Sunday, May 24, 2009

Tasik Shah Alam

Hari minggu, jika tiada aktiviti yang dirancang, aku akan menuju ke Tasik Shah Alam untuk beriadah. Kali terakhir aku berjoging adalah kira-kira 3 minggu lalu. Biasanya aku akan ke sini bersama keluarga sebagai salah satu aktiviti keluarga bagi mengeratkan hubungan. Tapi hari aku datang seorang memandangkan isteriku ada rancangan lain yang perlu diuruskan.

Nampak tiada yang begitu menarik pagi ini, aku berlari mengelilingi tasik sambil menikmati keindahan suasana pagi yang begitu tenteram. Tiba di satu bahagian di tepi tasik bersebelahan masjid Shah Alam, aku berehat melepaskan lelah. Kebetulan terdapat lokasi refleksologi lantas aku menuju ke laluan refleksologi. Kehadiran seorang lelaki tua di salah satu bangku rehat menarik perhatianku. Kukira usianya antara 60 hingga 70 tahun, dengan rambut yang memutih, sweater kelabu dan seluar panjang kelabu. Raut wajahnya membayangkan pengalaman hidupnya... pastinya banyak pengalaman dan rahsia yang disimpan di sebalik kedutan wajahnya. Kelihatannya dia begitu tekun menulis sesuatu ke dalam cebisan kertas di atas buku kukira sebagai 'scrap book' dan di alas dengan akhbar yang agak lusuh. Di sebelahnya, sebuah beg galas kelabu kehijauan berisi beberapa dokumen yang aku tidak tahu apakah dia. Entah mengapa, kehadiran lelaki tua itu seakan menggamit hatiku untuk menegurnya. Namun melihatkan ketekunannya, aku menahan hasratku dan aku hanya memerhatikannya beberapa ketika. Namun kehadiran beberapa kanak-kanak dan wanita dewasa yang bermain-main dan singgah beriadah berhampiran dengannya menjadikan si lelaki tua berambut putih agak tidak selesa. Dia berhenti menulis, melihat jam di tangan kanannya seketika lalu menutup bukunya. Lelaki tuan berambut putih bangun setelah memasukkan bukunya ke dalam beg galas. Beberapa ketika kemudian dia mula mengatur langkah dan berlalu pergi menuju ke kawasan masjid dan hilang di sebalik rimbunan dedaun pokok. Aku tidak tahu siapakah lelaki berambut putih dan apa yang sedang dibuatnya. Mungkinkah dia sedang mencatat pengalamannya lewat kehidupan yang kian berlalu... atau mengarap sejarah hidupnya untuk tatapan cucu tersayang... mungkin... tapi aku tidak tahu. Dua hari lepas, isteriku menghadiahkan sehelai kemeja, tali leher dan tali pinggang sempena ulangtahun hari lahirku. Aku rasa amat terharu... bukan kerana nilaian hadiah yang diberikan sebaliknya atas ingatan isteriku.

Sememangnya, kita kerap mengejar sesuatu yang kita inginkan dan tidak ada di depan mata sehinggakan kita terlupa dan mengabaikan apa yang kita ada. Ubahlah situasi dengan menghargai kembali apa yang kita ada... hidup adalah untuk memberi... bukannya meminta sesama manusia...

Thursday, May 21, 2009

Semalam dan hari ini...

