Showing posts with label umum. Show all posts
Showing posts with label umum. Show all posts

Monday, November 9, 2015

Tanda rezeki diberkati Allah s.w.t.


Assalamualaikum w.b.t.

Hari ini terbaca artikel di dalam website Tranungkite berkenaan keberkatan rezeki yang kita terima. Semoga bermanfaat untuk semua....



7 Tanda Rezeki Diberkati Allah SWTPosted on Monday, November 09 @ 09:29:53 MYT
Dilulus untuk paparan oleh KetamBatu



Motivasi
  1. Kita akan sentiasa rasa cukup dengan apa yang kita ada. Dan kadang-kadang tu kita rasa macam lebih dari cukup. Ini adalah salah satu petandanya sebab orang yang dapat rezeki tanpa keberkatan akan rasa sentiasa dalam kekurangan dan tidak puas dengan apa yang dia ada. Contohnya bila dapat duit, duit tu rasa sekejap saja habis. tapi kalau duit tu ada keberkatan, boleh cukup belanja sebulan dan boleh sampai tahap cukup buat simpanan. 
  2. Bila perilaku atau keadaan dalam keluarga dilihat stabil atau bahagia, ia boleh dikatakan yang rezeki keluarga itu ada keberkatan. Punca permasalahan dalam keluarga kadang-kadang boleh dilihat kembali pada akarnya, iaitu punca mendapatkan nafkah keluarga. Bila bercampur harta halal dan haram seperti rasuah maka wang tersebut sentiasa rasa tak cukup.
  3. Apabila kita terasa mudah untuk menjaga solat dan juga melakukan amal ibadah yang lain, maka boleh lah dikatakan yang rezeki yang kita peroleh itu diberkati. Rezeki yang di perolehi boleh melakukan ibadah umrah atau haji. Boleh jadi kenapa sebahagian daripaad kita susah sangat nak solat sebab rezeki kita tak diberkati.
  4. Lagi satu lagi kesan positif bila rezeki kita diberkati ialah bila orang sekeliling kita suka dekat kita atau senang dengan kehadiran kita. Perkara seperti ini boleh dilihat bila kita bersama rakan-rakan atau ahli keluarga yang lain. Kehadiran kita memberi manfaat kepaad orang lain dan tidak menyusahkan.
  5. Seterusnya ialah apabila anak-anak cemerlang dalam pelajarannya. Sebab itu pentingnya mencari rezeki yang halal yang diberkati sebab duit yang kita guna buat beli makanan dan barang-barang untuk anak-anak sebenarnya ada kesannya.
  6. Kalau rumah kita orang rajin ziarah, itu maknanya rezeki kita ada keberkatan. Kedatangan tetamu sebenarnya membawa rezeki dan keberkatan di dalam rumah tangga kita.
  7. Dan yang terakhir sekali bila doa kita senang termakbul. Sebab Nabi SAW pernah bersabda doa yang tak dimakbulkan antara sebabnya adalah kerana makan dari rezeki yang haram.
Maka itulah petanda rezeki orang yang mempunyai keberkatan. Tapi kita sering terlupa yang rezeki di ada bermacam jenis, bukan sekadar tertumpu pada harta semata.
 
Dalam apa pun yang kita dapat di dunia ini, semua tu tak lain tak bukan adalah rezeki dari Allah SWT kurniakan. seperti yang terdapat didalam ayat al-Quran, surah At-Talaq ayat 2-3:

“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, Maka Allah akan menunjukkan kepadanya jalan keluar dari kesusahan. dan diberikanNya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka, dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan keperluannya”

Setiap pekerjaan yang dilakukan oleh manusia untuk meneruskan kelangsungan hidup di dunia merupakan ibadat iaitu selagi ia dilakukan dengan niat yang baik dan tidak melanggar hukum-Nya. Rezeki yang berkat adalah rezeki yang dicari dengan titik peluh sendiri, bukan dengan cara menunggu pemberian daripada orang lain seperti meminta sedekah, derma dan sebagainya padahal tubuh badan masih lagi kuat dan sihat. Hal ini amat dilarang keras oleh Islam kerana ia merupakan perbuatan yang memalukan dan menghinakan.
 
Selalunya manusia itu apabila berkaitan dengan berkah (berkat, barakah) menjuruskan kepada rezeki dan menilai disegi banyaknya keuntungan yang diperolehi. Sebaliknya mereka beranggapan tiada keberkatan daripada Allah SWT apabila rezeki yang mendatang itu sedikit sedangkan usaha yang dikeluarkan cukup banyak dan berlipat ganda, namun kepada kedua kedudukan tersebut manusia selalu terlupa dan tidak mahu bersyukur kepada Allah.
 
Kehidupan yang berkat itu sebenarnya akan sentiasa mencukupkan dan kecukupan itu membolehkan keberkatan didalam kehidupan. Apabila mempersoalkan amaun banyak atau sedikit, bererti manusia itu tidak pernah puas sehinggakan tidak tahu mereka bersyukur, maka tiadalah keberkatan dari Allah didalam kehidupan. Sesungguhnya segala yang dimiliki oleh manusia diatas muka bumi ini walau sebanyak mana atau sangat sedikit, mahu pun mungkin tidak punya suatu apa, sebenarnya segala itu adalah kurnia daripada Allah SWT.
 
