Friday, December 24, 2010

Satu dalam Seribu

Setiap hari kita disibukkan dengan aktiviti harian kita. Saban hari kita merasakan betapa cepatnya waktu berlalu tanpa kita sedari. Dalam tidak sedar, kita mensia-siakan saki baki waktu yang kita ada... seandainya kita tahu di mana penghujung usia kita.

"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal saleh. Mereka yang berpesan dengan kebenaran serta berpesan dengan kesabaran"

Di penghujung usia dunia, masa dirasakan singkat dek kerana kita tidak lagi menghitung masa. Kita disibukkan dengan aktiviti-aktiviti mengejar dunia dan isinya, dunia yang semakin tua semakin indah dan mempersonakan.

Jarak perjalanan tidak lagi terasa jauh oleh kemajuan pengangkutan. Malaysia dan Amerika hanya setengah hari perjalanan. Namun kita terlupa, setiap saat yang berlalu, semakin hampir kita dengan kematian, meninggalkan dunia dan segala isinya, menunggu perhitungan amal perbuatan.

Namun, siapakah yang benar-benar tahu kedudukannya, adakah dalam redha Allah s.w.t. atau dalam keadaan dilaknat. Siapakah yang benar-benar tahu tahap keimanannya? Sudahkah kita diuji, atau sememangnya kita gagal dalam ujian.

"Dalam 1000 manusia di akhir zaman, 999 adalah golongan Yakjuj dan Makjuj..."

Adakah kita satu dalam seribu, atau kita antara 999 manusia yang dilaknat? Siapa yang yakin kedudukan dirinya?

Perkhabaran menyatakan Dajjal adalah manusia ajaib akhir zaman yang akan menyesatkan manusia, namun bakal dibunuh oleh Nabi Isa dan Imam Al Mahdi yang memimpin manusia-manusia yang beruntung mendapat hidayah Allah.

Kita berdoa semoga dijauhkan dari fitnah Dajjal. Namun tanpa sedar, fitnah Dajjal telah datang menjenguk dan menguji manusia jauh sebelum munculnya Dajjal menampakkan diri. Tanpa kita sedari, kita hidup dalam sistem yang dijana oleh Dajjal melalui pengikut-pengikutnya dalam 'kemodenan'. Dajjal mempersembahkan 'syurga' yang sebenarnya jalan menuju neraka, juga mengugut dengan 'neraka' yang sebenarnya jalan menuju syurga Allah s.w.t.

Perancangan Dajjal untuk umat akhir zaman bukannya singkat, berabad lamanya perancangan halus dan teliti demi menyesatkan manusia, sehingga manusia tidak menyedari diri sedang teruji, diri sedang terfitnah. Dari sistem ekonomi kapitalis, politik, budaya dan adat, segalanya adalah ujian 'syurga' dan 'neraka'.
Mungkinkah yakjuj dan makjuj adalah golongan pengikut Dajjal, dan sesiapa yang mengikut cara dan sistem Dajjal yang dikembangkan dalam senyap, adalah juga termasuk dalam golongan Yakjuj dan Makjuj. Maka antara nisbah 1 dalam 1000, masihkah kita mendakwa kita antara yang satu dalam seribu?
Terasa diri ini ingin menangis mengenangkan, di manakah kedudukan diri ini, satu atau 999?

Friday, December 3, 2010

Petrol naik lagi

Menghampiri penghujung tahun 2010, baru nak menyambut 1432H, rakyat Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan kenaikan 4 dalam 1. Harga petrol naik lagi, begitu juga dengan harga gula. Walaupun beberapa bulan dulu kerajaan sedia ada menyatakan tiada kenaikan harga petrol dalam tahun ini, tapi balum pun habis 2010 berlaku juga kenaikan harga....

Pi mai pi mai.... rakyat golongan bawahan juga yang susah, yang merana...

Di Selangor, negeri di mana hamba bertapak, kerajaan negerinya berusaha mengelakkan tuntutan kenaikan harga oleh pihak Syabas, pembekal air swasta negeri Selangor. Demo dan bantahan telah digerakkan diketuai sendiri oleh pucuk pimpinan negeri.... dan rakyat Selangor amat berterima kasih atas tindakan ini lantaran dapat menyelamatkan rakyat selangor buat sementara....

minyak kuning untuk orang-orang miskin... RON95 tidak terkecuali dari kenaikan harga...

minyak hijau, untuk golongan sedikit berada.... RON97, mencanak naik harganya...

Keadaan kehidupan yang serba mencabar di Malaysia amnya, khususnya di kota raya dan bandar-bandar besar menyebabkan kebanyakan kita pening kepala. Apa tidaknya, celik mata saja kena kira duit, nak makan... duit, nak berjalan... duit, nak buang air pun kena duit! Tak hairanlah semakin banyak penyakit melanda khususnya warga kota.

Kalau dulu sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis adalah sakit orang berduit, tapi sekarang hampir semua golongan berisiko meghadapi penyakit itu. Disebabkan apa? sebabnya semua orang sekarang ini terpaksa memikirkan mana nak cekau duit..... kais pagi.... kais petang.... nak cari duit. Sampaikan malam pun ada yang masih mengais sebab nak cari duit lebih...

Sebabnya....? Kenaikan harga petrol akan mencanakkan kenaikan banyak barangan lain, maka nilaian duit kita semakin susut, kita perlu lebih banyak mengais siang dan malam untuk mencari lebih duit......

