Monday, August 29, 2011

29 Ramadhan 1432H

Assalamualaikum.

Hari ini 29 Ramadhan 1432H, kemungkinan besar hari terakhir berpuasa pada Ramadhan kali ini memandangkan esok mungkin umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Idilfitri.

Solat terawih malam tadi, masih berjalan seperti biasa walaupun bilangan jemaah semakin kurang. Pada 8 rakaat pertama, ada lah 1 1/2 saf. Apabila tiba rakaat kesembilan dan ke atas, yang tinggal hanya 1/2 saf sahaja. Mungkin ramai yang dah memulakan perjalanan balik ke kampung untuk menyambut Hari Raya Idilfitri bersama keluarga dan sanak saudara di kampung. Itu merupakan rutin anak-anak perantau.

Berkumpul beramai-ramai bersama kaum keluarga sememangnya meriah dan menyeronokkan. Saling bertanya khabar antara mereka. Bersama-sama bergotong royong membuat ketupat dan rendang sebagai persediaan menyambut raya. Selain kanak-kanak, warga tua antara yang paling gembira apabila melihatkan anak-anak dan cucu-cucu masing-masing muncul satu persatu di depan mata. Itu antara keunikan Malaysia, tanah airku ini, budaya 'Balik Kampung' untuk masyarakat Melayu Malaysia. Tidak pasti adakah masyarakat Cina dan India juga mempraktikkan budaya sebegini, mungkin ada sebahagiannya, namun tidak sehebat masyarakat Melayu. 

Pada Hari Raya, masyarakat Melayu akan saling ziarah menziarahi antara kaum keluarga dan kenalan di kampung, demi mengeratkan silaturrahim sesama mereka. Ini sememangnya adat yang baik, namun sekarang ini, semangat ziarah semakin pudar. Anak-anak muda lebih suka melepak sesama mereka, merancang aktiviti. Ataupun terdapat mereka yang lebih suka duduk di hadapan peti TV, menyaksikan rancangan hiburan hidangan Astro.

'Hiburan', ini satu lagi penyakit yang melanda masyarakat Malaysia, terutamanya masyarakat Melayu. Kita terlalu dihidangkan dengan hiburan, yang kadang-kadang begitu melalaikan, sehingga terlupa apa yang kita pelajari di dalam madrasah Ramadhan.

Apa yang diperhatikan, persediaan kita dalam menyambut Hari Raya Idilfitri, lebih gah dan hebat berbanding persediaan kita semasa menyambut Ramadhan dulu. Jika ada antara kita yang mengeluh dengan kedatangan Ramadhan, ramai antara kita yang lebih gembira dalam menyambut Syawal, seolah-oleh Ramadhan itu membebankan, manakala Syawal memberi kelegaan kepada kita.

Hidup kita begitu terhijab oleh dunia. Hati-hati kita begitu diselaputi oleh kenikmatan dunia yang sebentar cuma, hingga kita terlupa dan lalai melakukan persediaan sesuatu yang pasti untuk kita, iaitu 'mati'.

Semoga madrasah Ramadhan memberikan sedikit cahaya dalam menyuluh hati kita menuju kebenaran yang sering kita abaikan, kerana manusia itu sifatnya 'pelupa' dan 'lalai'.

Wassallam.


Tuesday, August 23, 2011

Hormat kepada Allah

Assalamualaikum,

Catatan ini adalah dari kuliah yang di sampaikan di Masjid Tengku Kelana Jaya pada Jumaat, 19 Ogos 2011. Isi kuliah membincangkan perkara semasa. Ustaz mengingatkan Jemaah tentang rasa hormat dan takut yang sepatutnya ada dalam diri kita, sebagai seorang hamba dan makhluk Allah. Jika kita boleh mengikut protokol dan tatacara semasa berurusan dengan pemimpin, contohnya, masjid juga ada protokol yang perlu dijaga dan dituruti. 