Nabi SAW bersabda maksudnya, “Sesungguhnya Allah yang Maha Luas KurniaNya lagi Maha Tinggi akan menguji setiap hambaNya dengan rezeki yang diberikan. Barang siapa yang redha dengan pemberian Allah, maka Allah akan memberkati dan melapangkan rezeki baginya dan barang siapa yang tidak redha nescaya rezekinya tidak diberkati” (HR Ahmad)
 
Nabi Muhammad SAW melalui Sabda Baginda diatas sekali gus menjelaskan bahawa keberkatan dari Allah SWT itu tidak ditentukan amaun banyak atau sedikit rezeki yang diperolehi. Keberkatan Illahi itu terletak diatas rasa keredhaan hamba Allah keatas apa sahaja bentuk mahu pun jumlah kurniaanNya.
 
Sebaliknya rezeki itu sendiri merupakan perujian daripada Allah SWT kepada manusia sejauh mana mereka benar benar bertakwa dan berserah diri kepadaNya. “Wahai orang orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar benar takwa kepadaNya, dan janganlah kamu mati melainkan dengan berserah diri”(Surah Ali-Imran (3) ayat 102)
 
Dalam kita memahami pengertian rezeki yang berkat, kita tidak boleh membataskan rezeki itu hanya pada wang ringgit tetapi meliputi kesihatan. Ilmu,sahabat, masa lapang, idea dan berbagai lagi sehinggakan kemampuan melaksanakan amal ibadah juga merupakan rezeki. Bila kita dapat memahami makna rezeki yang berkat secara tidak lansung kita sudah menambahkan rezeki dengan meluaskan pengertian rezeki itu sendiri. Jika seseorang mendapat gaji yang besar tetapi tidak merasai cukup kerana terlalu banyak perkara yang perlu di bayar dan merasai sentiasa tak cukup.
 
Sedangkan ada setengah orang berpendapatan sederhana tetapi mencukupi menyara isteri dan anak-anak, mampu membeli rumah, kereta dan mampu membiayai pengajian anak-anaknya ke universiti. Ini adalah petanda rezeki yang tak berkat dengan rezeki yang berkat.
 
Semoga bermanfaat untuk semua.
 
Terima kasih.
 
 
 

Sunday, November 1, 2015

Alternator kereta

Assalamualaikum w.b.t.
 
Catatan hari ini adalah untuk rekod, juga sebagai perkongsian kepada yang mungkin ingin mengetahui dan menambah pengetahuan dalam penjagaan kereta mereka.
 
Saya menggunakan kereta Kia Spectra keluaran tahun 2005 (telah genap usianya 10 tahun dalam penjagaan saya dan isteri). Seminggu yang lalu, sewaktu memandu kereta, terasa kelainan yang agak ketara. Saya jarang menggunakan kereta ini, hanya sesekali kereta ini bergerak pada hujung minggu.
 
Simtom yang kelihatan adalah seperti berikut:
  • Sistem transmisi gear automatic yang tidak lancar. Pertukaran gear tersentak-sentak terutama ketika mula bergerak (gear D) dan pertukaran dari gear satu ke gear dua.
  • Jarum meter RPM kelihatan bergetar dan tidak stabil terutama pada RPM rendah.
  • Akhir sekali, kemuncaknya, enjin mati dengan sendiri, brek tidak berfungsi.
Nasib baik ketika itu, kami baru melepasi plaza tol Sungai Rasau dan menghampiri persimpangan trafik light dan kereta bergerak perlahan (ketika enjin mati, brek tidak berfungsi dan terasa berat). Dengan sedikit lajakan kereta di hentikan di bahu jalan.

Saya meminta bantuan PLUS dan setelah menunggu beberapa ketika, bantuan PLUS Ronda tiba. Nampaknya, bateri jenis sel kering telah kehabisan kuasa. Dengan bantuan PLUS Ronda dan menggunakan 'jumper cable', kereta saya Berjaya dihidupkan. Kami sekeluarga meneruskan perjalanan, namun apabila melalui Plaza Tol Shahpadu, sekali lagi enjin kereta mati (mungkin disebabkan RPM rendah). Nampaknya bateri betul-betul 'kong'. Maka perlu diganti serta merta. Atas nasihat adik ipar, kali ini saya menggantikan dengan bateri basah.

Itu kejadian seminggu yang lalu. Dan hari ini sekali lagi, enjin kereta tidak boleh dihidupkan. Bila cek bateri, bateri lemah dan kurang kuasa. Terpaksa menggunakan 'jumper cable' untuk menghidupkan enjin kereta. Di bengkel, mekanik mengesahkan yang alternator rosak dan perlu diganti. Hasrat hati untuk kerja repair gearbox terpaksa ditangguhkan kerana keperluan mendesak untuk mengganti alternator. Mungkin kerja repair gearbox boleh dilakukan selepas ini.

Setelah meninggalkan kereta di bengkel, terpaksa menapak balik ke rumah. Nasib baik jarak antara rumah dan bengkel tidah berapa jauh. Selepas 4 jam, saya menapak semula ke bengkel. Alhamdulillah, kereta telah siap, tinggal bayar sebelum saya boleh mengambil kereta tersebut. Terbang jugak RM400 (guna alternator recond)


Semasa test drive setelah penggantian alternator, saya merasa sedikit terkejut kerana transmisi gear sudah menjadi lancar dan tidak tersangkut dan tersentap seperti sebelumnya. Adakah kes gear yang tersentap dalam transmisi antara gear disebabkan alternator yang rosak? Mungkin juga.

Maka selamat sedikit duit saya untuk kerja repair gearbox sebagaimana perancangan saya yang awal.

