Friday, August 21, 2009

Ramadhan Datang Lagi...

Ramadhan Al-Mubarak datang lagi untuk ke sekian kalinya menemui makhluk-makhluk Allah di atas muka bumi. Berbagai-bagai rasa dan cara ditunjukkan oleh umat manusia dalam menyambut kedatangan Ramadhan... ada yang suka dan gembira, ada yang resah dan gelisah, ada yang mengeluh, malah ada juga yang mencemuh....
Berbagai tafsiran hati manusia bergantung kepada tahap keimanan individu... besar atau kecil iman seseorang. Namun yang pastinya, Ramadhan tetap berkunjung di muka pintu selagi datang perintah Allah... sebelum kedatangan Kiamat Al-Qubra yang menandakan penamatnya ujian untuk umat manusia di muka bumi ini.
Mimbar masjid Kelana Jaya hari ini mengingatkan umat manusia yang beriman agar mengambil kesempatan tawaran Allah sempena kedatangan Ramadhan tahun ini. Dinukilkan bahawa 3 tawaran terbesar yang Allah s.w.t. tawarkan sepanjang ramadhan:
  1. Awal Ramadhan adalah rahmat Allah
  2. Pertengahan Ramadhan adalah keampunan Allah
  3. Akhir Ramadhan adalah pembebasan dari Neraka Allah terhadap makhlukNya yang terpilih.

Maka, sebagai makhluk, sebagai umat Islam seharusnya kita mengambil kesempatan ini, manfaat ini mencari redha Allah atas kehidupan kita di atas muka bumi ini. Mungkin inilah Ramadhan terakhir untuk kita sebelum kita kembali menemui Allah s.w.t.

Sama-samalah kita berusaha ye.... :)

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak
Selamat Menjalani Ibadah Puasa
Semoga Amal Kita Semua Mendapat Redha Allah

Amin

Tuesday, August 18, 2009

Matahari Pagi

Dalam perjalanan menghantar anak ke Sekolah Integrasi Batu Belah di Klang pagi tadi, terlihat matahari pagi memancar cerah di ufuk timur. Nyata hujan lebat yang turun petang semalam serta hujan renyai malam tadi telah membasuh jerebu dan kegawatan cuaca yang melanda Lembah Klang sejak kebelakangan ini.
Setiap pagi kemunculan matahari pagi menandakan munculnya hari baru, aktiviti baru dan azam baru untuk sekian makhluk di muka bumi ini. Setiap nafas yang dihirup, paru-paru yang berkembang, kesegaran yang dirasa, adalah nikmat yang Allah kurniakan. Subhanallah...

Ini bukan gambar pagi tadi - ambil dari internet

Friday, August 14, 2009

Ujian dan Musibah

Hari ini mimbar masjid memberi peringatan tentang musibah atau ujian terkini yang melanda negara dengan nama H1N1 @ selsema babi. Khatib mengingatkan bahawa walau apa pun nama yang diberikan terhadap musibah yang melanda, yang penting adalah tindakan dan pengajaran yang perlu diambil daripada nusibah yang dihadapi.
Peringatan diberikan atas dasar bahawa setiap musibah yang melanda adalah merupakan pengajaran dan peringatan dari Allah s.w.t. untuk umat manusia sama ada mereka sedar atau tidak, sama ada kita mengambil pengajaran atau terus terlalai dan hanyut oleh nafsu dan dunia. Setiap musibah yang melanda adalah akibat secara langsung atau tidak langsung oleh perbuatan tangan-tangan manusia.
2 hari lalu, kita diberitakan oleh pemergian Ustaz Asri yang pergi mengadap Allah menjangkau usianya 40 tahun (lebih kurang 1 jam akhirat) dengan asbab serangan jantung. Namun hakikatnya adalah tibanya tempoh tamat ujian dunia sebagaimana perjanjian yang termetrai sejak azali antara makhluk dengan Allah s.w.t.
Apakah pengajaran yang kita patut ambil? Adakah berkenaan penjagaan kesihatan? Mengelakkan potensi serangan? Bersenam? Penyediaan harta untuk yang ditinggalkan? Ataukah satu-satunya bekalan yang boleh kita bawa - amalan kita?
Pernahkah kita merenung seketika, bagaimana kelak akan aku hadapi sakaratul-maut. Adakah sakit? Sesungguhnya sakaratul-maut itu teramat sakit!

