Monday, March 28, 2011

Antara lilin, pelita dan mentol....

Saya sering melayari blog Saifulislam.com kelolaan ustaz Hasrizal, sebuah blog yang padat dengan pengajaran dari sudut pandang yang berbeza dari biasa. Sebuah blog yang memaparkan kisah, pengajaran dan pengalaman yang hanya dilalui oleh sebahagian kecil dari kita.

'Erti hidup pada memberi' begitulah moto blog beliau dan kini ianya menjadi sebahagian dari pengertian hidup yang cuba saya amalkan.

Di dalam alam Melayu kita sering mewakilkan istilah pengorbanan insan sebagai 'lilin yang membakar diri, menerangi orang lain'. Sang lilin, sanggup mengorbankan dirinya demi kebahagiaan orang lain amnya, dan semestinya kebahagian orang-orang yang disayanginya. Namun pengorbanan lilin seringkali kita lupakan apabila bahan bakarnya telah habis, tidak berganti. Bahan bakar lilin adalah beku dan pejal, maka pengorbanan sang lilin hanya sekali, habis lilin maka hilanglah cahayanya...

Bagaimana pula dengan pelita, juga membakar sumbunya (tetapi tidak dirinya), dengan berbekalkan bahan bakar yang boleh diisi semula. Namun sang pelita tidak mengorbankan dirinya. Pelita boleh digunakan berkali-kali, selagi kita mengisi semula bahan bakarnya, selagi itu pelita boleh berkhidmat memberikan cahaya sebagai petunjuk kepada persekitarannya.

Bagaimana dengan mentol? Kini kita sinonim dengan mentol yang memberikan cahaya yang segera apabila diperlukan, hanya petik suis, maka dengan sekelip mata bilik yang asalnya gelap menjadi terang. Namun kedudukan mentol biasanya tetap pada suatu tempat, tidak berubah.

Lain pula halnya dengan lampu picit yang boleh di bawa ke mana-mana..... hehehe...

Berbalik kepada lilin, pelita dan mentol, apakah natijahnya dalam kehidupan kita?

Mentol, adalah hasil akhir pencipta mentol yang berjaya dihasilkan selepas beberapa lama usaha keras tanpa jemu dalam membuat eksperimen berkenaan letrik. Kini, kemudahan yang kita ada membolehkan ianya menerangi setiap bilik di dalam rumah kita. Kini boleh diandaikan mentol sebagai antara sumber utama cahaya untuk manusia di waktu malam, dengan syarat bekalan letrik sentiasa ada. Ini menjadikan orang ramai tidak lagi menggunakan pelita dan lilin, hanya bakal digunakan apabila bekalan letrik terputus, ataupun bagi menerangi ruang-ruang yang tidak diterangi oleh mentol lampu.

Begitu juga dengan kehidupan kita, kepelbagaian ilmu telah diteroka dan kita menikmati hasilnya hari ini dengan kemajuan sains dan teknologi hasil dari pemikir-pemikir yang tidak pernah jemu menerokai ilmu. Sejarah menunjukkan, perkembangan ilmu mutakhir ini dipelopori oleh sarjana-sarjana Islam selepas mendalami ilmu-ilmu asas yang dibawa oleh junjungan besar Rasulullah.

Namun sesekali kita menemui masih ada ruang-ruang yang belum diterokai dan disinari cahaya. Maka khidmat pelita dan lilin amat-amat diperlukan di daerah-daerah sebegini. Dan sebagaimana kita tahu, antara pelita dan lilin, kedua-duanya berjasa, namun antara kebekuan lilin yang berkhidmat hanya sekali dan kebolehan pelita untuk diisi semula bahan bakarnya bagi melanjutkan tempoh khidmatnya, yang mana satukah diri kita.

Pengorbanan yang kita lakukan untuk menerangi orang lain, tidak seharusnya memangsakan diri kita sendiri. Sebaliknya, kita seharusnya berusaha menjadi pelita yang tidak pernah kering bahan bakarnya dan menerangi sebahagian ruang, walaupun kita tidak dapat menjadi mentol yang menerangi keseluruhan ruang...

Friday, March 25, 2011

Mimbar Jumaat 20110325

Assalamualaikum,

Kuliah sebelum solat Jumaat di Masjid Kelana Jaya hari ini diberikan oleh seorang pendakwah muda (maaf saya terlupa namanya...)

