu tubuh sedang sakit, selera makan akan tertutup. Tujuannnya adalah untuk membolehkan tubuh kita bekerja bagi mengubati atau menyembuhkan penyakit secara semulajadi. Memaksa pesakit makan, bermakna memaksa tubuh pesakit menghentikan proses pengubatan dan menjalankan pula kerja-kerja pemprosesan makanan kerana makanan yang tidak diproses di dalam tubuh akan menjadi racun. Oleh itu, pemberian makanan hendaklah yang mudah hadam seperti sup, dan dalam kadar yang sedikit, sekadar memberi tenaga.
  • Makanan yang memasuki perut akan diproses dalam masa sekurang-kurangnya 2 jam (paling cepat) dan kebiasaannya memakan masa 4 jam secara purata.
  • Makanan yang baik untuk pesakit adalah yang ringan dan mudah hadam seperti sup. Contoh lain jus epal yang diperah sendiri dicampur dengan madu. Elok juga dicampur dengan halia untuk memecahkan 'angin' dalam badan.
  • Sakit demam adalah berkaitan dengan ketidakstabilan darah dalam tubuh. Pesakit harus mandi bagi mengurangkan suhu badan. kaedah mandi hendaklah bermula dari kaki, perlahan-lahan sehingga ke bahagian kepala.   
  • Penyakit demam denggi, tiada ubat yang khusus. Pesakit elok diberi makan sup ketam yang dimasak tanpa dicampur garam atau perasa masakan lain. Rebus ketam sehingga air rebusan tinggal separuh. Kemudian campurkan isi ketam bersama air rebusan, bagi membentuk sup yang menyelerakan.
  • Bagi jenis minuman susu, susu yang terbaik adalah susu ibu, diikuti dengan susu kambing. Susu kambing banyak khasiat untuk badan. Susu kambing juga menjadi minuman 'rasmi' para rasul utusan Allah s.w.t.
  • Susu unta amat baik untuk rawatan perut, dan mencuci perut. Elok diminum ketika masih hangat dan segar selepas diperah.
Sekian dahulu perkongsian untuk kali ini. Semoga ada yang mendapat manfaat daripada ilmu yang sedikit ini.

Wassallam.