Itu saja untuk catatan hari ini. Semoga bermanfaat untuk yang memerlukan.

Wassallam.
 

Wednesday, October 21, 2015

Jerebu oh Jerebu

Assalamualaikum w.b.t.
 
Sudah beberapa purnama negara kita Malaysia dilanda masalah jerebu. Katanya berpunca dari pembakaran terbuka yang berlaku di Sumatera, Indonesia yang entah bila dapat dipadamkan. Celik mata, apabila buka pintu dengan harapan dapat menghirup udara pagi yang segar, mata melihat pemandangan yang agak menarik dengan kabus tebal menyelubungi suasana..... namun bukan kedinginan pagi yang dirasai, sebaliknya kesesakan nafas dan bahang yang terasa di kulit. Terlupa yang jerebu yang berkunjung masih belum beredar. Fikiran seolah-olah keliru antara kabus pagi yang mendamaikan dan kabut jerebu yang menyesakkan.
 
Hampir setiap hari cuba mendapatkan maklumat tentang keadaan jerebu yang melanda dari website Jabatan Meteorologi, memang bacaan berubah-ubah, tapi keadaannya masih tetap sama, jerebu masih bertandang, mungkin bertanya khabar kita yang seringkali alpa akan nikmat alam yang Allah berikan. Dan apabila diumumkan sekolah ditutup oleh sebab jerebu yang kian buruk, anak-anak sekolah yang tentunya tersenyum senang, tak payah ke sekolah hari ini....
 
Memandu ke tempat kerja, seolah-olah kelihatan langit mendung yang seakan menjanjikan hujan rahmat yang bakal membasahi bumi, sekaligus diharapkan dapat menghilangkan jerebu, tetapi apabila tingkap diturunkan, yang terasa hanyalah bahang dan asap jerebu yang menyesakkan tekak dan paru-paru. Hujan yang ditunggu-tunggu masih belum turun. Mungkin petang turunnya!
 
 

Gambar diambil dari internet....
 
Dan apabila hujan turun dengan lebat berserta rebut petirnya, kita merasakan sedikit lega dengan harapan jerebu akan berlalu pergi. Tapi kelegaan yang dirasa sebaik hujan berhenti, pemandangan yang sayup di kejauhan hanya dapat bertahan beberapa jam sahaja, sebelum segerombolan lain asap jerebu datang lagi bertandang.... heheh..
 
Sesekali, apabila melihat kepada fenomena jerebu ini, teringat kepada beberapa cerita fiksyen sains yang cuba menggarap masa hadapan di mana bumi mengalami malapetaka dan hanya beberapa kerat manusia yang menghuni muka bumi yang kian gersang. Slot itu biasanya dibayangkan dengan pemandangan muka bumi yang diselubungi asap yang menyesakkan nafas.
 
Mungkin juga ini gambaran kecil yang Allah s.w.t. berikan sebagai amaran kepada kita manusia supaya berusaha menjaga bumi Allah ini. Mungkin ini sebagai kafarah kepada kita manusia yang sering merosakkan muka bumi. Dan antara tanda-tanda Kiamat adalah munculnya asap menyelubungi bumi. Mungkin ini antara peringatan Allah s.w.t. supaya kita bersedia, mempersiapkan diri untuk hari kemudian.
 
 
Gambar ihsan pak Google...

Walau apa pun, semuanya terpulang kepada kita sama ada kita memerhatikan dengan akal dan mengambil pengajaran..... atau kita abaikan dan meneruskan hidup kita di alam mimpi. Yang pastinya, dalam surah pertama diturunkan kepada baginda junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. menyuruh kita membaca 
 
"Bacalah, dengan nama Tuhanmu..."
 
Segalanya tertulis di hadapan mata kita, tulisan alam ciptaan Allah s.w.t....  Sama ada kita faham atau tidak, atau buat-buat tak faham..... sama ada kita mengambil pengajaran atau terus alpa.... segalanya akan kembali kepada kita nanti untuk dipertanggungjawabkan di hadapan Allah s.w.t.  
 
Wassallam.


Saturday, August 8, 2015

Mengintai semula....

Assalamualaikum w.b.t.

Sudah lama saya tidak menjengah ke dalam blog ini. Entry saya yang terakhir adalah pada 5 Oct 2012.

Suasana hari raya masih sedikit terasa dengan adanya anjuran rumah terbuka dan sebagainya.... tidak terlambat rasanya untuk saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada anda semua....

Kebelakangan ini nampaknya Malaysia negaraku tercinta ini semakin menjadi haru biru.... dengan MH370... kisah 1MDB..... pertelingkahan dalaman PR..... hmm..... Nampak semuanya serba tidak kena....

Yang menjadi mangsa adalah rakyat marhaen semua..... yang saban hari memikir untuk survival diri dan keluarga.... bebanan hidup yang kian hari kian meningkat.....

Tapi yang penting.... kita harus bersabar dengan segala dugaan yang mendatang. Mungkin kita merasakan diri kita cukup susah... tapi percayalah bahawa di luar sana, ramai lagi yang susah dan ada yang lebih susah dari diri kita...

Segala yang di dunia ini hanyalah sementara..... Akhirat adalah yang kekal abadi......

Sekian untuk kali ini....

Wassallam.

Saturday, August 18, 2012

Ramadhan dan Idilfitri


Assalamualaikum w.b.t.

Hari ini 29 Ramadhan 1433H bersamaan 18 Ogos 2012. Jika anak bulan kelihatan pada petang ini, bermakna esok adalah hari raya idilfitri untuk umat Islam di Malaysia. (dan dari yang saya dengar, esok sememangnya Hari Raya.... walaupun anak bulan belum kelihatan....hehehe).