Esok 22 Mei 2009, bermakna genap usiaku 37 tahun. Hmm... rasa dah tua diri ini. Bila menoleh ke belakang sambil menyusuri kembali zaman lalu, terkenang kembali zaman kanak-kanak yang tersimpan dalam lipatan sejarah diri. Aku percaya setiap orang mempunyai kenangan sendiri masing-masing lantas membentuk peribadi diri menjadi dewasa sebagaimana sekarang. Sejauh yang aku ingat, ketika usiaku sekitar 3 tahun, aku telah mempunyai adik perempuan. Masih ku ingat ketika kami sekeluarga berpindah ke penempatan baru ladang di Kahang. Seingat aku ketika itu merupakan ladang getah. Ketika itu tiada bekalan letrik. Bermula dengan pelita, arwah abah 'upgrade'kan kepada lampu pam. Setiap hari menjelang maghrib, aku dan adik berkumpul di samping arwah abah, melihatnya memasang lampu pam. Menjangkau usia 7 tahun, sepertimana kanak-kanak lain aku memulakan zaman persekolahan. Ketika itu sekolah kami terletak hanya sepelaung dari rumahku. Guruku, Cikgu Salim, Cikgu Salleh dan Mr. Eng dan beberapa orang guru lagi yang tak berapa nak ingat. Ketika itu kawan ku Joe, Rosli, Kamaludin, Atikah, Rozita dan ramai lagi... Petang Jumaat, aku akan ke rumah bapa saudaraku untuk menonton cerita Ultraman (ketika itu TV hanya hitam dan putih...) Sesekali, akan ada rombongan dari Jabatan Penerangan, memberikan sedikit 'lecture' disusuli tayangan wayang gambar melayu atau hindustan percuma di atas layar kain putih di tepi padang atau kawasan lapang. Darjah 5 dan 6 aku bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kahang. Ketika itu kawasa ladang sudah mula ditukar kepada tanaman kelapa sawit. Tanaman getah sudah mula berkurangan. Aku diterima menduduki Darjah 5A. Kawan rapatku di masa itu... Ahmad Badarudin, Rahim Razali, Ibrahim, Zaki, Siti Rosila, Nurulmumtazah, Suhaiza dan ramai lagi (apa khabar mereka sekarang....???). Di rumah, sudah ada TV hitam putih dan lampu kalimantang, tapi menggunakan bateri kereta yang perlu dicas seminggu sekali. Menduduki Penilaian Darjah 5 dengan keputusan yang agak baik (ketika itu keputusan 4A dan 1B dikira cemerlang... hehehe) langsung aku dapat melanjutkan persekolahan di asrama harian Sekolah Tinggi Kluang. Minggu pertama bersekolah di asrama, tidurku berendam air mata, maklumlah pertama kali berjauhan dengan mak dan abah. Tapi selepas itu aku mula belajar berdikari. Aku bernasib baik kerana kawanku Ahmad Badrudin juga diterima di asrama yang sama, jadi tak keseorangan. Cuma yang aku tak tahan, selalu juga aku dibuli pelajar senior... biasanya kena basuh baju dan kasut sekolah mereka. Di situ juga aku mengenali Rahim Rasimin, Suhaimi, Mahadzer, Zamri dan ramai lagi... Selepas SRP, aku melangkah ke SMS Muar di Tanjung Agas. Arwah abah menghantar aku dengan bersusah payah menaiki bas beberapa kali melalui bandar Kluang, Batu Pahat kemudian ke Muar. Kawan-kawan baru seperti S.A. Bakar, Zainuddin, Nazre, Norhayati, NurAsilah dan lain-lain mewarnai sebahagian hidupku... Gagal ke Jepun, aku menjalani matrikulasi USM selama 2 tahun. Kemudian aku melanjutkan pelajaran dalam Civil Engineering di USM Tronoh Perak. Ketika mula masuk, keadaan kampus lebih merupakan bekas lombong bijih timah dengan 7 kolam lombong di dalam kawasan kampus. Namun selepas 4 tahun berada di situ, aku menyaksikan perubahan muka bumi kampus dari kawasan kolam lombong kepada kampus yang lebih sempurna. Namun kini kukira keadaannya jauh berubah selepas lokasi kampus diambilalih oleh universiti Petronas. Di kampus ini juga aku mengenali perkataan 'cinta'... Memang seronok mengimbau kembali kenangan lalu yang tersimpan kemas dalam diari hidupku. Kawan-kawan yang pernah ku kenali entah di mana kini. Hanya sebahagian saja yang dapat kuhubungi semula manakala yang lain tiada khabar berita... termasuk gadis yang pernah bertahta di hatiku dulu. Alam pekerjaan memang berbeza berbanding alam ketika belajar. Tanggungjawab dalam hidup semakin berat. Tiada lagi istilah 'enjoy'. yang ada adalah 'survival'. Aku dan isteri yang kukenali 9 tahun lalu, kini dikurniakan dua orang cahaya mata yang comel. Dengan izin Allah aku akan berusaha mendidik permata hati kami agar menjadi insan yang berguna... berjaya di dunia dan berjaya di akhirat....
Aku, isteri dan anak-anak....
Semoga Allah memberkati hidup kami... Insya-Allah...