'senjata' untuk membunuh jiwa manusia yang asalnya merdeka...

Salah kita juga sebab membenarkan diri dikongkong dan dipermainkan oleh kapitalis. Kita terlalu bergantung dengan petrol. Andailah kata kita gantikan petrol dengan air hujan, alangkah bagusnya!!!!!

Dahulu ada juga terdengar usaha-usaha untuk membebaskan diri dari kongkongan petrol, tapi hasilnya tidak ke mana. Apakan tidak, kuasa dan pengaruh korporat menundukkan kuasa rakyat! Hasilnya, rakyat terbiar dalam kemiskinan dan kedunguan agar boleh diperbodohkan dan diperkotak-katik semahunya, demi..... sebuah kuasa.....

Tuesday, November 9, 2010

Banjir, banjir,...

Hujan yang turun membawa rahmat kepada umat manusia dan juga sebahagian besar mahluk Allah di muka bumi ini. Hujan yang turun juga menjadi ujian kepada umat manusia; antara syukur, redha, suka, kecewa, takut, marah, benci dan sebagainya...

Apabila Allah menurunkan ujian/bala/bencana, ujian datang kepada semua umat, sama ada yang terkena secara langsung atau tidak langsung. Yang terkena, diuji tahap kesabarannya dalam menghadapi musibah. Yang tidak terkena, diuji tahap kesyukurannya atas nikmat yang diberikan dan tanggung jawabnya sama ada datang membantu atau hanya memandang sinis.

Dan biasanya, kategori kedua - ramai yang gagal. Gagal dalam memahami rahsia disebalik musibah yang datang menimpa. Gagal dalam mengawal hati yang bongkak dengan kenikmatan. Gagal mengenalpasti tanggungjawab di amanahkan Allah.

Saudara-saudara kita di utara, Kedah dan Perlis sedang dilanda musibah banjir yang datang menimpa. Ramai yang menuding jari menyalahkan orang lain, mencari kambing hitam untuk dipersalahkan. Dalam tidak sedar, satu jari menuding kepada orang lain, 3 jari menuding kepada diri sendiri, dan satu jari menuding ke langit. Apakah maksudnya?

Mengapa kita saling menyalahkan, sedangkan menuding jari tidak menyelesaikan apa-apa. Seeloknya saling bahu-membahu sesama kita menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan, disamping berdoa kepada Allah semoga segalanya menjadi kesaksian kita di hadapan Allah di padang mahsyar kelak...

Wallahu'alam.

Tuesday, August 31, 2010

31 Ogos 2010

Hari ni 31 Ogos 2010. Hari ni raykat Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke 53. Bermakna sudah 53 tahun Tanah Melayu merdeka dari penjajahan British, Belanda dan Portugis. Sejak kejatuhan Empayar Islam Melaka dalam tahun 1511, Tanah Melayu telah terjajah selama ratusan tahun oleh para penjajah Eropah dimulai dengan Portugis, diikuti Balanda dan kemudian British. Selepas kemerdekaan 1957, sekali lagi cubaan penjajahan berlaku, kali ini oleh Jepun yang bercita-cita menjadi empayar timur. Lorong berliku dihadapi oleh masyarakat tempatan ketika itu dalam menghadapi kehidupan seharian akibat ancaman oleh pihak Jepun dan penentang tempatan. Kini, kita dikatakan telah merdeka. Namun sejauh mana kemerdekaan itu kita hargai. Benarkah kita telah merdeka? Adakah generasi selepas merdeka mengetahui dan mengenali erti kemerdekaan? Tanyakan kepada majoriti masyarakat yang ada, pasti jawapannya berbeza-beza. Merdekakah kita jika saban waktu kita bekerja untuk membayar hutang yang entah bila langsainya? Kita terjajah oleh hutang! Merdekakah kita jika saban waktu kita terbelenggu oleh pelbagai akta yang menakutkan? Kita terjajah oleh akta! Merdekakah kita jika boleh dikatakan setiap hari kita dihidangkan berita-berita pembunuhan, penculikan, rompakan. Kita berkira-kira, selamatkah kita dan keluarga kita hari ini dari anasir-anasir menakutkan itu? Kita dijajah oleh ketakutan! Merdekakah kita jika saban waktu kita dihidangkan dengan budaya dan ragam yang bukan milik kita lantas bakal meranapkan jatidiri anak bangsa? Kita dijajah oleh budaya asing! Merdekakah kita jika kebanyakan yang kita gunakan saban hari adalah dari dunia asing? Apakah erti kemerdekaan sebenarnya?

Monday, August 23, 2010

Ramadhan 1431H

Assalamualaikum,
Dah lama aku tinggalkan blog nih, tak sempat nak masukkan entry, namun aku cuba untuk mengaktifkan semula catatan dalam blog ini. Mudah-mudahan ianya akan menjadi satu catatan yang berguna untuk generasi mendatang, khusus untuk generasi anak-anakku.
Hari ini sudah 13 Ramadhan 1431H, sudah hampir ke pertengahan puasa. Di surau tempat ku, ada sedikit kuliah peringatan yang diberikan oleh ustaz sebelum solat terawih. Antara kandungan kuliah yang dapat aku petik secara serba ringkas;
Umumnya, orang-orang yang beriman amat-amat takut kepada 5 perkara:
  1. Syirik: ini adalah kerana seandainya berlaku perbuatan syirik, segala amalan yang terdahulu akan terhapus serta-merta. Sentiasalah berjaga-jaga dan berimgat.
  2. Murtad: murtad boleh berlaku sama ada dengan sengaja atau tidak kita sedari. banyak perbuatan yang boleh menjuruskan kepada murtad tanpa kita sedar. Carilah ilmu sebagai panduan kita.
  3. Dosa: setiap dosa yang kita lakukan seandainya tidak sempat bertaubat, maka api nerakalah yang boleh menghapuskannya, insya-Allah.
  4. Khurafat dan bidaah
  5. Neraka jahannam. Siksa neraka teramatlah pedih, dan ketika itu tiada penamat sebagaimana kematian sebagai penamat siksaan di dunia.