Namun kebanyakan dari kita lebih hormat kepada sesama manusia berbanding hormat dan tunduk kepada Allah. Contohnya:
  • Apabila dipanggil oleh ketua jabatan, kita bersegera bergegas menemuinya. Namun apabila muazin menyeru untuk mengerjakan solat, mengadap Allah, kita lebih suka bertangguh sehingga akhir waktu, baru nak mengerjakan solat, seolah-olah 'panggilan' Allah tidak penting kepada kita.
  • Ketika kita mengadap pemimpin, biasanya kita akan mengenakan pakaian yang terbaik dan cantik yang kita ada, kita akan sentiasa 'alert' dan tidak leka dan lalai yang memungkin kita melanggar protokol. Sebaliknya sewaktu mengadap Allah s.w.t. tidak kurang dari kita yang datang secara malas dan terpaksa, hanya memakai secara ala-kadar dan ada yang hanya sekadar menutup aurat yang wajib sahaja, tidak berbaju (bagi lelaki) dan sebagainya. Sedangkan ketika itu kita sedang mengadap kepada 'Yang Maha Agung', pemilik sekelian alam serta diri kita.  
  • Di dalam masjid, masih ramai antara makmum yang bermain sms, FB, twitter dsb di telefon bimbit, walaupun sewaktu khatib sedang berkhutbah (sebahagiannya). Ini menggambarkan betapa tidak hormatnya kita kepada Allah, tuan punya alam ini.
  • Ada makmum yang tidak mematikan telefon bimbit atau 'silent mode'. Ini mengganggu jemaah lain apabila ada panggilan masuk, menjadikan kita tidak khusyuk.
  • Kita seharusnya berusaha untuk khusyuk di dalam solat dan semasa berdoa memohon hajat kepada Allah s.w.t. Rasa hormat kepada Allah dan sifat kehambaan seharusnya ada ketika berdoa, memohon hajat kepada Allah s.w.t.
  • Doa yang paling baik adalah petikan dari ayat Al-Quran. Namun, doa harus difahami, kerana ianya adalah komunikasi antara hamba dengan Allah s.w.t. Sebolehnya, doa biarlah spesifik, dan kita memahami apa yang kita minta. berdoalah dengan perasaan mengharap kepada Allah s.w.t, bukan kepada yg lain.
Penghalang doa mustajab.
  • Gopoh dalam berdoa. Atau berputus asa dalam berdoa.
  • Makan dan minuman yang haram. haram bermaksud dari segi fizikal cth: babi haram dimakan. Haram juga dari segi maknawi, cth makan dari hasil yang haram
Waktu doa paling mustajab terutama di dalam bulan Ramadhan adalah sewaktu bersahur, dan juga waktu sebelum berbuka.

Semoga bermanfaat. Wassallam


Wednesday, August 17, 2011

Kuliah Subuh: 17 Ramadhan 4132H

Assalamualaikum w.b.t.

Selamat menjalani ibadah puasa. Hari ini cuti sempena nuzul - Quran, 17 Ramadhan 1432H. Di Masjid Jamiul Hasaniah, Rantau Panjang, Klang, kuliah subuh disampaikan oleh Dr. Hj. Habib B Hj Maksom, pensyarah  di  UPSI, Tg Malim.

Tajuk kuliah: Bagaimana meningkatkan Amalam Takwa menerusi Madrasah Ramadhan.