Ringkasan kuliah yang beliau berikan boleh disimpulkan seperti berikut:

Iman, merupakan perkara paling asas dalam kehidupan manusia dalam mendasari perjalanannya menuju Akhirat. Takrifan Iman adalah 'membenarkan dengan hati, melafazkan dengan lisan dan dibuktikan dengan perbuatan'. Manakala ibadah adalah menifestasi keimanan yang dibuktikan dengan lafaz dan perbuatan, namun harus didasari dengan ilmu dan kesedaran (bukan sekadar ikutan tanpa ilmu).

Tugas utama umat Islam adalah 'amar makruf, nahi mungkar' iaitu mengajak kepada kebaikan dan mencegah perkara kemungkaran selain memantapkan keimanan kepada Yang Maha Esa. Umat Islam harus saling ingat-mengingati antara satu sama lain kerana sememangnya sifat manusia (insan) adalah 'pelupa'.

Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar

Secara amnya, setiap masa dan ketika manusia harus membuat pilihan berdasarkan sistem yang telah Allah s.w.t tetapkan untuk urusan-urusan makhlukNya di dunia (Sunnatullah). Apabila bangun dari tidur, kita dihidangkan kepada pilihan-pilihan antara yang baik dan buruk, antara pahala dan dosa, dan yang paling utama antara syurga dan neraka. Harus diingat, tiada pilihan ketiga untuk kita.

Untuk membolehkan kita membuat pilihan yang betul, harus mempunyai ilmu. Dan dengan ilmu, manusia harus patuh; sama ada dengan sukarela atau terpaksa. Maka wajib bagi umat Islam untuk mencari dan menimba ilmu dengan sebanyak-banyaknya sebagai panduan dalam meniti lorong-lorong kehidupan yang penuh onak dan duri.

Manusia tidak boleh berputus asa dari rahmat Allah kerana rahmatNya tersebar luas di muka bumi ini.

Wassallam.

Friday, March 18, 2011

Suara Mimbar Jumaat 20110318

Hari ini Jumaat, 18 March 2011.

Tazkirah sebelum solat Jumaat di Masjid Kelana Jaya berkenaan betapa pemurahnya Allah s.w.t. terhadap hamba-hambaNya. Berikut adalah isi tazkirah yang dapat disimpulkan.

  1. Apabila hambaNya berniat untuk melakukan kebaikan walaupun tidak dilakukannya, maka Allah memberikan satu pahala kebaikan.
  2. Apabila hambaNya menzahirkan niat baiknya dengan melakukan kebaikan itu, maka Allah memberikannya sekurang-kurangnya 10 pahala kebaikan dan boleh digandakan sehingga 700 atau lebih.
  3. Apabila hambaNya berniat melakukan maksiat/kejahatan tetapi dia tidak melakukannya, maka Allah memberinya 1 pahala kebaikan kerana tidak melakukan maksiat tersebut.
  4. Apabila hambaNya melakukan maksiat/kejahatan tersebut, maka Allah memberinya 1 DOSA.

Amat Pemurah Allah s.w.t., dalam banyak perkara Allah melimpahkan rahmat kasih sayangNya kepada makhluk-makhlukNya...

Namun begitu, ulama ada menyebut 'kenikmatan melakukan maksiat itu akan lenyap, tetapi dosa yang tercatat akan kekal, kecuali mendapat ampunan Allah...'

Mimbar Jumaat oleh Dato' Hassan Ali, mengupas doa Nabi Yusuf a.s., dapat disimpulkan sebagaimana berikut:

  1. Ya Allah, hanya Engkaulah Penguasaku di dunia dan akhirat, tiada penguasa yang lain.
  2. Ya Allah, jadikanlah akhiran kami, mati kami sebagai seorang muslim/muslimat.
  3. Ya Allah, himpunkanlah kami di mahsyar nanti bersama orang-orang yang soleh.

Lingkaran kehidupan manusia berupa 4 pilihan:

  1. Lahir dari ibu bapa yang kafir, membesar sebagai kafir, dewasa sebagai kafir dan mati sebagai kafir.
  2. Lahir dari ibu bapa yang kafir, membesar sebagai kafir, dewasa sebagai muslim dan mati sebagai muslim.
  3. Lahir dari ibu bapa muslim, membesar sebagai muslim, dewasa sebagai muslim, tetapi mati sebagai kafir (akibat tersilap langkah - na'uzubillah).
  4. Lahir dari ibu bapa muslim, membesar sebagai muslim, dewasa sebagai muslim dan mati dalam keadaan muslim.

Sebagai hamba, kita harus menseimbangkan antara amalan kita dengan mengharap Rahmat Allah s.w.t. Amalan tidak dapat menjamin ke Syurga tanpa Rahmat dari Allah. Menjadi satu kemestian bagi seorang muslim untuk merasa takut dan mengharap sentiasa kepada Allah s.w.t.

Wassallam