Wednesday, February 17, 2010

Keretapi Tanah Melayu 2

“Tolong.. caya...!! dua taun...” antara kalimat-kalimat yang dihamburkan adik Danish Iman sambil mengekek membuatkan kami sekeluarga tergelak sakan apabila dia bergomol dengan kakaknya atau dengan ayahnya (akulah tu). Memang seronok bermain dengan anak kecil seusia Danish Iman kerana keletah dan ragam mereka yang menghiburkan orang dewasa seperti kita.

Pada usia begini, sememangnya kanak-kanak akan melakukan pelbagai eksperimen dalam aktiviti harian mereka. Segalanya mahu dicuba, dari yang mudah hinggalah yang menyebabkan kita yang dewasa mengurut dada kerisauan. Malah kadang kala runtuh juga tembok kesabaran emak dan ayahnya.

“Ayah! Ketetapi!! Tuu... ketetapi!!”

“Iyee.. keretapi lah...” aku cuba membetulkan.

“Ketetapi...”

Begitulah biasanya telatah Muhammad Danish Iman yang baru belajar bercakap pelat apabila usianya melepasi 2 tahun, apabila terlihat gambar atau mainan, atau objek keretapi. Entah kenapa keretapi begitu bermakna bagi dirinya.

Bagiku juga, keretapi mempunyai nostalgia tersendiri. Sewaktu tempoh pembelajaranku di peringkat tinggi, keretapi merupakan pengangkutan rasmi yang menghubungkanku antara tanah kelahiran dengan bumi tempat menimba ilmu.

Keretapi Tanah Melayu (KTM), antara perkhidmatan awam yang masih mengekalkan perkataan ‘Melayu’, selain Rejimen Askar Melayu Diraja. Kebanyakan perkhidmatan awam lain apatah lagi badan swasta, kebanyakannya menggunakan perkataan atau pengenalan yang ‘lebih orang putih dari orang putih, lebih Inggeris dari orang Inggeris sendiri’. Sehinggakan kadang kala kita pun tidak tahu terjemahannya di dalam bahasa melayu dek kerana biasa menuturkannya dalam bahasa inggeris.

Perjalanan dengan gerabak KTM biasanya akan menyelusuri desa, ladang dan hutan rimba sesekali berhenti di stesen di pekan dan pinggir bandar. Perjalanan yang biasanya terasa lambat dan membosankan.

Aku menaiki keretapi Sinaran Pagi di stesen Kluang, melalui perjalanan jauh menuju kota Kuala Lumpur. Tiba di Stesen Kuala Lumpur jam 6.00 petang. Seperti kebiasaannya, aku akan bergegas ke kaunter tiket untuk membeli tiket keretapi menuju ke Butterworth yang akan bertolak jam 8.00 malam.

Kejadian berulang bila mana tiket ke utara kehabisan. Aku mula menggaru kepala yang tidak gatal, memikir-mikir bagaimana untuk aku mengharungi malam ini. Jika dulu, aku melayani malam dengan langkah-langkah perlahan menjelajahi wajah malam ibu kota Kuala Lumpur, mungkinkah aku akan mengulanginya lagi. Fikiranku bercelaru.

Selepas solat maghrib, aku masih duduk termenung di bangku di atas platform, melihat pelbagai kerenah para pengunjung yang menunggu kehadiran gerabak atau koc yang akan membawa mereka ke destinasi. Di hadapanku, tersergam koc KTM Express Senandung Malam menuju ke utara, destinasi yang kutuju.

Menghampiri jam 8.00, kelihatan manusia-manusia mula memasuki gerabak penumpang sesuai dengan tiket yang dibeli. Aku yang tidak mempunyai tiket, kian resah, cuba mengira-ngira apakah langkah yang harus aku ambil. Terasa malas untuk sekali lagi mengharungi malam-malam berjalan sendiri di kota besar Kuala Lumpur, walau nampak indah dihiasi neon malam, namun siapa tahu wajah buruk di sebalik kegelapan lorong-lorong sunyi yang berselang seli dengan kerlipan neon menerangi jalan. Jika dahulu, aku terselamat dari sebarang perkara tidak diingini, namun pengulangan ini adakah aku akan masih bernasib baik seperti dulu?