Pesanan Saidina Ali r.a.

"Terdapat hanya dua golongan yang benar-benar layak merayakan hari raya Aidilfitri, iaitu orang yang dah confirm Allah s.w.t. terima puasanya dan orang yang telah confirm mendapat ampunan Allah dengan berakhirnya Ramadhan..."

Jadi, sama-samalah kita muhasabah diri kita, di manakah kedudukan iman dan amal kita...

Wallahu'alam.

Tuesday, April 13, 2010

Funfair?

Rasanya dah lama saya tak update blog nih... bukan tak mahu... cuma agak busy (ceh... alasan!)..

Berdasarkan pemerhatian, sejak kebelakangan ini begitu banyak 'fun fair' yang tumbuh di sekitar Lembah Klang bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Jika kita rajin meneroka jalan-jalan sekitar lembah Klang di waktu malam, pasti kita terlihat lampu sorot menyuluh tinggi melangit menarik perhatian orang ramai. Dan jika di amati, lampu sorot ini puncanya dari lokasi 'funfair' yang seboleh-boleh menarik orang ramai mengunjunginya, terutama kanak-kanak. Di tempat saya sendiri, sudah 3 kali pesta 'funfair' diwujudkan bersebelahan hypermarket Carrefour semenjak awal tahun lepas, dan setiap kali beroperasi sehingga 1 bulan.

Ibu bapa pastinya pening kepala apabila anak-anak merengek-rengek minta di bawa memasuki 'funfair' tersebut. Lebih-lebih lagi yang hanya bergaji cukup makan, mana nak cekau duit untuk 'hiburan' anak-anak sebegini.

Saya pernah membawa anak-anak dan adik-adik ipar mengunjungi 'funfair' berhampiran rumah, itupun setelah didesak berkali-kali, dan anak-anak asyik bertanya bila nak bawa mereka 'bergembira' di 'funfair' berkenaan. Bayangkan, sekali masuk dengan keluarga, main permainan yang basic, pun habis RM50. (itu selepas berkira-kira dan berjimat la tu...)
Pengunjung pada malam tu, dan hampir setiap malam, punya lah ramai. Bayangkan jika purata keluarga yang mengunjungi 'funfair' menghabiskan RM50, berapakan jumlah kutipan dalam satu malam? Dan berapakah jumlah kutipan sebulan?
Banyak untung maa...!
Yang rugi? KITA semua..!

Tapi... yang lebih mengejutkan, kebanyakan permainan seperti baling botol, pancing anak itik, baling gelang, lebih merupakan perjudian berbanding permainan riadah. Yang peliknya, ramai ibu bapa membiarkan anak-anak bermain permainan judi ini tanpa memikirkan itulah benih-benih maksiat yang di tanamkan dalam diri anak-anak. Walaupun pada mulanya sekadar suka-suka, hakikatnya ia adalah judi! Dan sekiranya anak-anak dibiarkan dengan permainan sebegini, tidak mustahil apabila dewasa kelak mereka akan biasa berjudi di Genting, pusat perjudian terkemuka di Malaysia.
Di manakah tindakan kita sebagai umat Islam? Haruskah kita membiarkan benih-benih maksiat dan perjudian ini meresapi minda anak-anak yang masih fitrah? Manakah perginya Jabatan penguatkuasa tempatan?
Sedarlah bahawa pengusaha 'funfair' ini tidak pernah memikirkan masa depan masyarakat dan generasi akan datang, yang penting bagi mereka hanyalah mengembungkan poket dan perut mereka semata.
Haruskah kita mengorbankan jatidiri anak-anak dan generasi masa depan kita?

Wednesday, February 17, 2010

Keretapi Tanah Melayu 2

“Tolong.. caya...!! dua taun...” antara kalimat-kalimat yang dihamburkan adik Danish Iman sambil mengekek membuatkan kami sekeluarga tergelak sakan apabila dia bergomol dengan kakaknya atau dengan ayahnya (akulah tu). Memang seronok bermain dengan anak kecil seusia Danish Iman kerana keletah dan ragam mereka yang menghiburkan orang dewasa seperti kita.

Pada usia begini, sememangnya kanak-kanak akan melakukan pelbagai eksperimen dalam aktiviti harian mereka. Segalanya mahu dicuba, dari yang mudah hinggalah yang menyebabkan kita yang dewasa mengurut dada kerisauan. Malah kadang kala runtuh juga tembok kesabaran emak dan ayahnya.

“Ayah! Ketetapi!! Tuu... ketetapi!!”

“Iyee.. keretapi lah...” aku cuba membetulkan.

“Ketetapi...”

Begitulah biasanya telatah Muhammad Danish Iman yang baru belajar bercakap pelat apabila usianya melepasi 2 tahun, apabila terlihat gambar atau mainan, atau objek keretapi. Entah kenapa keretapi begitu bermakna bagi dirinya.