Hari ini merupakan hari ke lima anak lelakiku, Muhamad Danish Iman berpuasa penuh (jika dia dapat menyempurnakan puasanya sehari ini, insya-Allah). Walaupun pada awalnya dahulu, Iman hanya berpuasa setengah hari, namun atas usaha Mamanya memujuk Iman untuk cuba berpuasa penuh, akhirnya Iman bersetuju untuk mencuba berpuasa penuh walaupun ada ketikanya Iman merengek untuk makan, perut yang lapar, kehausan dan sebagainya. Dalam usianya yang baru melepasi 5 tahun, itu adalah suatu cabaran besar buat dirinya. Namun sebagai ibu bapa, kami cuba memujuk Iman meneruskan puasanya sehingga petang. Namun, kami bersedia membenarkan Iman berbuka sekiranya dia benar-benar tidak mampu meneruskan puasanya.

Sambutan Hari Raya di Malaysia sememangnya meriah. Para perantau yang mencari rezeki di kota atau lokasi yang jauh dari kampung halaman, berpusu-pusu balik ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Hari Raya Idilfitri bersama ibu bapa dan atuk nenek di kampung. Pergerakan yang hampir serentak ini menyebabkan laluan utama seperti lebuhraya utara-selatan dan laluan yang menyambungkan pantai timur dan pantai barat mengalami kesesakan teruk. Malah kesesakan lebuhraya ini sudah sinonim dengan musim perayaan di Malaysia, sehingga ada yang mengatakan sekiranya tidak bersesak-sesak di lebuhraya ketika balik ke kampung, terasa raya mereka kurang meriah.... :) 

Apabila diperhatikan, sememangnya budaya balik kampung ini hanya ketara di Malaysia, dan sinonim dengan orang Melayu. Kaum Melayu seolah terikat dengan kampung halaman dan semangat kekeluargaan yang tinggi. Jadi, walaupun jauh merantau mencari rezeki dan penghidupan, apabila menjelangnya hari raya (atau musim perayaan yang lain yang melibatkan cuti panjang) maka akan kelihatan orang Melayu berbondong-bondong keluar menuju ke kampung halaman bagi menjenguk ibu dan bapa serta datuk dan nenek. 

Itulah kesempatan yang ada dicelah-celah kesibukan harian bagi menziarahi sanak saudara sama ada jauh maupun dekat. Itulah kesempatan yang ada bagi memperkenalkan anak-anak kepada saudara-saudara yang jauh, mengeratkan tali silaturrahim sesama sanak saudara, jauh dan dekat.

Maka, semasa musim perayaan berlangsung, kita akan dapati Kota Kuala Lumpur akan lengang dari hiruk pikuk perantau dari desa, namun kekosongan ini diisi pula oleh perantau-perantau dari luar yang mengambil kesempatan  cuti perayaan ini untuk berjumpa sesama mereka, mengeratkan silaturrahim sesama mereka. Maka Kota Kuala Lumpur akan sebahagiannya bertukar menjadi Jakarta ataupun Dhakka apabila dimonopoli oleh pendatang-pendatang Indonesia mahupun Bangladesh yang keluar berpusu-pusu dari segenap ceruk pinggiran kota. Sehinggakan, penduduk asli Kuala Lumpur yang tidak balik ke kampung halaman menjadi keresahan, seolah-oleh diri berada di Jakarta atau Bandung.


Gambar hiasan...
Dan apabila Idilfitri menjelang, kebanyakan kita merayakannya dengan bersungguh-sungguh. Jelas terpamer wajah-wajah kegembiraan, namun kurang pasti adakah kegembiraan yang terpamer merupakan rentetan dari kejayaan mengharungi Ramadhan dengan jayanya, ataukah kegembiraan bebas dari Ramadhan. 

Sememangnya Idilfitri harus disambut dengan kegembiraan, namun janganlah melampau-lampau sehingga apa yang sepatutnya ditarbiah di dalam madrasah Ramadhan akhirnya hilang disapa angin lalu. Segalanya kembali seperti asal sebelum Ramadhan. Maka jadilah kita orang yang kerugian apabila mengabaikan pengajaran dari madrasah Ramadhan.

Sesungguhnya Ramadhan datang dan pergi, dan kita mengharunginya saban tahun selagi ada umur dan diizinkan Allah s.w.t. Seandainya kita muhasabah diri, sudah berapa Ramadhan kita lalui, dan bagaimana peningkatan diri kita selepas setiap Ramadhan, adakah bertambah baik ataukah bertambah buruk.

Dan kita juga tidak tahu sama ada kita masih berkesempatan untuk bertemu Ramadhan akan datang sekiranya Ramadhan datang bertamu. Namun seandainya ini Ramadhan terakhir, kita mengharapkan kebaikan yang sesungguhnya sebagai bekalan perjalanan kita menuju Ilahi....

Amiin.....

     

Friday, November 11, 2011

Kuliah Jumaat: 11.11.11

Assalamualaikum,

Diakui bahawa tarikh pada hari ini agak unik, 11/11/11. Bagi kalendar Masehi, tarikh seperti ini tidak akan berulang sekurang-kurangnya untuk seribu tahun lagi. Tahun hadapan juga terdapat tarikh yang tidak kurang menariknya iaitu 12/12/12. Cumanya tiada pulak 13/13/13. Mungkin itu juga salah satu sebab mengapa sebahagian manusia menganggap tarikh Masehi akan berakhir di penghujung Tahun 2012.