Pritt..!!!

Bunyi wisel petugas platform menyedarkan aku dari kebuntuan. Entah dari mana datangnya kudrat, aku bingkas bangun dan melangkah pantas melalui pintu gerabak memasuki koc penumpang dengan beg besar tergalas di bahu. Aku nekad untuk meneruskan perjalanan walaupun tanpa tiket!!

Beberapa detik kemudian, gerabak mula meluncur perlahan di atas landasan. Semakin lama semakin laju. Aku bergerak antara kerusi penumpang mencari-cari kalau-kalau ada kerusi yang masih kosong. Tiada.

Tidak berputus asa, aku bergerak pula ke koc seterusnya. Tanpa mempedulikan penumpang lain, aku terus mencari-cari sehingga akhirnya menemui kerusi yang masih kosong.

‘Barangkali tiada orang di tempat ini’

Seorang lelaki sedikit berusia bersebalahan tingkap kelihatan termenung memandang keluar tingkap, tanpa mengendahkan aku yang tercegat disitu. Aku meletakkan beg di bahagian meletak barang dan perlahan-lahan duduk di situ tanpa berkata sepatahpun. Aku cuba berehat, namun kerisauan melanda, maklumlah orang bersalah.

Beberapa detik berlalu, apabila tiba-tiba aku menyedari kehadiran pemeriksa tiket memasuki koc tempat aku berada. Aku menunggu beberapa detik sebelum perlahan-lahan bangkit lalu bergerak melintasi peperiksa tiket dengan dada berdebar-debar. Tujuanku untuk ke kawasan koc dimana telah dilakukan pemeriksaan.

Alhamdulillah, dia tidak bertanyakan tiketku. Aku menarik nafas lega dan berlalu, tempat tujuanku, tandas di hujung gerabak. Untuk seketika aku termenung disitu, berkira-kira dan merancang tindakan seterusnya. Lantas aku memutuskan untuk bergerak ke cafe keretapi manakala beg pakaian kubiarkan ditempatnya.

Di cafe kelihatan beberapa penumpang sedang menikmati minuman. Aku memesan teh-o, minuman paling murah selain air kosong dan air suam. Almaklum, kerana harga makanan dan minuman di cafe agak mahal. Sebab itu apabila terdapat beberapa peniaga bergerak menjual makanan dan minuman di dalam koc, permintaannya memang tinggi sebab agak murah dan berbaloi-baloi, kata orang sekarang.

Sambil menghirup teh-o panas, aku cuba berbual-bual dengan seorang pakcik yang mungkin seusia ayahku. Kami berbual agak rancak, sambil sesekali mataku meliar melihat-lihat kalau-kalau ada pemeriksa tiket memasuki cafe berkenaan. Berdasarkan pengalamanku yang lalu, pemeriksaan tiket dilakukan dua atau tiga kali sepanjang perjalanan.

Selesai menghirup titisan teh-o terakhir, aku melihat jam mengagak-agak waktu peperiksaan seterusnya. Dari celah pintu kaca yang menghubungkan antara gerabak, kelihatan pemeriksa tiket sedang menjalankan tugasnya.

Aku meminta diri dari pakcik teman berbualku, lalu bergerak ke arah belakang gerabak. Aku menyembunyikan diri di dalam tandas gerabak, fikiranku ligat merancang pilihan-pilihan yang ada yang boleh aku lakukan. Bagaimana kalau pemeriksa tiket mengetuk pintu tandas meminta menunjukkan tiket?

Aku menunggu beberapa lama dalam debaran. Tiada ketukan di pintu. Aku menunggu lagi beberapa ketika sebelum perlahan-lahan membuka pintu. Kelihatan pemeriksa tiket sedang memeriksa di koc di bahagian belakang, bermakna aku terlepas sekali lagi. Alhamdulillah.!