Bagiku juga, keretapi mempunyai nostalgia tersendiri. Sewaktu tempoh pembelajaranku di peringkat tinggi, keretapi merupakan pengangkutan rasmi yang menghubungkanku antara tanah kelahiran dengan bumi tempat menimba ilmu.

Keretapi Tanah Melayu (KTM), antara perkhidmatan awam yang masih mengekalkan perkataan ‘Melayu’, selain Rejimen Askar Melayu Diraja. Kebanyakan perkhidmatan awam lain apatah lagi badan swasta, kebanyakannya menggunakan perkataan atau pengenalan yang ‘lebih orang putih dari orang putih, lebih Inggeris dari orang Inggeris sendiri’. Sehinggakan kadang kala kita pun tidak tahu terjemahannya di dalam bahasa melayu dek kerana biasa menuturkannya dalam bahasa inggeris.

Perjalanan dengan gerabak KTM biasanya akan menyelusuri desa, ladang dan hutan rimba sesekali berhenti di stesen di pekan dan pinggir bandar. Perjalanan yang biasanya terasa lambat dan membosankan.

Aku menaiki keretapi Sinaran Pagi di stesen Kluang, melalui perjalanan jauh menuju kota Kuala Lumpur. Tiba di Stesen Kuala Lumpur jam 6.00 petang. Seperti kebiasaannya, aku akan bergegas ke kaunter tiket untuk membeli tiket keretapi menuju ke Butterworth yang akan bertolak jam 8.00 malam.

Kejadian berulang bila mana tiket ke utara kehabisan. Aku mula menggaru kepala yang tidak gatal, memikir-mikir bagaimana untuk aku mengharungi malam ini. Jika dulu, aku melayani malam dengan langkah-langkah perlahan menjelajahi wajah malam ibu kota Kuala Lumpur, mungkinkah aku akan mengulanginya lagi. Fikiranku bercelaru.

Selepas solat maghrib, aku masih duduk termenung di bangku di atas platform, melihat pelbagai kerenah para pengunjung yang menunggu kehadiran gerabak atau koc yang akan membawa mereka ke destinasi. Di hadapanku, tersergam koc KTM Express Senandung Malam menuju ke utara, destinasi yang kutuju.

Menghampiri jam 8.00, kelihatan manusia-manusia mula memasuki gerabak penumpang sesuai dengan tiket yang dibeli. Aku yang tidak mempunyai tiket, kian resah, cuba mengira-ngira apakah langkah yang harus aku ambil. Terasa malas untuk sekali lagi mengharungi malam-malam berjalan sendiri di kota besar Kuala Lumpur, walau nampak indah dihiasi neon malam, namun siapa tahu wajah buruk di sebalik kegelapan lorong-lorong sunyi yang berselang seli dengan kerlipan neon menerangi jalan. Jika dahulu, aku terselamat dari sebarang perkara tidak diingini, namun pengulangan ini adakah aku akan masih bernasib baik seperti dulu?

Pritt..!!!

Bunyi wisel petugas platform menyedarkan aku dari kebuntuan. Entah dari mana datangnya kudrat, aku bingkas bangun dan melangkah pantas melalui pintu gerabak memasuki koc penumpang dengan beg besar tergalas di bahu. Aku nekad untuk meneruskan perjalanan walaupun tanpa tiket!!

Beberapa detik kemudian, gerabak mula meluncur perlahan di atas landasan. Semakin lama semakin laju. Aku bergerak antara kerusi penumpang mencari-cari kalau-kalau ada kerusi yang masih kosong. Tiada.

Tidak berputus asa, aku bergerak pula ke koc seterusnya. Tanpa mempedulikan penumpang lain, aku terus mencari-cari sehingga akhirnya menemui kerusi yang masih kosong.

‘Barangkali tiada orang di tempat ini’

Seorang lelaki sedikit berusia bersebalahan tingkap kelihatan termenung memandang keluar tingkap, tanpa mengendahkan aku yang tercegat disitu. Aku meletakkan beg di bahagian meletak barang dan perlahan-lahan duduk di situ tanpa berkata sepatahpun. Aku cuba berehat, namun kerisauan melanda, maklumlah orang bersalah.

Beberapa detik berlalu, apabila tiba-tiba aku menyedari kehadiran pemeriksa tiket memasuki koc tempat aku berada. Aku menunggu beberapa detik sebelum perlahan-lahan bangkit lalu bergerak melintasi peperiksa tiket dengan dada berdebar-debar. Tujuanku untuk ke kawasan koc dimana telah dilakukan pemeriksaan.

Alhamdulillah, dia tidak bertanyakan tiketku. Aku menarik nafas lega dan berlalu, tempat tujuanku, tandas di hujung gerabak. Untuk seketika aku termenung disitu, berkira-kira dan merancang tindakan seterusnya. Lantas aku memutuskan untuk bergerak ke cafe keretapi manakala beg pakaian kubiarkan ditempatnya.

Di cafe kelihatan beberapa penumpang sedang menikmati minuman. Aku memesan teh-o, minuman paling murah selain air kosong dan air suam. Almaklum, kerana harga makanan dan minuman di cafe agak mahal. Sebab itu apabila terdapat beberapa peniaga bergerak menjual makanan dan minuman di dalam koc, permintaannya memang tinggi sebab agak murah dan berbaloi-baloi, kata orang sekarang.

