Tuesday, July 31, 2012

11 Ramadhan 1433H


Assalamualaikum w.b.t.

Hari ini 11 Ramadhan 1433H. Perjalanan hari ini dimulai dengan meredah hujan lebat menuju ke tempat kerja. Sepanjang perjalanan hujan turun, kadangkala lebat, kadangkala renyai. Hujan itu antara rahmat Allah s.w.t. kepada bumi dan segala penghuninya.

Alhamdulillah..... segala puji kepada Allah s.w.t. kerana menurunkan hujan pagi ini, walaupun ada segelintir manusia yang mengeluh kesah oleh hujan yang turun. Harap-harap kita tergolong dalam golongan yang selalu bersyukur dengan rahmatNya.

Sedikit ilmu dari tazkirah ringkas yang diberikan oleh Ustaz Ibrahim selepas subuh pagi tadi.

Sebahagian bijak pandai membandingkan kehidupan manusia dengan sifat alam. Sifat alam yang utama ada empat (4) iaitu tanah, air, api dan angin:
  • Tanah: diumpamakan dengan sifat sabar dalam diri manusia. Ianya menjadi hamparan yang luas, memberikan manfaat kepada hidupan lain di atasnya. Menumbuhkan tanaman.  Dipijak, ia diam, tetap setia memberi bakti atas perintah Allah s.w.t.   
  • Air: Air itu menyejukkan dan menyuburkan tanah, menumbuhkan tanaman. Menjadi asas kepada setiap kehidupan dimuka bumi ini. Itulah ilmu dan iman
  • Api: Api bersifat panas. Bermanfaat apabila digunakan pada tempatnya. Tetapi apabila tidak dikawal dan merebak, akan memusnahkan apa yang ada di sekitarnya. Perumpamaan bagi api adalah sifat marah.
  • Angin: Angin bersifat adil. Sebagaimana manusia perlu kepada keadilan.




Sekian. Wasallam.

Saturday, July 21, 2012

1 Ramadhan 1433H

Assalamualaikum w.b.t.

Hari ini adalah 1 Ramadhan 1433H bersamaan 21 Julai 2012. Hari pertama umat Islam di Malaysia berpuasa pada tahun ini. 

Hari ini juga misi kami untuk mula mengajar Danish Iman berpuasa Ramadhan. Dalam usia 5 tahun, Danish Iman masih tidak faham akan kewajiban puasa Ramadhan bagi umat Islam. Awal pagi kami sama-sama bangun untuk bersahur. Iman hanya menjamah beberapa suap nasi, mungkin agak kurang selera makan di awal pagi.

Seperti biasa, Iman banyak menghabiskan masa dengan laptop mamanya, kalau tidak ultraman, angry bird. Jam 9.30 pagi,...

"ayah.... nak roti milo" memang itulah kesukaan Danish Iman, roti tawar yang disapu serbuk milo di atasnya.

"adik... adik kan puasa har ni..." aku cuba memujuk.

"alaaa..... adik lapar..."

Aku cuba terus memujuk, namun Danish Iman terus merayu minta makan, lapar katanya, sehingga akhirnya dia menangis. Aku mengalah lalu membuatkan 'roti milo' untuk Danish Iman. Tangisannya reda apabila aku menghulurkan 'roti milo' kegemarannya. Nampak gaya Danish Iman cuma berpuasa 'suku hari' saje hari ini...

Malam kedua solat terawih di Masjid Bandar Di Raja, Medan Pasar Klang. Kami membawa bersama Danish Iman. Nampaknya Danish Iman sudah boleh mengawal diri, walaupun sebenarnya dia kelihatan resah, terpaksa menahan diri dari berlari-lari dan bermain. Aku mengambil tempat di hujung saf di sebelah kanan, bersebelahan pintu, manakala Iman disisi kanan. (Iman meminta untuk duduk disebelahku... tidak mahu berpisah, maklum suasana baru baginya).

Kadangkala terasa sayu juga dan terselit perasaan bangga apabila melihat anak sekecil Iman sudah boleh belajar untuk sujud kepada Allah s.w.t. Walaupun hanya mengikut perbuatan orang dewasa tanpa memahami hakikat sebenarnya, namun aku rasakan itu satu permulaan yang baik untuk Iman. Semoga Iman terus beriman dengan sebenar-benarnya....

Dan aku berdoa, semoga Iman akan menjadi anak yang soleh yang boleh mendoakan kedua ibu bapanya kelak. Aminn.....