Selepas itu tiada lagi pemeriksaan dilakukan. Perjalanan diteruskan menuju ke utara. Bilangan penumpang kian berkurangan selepas keretapi berhenti di beberapa stesen utama. Namun sepanjang perjalanan malam itu, aku tidak dapat melelapkan mata, malah tiada rasa mengantuk memandangkan perasaan takut dan bersalah menghantui perasaan.

Sekitar jam 6.00 pagi, keretapi menghampiri daerah Butterworth. Tidak lama lagi aku akan mengakhiri perjalananku yang terasa amat panjang antara rasa lega dan bersalah...

Friday, February 5, 2010

Esok tanpa petrol...

Hidup kita kini mahu tidak mahu terlalu bergantung kepada teknologi. Dari sekecil-kecil teknologi seperti telefon bimbit, kereta, motosikal, sehinggalah yang sebesar-besar kapal terbang yang membawa manusia mengelilingi dunia. Namun, pernahkah anda membayangkan bagaimana agaknya jika tiba-tiba bekalan petrol dan bahanapi seluruh dunia kering esok hari. Tiada lagi bekalan minyak dari telaga-telaga pengeluar minyak di seluruh dunia untuk diproses di kilang penapisan. Dengan kata lain Allah mencabut nikmat minyak yang diberikan kepada manusia di seluruh dunia.

Bagi Negara yang biasanya mempunyai stok penimbal, ketika inilah stok penimbal memainkan peranannya. Negara yang mempunyai stok penimbal ini akan menjadi sangat berkuasa, dalam menentukan siapa yang boleh memperolehi bekalan minyak dari simpanan mereka dan siapa yang akan disingkirkan. Ketika inilah, harga minyak akan melambung naik melebihi harga emas tulen. Mungkin ada yang terpaksa membeli minyak dengan pertukaran emas.

Bagi yang tidak mendapat bekalan semula, bekalan petrol di stesyan minyak mungkin akan dapat bertahan dalam 2 atau 3 hari, paling lama seminggu. Simpanan petrol di kilang penapisan mungkin akan dapat bertahan selama 2 hingga 3 minggu sebelum bekalan benar-benar kering. Itupun dengan kawalan dan catuan.
Negara dengan stok penimbal pula mungkin mempunyai bekalan kepenggunaannya sehingga 6 bulan atau lebih sedikit. Namun mahu tidak mahu, bekalan akan kering dan habis.
Kes di Malaysia, kita mungkin masih mendapat bekalan sehingga sebulan sebelum stok benar-benar kering, itupun dengan catuan dan kawalan ketat kerajaan. Keutamaan diberikan untuk kegunaan ketenteraan dan pengangkutan bahan makanan dan kecemasan atau keperluan perubatan. Kepenggunaan peribadi adalah dilarang bagi melanjutkan simpanan selama mana yang boleh dengan harapan bekalan dari telaga baru akan menggantikan telaga yang telah kering.
Maka banyak akan kelihatan kereta-kereta mula tersadai di tepi jalan raya, mungkin juga di tengah-tengah jalanraya, tidak dapat bergerak tanpa bahan api. Harga makanan akan melambung tinggi disebabkan bekalan yang tidak mencukupi. Nilai wang akan merudum jauh sehinggakan harga seliter petrol mungkin mencapai ratusan malah mungkin mencapai ribuan ringgit. Begitu juga dengan makanan, yang harganya naik mencanak akibat permintaan tinggi manakala bekalan tidak mencukupi.

Bekalan elektrik akan terputus selepas 4 atau 5 hari disebabkan tiada lagi bahan bakar penjana elektrik, memandangkan kebanyakan bekalan elektrik di negara kita dijana menggunakan bahanapi diesel. Bagi kawasan yang mendapat bekalan elektrik melalui penjanaan elektrik-hydro agak bernasib baik kerana bekalan masih tidak terputus. Dengan terputusnya bekalan elektrik di kebanyakan tempat, maka kebanyakan manusia akan terputus hubungan. Masalah kebergantungan kepada teknologi muncul mendadak.
Kesan secara langsung akan lebih ketara di bandar-bandar besar, yang pesat membangun dek kerana penghuni-penghuninya yang terlalu bergantung kepada teknologi. Bateri HP mungkin akan hanya bertahan beberapa jam. Komputer yang digunakan untuk bekerja tidak berfungsi. Segala macam mesin tidak berguna ketika itu. Kenderaan tidak boleh bergerak kecuali beberapa kenderaan kepunyaan tentera dan kenderaan rasmi kerajaan yang dibekalkan bahan api yang sedikit bersisa.