Sambil menghirup teh-o panas, aku cuba berbual-bual dengan seorang pakcik yang mungkin seusia ayahku. Kami berbual agak rancak, sambil sesekali mataku meliar melihat-lihat kalau-kalau ada pemeriksa tiket memasuki cafe berkenaan. Berdasarkan pengalamanku yang lalu, pemeriksaan tiket dilakukan dua atau tiga kali sepanjang perjalanan.

Selesai menghirup titisan teh-o terakhir, aku melihat jam mengagak-agak waktu peperiksaan seterusnya. Dari celah pintu kaca yang menghubungkan antara gerabak, kelihatan pemeriksa tiket sedang menjalankan tugasnya.

Aku meminta diri dari pakcik teman berbualku, lalu bergerak ke arah belakang gerabak. Aku menyembunyikan diri di dalam tandas gerabak, fikiranku ligat merancang pilihan-pilihan yang ada yang boleh aku lakukan. Bagaimana kalau pemeriksa tiket mengetuk pintu tandas meminta menunjukkan tiket?

Aku menunggu beberapa lama dalam debaran. Tiada ketukan di pintu. Aku menunggu lagi beberapa ketika sebelum perlahan-lahan membuka pintu. Kelihatan pemeriksa tiket sedang memeriksa di koc di bahagian belakang, bermakna aku terlepas sekali lagi. Alhamdulillah.!

Selepas itu tiada lagi pemeriksaan dilakukan. Perjalanan diteruskan menuju ke utara. Bilangan penumpang kian berkurangan selepas keretapi berhenti di beberapa stesen utama. Namun sepanjang perjalanan malam itu, aku tidak dapat melelapkan mata, malah tiada rasa mengantuk memandangkan perasaan takut dan bersalah menghantui perasaan.

Sekitar jam 6.00 pagi, keretapi menghampiri daerah Butterworth. Tidak lama lagi aku akan mengakhiri perjalananku yang terasa amat panjang antara rasa lega dan bersalah...

Friday, February 5, 2010

Esok tanpa petrol...

Hidup kita kini mahu tidak mahu terlalu bergantung kepada teknologi. Dari sekecil-kecil teknologi seperti telefon bimbit, kereta, motosikal, sehinggalah yang sebesar-besar kapal terbang yang membawa manusia mengelilingi dunia. Namun, pernahkah anda membayangkan bagaimana agaknya jika tiba-tiba bekalan petrol dan bahanapi seluruh dunia kering esok hari. Tiada lagi bekalan minyak dari telaga-telaga pengeluar minyak di seluruh dunia untuk diproses di kilang penapisan. Dengan kata lain Allah mencabut nikmat minyak yang diberikan kepada manusia di seluruh dunia.

Bagi Negara yang biasanya mempunyai stok penimbal, ketika inilah stok penimbal memainkan peranannya. Negara yang mempunyai stok penimbal ini akan menjadi sangat berkuasa, dalam menentukan siapa yang boleh memperolehi bekalan minyak dari simpanan mereka dan siapa yang akan disingkirkan. Ketika inilah, harga minyak akan melambung naik melebihi harga emas tulen. Mungkin ada yang terpaksa membeli minyak dengan pertukaran emas.

Bagi yang tidak mendapat bekalan semula, bekalan petrol di stesyan minyak mungkin akan dapat bertahan dalam 2 atau 3 hari, paling lama seminggu. Simpanan petrol di kilang penapisan mungkin akan dapat bertahan selama 2 hingga 3 minggu sebelum bekalan benar-benar kering. Itupun dengan kawalan dan catuan.
Negara dengan stok penimbal pula mungkin mempunyai bekalan kepenggunaannya sehingga 6 bulan atau lebih sedikit. Namun mahu tidak mahu, bekalan akan kering dan habis.
Kes di Malaysia, kita mungkin masih mendapat bekalan sehingga sebulan sebelum stok benar-benar kering, itupun dengan catuan dan kawalan ketat kerajaan. Keutamaan diberikan untuk kegunaan ketenteraan dan pengangkutan bahan makanan dan kecemasan atau keperluan perubatan. Kepenggunaan peribadi adalah dilarang bagi melanjutkan simpanan selama mana yang boleh dengan harapan bekalan dari telaga baru akan menggantikan telaga yang telah kering.
Maka banyak akan kelihatan kereta-kereta mula tersadai di tepi jalan raya, mungkin juga di tengah-tengah jalanraya, tidak dapat bergerak tanpa bahan api. Harga makanan akan melambung tinggi disebabkan bekalan yang tidak mencukupi. Nilai wang akan merudum jauh sehinggakan harga seliter petrol mungkin mencapai ratusan malah mungkin mencapai ribuan ringgit. Begitu juga dengan makanan, yang harganya naik mencanak akibat permintaan tinggi manakala bekalan tidak mencukupi.

