Showing posts with label merdeka. Show all posts
Showing posts with label merdeka. Show all posts

Saturday, September 10, 2011

Penjajahan Tanah Melayu

Assalamualaikum w.b.t.

Hari ini, Sabtu 10 September 2011. Kita digemparkan oleh Prof Zainal Keling dalam berita TV3 malam tadi dengan kenyataan bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah oleh Inggeris. Kenyataan ini sememangnya amat mengejutkan kita semua, dan menjadikan kita merasa gelihati dengan gelagat setengah-setengah manusia yang menyangka dirinya terpelajar dan berilmu, tetapi bertindak seperti orang bodoh yang membodohkan diri sendiri.

Selama ini, semenjak tahun 1957, raykat Malaysia menyambut hari kemerdekaan pada setiap tarikh 31 August.  Kenyataan yang dilontarkan oleh professor tersebut menimbulkan seribu satu persoalan dalam benak rakyat Malaysia amnya, terutama mereka yang terlibat secara langsung dengan sejarah Malaysia.   
  

Mata pelajaran sejarah yang diajar di sekolah-sekolah Malaysia menyatakan bahawa penjajahan kolonial di Tanah Melayu bermula dari tahun 1511 di mana Kerajaan Melayu Melaka telah jatuh ke tangan Portugis. Walaupun sebelumnya, Kerajaan Melayu Melaka telah terlibat dengan beberapa siri peperangan dengan Kerajaan Siam di utara yang juga cuba menakluk empayar Melaka, Kerajaan Melayu Melaka terus utuh melakar sejarah sehinggalah kedatangan pasukan maritim Portugis. Kerajaan Melayu Melaka telah dikhianati  oleh Datuk Mandaliar yang berdendam dengan Sultan Melaka lantas membuka pintu kota membolehkan tentera Portugis memasuki kota Melaka lantas menyebabkan Kerajaan Melayu Melaka tersungkur dan tewas. Maka bermulalah era penjajahan oleh pihak kolonial Portugis. Ini diikuti dengan kedatangan Belanda yang mengambil alih pemerintahan empayar Portugis. Penjajahan Belanda kemudiannya diikuti oleh pihak Inggeris menduduki tanah melayu.

Ini lah yang selama ini diajar didalam subjek sejarah di sekolah-sekolah di Malaysia ini. Kemerdekaan dicapai hasil rundingan antara pihak UMNO dengan kerajaan British selepas pihak British berpuas hati yang tanah jajahan mereka diserahkan kepada anak tempatan yang mengikuti acuan mereka dan segala kepentingan British di Tanah Melayu tidak tergugat dan masih menyalurkan hasil bumi ke Empayar British.

Sebelum ini kita dihebohkan dengan kononnya Mat Sabu memperlekeh kejadian di Bukit Kepong dengan kenyataan bahawa Mat Indera yang mengetuai serangan ke atas rumah pasong Bukit Kepong adalah hero sebenar yang berusaha membebaskan Tanah Melayu dari tekanan British, manakala polis di rumah pasong berkenaan adalah talibarut British yang bertugas menjaga harta dan aset British. Bila difikirkan, memang ada kebenarannnya kerana kejadian berlaku pada tahun 1950, sebelum kemerdekaan Tanah Melayu.

Kita dapat membaca bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Prof. Zainal Keling adalah bertujuan mencipta polemik bahawa sekiranya kita tidak pernah dijajah oleh British, maka kejadian serangan rumah pasong di Bukit Kepong adalah serangan ke atas polis yang berkhidmat dengan kerajaan manakala pihak PKM adalah petualang yang menentang kerajaan yang sah. Ini akan menyebabkan Mat Sabu terpukul dengan kenyataan beliau sebelumnya yang mengangkat Mat Indera sebagai pejuang.