Tiada lagi kesesakan jalanraya dipagi hari, kecuali kesesakan oleh kenderaan-kenderaan yang tersadai tiada bertuan lagi. Kita tidak boleh bergerak jauh dari kediaman, tidak dapat pergi bekerja. Wang di bank tidak dapat dikeluarkan memandangkan mesin ATM tidak berfungsi.
Langsung, apa yang harus kita lakukan. Rumah bergelap siang dan malam, tiada lagi TV, radio mahupun video game. Tiada lagi internet, blogging dan multimedia. Kebosanan? Pasti!
Apa yang lebih teruk dari itu adalah kehabisan simpanan makanan di rumah. Harga barangan runcit melambung oleh permintaan yang tinggi dengan bekalan yang terhad. Sedangkan wang tiada kerana mesin ATM tidak boleh berfungsi, bank terpaksa berfungsi secara manual. Ini meningkatkan kebarangkalian rompakan besar-besaran oleh manusia-manusia yang terdesak.
Bekalan makanan di depoh simpanan juga terpaksa dicatu. Keadaan menjadi huru hara dan akhirnya darurat diishtiharkan di seluruh negara. Tentera mengambil alih pemerintahan dengan perintah berkurung 24 jam. Sistem kenegaraan dan kuasa-kuasa besar akan runtuh sekelip mata. Senjata-senjata canggih kawalan komputer akan tersadai tidak mampu dioperasikan. Hanya senjata makanikal berfungsi mengawal keadaan. Kenderaan, mungkin kita terpaksa bertukar kepada basikal ataupun kuda bagi negara-negara yang mempunyai kawanan kuda yang banyak.

Keadaan di kampung-kampung pedalaman mungkin kurang merasakan kesan drastik kehilangan nikmat ini. Namun beransur-ansur terkesan oleh huru-hara yang merebak ke kawasan luar bandar. Ramai penghuni bandar akan bergerak ke kawasan kampung untuk perlindungan keselamatan masing-masing.
Ketika itu kita akan benar-benar menghargai alam semulajadi, pokok-pokok buah-buahan, tanaman, sayuran, binatang ternak dan lain-lain. Mungkin anak-anak moden yang sebelumnya hanya mengenal ayam goreng KFC akan mengenali pula ayam kampung yang hidup bebas di belukar di hujung kampung. Kita akan belajar mengenal sawah dan padi selain hanya beras dan nasi. Kerbau dan lembu serta kambing berbanding daging beku dan dalam tin.

Segalanya akan berubah, kali ini benar-benar berubah. Tidak mustahil orang kampung akan lebih selesa berbanding yang hidup di bandar. Mungkin pemandangan di bandar akan kelihatan seperti Semenanjung Gaza atau Bosnia Herzegovina. Kita akan merasa keperitan mereka-mereka yang pernah menderita kebuluran sama ada oleh akibat peperangan atau bencana alam. Tiada lagi gelak ketawa, yang ada hanya keluh kesah dan air mata. Anak-anak menangis kelaparan, tiada huburan, bakalan api dan air, malah mungkin tiada makanan.
Maka haruskah kita terus bergelak ketawa tanpa memikirkan hari mendatang? Haruskah kita berdiam diri, hanya melihat penderitaan manusia-manusia dan saudara-saudara lain yang dirundung malang tanpa sekelumit niat untuk membantu? Masihkah kita merasakan bahawa penderitaan sebegitu bukan untuk kita?
Berhati-hati dengan nikmat dan kurniaan Allah kerana itu hanya ujian dan pinjaman sementara...
Renung-renungkan...