Takwa adalah antara pakaian iman. Syaidina Umar r.a. pernah menyatakan bahawa Takwa itu seumpama ketika kita berjalan di laluan berduri, kita akan melangkah dengan berhati-hati supaya kaki tidak terpijak duri, begitulah kita ketika hidup di dunia ini, harus sentiasa beringat dan berhati-hati agar hati kita tidak tertusuk 'duri' dunia yang 'menyakitkan'.
  • Cth: ketika berpuasa, kita mesti berhati-hati atas segala tindak tanduk kita, agar ianya tidak menjadi sia-sia, kerana banyak perkara yang boleh membatalkan pahala puasa andai kita lalai seperti melihat dengan syahwat, mengumpat, berbohong dan sebagainya.
  • Seandainya masyarakat di suatu kawasan itu bertakwa dan beriman, maka Allah akan menurunkan RahmatNya kepada mereka. Masyarakat akan dapat hidup dengan aman dan tenteram. Tiada lagi kecurian, remaja akan lebih bermoral dsb.
  • Surah Al-Baqarah (Ayat 2) membawa maksud Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; menjadi petunjuk orang-orang yang bertakwa. Bermakna, untuk mendapat petunjuk dari Al-Quran, kita haruslah menjadi orang yang bertakwa. 
Antara ciri-ciri takwa adalah:
  • Beriman dengan yang ghaib: Allah, malaikat, syurga, neraka, dosa, pahala dan banyak lagi.
  • Mengerjakan solat dengan taat dan khusyuk. Beristighfar setiap kali selepas solat, memohon ampun kepada Allah s.w.t. kerana manusia tidak terlepas dari melakukan dosa.
  • Menginfakkan sebahagian harta yang Allah pinjamkan kepada kita kepada jalan Allah. 
  • Beribadah kepada Allah s.w.t. dengan 2 perasaan: perasaan takut dan harap
  • Sentiasa bersangka baik dengan Allah s.w.t. 
Hati yang 'keras' adalah hati yang sakit. Sakit itu disebabkan oleh telah diselimuti tompok-tompok hitam, akibat dosa-dosa yang kita lakukan. Maka agak sukar untuk mendapatkan takwa apabila hati keras dan sakit Untuk berusaha menambahkan takwa di dalam hati kita, sucikan dan lembutkan hati. Untuk itu dianjurkan:
  • Banyakkan membaca Al-Quran untuk melembutkan hati;
  • Jika hati masih keras, dengar orang lain membaca Al-Quran;
  • Jika hati masih keras, datang ke majlis ilmu di mana pengertian dan terjemahan Al-Quran diperdengarkan;
  • Jika hati masih keras, mohon kepada Allah semoga Dia memberikan hati yang 'baru' kerana hati itu telah rosak. 
Dunia ini hanyalah tempat persinggahan sementara dalam perjalanan hidup kita yang panjang menuju akhirat. Namun banyak manusia yang tertipu dan terlena oleh dunia, sehinggalah apabila nyawa diragut, maka ketika itu terangkatlah hijab dunia dan terserlahlah perdaya dunia yang sia-sia. Harta dan keluarga adalah antara tipudaya besar dunia yang kebanyakannya membelenggu manusia. Sehinggakan, ada manusia yang masih ingin menggenggam dunia (harta dan anak-anak) walaupun nyawa sudah sampai ke kerongkong.

Selain itu, antara pesanan ustaz dalam pendidikan anak-anak dan perkongsian yang dapat diringkaskan:
  • Rajin-rajinlah mendatangi majlis ilmu dalam bulan Ramadhan ini kerana setiap langkah kaki ke majlis ilmu dalam bulan Ramadhan ini sama nilainya dengan setahun ibadah.
  • Didiklah anak-anak menjadi anak yang soleh dan solehah; didik anak dengan sentuhan kasih sayang supaya anak 'terikat' dengan ibu dan bapanya, dan tidak tumbuh meliar.
  • Didiklah diri sendiri menjadi anak soleh yang mendoakan kedua ibu bapa kita, semoga dengan itu anak-anak akan mengikut jejak langkah kita.
  • Didiklah anak-anak perempuan kita dengan ilmu menguruskan rumahtangga dengan sebaik mungkin agar bakal suami mereka kelak tidak akan menyesal berkahwin dengan mereka.
  • Selalu mendoakan anak-anak dengan doa yang baik-baik.
Sekian. Semoga perkongsian ini membawa manfaat untuk semua, insya-Allah.

  

Friday, August 12, 2011

Mengharap rahmat Allah s.w.t.

Assalamualaikum,

Kuliah Subuh 12 Ramadhan 1432H @ 12 Ogos 2011.