Thursday, August 13, 2009

Apa itu H1N1?

Viral novel influenza type A H1N1. Ianya berasal dari virus avian flu (selsema burung H5N1) yang telah menjangkiti babi @ khinzir dan telah bergabung dengan swine flu (yang sepatutnya hanya menjangkit ternakan babi sahaja) dan telah evaluasi (mutasi) untuk penyesuaian diri di dalam 'host' yang lebih tinggi di dalam rantaian makanan @ manusia dan semasa di dalam badan manusia, sekali lagi ia berevolusi supaya ia menjadi 'air born' dan menjangkit dari manusia kepada manusia.
Jangka Hayat Virus
Oleh kerana ia adalah viurs yang air born, ia hanya boleh bertahan di udara selama 2 hingga 8 jam sahaja. Jika selepas tempoh tersebut ia idak mendapat perumah @ host (badan manusia) ia akan mati. Maka bilik yang dibiarkan selama 24 jam dengan air ventilation yang baik....akan 'bersih' dr virus tersebut.
Apa Yang Anda Perlu Tahu
Asal virus ini. Sebenarnya telah terdapat outbrake ini di US sebelum terjadi outbrake di mexico tetapi tidak dilaporkan kepada WHO. Kemungkinan outbrake ini telah dikesan dan US mahu 'baling batu sembunyi tangan' lalu tercetus la outbrake di mexico.
Virologi Virus H1N1
Incubation period yang singkat pada purata 2 hari dengan julat 1 - 4 hari. Ini bermakna ia cepat menyerang badan manusia setelah ia menjangkiti pesakit. Pesakit akan menunjukkan simptom selepas 1 hari dijangkiti paling cepat dan selewat - lewatnya hari ke - 4. H1N1 sebenarnya adalah selsema biasa namun kepada pesakit yang berisiko, ia dapat membunuh. Jika pesakit adalah seorang yang normal, ia hanya akan memberi kesan seperti demam selsema biasa dan batuk.
Cara Serangan
Virus ini boleh disebarkan melalui batuk, bersin dan percakapan. Virus ini akan menyerang sistem pernafasan (seperti selsema burung dan SARS). Pada peringkat awal, ia hanya pada 'trakea'. Jika t idak mendapat rawatan awal, ia akan menyerang paru - paru dan boleh menyebabkan kematian akibat 'lung collapse' dan ia amat merbahaya kepada golongan yang berisiko tinggi.
Siapa Yang Berisiko
  1. Orang yang ada masaalah 'obesiti' @ gemuk
  2. Perempuan mengandung
  3. Orang yang ada astmatic
  4. Orang - orang yang bermasalah dengan sistem imunisasi ( menjalani 'operation yg besar', kanak - kanak yang belum cukup suntikan imunisasi, golongan - golongan yang rendah tahap imuniti contohnya HIV)
* Kematian yang telah dilaporkan terdiri daripada golongan - golongan di atas.
Simptom - Simpton
Day 1 Rasa kurang sihat, tak bermaya
Day 2 Selsema, batuk dan demam yang kekal (demam tidak turun walaupun telah makan ubat demam)
Day 3 Rasa kurang selesa di bahagian dada dan sesak nafas
Day 4 Sakit dada yg teruk, jumpa doktor dengan segera
Day 5 and > Lung collapse @ koma
Langkah - Langkah Kawalan
  1. Golongan - golongan yang berisiko, elakakan daripada kesesakan (kawasan yang padat dengan orang ramai)
  2. Menjaga kebersihan diri, basuh tangan selalu dan dengan betul, jaga kebersihan rumah dan persekitaran
  3. Elakkan diri jika terdapat 'orang batuk, bersin dan kurang sihat'
  4. Jika kurang sihat, elakan diri dari beraktiviti (sosial dan berkumpulan)
  5. Jika kurang sihat dan ada ILI ( influenza light illness @ selsema biasa) jangan hadirkan diri di kawasan orang ramai. Jika terpaksa, pakai 'mask' (sekurang - kurangnya 3 ply mask)
  6. Untuk orang yang sihat, elakkan dari kawasan yang padat.
  7. Jika ada tanda - tanda simptom di atas, segera ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan
  8. Jika sihat, jangan ke hospital atau klinik untuk 'checkup' kerana di kawasan tersebut mengandungi banyak virus.
  9. Tak perlu ambil anti-viral @ apa-apa ubat influenza!!!!!!!!!!. Jika sihat dan mengambilnya, akan mengakibatkan resistan kepada vaksin @ ubat - ubat untuk merawat jika terkena jangkitan. Ini adalah kerana berlakunya resistansi virus terhadap persekitaran badan yg telah mengambil ubat - ubat tersebut terlebih awal.
  10. Vaksin hanya akan 'wujud' seawal - awalnya pada Oktober dan hanya untuk 'frontliner' sahaja dan untuk orang awam selewat - lewatnya pada 2010.
  11. Untuk makluman, influenza test hanya dijalankan di 2 makmal sahaja di Malaysia. Ia mengambil masa 6 jam untuk run test kepada 1 batch sample. Jika klinik menyatakan mereka boleh jalankan ujian, itu tidak betul. Tak perlu ambil suntikan seasonal influenza kerana ia tidak berkaitan.
  12. Tahap kesedaran dan pengetahuan yang tinggi amat perlu untuk kita sama - sama menghadapi outbrake ini.