Wednesday, May 13, 2009

Hari Ibu

Aktiviti keluarga merupakan sesuatu yang dapat mengeratkan ikatan kekeluargaan antara anggota keluarga. Anak-anak yang sedang membesar dan memerlukan perhatian dan kasih sayang kedua ibu dan bapa... lagipun mereka baru nak mengenal dunia... ... dunia manusia... dunia haiwan... Justeru itu hujung minggu yang lalu, kebetulan pula bersamaan dengan Hari Ibu (walaupun sebelumnya memang aku lupa akan sambutan itu... hehehe) aku membawa anak-anak melawat Zoo Negara. Terdetik dalam fikiranku, apa khabarnya ibuku di kampung. Aku mendoakan semoga ibuku sihat sejahtera hendaknya... Sehari sebelumnya, isteriku yang juga ibu kepada dua anakku mengingatkan aku tentang janji kami kepada anak sulung kami ketika dia merengek-rengek supaya dibenarkan mengikuti rombongan Tadika membuat lawatan ke Zoo Negara. "Nantilah... bila adik dah pandai jalan, kita pergi zoo sama-sama ye..." begitulah janji isteriku pada anak sulungku lebih setahun yang lalu. Hingga kini janji itu masih belum tertunai walaupun si adik kini sudah mula belajar berlari. Akhirnya kami memutuskan untuk mengotakan janji itu bersempena Hari Ibu yang jatuh pada hujung minggu, 10 May 2009 yang lalu. Bertolak seawal sembilan pagi, singgah di pasar tani Shah Alam lalu terus menuju ke destinasi yang dinanti-nantikan anak sulungku. Tiket masuk RM15 untuk dewasa manakala kanak-kanak melebihi 3 tahun dikenakan RM6. (Amboi... boleh tahan harganya...)

Si kakak merengek nak naik 'bas' di dalam zoo... kusangkakan 'free' rupanya kena beli tiket lagi; dewasa RM3, kanak-kanak RM2. Akhirnya kami memutuskan untuk membuat lawatan berjalan kaki, lebih berfaedah sambil melihat-lihat haiwan-haiwan yang terkurung dari dekat. Kasihan juga pada binatang-binatang tu ye, apa agaknya kata binatang-binatang tu apabila setiap hari menjadi tatapan manusia....

"Tak boring ke manusia-manusia tu... hari-hari dok tengok aku nih... aku pun naik bosan.." mungkinkah itu antara dialog-dialog yang bermain di fikiran monyet-monyet, beruk-beruk, beruang, singa, gajah, zirafah dan macam macam lagi binatang yang ada... Si Adik tidak melepaskan peluang sesekali lepas bebas di kawasan yang memang amat asing baginya, berlari ke sana ke mari menjadikan aku tak senang duduk, asyik mengejar Si Adik yang baru nak belajar mengenal dunia. Sesekali terasa juga bengangnya, tetapi keletah anak-anak membuatkan hati ceria, rasa kelakar pun ada. Niat hati nak juga menjenguk ke kutub selatan untuk melihat penguin... tapi nampak gayanya penguin tengah bercuti. Mungkin cuaca di Malaysia ketika ini terlalu panas untuk burung-burung penguin berkenaan jadi mereka pakat-pakat balik semula ke Antartika... hahaha Bila hari dah menjelang petang, matahari dah mula tergelincir, perut pun dah terasa laparnya, kaki dah mula penat dan lenguh-lenguh... dan muka anak-anakku dah mula menampakkan kepenatan mereka... kami beransur dulu. Anyway.... Selamat Menyambut Hari Ibu Hargailah ibu anda dan juga ibu kepada anak-anak anda....

Permulaan....

Hehehe.... Akhirnya niat untuk mempunyai blog sendiri terlaksana.
Perjalanan kita seharian adalah unik untuk diri kita. Bergantung kepada persepsi kita sendiri sama ada sanggup membiarkan setiap detik dan saat berlalu begitu sahaja atau kita cuba mengambil pelajaran dan pengajaran dari setiap yang berlaku... dirakamkan di dalam minda dan hati...
Umpama air yang mengalir dalam kitaran peredarannya, memberi manfaat dan melakar sejarah kehidupan...
Renung-renungkan...