Kuliah Jumaat di Masjid Tengku Kelana Jaya Putra hari ini disampaikan oleh Ustaz Roslan dari UPM. Kuliah sebelum solat Jumaat hari ini menyentuh berkenaan akidah kita umat Islam.

'Akidah adalah penyuluh kehidupan manusia. Ia memberikan cahaya dan panduan bagi manusia dalam mengharungi perjalanan yang penuh kegelapan.


Antara peringatan-peringatan yang diberikan dapat disimpulkan:
  • Iman dan akidah merupakan suatu nikmat terbesar yang Allah berikan kepada umat manusia di atas muka bumi ini. 
  • Akidah perlu dipelihara dan dijaga dengan baik, dipupuk dan disuburkan dalam hati sanubari manusia.
  • Ibadah merupakan menifestasi kepada akidah. Ianya merupakan nadi kepada akidah yang kita pegang. Ibadah yang sempurna dan mantap menggambarkan akidah yang kukuh di dalam jiwa.
  • Dalam apa jua yang kita lakukan, tujuan utama adalah untuk mencari redha Allah s.w.t. ke atas diri kita.
Ciri-ciri orang beriman adalah sentiasa bertakwa kepada Allah sama ada dalam susah dan senang, mengingati Allah dan mengabdikan diri kepada Allah sepanjang masa. Sesungguhnya Allah akan memelihara orang-orang yang berusaha memelihara iman dan akidahnya.

Semoga perkongsian kali ini akan membuahkan sedikit kebaikan untuk semua.

Wassallam.
 

Thursday, November 3, 2011

Amal lidah

Assalamualaikum w.b.t.

Kuliah Zuhor hari ini disampaikan oleh Ustaz Zaidi.

Kuliah hari ini berkenaan amalan lidah kita. Lidah sebagai salah satu nikmat yang paling berharga dikurniakan oleh Allah s.w.t. kepada manusia. Dengan lidah, manusia boleh bertutur dan berkomunikasi sesama manusia. Dengan lidah juga manusia merasa nikmat makanan yang dimakan, sebelum masuk ke perut. Dengan lidah juga manusia boleh menyatakan kesyukuran kepada Allah atas setiap nikmat yang dikurniakanNya.

Seharusnya nikmat lidah yang Allah kurniakan, digunakan pada tempat yang sepatutnya. Seharusnya, kita menetapkan amalan untuk lidah kita agar ianya tidak menjadi sia-sia atau mudharat bagi diri kita. Antara amalan lidah yang dianjurkan adalah:
  1. Banyakkan membaca Al-Quran ataupun Hadis setiap hari, sebolehnya sebelum tidur. Membaca Al-Quran bukan sahaja hanya amalan untuk lidah, malah ianya untuk menyucikan hati kita yang sering terdedah kepada kekotoran lantara dosa-dosa yang kita lakukan setiap hari.    
  2. Berzikir kepada Allah sama ada zikir umum atau khusus. Amalan lidah yang paling mudah ini, boleh dilakukan pada setiap masa dan ketika.
  3. Mengucapkan selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. dan keluarganya.
  4. Mengajarkan ilmu yang bermanfaat untuk manusia.
  5. Menyuruh ke arah kebaikan dan mencegah dari perkara-perkara mungkar. Memberi nasihat dengan lembut dan hikmah.
Lidah yang baik amalannya, akan membuatkan / memudahkan doa kita diterima oleh Allah s.w.t.

Sebaliknya, peliharalah lidah dari maksiat-maksiat yang begitu berleluasa seperti mengumpat, berkata bohong, mengeji, menyakiti hati orang lain dan sebagainya...

"barangsiapa yang membuka aib saudaranya di dunia ini, Allah akan membuka aibnya di akhirat nanti...
dan barangsiapa yang menyembunyikan aib saudaranya di dunia ini... insya-Allah, Allah akan menutup aibnya di akhirat nanti..."


Semoga ada pengajaran yang boleh kita perolehi, insya-Allah...

Wallahu'a'lam...

  

Tuesday, October 25, 2011

Kita dan Teknologi

Assalamualaikum w.b.t.

Hampir setiap hari, kebanyakan dari kita akan mengadap komputer, sama ada melakukan kerja-kerja di pejabat, melayari internet, chatting, berFaceBook dan sebagainya. Namun, kebanyakan dari kita, termasuk saya sendiri, tidak mengetahui bagaimana komputer berfungsi. Tidak pernah terfikir bagaimana 'binary language system' dalam komputer menentukan bagaimana bentuk huruf 'A', 'B' dan sebagainya. Tidak terfikir bagaimana apabila kita menekan papan kekunci, abjad atau gambar akan terpapar di skrin komputer.

Pada dasarnya, kita hanyalah pengguna teknologi. Dan tidak salah juga jika dikatakan bahawa kita menjadi hamba teknologi. Mungkin kita mahir dalam menggunakan perisian komputer, tapi kita tidak tahu bagaimana fungsi itu diciptakan. Namun kita tidak tahu, sejauh manakah teknologi yang kita sedang gunakan hari ini, teknologi yang kita katakan canggih ini dapat bertahan.

Seandainya, tiba-tiba kita di landa musibah, bencana banjir atau gempa bumi, adakah teknologi yang kita selalu bangga-banggakan ini dapat membantu kita.  Apakah artikel ini dapat bertahan seabad lagi untuk dibaca oleh generasi akan datang? Ataukah semuanya akan lenyap hanya sekelip mata.