Bekalan elektrik akan terputus selepas 4 atau 5 hari disebabkan tiada lagi bahan bakar penjana elektrik, memandangkan kebanyakan bekalan elektrik di negara kita dijana menggunakan bahanapi diesel. Bagi kawasan yang mendapat bekalan elektrik melalui penjanaan elektrik-hydro agak bernasib baik kerana bekalan masih tidak terputus. Dengan terputusnya bekalan elektrik di kebanyakan tempat, maka kebanyakan manusia akan terputus hubungan. Masalah kebergantungan kepada teknologi muncul mendadak.
Kesan secara langsung akan lebih ketara di bandar-bandar besar, yang pesat membangun dek kerana penghuni-penghuninya yang terlalu bergantung kepada teknologi. Bateri HP mungkin akan hanya bertahan beberapa jam. Komputer yang digunakan untuk bekerja tidak berfungsi. Segala macam mesin tidak berguna ketika itu. Kenderaan tidak boleh bergerak kecuali beberapa kenderaan kepunyaan tentera dan kenderaan rasmi kerajaan yang dibekalkan bahan api yang sedikit bersisa.

Tiada lagi kesesakan jalanraya dipagi hari, kecuali kesesakan oleh kenderaan-kenderaan yang tersadai tiada bertuan lagi. Kita tidak boleh bergerak jauh dari kediaman, tidak dapat pergi bekerja. Wang di bank tidak dapat dikeluarkan memandangkan mesin ATM tidak berfungsi.
Langsung, apa yang harus kita lakukan. Rumah bergelap siang dan malam, tiada lagi TV, radio mahupun video game. Tiada lagi internet, blogging dan multimedia. Kebosanan? Pasti!
Apa yang lebih teruk dari itu adalah kehabisan simpanan makanan di rumah. Harga barangan runcit melambung oleh permintaan yang tinggi dengan bekalan yang terhad. Sedangkan wang tiada kerana mesin ATM tidak boleh berfungsi, bank terpaksa berfungsi secara manual. Ini meningkatkan kebarangkalian rompakan besar-besaran oleh manusia-manusia yang terdesak.
Bekalan makanan di depoh simpanan juga terpaksa dicatu. Keadaan menjadi huru hara dan akhirnya darurat diishtiharkan di seluruh negara. Tentera mengambil alih pemerintahan dengan perintah berkurung 24 jam. Sistem kenegaraan dan kuasa-kuasa besar akan runtuh sekelip mata. Senjata-senjata canggih kawalan komputer akan tersadai tidak mampu dioperasikan. Hanya senjata makanikal berfungsi mengawal keadaan. Kenderaan, mungkin kita terpaksa bertukar kepada basikal ataupun kuda bagi negara-negara yang mempunyai kawanan kuda yang banyak.

Keadaan di kampung-kampung pedalaman mungkin kurang merasakan kesan drastik kehilangan nikmat ini. Namun beransur-ansur terkesan oleh huru-hara yang merebak ke kawasan luar bandar. Ramai penghuni bandar akan bergerak ke kawasan kampung untuk perlindungan keselamatan masing-masing.
Ketika itu kita akan benar-benar menghargai alam semulajadi, pokok-pokok buah-buahan, tanaman, sayuran, binatang ternak dan lain-lain. Mungkin anak-anak moden yang sebelumnya hanya mengenal ayam goreng KFC akan mengenali pula ayam kampung yang hidup bebas di belukar di hujung kampung. Kita akan belajar mengenal sawah dan padi selain hanya beras dan nasi. Kerbau dan lembu serta kambing berbanding daging beku dan dalam tin.

Segalanya akan berubah, kali ini benar-benar berubah. Tidak mustahil orang kampung akan lebih selesa berbanding yang hidup di bandar. Mungkin pemandangan di bandar akan kelihatan seperti Semenanjung Gaza atau Bosnia Herzegovina. Kita akan merasa keperitan mereka-mereka yang pernah menderita kebuluran sama ada oleh akibat peperangan atau bencana alam. Tiada lagi gelak ketawa, yang ada hanya keluh kesah dan air mata. Anak-anak menangis kelaparan, tiada huburan, bakalan api dan air, malah mungkin tiada makanan.
Maka haruskah kita terus bergelak ketawa tanpa memikirkan hari mendatang? Haruskah kita berdiam diri, hanya melihat penderitaan manusia-manusia dan saudara-saudara lain yang dirundung malang tanpa sekelumit niat untuk membantu? Masihkah kita merasakan bahawa penderitaan sebegitu bukan untuk kita?
Berhati-hati dengan nikmat dan kurniaan Allah kerana itu hanya ujian dan pinjaman sementara...
Renung-renungkan...

Friday, January 15, 2010

Keretapi Tanah Melayu 1

Pertengahan Tahun 1990, menyaksikan aku yang mula melangkah ke matrikulasi USM di Sek. Tun Syed Sheh Shahabudin di Bukit Mertajam berulang alik dari selatan semenanjung ke utara dengan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu a.k.a. KTM.

Aku menaiki keretapi Sinaran Pagi dari bandar Kluang, sekitar jam 10 pagi. Memang jadualnya sebegitu. Ketika itu aku merasakan perjalanan dengan keretapi agak lama dan lambat, sehinggakan aku selalu merungut-rungut. Tapi apabila memikirkannya kini, aku bersyukur kerana jika kita merenung semula nostalgia perjalanan yang pernah aku hadapi, banyak perkara dan pengalaman yang boleh aku pelajari cuma.. ketika itu aku cuma anak muda yang serba tidak sabar, masih mentah dalam perjalanan kehidupan. Lantas, banyak perkara yang aku terlepas pandang.

Sepanjang perjalanan, kita boleh melihat barbagai-bagai gelagat manusia andai kita memerhati...