Sama - samalah kita berdoa kepada ALLAH s.w.t agar bala ini cepat berlalu. Amin.

Ini Adalah Sumber Dari Taklimat H1N1 Oleh Pengarah Kawalan Penyakit Berjangkit Dari Kementerian Kesihatan Malaysia Di Pan Pacific KLIA Pada 01.08.2009.

Tuesday, August 11, 2009

H1N1@ Selsema Babi

Perkembangan mutakhir ini agak membimbangkan sesiapa juga warga Malaysia yang prihatin terhadap kelangsungan hidup atau survival diri dan masyarakat. Negara kita dilanda musibah demi musibah, satu demi satu... dari kegawatan ekonomi, masalah sosial kanak-kanak, golongan remaja mahupun golongan dewasa, pertelingkahan politik parti-parti, ugut-mengugut, rampasan kuasa sehinggalah yang terbaru wabak H1N1 atau patut kita panggil selsema babi.
Mungkin pada pendengaran, perkataan selsema babi agak kasar namun hakikat yang perlu kita ketahui bahawa sememangnya wabak selsema yang kita hadapi sekarang ini amat dekat kaitannya dengan makhluk babi itu. Terdapat artikel yang menyebutkan, berdasarkan kajian yang dilakukan oleh pihak antarabangsa di Kanada, sememangnya terdapat perkaitan rapat antara jumlah babi (industri penternakan babi) dengan wabak yang dikenalpasti. Dengan kata lain, semakin banyak penternakan babi di satu-satu kawasan, semakin banyak kes H1N1 (selsema babi) yang dilaporkan.
H1N1 adalah penyakit selsema yang biasa menghinggapi babi, namun virus ini telah mula menjangkiti manusia hasil hubungan intim antara manusia dan babi. Lantas manusia yang terjangkit ini menyebarkannya pula kepada manusia lain sehingga tersebar luas melampaui sempadan geografi dan etnik.
Semalam, 10 Ogos 2009 sewaktu saya membawa isteri mendapatkan rawatan sakit perut (kemudian disahkan gastrik) di KPJ Shah Alam (SMC), kelihatan kakitangan KPJ menjalankan saringan ringkas terhadap pengunjung-pengunjung hospital bertanyakan sama ada sedang menghidap selsema atau batuk. Dan bilangan jangkitan yang dicatatkan amat membimbangkan. Di sana sini kelihatan orang dengan mask di muka.
Teringat sewaktu jangkitan selsema burung beberapa tahun lalu, banyak sekali unggas-unggas tidak berdosa menjadi korban, burung-burung dibunuh dan dibakar, ayam dibakar di dalam reban mereka, ada juga yang di tanam hidup-hidup. Terfikir juga, kenapa kali ini tiada pula babi-babi yang ditembak dan dibunuh, sama seperti sewaktu wabak selsema burung dan juga wabak JE yang lalu. Adakah lantaran takutkan tekanan-tekanan mereka-mereka yang suka memakan babi lantas kita hanya berpeluk tubuh sambil mengira angka korban yang bertambah setiap hari.