Kebergantungan kita kepada satu-satu teknologi tanpa ada back-up plan, akan menjadikan kita sasaran mudah, 'sitting duck' kata orang putih. Cuba bayangkan andai kata esok lusa, teknologi kita diserang, mungkin serangan virus komputer. Segala peralatan komputer tidak berfungsi. Sistem perbankan akan lumpuh, data-data wang simpanan akan hilang. Lalu bagaimana dengan simpanan wang elektronik kita? Apa yang boleh menjadi bukti tentang jumlah simpanan kita, sedangkan kita tidak lagi menggunakan buku akaun. Apabila system perbankan lumpuh, aktiviti ekonomi akan juga lumpuh.

Kita akan kembali ke zaman di mana teknologi tiada lagi sebagaimana zaman tok nenek kita dahulu. Lantas bagaimana dengan kelangsungan hidup kita yang terlalu bergantung kepada teknologi. Mungkin komputer akan hanya menjadi tukun. Peralatan komunikasi akan lumpuh, lantas bagaimana kita berhubung sesama kita? Pastinya hidup akan terasa bosan.

Perlu diingat, peradaban sebelum peradaban kita berkemungkinan lebih canggih berbanding peradaban kita hari ini. Namun selepas dilanda musibah, apakah tanda-tanda kemajuan peradaban mereka? Hampir tiada! Yang ada hanyalah batu! (Dengan izin Allah)
Namun, jika di zaman datuk dan nenek kita dahulu, mereka boleh survive tanpa teknologi canggih, kita juga mungkin boleh, cumanya kita harus belajar semula untuk mengharungi hidup tanpa teknologi. Kita harus belajar hidup bersama alam ciptaan Allah ini, bukan hidup mengasingkan diri dari alam, hanya bertemankan teknologi ciptaan manusia.

Jika anda pernah menonton 'Surrogates', mungkin anda memahaminya....


Saturday, September 10, 2011

Penjajahan Tanah Melayu

Assalamualaikum w.b.t.

Hari ini, Sabtu 10 September 2011. Kita digemparkan oleh Prof Zainal Keling dalam berita TV3 malam tadi dengan kenyataan bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah oleh Inggeris. Kenyataan ini sememangnya amat mengejutkan kita semua, dan menjadikan kita merasa gelihati dengan gelagat setengah-setengah manusia yang menyangka dirinya terpelajar dan berilmu, tetapi bertindak seperti orang bodoh yang membodohkan diri sendiri.

Selama ini, semenjak tahun 1957, raykat Malaysia menyambut hari kemerdekaan pada setiap tarikh 31 August.  Kenyataan yang dilontarkan oleh professor tersebut menimbulkan seribu satu persoalan dalam benak rakyat Malaysia amnya, terutama mereka yang terlibat secara langsung dengan sejarah Malaysia.   
  

Mata pelajaran sejarah yang diajar di sekolah-sekolah Malaysia menyatakan bahawa penjajahan kolonial di Tanah Melayu bermula dari tahun 1511 di mana Kerajaan Melayu Melaka telah jatuh ke tangan Portugis. Walaupun sebelumnya, Kerajaan Melayu Melaka telah terlibat dengan beberapa siri peperangan dengan Kerajaan Siam di utara yang juga cuba menakluk empayar Melaka, Kerajaan Melayu Melaka terus utuh melakar sejarah sehinggalah kedatangan pasukan maritim Portugis. Kerajaan Melayu Melaka telah dikhianati  oleh Datuk Mandaliar yang berdendam dengan Sultan Melaka lantas membuka pintu kota membolehkan tentera Portugis memasuki kota Melaka lantas menyebabkan Kerajaan Melayu Melaka tersungkur dan tewas. Maka bermulalah era penjajahan oleh pihak kolonial Portugis. Ini diikuti dengan kedatangan Belanda yang mengambil alih pemerintahan empayar Portugis. Penjajahan Belanda kemudiannya diikuti oleh pihak Inggeris menduduki tanah melayu.

Ini lah yang selama ini diajar didalam subjek sejarah di sekolah-sekolah di Malaysia ini. Kemerdekaan dicapai hasil rundingan antara pihak UMNO dengan kerajaan British selepas pihak British berpuas hati yang tanah jajahan mereka diserahkan kepada anak tempatan yang mengikuti acuan mereka dan segala kepentingan British di Tanah Melayu tidak tergugat dan masih menyalurkan hasil bumi ke Empayar British.

Sebelum ini kita dihebohkan dengan kononnya Mat Sabu memperlekeh kejadian di Bukit Kepong dengan kenyataan bahawa Mat Indera yang mengetuai serangan ke atas rumah pasong Bukit Kepong adalah hero sebenar yang berusaha membebaskan Tanah Melayu dari tekanan British, manakala polis di rumah pasong berkenaan adalah talibarut British yang bertugas menjaga harta dan aset British. Bila difikirkan, memang ada kebenarannnya kerana kejadian berlaku pada tahun 1950, sebelum kemerdekaan Tanah Melayu.

Kita dapat membaca bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Prof. Zainal Keling adalah bertujuan mencipta polemik bahawa sekiranya kita tidak pernah dijajah oleh British, maka kejadian serangan rumah pasong di Bukit Kepong adalah serangan ke atas polis yang berkhidmat dengan kerajaan manakala pihak PKM adalah petualang yang menentang kerajaan yang sah. Ini akan menyebabkan Mat Sabu terpukul dengan kenyataan beliau sebelumnya yang mengangkat Mat Indera sebagai pejuang.