Kebanyakan penumpang yang menunggu di atas platform, segera bersedia apabila keretapi menghampiri stesyen. Masing-masing mencapai beg dan barangan peribadi lalu sebaik keretapi hampir berhenti, masing-masing menjengah kedalam gerabak melalui tingkap koc yang selalunya terbuka (maklumlah gerabak kelas 3 tiada air-cond). Mana-mana tempat duduk yang tiada penghuni, maka beg akan dicampak dahulu ke dalam koc sebagai tanda tempat telak di'book'.

Agak kasihan pada warga tua yang kadang-kadang terkial-kial menaiki gerabak penumpang dalam keadaan bersesak-sesak. Biasanya, aku tidak berjaya mendapatkan tempat duduk dengan cara mencampakkan beg. Jika kebetulan kurang penumpang, maka dapatlah aku tempat duduk, itu pun setelah berjalan dari satu gerabak ke satu gerabak. Jika ketika itu penumpang ramai, maka merasalah aku berdiri sepanjang perjalanan dari Kluang ke Kuala Lumpur, atau duduk di atas beg berhampiran pintu gerabak. Malah ada juga penumpang yang bergayut di pintu gerabak yang terbuka dek kerana gerabak yang penuh, mungkin selepas dua atau tiga stesen kemudian, baru dapat bergerak sedikit ke dalam gerabak. Tiba di Gemas, penumpang ke Pantai Timur akan bertukar keretapi, manakala keretapi sedia ada biasanya akan meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur. Tiba di Stesen Kuala Lumpur, biasanya pada jam 6.00 p.m. (8 jam perjalanan..) Penumpang masing-masing akan turun di Stesen Kuala Lumpur dan menunggu keretapi untuk perjalanan seterusnya. Ketika inilah aku akan bergegas ke kaunter tiket untuk membeli tiket bagi perjalanan ku seterusnya ke Bukit Mertajam.

Pernah aku menyuarakan pertanyaan di kaunter stesen di Stesen Keretapi Kluang...

"Kak, tiket ke Bukit Mertajam tak ada ke?"

"Tak ada lah dik, tiket ke Kuala Lumpur je.. Tiket ke Bukit Mertajam kena beli di Stesen Kuala Lumpur. Kalau keretapi express adalah, keretapi kelas 3 tak ada " beritahu kerani bertugas.

"Kenapa kak?"

"Takut keretapi penuh la dik sebab kena tukar kat Stesen KL. Kita tak tahu berapa ramai yang nak naik dari stesen KL tu" jelasnya.

Biasanya keretapi dari Kuala Lumpur ke utara akan bertolak jam 8.00 p.m. Jika ada tiket, maka dapatlah aku menaiki keretapi seterusnya, Senandung Malam. Kalau tidak, terpaksalah aku bermalam di Kuala Lumpur. Lebih menyukarkan, penumpang tidak dibenarkan tidur di dalam stesen. Kami diarahkan keluar dari stesen selepas jam 10.00 malam.

Maka aku yang tidak berjaya mendapat tiket ke utara, terpaksa duduk di luar stesen keretapi. Mula-mula memang tak risau sangat kerana masih ramai orang, terutamanya pemandu teksi. Tetapi lama kelamaan, orang semakin kurang kerana masing-masing telah pulang beradu, tinggal aku duduk seorang di luar stesen. Maka aku menggalas beg pakaianku, melangkah menuju ke pusat bandar Kuala Lumpur dalam sinaran neon malam yang gemerlapan.

Pertama kali pengalamanku berjalan seorang diri menyusuri jalan raya di Kuala Lumpur, dari satu jalan ke satu jalan dengan memikul beg pakaian yang tidak kurang bebanannya. Ketika itu terfikir jugak kemungkinan-kemungkinan di'pau' oleh mamat-mamat KL. Tapi alhamdulillah, aku selamat.

Aku terus menapak dan sesekali berhenti setelah penat, tidak tahu ke mana arah tujuanku, hanya mahu menghabiskan masa berbaki sebelum stesen keretapi di buka semula jam 6.00 pagi. Aku memastikan yang aku tahu arah perjalanan untuk kembali ke stesen, kalau tidak, tentu haru jadinya.

Jam 5.30 pagi, aku telah berpijak semula di kaki lima stesen, melepaskan lelah sambil menunggu pintu masuk di buka. Dengan kaki yang sengal dan kebas, badan yang sakit-sakit kepenatan akibat memikul beg, aku melangkah memasuki stesen, menuju ke tandas kemudian baru ke surau.

Jam 8.00 pagi, aku menaiki pula keretapi meneruskan perjalanan ke utara ke Bukit Mertajam (aku terlupa apa nama koc yang aku naiki menuju ke utara). Perjalanan siang hari menuju ke utara, akan memakan masa yang agak lama juga, jika benar ingatanku, stesen Bukit Mertajam aku jejaki sekitar jam 5 petang.

Ini bermakna, perjalananku ketika itu antara Kluang ke Bukit Mertajam dengan Keretapi Tanah Melayu memakan masa lebih 30 jam, dengan masa terkandas yang panjang di Kuala Lumpur di bawah sinaran neon kota Metropolitan....

Thursday, January 7, 2010

Siapakah kita

Kita digemparkan dengan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan The Herald, sebuah majalah berkenaan Kristianiti bagi menggunakan kalimah Allah menggantikan kalimah Tuhan / God dalam terbitannya yang berbahasa melayu. Susulan itu, berbagai-bagai pihak mengeluarkan pendapat masing-masing, daripada golongan agamawan, orang awam, juga orang-orang bukan Islam. Ada yang menyokong dan ada juga yang menentang. Dalam berfikir antara yang tersurat dan tersirat, kebanyakan ulasan ustaz-ustaz dan golongan agamawan lebih kepada kerisauan tentang kemungkinan-kemungkinan yang tersirat di sebalik isu dan agenda seterusnya.

