Tuesday, September 20, 2011

Amal dan Ikhlas

Assalamualaikum,

Kuliah Zuhor hari ini disampaikan oleh Ustaz Abdullah berkisar tentang amalan anak Adam.

Amalan anak Adam adalah bergantung kepada niatnya, apabila baik niatnya, maka baiklah amalnya. Dan bagi seorang Islam, amalan yang baik ini akan menjadi ibadah. Tetapi apabila terpesong niatnya, amalan yang baik akan menjadi sia-sia.

Jika kita beramal dengan niat semata-mata kerana Allah, dan bukan kerana yang lain, maka ianya menjadi suatu ibadah. Dari situ akan timbul 'ikhlas'.

Ibadah kita akan dinilai oleh Allah berdasarkan tahap keikhlasan manusia muslim tersebut dalam mengerjakannya. Perlu diingat bahawa amalan baik yang dilakukan oleh bukan Muslim sesungguhnya tiada nilai di sisi Allah, kerana asasnya telah lari dan rosak. Perkara asas di sini adalah Tauhid kepada Allah.

Ikhlas adalah perkataan dalam bahasa Arab, bermaksud murni dan bersih, tidak bercampur. Ini bermakna, untuk mencari keikhlasan dalam beribadah. Maka niat yang baik dan ikhlas menimbulkan nilai ibadah yang baik dan terpuji. Niat yang ikhlas timbul dari hati nurani ('cahaya hati/iman') yang bersih.

Amalan yang ikhlas kepada Allah boleh dibahagikan kepada 3 bahagian:
  • Amalan yang dilakukan kerana takutkan Allah dan takut kepada neraka Allah. Amalan sebegini adalah amalan seorang hamba kepada tuannya.
  • Amalan yang dilakukan dengan tujuan untuk mendapatkan balasan baik dari Allah seterusnya mendapat nikmat Syurga Allah. Amalan sebegini tidak salah. Ini dinamakan amalan saudagar atau peniaga, iaitu melakukan amalan berdasarkan keuntungan / faedah yang dijanjikan Allah.
  • Amalan yang dilakukan kerana taat kepada Allah, merasa malu dan bersyukur dengan Allah atas pemberian nikmat yang Allah kurniakan. Risau dan takut andainya amalannya tidak diterima oleh Allah dan hanya mengharapkan redha Allah. Ini adalah amalan para nabi dan rasul. Ini dinamakan amalan orang merdeka.
'Merdeka' dalam erti kata tidak mengharapkan balasan kebaikan dari Allah, tidak 'takut' akan siksaan api neraka, hanya menginginkan redha Allah semata-mata.

"Tingkat amalan 'terpuji' apabila si hamba redha kepada Allah, dan Allah redha kepada si hamba"


Saturday, September 10, 2011

Penjajahan Tanah Melayu

Assalamualaikum w.b.t.

Hari ini, Sabtu 10 September 2011. Kita digemparkan oleh Prof Zainal Keling dalam berita TV3 malam tadi dengan kenyataan bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah oleh Inggeris. Kenyataan ini sememangnya amat mengejutkan kita semua, dan menjadikan kita merasa gelihati dengan gelagat setengah-setengah manusia yang menyangka dirinya terpelajar dan berilmu, tetapi bertindak seperti orang bodoh yang membodohkan diri sendiri.

Selama ini, semenjak tahun 1957, raykat Malaysia menyambut hari kemerdekaan pada setiap tarikh 31 August.  Kenyataan yang dilontarkan oleh professor tersebut menimbulkan seribu satu persoalan dalam benak rakyat Malaysia amnya, terutama mereka yang terlibat secara langsung dengan sejarah Malaysia.   
  