Namun Prof Zainal Keling terlupa bahawa kenyataannya akan menyebabkan rantaian persoalan lain yang lebih rumit akan timbul, umpamanya:
  • Tarikh kemerdekaan yang dicanang oleh Tunku Abdul Rahman pada 1957 sebenarnya kemerdekaan dari siapa?
  • Jika Tanah Melayu tidak pernah dijajah, mengapa berlaku pemberontakan anak watan menuntut kemerdekaan?
  • Jika kerajaan Melayu telah sedia merdeka dan berdaulat, mengapa begitu bacul sehingga membiarkan British melantik Residen sebagai penasihat sultan, dan mengawal segala aktiviti ekonomi di Tanah Melayu.
  • Mengapa kerajaan yang merdeka begitu senang diperkotak-katikkan oleh British, membuka ladang dan lombong sesuka hati, membawa masuk warga Cina dan India sesuka hati untuk bekerja di ladang dan lombong milik British.
  • Jika benar Malaysia tidak pernah dijajah, mengapa selama 54 tahun kita ditipu oleh buku-buku sejarah yang diajar di sekolah-sekolah.
Sebenarnya banyak lagi persoalan-persoalan yang ingin dikemukakan kepada Prof Zainal Keling berkenaan kenyataan kontroversinya itu. Ianya begitu kontroversi sehingga kelihatan sepertinya kenyataan paling bodoh abad ini. Mungkin kenyataan ini merupakan kenyataan paling bodoh dalam sejarah Malaysia, mengenai sejarah Malaysia.

Semoga kita tidak diperbodohkan lagi.

Wassallam.

  
          

Wednesday, August 3, 2011

Amal dalam kehidupan manusia

Assalamualaikum,

Hari ini 3 Ramadhan 1432H, hari ketiga kita berpuasa.

Sedikit ilmu yang diterima pada sesi tazkirah zuhor pada 1 Ramadhan yang lalu. (Nama ustaz... tak ingat.... maaf). Sesi tazkirah adalah berkenaan keutamaan dalam Islam.
  • Dalam kehidupan muslim, terdapat banyak cabang keimanan yang setiap satu berbeza mengikut keutamaan. Cabang iman yang paling utama dan asas di tingkat keutamaan yang tertinggi adalah 2 kalimah tauhid: Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah s.w.t. dan Nabi Muhammad itu Rasul Allah. Manakala cabang iman yang paling mudah adalah menjauhkan sesuatu yang menyakitkan (duri contohnya) di laluan umum.   

  • Dalam setiap apa yang kita lakukan, keutamaan hendaklah diberikan kepada Allah s.w.t. Cinta dan kasih sayang sesama manusia bergantung kepada 'tali' Islam. Wajib bagi kita meletakkan kecintaan kepada Allah s.w.t. dan Nabi Muhammad s.a.w.melebihi segala-galanya berbanding kecintaan terhadap dunia.

  • Islam mandahulukan akidah berbanding amal. Amal manusia hanya akan dihitung dan dinilaikan apabila akidahnya betul. Maka, jika akidahnya tidak benar dan dia kufur kepada Allah, segala amal kebaikannya di atas muka bumi ini, sepanjang kehidupan ini adalah sia-sia, seumpama debu di atas permukaan batu yang licin, terbang apabila ditiup angin. Maka malang bagi rakan-rakan kita yang masih dalam kekufuran. Begitu juga jika dia Islam, tetapi melakukan sesuatu kebaikan bukan kerana Allah, tetapi kerana yang lain, maka kebaikan itu juga akan sia-sia, sebaliknya mendapat murka Allah. (ini yang dinamakan syirik kecil - nauzubillah...)

  • Islam juga mengutamakan ilmu berbanding amal, kerana beramal tanpa ilmu memungkinkan kita sesat.

Sesungguhnya kehidupan manusia hanya mempunyai satu tujuan dan destinasi, iaitu untuk mati dalam keredhaan Allah s.w.t. Itu adalah kejayaan yang hakiki, insya-Allah....


Saturday, June 25, 2011

Tugas seorang Muslim

Assalamualaikum,

Seperti hari-hari biasa, menjelang jam 1 tengahari, kami berpusu-pusu bergerak keluar dari pejabat menuju kepada haluan masing-masing. Majoriti dengan tujuan untuk mengisi perut yang mula berbunyi minta diisi.

Bersama rakan-rakan sekerja, aku berjalan menuju ke cafe yang jaraknya hanya kira-kira 50 meter dari pejabat. Hidangan hari itu seperti biasa, tiada apa yang luar biasa. Selepas membayar harga makanan, aku duduk bersama 2 lagi rakanku yang masing-masing sedang menikmati hidangan masing-masing.

Sambil menikmati makanan, kami berbual-bual seperti biasa, tentang kehidupan yang semakin mencabar, tentang peristiwa yang berlaku di sekeliling. Namun ada yang agak luar biasa dalam kandungan perbualan kami tengahari itu.

Sahabat ku berkata kira-kira begini "Err... Aku ada dengar ceramah dari seorang alim, katanya.... manusia sekarang ini punya dua dosa besar yang sentiasa dia 'carry' walaupun bagaimana alim pun orang itu.... iaitu 'jihad dan dakwah'...."

Aku terkejut dengan kata-kata itu, lantas fikiran ini menerawang cuba memperhalusi kata-katanya...