Sebagai makhluk, kita hanya boleh berikhtiar dan cuba merancang kerana itu yang diizinkan Allah manakala perancangan sebenarnya hanyalah milik Allah. Setiap apa yang berlaku sama ada yang tersirat mahupun yang tersurat adalah dalam Pengetahuan dan Perancangan Allah. Sebagai makhluk yang diberi akal fikiran, kita disuruh berfikir antara asbab dan akibat, usaha dan takdir. Usaha manusia hanyalah ikhtiar yang diberikan Allah sedang hakikat ikhtiar itu sendiri tiada sebarang kata penentu melainkan apa yang diizinkan Allah.

Seluruh alam ini adalah makhluk Allah yang bersifat sementara. Setiap makhluk Allah dijadikan tanpa sia-sia, bahkan ulat di dalam batu, segala zarah dan atom sentiasa berzikir kepadaNya setiap detik dan masa. Malah batang tubuh kita sendiri tidak pernah derhaka kepada penciptanya. Hanya makhluk yang bernama manusia dan jin ini yang seringkali lalai dan leka.

Namun, pernahkah kita berfikir sejenak dalam kotak fikiran, siapakah kita yang dinamakan manusia ini. Beberapa komponen asas yang membentuk manusia antaranya: jasad, akal, ruh, hati, nafsu. Jika hilang salah satu komponen ini, kita mungkin tidak lagi dipanggil manusia. Lantas bagaimana pula dengan jiwa?

Bagaimanakah pertanggungjawaban di akhirat nanti. Adakah hanya ruh yang bertanggungjawab atas segala dosa dan perbuatan. Adakah jasad juga dipertanggungjawabkan? Bagaimana dengan hati? Nafsu? Ulamak bercanggahan pendapat tentang perkara ini. Dah Allah juga berfirman melalui Kekasihnya Muhammad s.a.w. bahawasanya persoalan ruh adalah dalam pengetahuan Allah semata.

Namun manusia diberi peluang dan petunjuk dalam kita menjalani ujian kehidupan di atas muka bumi ini. Itulah dua kalimah syahadah: penyaksian tauhid atau akidah dan penyaksian syariat.

aku bersaksi tiada tuhan melainkan Allah,

dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah

Itulah penyaksian syahadah bagi umat akhir zaman, umat Nabi Muhammad s.a.w. Namun siapakah yang sebenarnya memberikan penyaksian ini. Kitakah? Bukan. Kalimah ini adalah ucapan penyaksian Nabi Muhammad s.a.w. terhadap keesaan Allah s.w.t. dan pengiktirafan Allah tarhadap Muhammad sebagai pesuruhNya serta penyaksian para malaikat sewaktu peristiwa Mikraj Nabi Muhammad ke langit bagi menerima amanah ibadat solat yang wajib didirikan olah hamba-hamba Allah.

Dan ucapan penyaksian ini Allah rakamkan di dalam solat yang wajib dibaca dalam tahiyat. Lalu masihkah kita bermegah dengan sedikit kurniaan yang Allah pinjamkan kepada kita sebagai ujian...

Siapakah kita untuk menafikannya?

Saturday, January 2, 2010

Beg Plastik

Hari ini 02.01.2010, Sabtu...
Aku mengunjungi Carrefour (betul ke ejaan nih.... entahlah..) seawal waktu pembukaannya. Tiada apa yang luar biasa, cuma satu notis bersebelahan pintu masuk utama menarik perhatianku.
'Hari tanpa beg plastik'

Tak apelah, mungkin Carrefour terlibat dengan kempen alam sekitar yang menghadkan penggunaan beg plastik sewaktu membeli belah menjelang tahun baru 2010. Yang tak sedapnya... Carrefour charge 10 sen untuk setiap beg plastik yang kita minta untuk mengisi barang yang dibeli. Nampaknya, taktik Carrefour bukan saja untuk 'menyelamatkan dunia' tetapi juga dalam masa yang sama 'menyelamatkan poket mereka...' ops... bukan menyelamatkan poket... tapi tambah mengembungkan poket taukeh-taukeh mereka....

Manakan tidak, pada hari-hari lain, mereka langsung tidak membenarkan pengunjung dan pembeli untuk membawa beg masuk ke dalam premis mereka. Malah botol susu yang sedang di hisap oleh anak-anak pun di 'tag/tanda' perkataan carrefour... takut sangat orang ramai mencuri botol di dalam Carrefour lalu buat susu untuk anak-anak mereka... rasa nak tergelak pulak...

Tiba-tiba mereka nak buat kempen 'tanpa beg plastik'. Dah tu pula, nak charge pengguna yang minta beg plastik. Bayangkan... berapa ramai pelanggan yang tidak sedar akan kempen mereka itu, akan akhirnya terperangkap membayar lebih untuk menggunakan beg plastik...

Bijak sungguh mereka berniagakan.... tang mana boleh buat untung, mereka akan balun, tak kira apa kesannya pada pengguna setia mereka.

Sebagai pengguna, pandai-pandailah kita menjalankan 'hak' kita.... kalau tak mahu di 'telan'...