Namun Prof Zainal Keling terlupa bahawa kenyataannya akan menyebabkan rantaian persoalan lain yang lebih rumit akan timbul, umpamanya:
  • Tarikh kemerdekaan yang dicanang oleh Tunku Abdul Rahman pada 1957 sebenarnya kemerdekaan dari siapa?
  • Jika Tanah Melayu tidak pernah dijajah, mengapa berlaku pemberontakan anak watan menuntut kemerdekaan?
  • Jika kerajaan Melayu telah sedia merdeka dan berdaulat, mengapa begitu bacul sehingga membiarkan British melantik Residen sebagai penasihat sultan, dan mengawal segala aktiviti ekonomi di Tanah Melayu.
  • Mengapa kerajaan yang merdeka begitu senang diperkotak-katikkan oleh British, membuka ladang dan lombong sesuka hati, membawa masuk warga Cina dan India sesuka hati untuk bekerja di ladang dan lombong milik British.
  • Jika benar Malaysia tidak pernah dijajah, mengapa selama 54 tahun kita ditipu oleh buku-buku sejarah yang diajar di sekolah-sekolah.
Sebenarnya banyak lagi persoalan-persoalan yang ingin dikemukakan kepada Prof Zainal Keling berkenaan kenyataan kontroversinya itu. Ianya begitu kontroversi sehingga kelihatan sepertinya kenyataan paling bodoh abad ini. Mungkin kenyataan ini merupakan kenyataan paling bodoh dalam sejarah Malaysia, mengenai sejarah Malaysia.

Semoga kita tidak diperbodohkan lagi.

Wassallam.

  
          

Wednesday, August 5, 2009

Puisi Merdeka

Hari ini dalam perjalanan pulang dari kerja, terlihat pemandangan indah di langit petang. Sang matahari mengundur diri di ufuk barat dan dalam masa yang sama bulan (hampir purnama) berada di dada langit timur.Subhanallah...
Bulan ini bulan merdeka, terpandang pula nukilan puisi sahabat yang penuh bermakna...

31 Ogos Berkibarnya Jalur Gemilang menghiasi dada langit terbentang Berbaris wira-wira gagah mengaku diri pejuang Cogan kata menghias dada-dada akhbar Gah dan hebat kata-kata keramat Meriah kota mentopolitan antara bangsa Dengan bangsa berbagai rupa dan warna Sama-sama mendengar teriakan suasana Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Namun Disebalik kemegahan tembok batu dan konkrit Dalam gah keramat laungan cogan kata berbisa Banyak anak-anak bangsa yang masih derita Tangan-tangan kasar mengais pasir dalam linangan keringat dan air mata Tangan-tangan kecil memohon seberkas simpati Mencari sesuap nasi perut anak-anak perlu diisi Hutang perlu dibayar dalam kitaran bulan demi bulan Terhimpit dan tersepit dalam kemajuan ekonomi kapitalis Along menghulur bantuan dengan laba berbisa Angah menjengah, bantuan datang dengan syarat dan ikat Anak bangsa terpedaya parah dalam pasrah

Kapitalis lantas tersenyum megah disebalik menara konkrit di atas bukit Kelemasan dalam taburan emas dan ringgit Kejayaan dilapah dalam kepayahan anak-anak desa Tersiksa, tergeliat lidah mengukir nahu bahasa penjajah Kira-kira dan teknologi lantas menjauh diri Anak-anak mula menyendiri Lantaran cita-cita dan jaya terbenam dan tersembam Dalam Lumpur kuala yang semakin kotor Lantas kapitalis menabur mutiara kepalsuan Kerdipan indah menerbit alpa dan leka Menutup rasa sedih dan kecewa yang nyata

Sesekali anak bangsa tersedar lantas bingkas Menjerit meronta dalam tangan terikat mulut tersumbat Merintih merayu agar suara terdengar dalam pekak dan bisu Hati membara dalam diam dan dendam Sedih dan pilu melihat anak-anak kian bertanya Apakah ini yang akan kalian wariskan? Apakah ini kemerdekaan kita? Apakah kita merdeka?

Mungkin suatu hari nanti Sumpah seranah generasi demi generasi Memanaskan kita di alam baqa Atas kelalaian kita mengisi makna kemerdekaan

nukilan: Anak Rantau