Pagi ini, selepas solat subuh berjemaah, tuan imam memberikan sedikit tazkirah ringkas. Isi kandungan tazkirah berkisar tentang kehidupan manusia di dunia dan selepas mati. Antara rumusan tazkirah berkenaan seperti berikut.
  • Mambaca surah as-sajadah di dalam solat subuh pada pagi Jumaat adalah salah satu sunnah Rasulullah s.a.w. Ia membawa maksud rasa kesyukuran yang harus kita terjemahkan apabila mendapat nikmat pemberian Allah s.w.t.
  • Nikmat yang Allah s.w.t. kurniakan kepada kita dan makhlukNya di sekelian alam ini (terdapat berbagai-bagai alam yang sedang sama-sama wujud dengan alam kita ini) amatlah banyak, sehinggakan jika segala pokok-pokok dijadikan pena dan air laut menjadi dakwatnya untuk menulis dan menghitung nikmat Allah, masih tidak akan dapat tertulis kesemua nikmat Allah s.w.t. Sebagai makhlukNya, kita tidak punya apa-apa walaupun diri kita sendiri, kerana segalanya milik Allah s.w.t. 
  • Amalan kebaikan dan ibadat yang dilakukan oleh anak adam tidak menjamin seseorang itu masuk ke syurga Allah s.w.t. Dikisahkan di mana seorang hamba ditanya oleh Allah s.w.t. di akhirat kelak, adakah ia ingin masuk ke syurga Allah s.w.t. dengan amalannya atau dengan rahmat Allah s.w.t. merasakan yang dia telah banyak melakukan ibadat, maka sang hamba menyatakan supaya dimasukkan dia ke dalam syurga Allah dengan amalannya. Maka sang hamba telah dicampakkan ke dalam neraka, kerana amalannya semasa di dunia tidak sedikitpun dapat membayar nikmat sebiji mata yang Allah s.w.t. kurniakan semasa hayatnya di dunia.   
  • Amalan yang dilakukan anak adam, adalah menifestasi penghambaan dan ketaatannya kepada Allah s.w.t. Allah tidak mengharap sedikitpun akan amalan kita, malah kita sebagai makhlukNya yang mengharap supaya amalan kita diterima Allah dan Allah redha kepada kita. Kita mengharap Allah akan memberikan rahmatNya kepada kita, insya-Allah.
Semoga apa yang tercatat ini akan memberi faedah dan peringatan kepada kita bersama kerana sebagai manusia kita selalu alpa dan lalai.

'berilah peringatan walaupun dengan sepotong ayat'

Wassallam.


Thursday, August 11, 2011

Hikmah bersahur

Assalamualaikum,

Berikut adalah petikan atau rumusan dari kuliah zuhor yang diadakan di surau Persada PLUS semalam, 10 Ramadhan 1432H (10 ogos 2011).

Kuliah berkisar tentang hikmah-hikmah dalam bulan Ramadhan, dan kali ini ditekankan berkenaan hikmah bangun sahur. Bangun sahur bermakna bangun pada waktu sebelum subuh, dan makan sedikit makanan sebagai syarat bersahur. Hukum bersahur adalah sunat muakkad, iaitu kurang sedikit daripada wajib. Ini bermakna Allah s.w.t. sangat menggalakkan umat Islam untuk bangun bersahur sebelum menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadhan. Ianya juga adalah untuk membezakan antara puasa umat Islam dengan puasa umat Nasrani, yang tidak ada bangun sahur.

Sepanjang bulan Ramadhan, umat Islam digalakkan untuk bangun sahur. Ini adalah sebagai latihan kepada Muslim, supaya membiasakan bangun awal sebelum subuh, tujuannya adalah menggalakkan umat Islam bangun bertahajud pada akhir malam, mengadap Allah s.w.t. Tahajud ini penting bagi menguatkan rohani manusia.

Manusia seecara amnya mempunya 3 komponen asas:
  • Komponen Jasad: ini adalah tubuh badan fizikal manusia sebagaimana yang boleh kita lihat. Pembinaan tubuh badan yang sihat memerlukan makanan dan kegiatan fizikal bagi menyihatkan dan menguatkannya.
  • Komponen Akal: merupakan komponen pemikiran dan kebijaksanaan, seumpama software dalam komputer. Dan Allah mengurniakan akal kepada manusia. membezakannya dengan binatang yang juga mempunyai akal tetapi tidak sempurna. Akal manusia dikuatkan dengan ilmu pengetahuan dan latihan minda.
  • Komponen Ruh: merupakan komponen yang 'hidup' menggerakkan jasad dan akal. Seperti pemandu sesebuah kenderaan, tiada pemandu maka tidak bergerak kenderaan. Ruh dan hati serta jiwa, saling berkait. Kekuatan ruh hanya dapat dicapai dengan hubungan rapat manusia dengan Penciptanya, Allah s.w.t. 
Ruh, dapat dikuatkan dengan melakukan solat dan juga Tahajud di malam hari. Orang yang mempunyai ruh yang lemah, akan lemah berhadapan dengan masalah, jiwa kacau dan mudah berputus asa. Ini yang biasanya menyebabkan seseorang mengambil tindakan nekad, membunuh diri dan sebagainya.
 
