Wednesday, October 21, 2015

Jerebu oh Jerebu

Assalamualaikum w.b.t.
 
Sudah beberapa purnama negara kita Malaysia dilanda masalah jerebu. Katanya berpunca dari pembakaran terbuka yang berlaku di Sumatera, Indonesia yang entah bila dapat dipadamkan. Celik mata, apabila buka pintu dengan harapan dapat menghirup udara pagi yang segar, mata melihat pemandangan yang agak menarik dengan kabus tebal menyelubungi suasana..... namun bukan kedinginan pagi yang dirasai, sebaliknya kesesakan nafas dan bahang yang terasa di kulit. Terlupa yang jerebu yang berkunjung masih belum beredar. Fikiran seolah-olah keliru antara kabus pagi yang mendamaikan dan kabut jerebu yang menyesakkan.
 
Hampir setiap hari cuba mendapatkan maklumat tentang keadaan jerebu yang melanda dari website Jabatan Meteorologi, memang bacaan berubah-ubah, tapi keadaannya masih tetap sama, jerebu masih bertandang, mungkin bertanya khabar kita yang seringkali alpa akan nikmat alam yang Allah berikan. Dan apabila diumumkan sekolah ditutup oleh sebab jerebu yang kian buruk, anak-anak sekolah yang tentunya tersenyum senang, tak payah ke sekolah hari ini....
 
Memandu ke tempat kerja, seolah-olah kelihatan langit mendung yang seakan menjanjikan hujan rahmat yang bakal membasahi bumi, sekaligus diharapkan dapat menghilangkan jerebu, tetapi apabila tingkap diturunkan, yang terasa hanyalah bahang dan asap jerebu yang menyesakkan tekak dan paru-paru. Hujan yang ditunggu-tunggu masih belum turun. Mungkin petang turunnya!
 
 

Gambar diambil dari internet....
 
Dan apabila hujan turun dengan lebat berserta rebut petirnya, kita merasakan sedikit lega dengan harapan jerebu akan berlalu pergi. Tapi kelegaan yang dirasa sebaik hujan berhenti, pemandangan yang sayup di kejauhan hanya dapat bertahan beberapa jam sahaja, sebelum segerombolan lain asap jerebu datang lagi bertandang.... heheh..
 
Sesekali, apabila melihat kepada fenomena jerebu ini, teringat kepada beberapa cerita fiksyen sains yang cuba menggarap masa hadapan di mana bumi mengalami malapetaka dan hanya beberapa kerat manusia yang menghuni muka bumi yang kian gersang. Slot itu biasanya dibayangkan dengan pemandangan muka bumi yang diselubungi asap yang menyesakkan nafas.
 
Mungkin juga ini gambaran kecil yang Allah s.w.t. berikan sebagai amaran kepada kita manusia supaya berusaha menjaga bumi Allah ini. Mungkin ini sebagai kafarah kepada kita manusia yang sering merosakkan muka bumi. Dan antara tanda-tanda Kiamat adalah munculnya asap menyelubungi bumi. Mungkin ini antara peringatan Allah s.w.t. supaya kita bersedia, mempersiapkan diri untuk hari kemudian.
 
 
Gambar ihsan pak Google...

Walau apa pun, semuanya terpulang kepada kita sama ada kita memerhatikan dengan akal dan mengambil pengajaran..... atau kita abaikan dan meneruskan hidup kita di alam mimpi. Yang pastinya, dalam surah pertama diturunkan kepada baginda junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. menyuruh kita membaca 
 
"Bacalah, dengan nama Tuhanmu..."
 
Segalanya tertulis di hadapan mata kita, tulisan alam ciptaan Allah s.w.t....  Sama ada kita faham atau tidak, atau buat-buat tak faham..... sama ada kita mengambil pengajaran atau terus alpa.... segalanya akan kembali kepada kita nanti untuk dipertanggungjawabkan di hadapan Allah s.w.t.  
 
Wassallam.