Wednesday, November 23, 2011

Kuliah Zuhor 22 Nov 2011: Perubatan Islam

Assalamualaikum,

Hari ini saya ingin berkongsi sedikit ilmu yang didapati dari Kuliah Zuhor Surau Persada PLUS yang diadakan semalam iaitu 22 Nov 2011.

Kuliah tersebut adalah kuliah bersiri berkenaan Perubatan Islam. Berikut adalah point-point yang sempat dikutip:
  • Sebagai makhluk, kita hendaklah sentiasa bersyukur dengan segala nikmat pemberian Allah s.w.t. sama ada semasa kita sihat, apatah lagi semasa kita sakit, kerana kadang-kadang sakit yang Allah berikan sebagai peringatan tentang umur kita yang kian dekat dengan kematian.
  • Sewaktu tubuh sedang sakit, selera makan akan tertutup. Tujuannnya adalah untuk membolehkan tubuh kita bekerja bagi mengubati atau menyembuhkan penyakit secara semulajadi. Memaksa pesakit makan, bermakna memaksa tubuh pesakit menghentikan proses pengubatan dan menjalankan pula kerja-kerja pemprosesan makanan kerana makanan yang tidak diproses di dalam tubuh akan menjadi racun. Oleh itu, pemberian makanan hendaklah yang mudah hadam seperti sup, dan dalam kadar yang sedikit, sekadar memberi tenaga.
  • Makanan yang memasuki perut akan diproses dalam masa sekurang-kurangnya 2 jam (paling cepat) dan kebiasaannya memakan masa 4 jam secara purata.
  • Makanan yang baik untuk pesakit adalah yang ringan dan mudah hadam seperti sup. Contoh lain jus epal yang diperah sendiri dicampur dengan madu. Elok juga dicampur dengan halia untuk memecahkan 'angin' dalam badan.
  • Sakit demam adalah berkaitan dengan ketidakstabilan darah dalam tubuh. Pesakit harus mandi bagi mengurangkan suhu badan. kaedah mandi hendaklah bermula dari kaki, perlahan-lahan sehingga ke bahagian kepala.   
  • Penyakit demam denggi, tiada ubat yang khusus. Pesakit elok diberi makan sup ketam yang dimasak tanpa dicampur garam atau perasa masakan lain. Rebus ketam sehingga air rebusan tinggal separuh. Kemudian campurkan isi ketam bersama air rebusan, bagi membentuk sup yang menyelerakan.
  • Bagi jenis minuman susu, susu yang terbaik adalah susu ibu, diikuti dengan susu kambing. Susu kambing banyak khasiat untuk badan. Susu kambing juga menjadi minuman 'rasmi' para rasul utusan Allah s.w.t.
  • Susu unta amat baik untuk rawatan perut, dan mencuci perut. Elok diminum ketika masih hangat dan segar selepas diperah.
Sekian dahulu perkongsian untuk kali ini. Semoga ada yang mendapat manfaat daripada ilmu yang sedikit ini.

Wassallam.



Friday, November 11, 2011

Kuliah Jumaat: 11.11.11

Assalamualaikum,

Diakui bahawa tarikh pada hari ini agak unik, 11/11/11. Bagi kalendar Masehi, tarikh seperti ini tidak akan berulang sekurang-kurangnya untuk seribu tahun lagi. Tahun hadapan juga terdapat tarikh yang tidak kurang menariknya iaitu 12/12/12. Cumanya tiada pulak 13/13/13. Mungkin itu juga salah satu sebab mengapa sebahagian manusia menganggap tarikh Masehi akan berakhir di penghujung Tahun 2012.

Kuliah Jumaat di Masjid Tengku Kelana Jaya Putra hari ini disampaikan oleh Ustaz Roslan dari UPM. Kuliah sebelum solat Jumaat hari ini menyentuh berkenaan akidah kita umat Islam.

'Akidah adalah penyuluh kehidupan manusia. Ia memberikan cahaya dan panduan bagi manusia dalam mengharungi perjalanan yang penuh kegelapan.


Antara peringatan-peringatan yang diberikan dapat disimpulkan:
  • Iman dan akidah merupakan suatu nikmat terbesar yang Allah berikan kepada umat manusia di atas muka bumi ini. 
  • Akidah perlu dipelihara dan dijaga dengan baik, dipupuk dan disuburkan dalam hati sanubari manusia.
  • Ibadah merupakan menifestasi kepada akidah. Ianya merupakan nadi kepada akidah yang kita pegang. Ibadah yang sempurna dan mantap menggambarkan akidah yang kukuh di dalam jiwa.
  • Dalam apa jua yang kita lakukan, tujuan utama adalah untuk mencari redha Allah s.w.t. ke atas diri kita.
Ciri-ciri orang beriman adalah sentiasa bertakwa kepada Allah sama ada dalam susah dan senang, mengingati Allah dan mengabdikan diri kepada Allah sepanjang masa. Sesungguhnya Allah akan memelihara orang-orang yang berusaha memelihara iman dan akidahnya.

Semoga perkongsian kali ini akan membuahkan sedikit kebaikan untuk semua.

Wassallam.
 

Thursday, November 3, 2011

Amal lidah

Assalamualaikum w.b.t.

Kuliah Zuhor hari ini disampaikan oleh Ustaz Zaidi.

Kuliah hari ini berkenaan amalan lidah kita. Lidah sebagai salah satu nikmat yang paling berharga dikurniakan oleh Allah s.w.t. kepada manusia. Dengan lidah, manusia boleh bertutur dan berkomunikasi sesama manusia. Dengan lidah juga manusia merasa nikmat makanan yang dimakan, sebelum masuk ke perut. Dengan lidah juga manusia boleh menyatakan kesyukuran kepada Allah atas setiap nikmat yang dikurniakanNya.

Seharusnya nikmat lidah yang Allah kurniakan, digunakan pada tempat yang sepatutnya. Seharusnya, kita menetapkan amalan untuk lidah kita agar ianya tidak menjadi sia-sia atau mudharat bagi diri kita. Antara amalan lidah yang dianjurkan adalah:
  1. Banyakkan membaca Al-Quran ataupun Hadis setiap hari, sebolehnya sebelum tidur. Membaca Al-Quran bukan sahaja hanya amalan untuk lidah, malah ianya untuk menyucikan hati kita yang sering terdedah kepada kekotoran lantara dosa-dosa yang kita lakukan setiap hari.    
  2. Berzikir kepada Allah sama ada zikir umum atau khusus. Amalan lidah yang paling mudah ini, boleh dilakukan pada setiap masa dan ketika.
  3. Mengucapkan selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. dan keluarganya.
  4. Mengajarkan ilmu yang bermanfaat untuk manusia.
  5. Menyuruh ke arah kebaikan dan mencegah dari perkara-perkara mungkar. Memberi nasihat dengan lembut dan hikmah.
Lidah yang baik amalannya, akan membuatkan / memudahkan doa kita diterima oleh Allah s.w.t.

Sebaliknya, peliharalah lidah dari maksiat-maksiat yang begitu berleluasa seperti mengumpat, berkata bohong, mengeji, menyakiti hati orang lain dan sebagainya...

"barangsiapa yang membuka aib saudaranya di dunia ini, Allah akan membuka aibnya di akhirat nanti...
dan barangsiapa yang menyembunyikan aib saudaranya di dunia ini... insya-Allah, Allah akan menutup aibnya di akhirat nanti..."


Semoga ada pengajaran yang boleh kita perolehi, insya-Allah...

Wallahu'a'lam...