Oleh itu marilah kita menjadikan Ramadhan ini sebagai institusi latihan ruh bagi perubahan manusia ke arah yang lebih baik dan mengambil pengajaran darinya.

Wallahu'alam.




Wednesday, August 10, 2011

10 Ramadhan 1432H

Assalamualaikum,

Hari ini 10 Ramadhan 1432H. Telah 10 hari kita sebagai umat Islam menghadapi bulan Ranadhan, berpuasa menahan lapar dan dahaga dan perkara-perkara yang membatalkan puasa di siang hari. Berdasarkan pemerhatian umum, kita mendapati umat Islam di Malaysia secara amnya, tidak begitu menghayati sepenuhnya Ramadhan yang Allah s.w.t. kurniakan kepada kita. Bagi kebanyakan masyarakat awam di Malaysia, Ramadhan hanyalah 'bulan puasa', bulan pesta makanan, bulan persediaan menyambut Hari Raya Idilfitri. Semacam bahawa bulan Ramadhan lebih kepada bulan adat berbanding bulan beribadat. 

Pasar-pasar malam sempena Ramadhan kelihatan semakin sesak oleh pengunjung, berbanding dengan pada malam 1 Ramadhan. Ini berbeza dengan suasana di masjid dan surau, dimana pada malam 1 Ramadhan, kebanyakan surau dan masjid cukup sesak, sehingga kedapatan wajah-wajah yang sebelumnya tidak pernah kelihatan. Solat penuh hingga melimpah ke luar dewan solat. Namun, baru 9 hari berlalu, kelihatan bilangan saf jemaah semakin berkurang, tinggal 3 atau 4 saf sahaja. Dan apabila melepasi 8 rakaat solat Tarawih, bilangan saf semakin kurang kepada 1 setengah saf sahaja.

Tazkirah sebelum solat tarawih malam tadi mengingatkan para jemaah supaya kita tidak menjadi hamba Ramadhan, sebaliknya kita mesti menjadi hamba kepada Allah s.w.t.

Amat benar dan jitu sekali pesanan tuan Imam itu, cuma adakah ianya membekas di dalam hati-hati kita, atau kita hanya membiarkannya umpama menuang air ke daun keladi, langsung tiada berbekas di dalam hati kita. Sama-sama kita renungkan dan mengambil iktibar.

Ingatlah, perjalanan hidup kita masih jauh. Kenikmatan yang kita kejar di atas muka bumi ini hanya sedikit, namun ianya penentu kehidupan kita di Akhirat kelak yang lebih panjang perjalanannya. Dari itu sentiasalah beringat dan berhati-hati di sepanjang perjalanan kehidupan kita di dunia ini.

Semoga Allah s.w.t. memberi petunjuk dan memimpim kita di jalan yang benar. Segala yang baik dari Allah s.w.t.

Wassallam.

    

Friday, August 5, 2011

Antara memilih dan dipilih...

Assalamualaikum,

Semalam, saya memilih untuk menghadirkan diri di sesi perkongsian ilmu oleh seorang rakan yang membincangkan berkenaan 10 perkara atau amalan untuk meningkatkan prestasi diri dalam kehidupan ini. Dan tajuk di atas adalah antara perkara yang disentuh oleh beliau.


Saya memilih tajuk di atas untuk kita sama-sama fikirkan, kemanakah hala tuju kehidupan kita. Mungkin bagi setengah-setengah orang ianya tidak relaven, tetapi boleh kata setiap masa dan ketika kita berhadapan dengan pilihan-pilihan yeng terbentang di hadapan mata.