Mata pelajaran sejarah yang diajar di sekolah-sekolah Malaysia menyatakan bahawa penjajahan kolonial di Tanah Melayu bermula dari tahun 1511 di mana Kerajaan Melayu Melaka telah jatuh ke tangan Portugis. Walaupun sebelumnya, Kerajaan Melayu Melaka telah terlibat dengan beberapa siri peperangan dengan Kerajaan Siam di utara yang juga cuba menakluk empayar Melaka, Kerajaan Melayu Melaka terus utuh melakar sejarah sehinggalah kedatangan pasukan maritim Portugis. Kerajaan Melayu Melaka telah dikhianati  oleh Datuk Mandaliar yang berdendam dengan Sultan Melaka lantas membuka pintu kota membolehkan tentera Portugis memasuki kota Melaka lantas menyebabkan Kerajaan Melayu Melaka tersungkur dan tewas. Maka bermulalah era penjajahan oleh pihak kolonial Portugis. Ini diikuti dengan kedatangan Belanda yang mengambil alih pemerintahan empayar Portugis. Penjajahan Belanda kemudiannya diikuti oleh pihak Inggeris menduduki tanah melayu.

Ini lah yang selama ini diajar didalam subjek sejarah di sekolah-sekolah di Malaysia ini. Kemerdekaan dicapai hasil rundingan antara pihak UMNO dengan kerajaan British selepas pihak British berpuas hati yang tanah jajahan mereka diserahkan kepada anak tempatan yang mengikuti acuan mereka dan segala kepentingan British di Tanah Melayu tidak tergugat dan masih menyalurkan hasil bumi ke Empayar British.

Sebelum ini kita dihebohkan dengan kononnya Mat Sabu memperlekeh kejadian di Bukit Kepong dengan kenyataan bahawa Mat Indera yang mengetuai serangan ke atas rumah pasong Bukit Kepong adalah hero sebenar yang berusaha membebaskan Tanah Melayu dari tekanan British, manakala polis di rumah pasong berkenaan adalah talibarut British yang bertugas menjaga harta dan aset British. Bila difikirkan, memang ada kebenarannnya kerana kejadian berlaku pada tahun 1950, sebelum kemerdekaan Tanah Melayu.

Kita dapat membaca bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Prof. Zainal Keling adalah bertujuan mencipta polemik bahawa sekiranya kita tidak pernah dijajah oleh British, maka kejadian serangan rumah pasong di Bukit Kepong adalah serangan ke atas polis yang berkhidmat dengan kerajaan manakala pihak PKM adalah petualang yang menentang kerajaan yang sah. Ini akan menyebabkan Mat Sabu terpukul dengan kenyataan beliau sebelumnya yang mengangkat Mat Indera sebagai pejuang.

Namun Prof Zainal Keling terlupa bahawa kenyataannya akan menyebabkan rantaian persoalan lain yang lebih rumit akan timbul, umpamanya:
  • Tarikh kemerdekaan yang dicanang oleh Tunku Abdul Rahman pada 1957 sebenarnya kemerdekaan dari siapa?
  • Jika Tanah Melayu tidak pernah dijajah, mengapa berlaku pemberontakan anak watan menuntut kemerdekaan?
  • Jika kerajaan Melayu telah sedia merdeka dan berdaulat, mengapa begitu bacul sehingga membiarkan British melantik Residen sebagai penasihat sultan, dan mengawal segala aktiviti ekonomi di Tanah Melayu.
  • Mengapa kerajaan yang merdeka begitu senang diperkotak-katikkan oleh British, membuka ladang dan lombong sesuka hati, membawa masuk warga Cina dan India sesuka hati untuk bekerja di ladang dan lombong milik British.
  • Jika benar Malaysia tidak pernah dijajah, mengapa selama 54 tahun kita ditipu oleh buku-buku sejarah yang diajar di sekolah-sekolah.
Sebenarnya banyak lagi persoalan-persoalan yang ingin dikemukakan kepada Prof Zainal Keling berkenaan kenyataan kontroversinya itu. Ianya begitu kontroversi sehingga kelihatan sepertinya kenyataan paling bodoh abad ini. Mungkin kenyataan ini merupakan kenyataan paling bodoh dalam sejarah Malaysia, mengenai sejarah Malaysia.

Semoga kita tidak diperbodohkan lagi.

Wassallam.