Ada juga artikel yang menyatakan bahawa sebenarnya wabak ini telah dirancangkan oleh pihak-pihak kapitalis berkepentingan bagi menarik perhatian dunia dan mengelakkan masyarakat dunia dari membincangkan masalah keruntuhan ekonomi dunia. Ada juga yang menyatakan tujuannya adalah kepentingan ekonomi, sama seperti peperangan menentang keganasan global, yang bertujuan menaikkan industri ketenteraan dan sebagai medan ujian senjata. Yang menjadi mangsa adalah rakyat terbanyak seperti kita.
Mungkin juga ada artikel yang boleh mambantu kita menghadapi musibah ini, sebagai ikhtiar kita selain doa kepada Allah s.w.t.
Ada yang mencadangkan supaya pesakit yang dijangkiti H1N1 ini memakan atau meminum jus epal hijau (6 biji sehari). Ada juga yang mencadangkan mengamalkan air rebusan jintan manis sebagai amalan bagi meningkatkan tahap imunisasi tubuh. Walau apa pun, berusahalah... dan berdoa. Insya-Allah kita terhindar dari wabak penyakit ini.

Wednesday, August 5, 2009

Puisi Merdeka

Hari ini dalam perjalanan pulang dari kerja, terlihat pemandangan indah di langit petang. Sang matahari mengundur diri di ufuk barat dan dalam masa yang sama bulan (hampir purnama) berada di dada langit timur.Subhanallah...
Bulan ini bulan merdeka, terpandang pula nukilan puisi sahabat yang penuh bermakna...

31 Ogos Berkibarnya Jalur Gemilang menghiasi dada langit terbentang Berbaris wira-wira gagah mengaku diri pejuang Cogan kata menghias dada-dada akhbar Gah dan hebat kata-kata keramat Meriah kota mentopolitan antara bangsa Dengan bangsa berbagai rupa dan warna Sama-sama mendengar teriakan suasana Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Namun Disebalik kemegahan tembok batu dan konkrit Dalam gah keramat laungan cogan kata berbisa Banyak anak-anak bangsa yang masih derita Tangan-tangan kasar mengais pasir dalam linangan keringat dan air mata Tangan-tangan kecil memohon seberkas simpati Mencari sesuap nasi perut anak-anak perlu diisi Hutang perlu dibayar dalam kitaran bulan demi bulan Terhimpit dan tersepit dalam kemajuan ekonomi kapitalis Along menghulur bantuan dengan laba berbisa Angah menjengah, bantuan datang dengan syarat dan ikat Anak bangsa terpedaya parah dalam pasrah

Kapitalis lantas tersenyum megah disebalik menara konkrit di atas bukit Kelemasan dalam taburan emas dan ringgit Kejayaan dilapah dalam kepayahan anak-anak desa Tersiksa, tergeliat lidah mengukir nahu bahasa penjajah Kira-kira dan teknologi lantas menjauh diri Anak-anak mula menyendiri Lantaran cita-cita dan jaya terbenam dan tersembam Dalam Lumpur kuala yang semakin kotor Lantas kapitalis menabur mutiara kepalsuan Kerdipan indah menerbit alpa dan leka Menutup rasa sedih dan kecewa yang nyata

Sesekali anak bangsa tersedar lantas bingkas Menjerit meronta dalam tangan terikat mulut tersumbat Merintih merayu agar suara terdengar dalam pekak dan bisu Hati membara dalam diam dan dendam Sedih dan pilu melihat anak-anak kian bertanya Apakah ini yang akan kalian wariskan? Apakah ini kemerdekaan kita? Apakah kita merdeka?

Mungkin suatu hari nanti Sumpah seranah generasi demi generasi Memanaskan kita di alam baqa Atas kelalaian kita mengisi makna kemerdekaan

nukilan: Anak Rantau