Boleh dikatakan, setiap saat kita harus memilih dan membuat keputusan, namun memilih untuk tidak membuat keputusan juga adalah suatu keputusan. Sebaik sahaja kita membuka mata di pagi hari, kita dibentangkan dengan pilihan-pilihan di dalam kehidupan kita sama ada besar atau kecil.

Setiap hari kita memilih untuk kelangsungan hidup kita; kita bebas memilih nak makan apa hari ini, kita bebas memilih warna dan bentuk pakaian kita sehari-hari, ke mana kita ingin pergi, apa yang kita ingin lakukan, dan sebagainya. 

Namun benarkah kita bebas memilih sebagaimana yang kita biasa tanggapi hari-hari. Benarkah kita bebas memilih bentuk makanan kita hari ini, atau kita dipilih untuk menikmati makanan itu? Adakah kita bebas memilih untuk memakai pakaian yang kita pakai hari ini, atau kita dipilih untuk memakai pakaian kita hari ini?

Adakah kita bebas membuat keputusan untuk pilihan yang kita pilih, atau kita dipilih untuk membuat keputusan itu? Bagaimana pula dengan nilai tanggungjawab terhadap pilihan yang kita putuskan? 

Entahlah.... saya pun tidak tahu jawabannya..... :) 

Walau bagaimanapun sesetengah perkara kita tidak perlu memilih dan membuat keputusan. Contohnya untuk bernafas dan menghirup udara bagi kelangsungan hidup kita, kita tidak perlu memilih dan membuat keputusan untuk bernafas kerana itu bukan pilihan untuk kita memutuskannya.... :)

Apa yang harus kita lakukan adalah sentiasa mengucapkan syukur kepada Allah s.w.t. kerana kita masih dipilih untuk terus hidup di alam dunia ini dalam limpahan nikmat yang Allah kurniakan.... kerana sesungguhnya hidup di dunia ini adalah ujian dan persimpangan yang harus kita lalui sebelum meneruskan perjalanan di alam akhirat nanti.

Kita memohon kepada Allah s.w.t. agar kita dipilih untuk melepasi ujian ini dengan selamat menuju ke destinasi kita seterusnya.... Amin.




Wednesday, August 3, 2011

Amal dalam kehidupan manusia

Assalamualaikum,

Hari ini 3 Ramadhan 1432H, hari ketiga kita berpuasa.

Sedikit ilmu yang diterima pada sesi tazkirah zuhor pada 1 Ramadhan yang lalu. (Nama ustaz... tak ingat.... maaf). Sesi tazkirah adalah berkenaan keutamaan dalam Islam.
  • Dalam kehidupan muslim, terdapat banyak cabang keimanan yang setiap satu berbeza mengikut keutamaan. Cabang iman yang paling utama dan asas di tingkat keutamaan yang tertinggi adalah 2 kalimah tauhid: Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah s.w.t. dan Nabi Muhammad itu Rasul Allah. Manakala cabang iman yang paling mudah adalah menjauhkan sesuatu yang menyakitkan (duri contohnya) di laluan umum.   

  • Dalam setiap apa yang kita lakukan, keutamaan hendaklah diberikan kepada Allah s.w.t. Cinta dan kasih sayang sesama manusia bergantung kepada 'tali' Islam. Wajib bagi kita meletakkan kecintaan kepada Allah s.w.t. dan Nabi Muhammad s.a.w.melebihi segala-galanya berbanding kecintaan terhadap dunia.

  • Islam mandahulukan akidah berbanding amal. Amal manusia hanya akan dihitung dan dinilaikan apabila akidahnya betul. Maka, jika akidahnya tidak benar dan dia kufur kepada Allah, segala amal kebaikannya di atas muka bumi ini, sepanjang kehidupan ini adalah sia-sia, seumpama debu di atas permukaan batu yang licin, terbang apabila ditiup angin. Maka malang bagi rakan-rakan kita yang masih dalam kekufuran. Begitu juga jika dia Islam, tetapi melakukan sesuatu kebaikan bukan kerana Allah, tetapi kerana yang lain, maka kebaikan itu juga akan sia-sia, sebaliknya mendapat murka Allah. (ini yang dinamakan syirik kecil - nauzubillah...)

  • Islam juga mengutamakan ilmu berbanding amal, kerana beramal tanpa ilmu memungkinkan kita sesat.

Sesungguhnya kehidupan manusia hanya mempunyai satu tujuan dan destinasi, iaitu untuk mati dalam keredhaan Allah s.w.t. Itu adalah kejayaan yang hakiki, insya-Allah....


Monday, August 1, 2011

Ramadhan 2011 / 1432H

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, hari ini 1 Ramadhan 1423H. Ramadhan Al Mubarak datang lagi, dengan seribu satu kenikmatan, hikmah dan berkat yang Allah s.w.t. turunkan kepada setiap makhluknya di atas muka bumi ini bersama-sama hadirnya Ramadhan. Setiap insan yang Muslim dan Mukmin (insya-Allah) akan pasti ternanti-nanti akan hadirnya Ramadhan, dengan berbagai-bagai alasan tersendiri. Malah di Malaysia ini, orang bukan Muslim pun ternanti-nanti akan kehadiran Ramadhan, cuma mungkin alasannya yang berbeza.

Muslim yang beriman, mungkin menantikan Ramadhan dengan semangat untuk menumpukan sepenuh masa untuk amal ibadat, ade juga yang menantikan Ramadhan semata-mata atas dasar keseronokan dan pesta makanan yang datang bersamanya. Ada juga yang menantikan Ramadhan semata-mata melihatkan peluang dan potensi keuntungan yang bakal dijana. Walau apa pun pandangan kita terhadap Ramadhan, Ramadhan tetap datang dan hadir, dengan setia, tunduk dan patuh dengan perintah Allah s.w.t.

Tentunya bazar ramadhan menjadi tumpuan utama sepanjang bulan puasa ini. Bukan sahaja bagi mereka yang berpuasa, mencari juadah untuk berbuka, malah mereka yang tidak berpuasa juga sama-sama merasakan keseronokan dan kemeriahan pasar ramadhan. Ketika inilah kita akan melihat pesta makanan yang menjadikan kita rambang mata. Segala macam kuih muih beraneka warna dan rasa muncul dengan tiba-tiba. Ketika inilah nafsu yang tadinya letih dan lesu kembali segar dengan hidangan yang ada.

Maka haruskah kita tewas dengan nafsu, hanya semata-mata untuk melayan tekak dan perut? Mungkinkah bazar Ramadhan menjadi bazir Ramadhan? Hmm...

Ketika perut lapar, segalanya nampak sedap dan menyelerakan. Malah air parit yang hitam pekat pun kelihatan seperti kopi-o yang menyelerakan. Begitulah godaan nafsu yang meronta-ronta minta dipuaskan, walau sekadar berlapar hanya 8 jam.

Di waktu malam, masjid dan surau meriah dengan jemaah di awal-awal Ramadhan, seakan pesta ibadat. Tua dan muda serta kanak-kanak, lelaki dan wanita, masing-masing tidak mahu melepaskan peluang berterawih berjemaah di masjid dan surau. Alangkah bagusnya andai semangat ini dapat kita kekalkan sehingga akhir Ramadhan dan masuknya Syawal. Namun sebagaimana tercatat dalam sejarah-sejarah lampau, kemeriahan masjid dan surau pada awal-awal Ramadhan akan terkikis sedikit demi sedikit, direbut oleh gamitan pasar-pasar malam di bulan Ramadhan yang menawarkan berbagai-bagai potongan dan tawaran dunia. Maka sekali lagi kebanyakan kita tewas oleh tawaran dunia, tewas oleh pujukan hawa nafsu sehingga sanggup mengenepikan tawaran Allah s.w.t. dengan hadirnya Ramadhan.

Jadi bagaimanakah kita ingin menjadikan Ramadhan tahun ini lebih baik dari Ramadhan kita di tahan-tahun sudah. Semoga kita bersama-sama memikirkannya...

Ku mengharapkan Ramadhan kali ini penuh makna
Agar dapat ku lalui dengan sempurna.........