Sememangnya apabila kita menilai semula kehidupan kita, sejauh manakah kita melakukan apa yang Allah perintahkan. Kita berkawan dengan sahabat-sahabat yang masih kafir, tapi pernahkah kita berdakwah kepada mereka. Pernahkah terfikir bahawa di akhirat nanti, sahabat kita akan menuntut di hadapan Allah mendakwa bahawa kita tidak pernah menasihati dan berdakwah kepadanya di dunia ini sepanjang kita berkawan dengannya.

Sahabat-sahabat kita yang lalai, mungkin akan menuntut di hadapan Allah bahawa kita semasa di dunia ini hanya mementingkan diri sendiri, menghadiri majlis ilmu, melakukan ibadat tanpa mempedulikan para sahabat kita yang terlalai. Kita terlupa untuk mengingatkan sahabat-sahabat kita akan Allah.

Kita tahu bahawa ramai umat Islam dewasa ini yang tertindas, tetapi kita tidak melakukan apa-apa untuk menolong mereka. Malah kita hanya melihat sambil menggeleng-gelengkan kepala. Mampukah kita menjawab tuntutan saudara kita yang tertindas nanti di hadapan Allah s.w.t. di akhirat kelak.

Sesungguhnya persoalan itu perlu kita fikirkan dan renungkan bersama. Semoga ada hidayah dari Allah untuk kita semua.

"Demi Masa, Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran"

Amin....

  

Tuesday, June 7, 2011

Rendah Hati

Assalamualaikum,

Jam 7 pagi tadi, semasa bersiap untuk ke tempat kerja, saya sempat mengadap TV Astro Oasis. Rancangan Rawat Hatinya Bangunlah bersama Ustaz Aagim dari Indonesia. Topik pagi ini membincangkan berkenaan rendah hati.

Rendah hati berbeza dengan rendah diri:
  • Rendah Diri bermakna memandang diri serba kekurangan berbanding dengan orang lain. Memandang kelebihan orang lain dan membezakan dengan kekurangan diri sendiri. Selalu menyendiri dan malu pada diri sendiri, malu untuk bercampur dengan masyarakat. Banyak punca sifat rendah diri, antaranya; kekurangan fizikal, mental, kesilapan lalu sama ada oleh diri sendiri mahupun orang lain. Sifat rendah diri tidak seharusnya menjadi amalan kita kerana akan menyebabkan kemunduran diri dan peribadi.
  • Berbeza pula dengan sifat meninggi diri; sifat ini sering memandang kelebihan diri sendiri dan membandingkan dengan kekurangan orang lain. Sering merasa bangga diri, riak, takbur, ujub dan pelbagai lagi sifat negatif. Sifat ini sering menjurus kepada merendah-rendahkan orang lain supaya nampak bahawa dirinya bagus dan baik, sedangkan hakikatnya ianya menyebabkan dirinya terhina oleh sikapnya sendiri.
  • Sifat rendah hati adalah sifat terpuji. Ia menyebabkan kita selalu bersyukur dengan pemberian nikmat yang Allah s.w.t. kurniakan kepada kita. Walaupun berlaku 'kekurangan/kecacatan' sedikit (Maha Suci Allah s.w.t. dari menciptakan kecacatan pada makhluknya) namun pelbagai lagi kenikmatan yang kita rasai, tidak terlalu berbangga dengan kejayaan dan kelebihan diri kerana sedar itu semua milik Allah s.w.t.    
Allah s.w.t. menciptakan makhluknya serba sempurna, setiap makhluknya ada tugas dan tanggungjawab yang diberikan, sama ada ringan atau berat. Setiap makhluk yang Allah citpakan dalam alam ini, sama ada di muka bumi, di dalam bumi mahupun di angkasa raya, semuanya mempunyai amanah dan tanggungjawab masing-masing, setiap mereka tunduk, patuh dan taat sama ada secara rela atau terpaksa.

Manakala manusia dan jin, diperintahkan untuk memikul tanggungjawab mengimarahkan muka bumi ini, menjadi Khalifah di muka bumi dan di beri pilihan yang akan dipertanggungjawabkan di bahu-bahu mereka di akhirat kelak. Satu tugas yang amat berat, tidak terpikul oleh gunung-ganang mahupun makhluk lain.

Namun manusia dan jin, sering terlalai atas kebodohan dan kedegilan diri sendiri. 'Insan' bermakna sering terlupa. Maka Allah menurunkan peringatan ke atas umat manusia melalui hamba-hambaNya yang menjadi rasul-rasul Allah, pemberi peringatan. Namun kebanyakan manusia berdegil, lebih menurut perintah hawa nafsu dan syaitan yang memang tugasnya menguji manusia ke arah kesesatan.    

Ya, manusia mudah lupa! Lupa akan asal usul dirinya.

Maka hendaklah kita mendekatkan diri kepada Allah, memohon agar Allah s.w.t. sentiasa memelihara kita setiap masa, dunia dan akhirat.

Amin....

Wednesday, May 25, 2011

Nikmat Umur dan Hati

Assalamualaikum,

Agak lama saya tidak mengemaskini blog ini, agak kesibukan sedikit sejak dua menjak ini. 3 hari lalu saya menyambut ulang tahun kelahiran yang ke 39. Dah terasa tua diri ini. Umur dah lanjut... hehehe. Entah berapa baki umur yang ada, hanya Allah s.w.t. yang mengetahui.

Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih atas ingatan, ucapan dan doa dari keluarga, sahabat handai, sama ada yang bersemuka atau melalui Facebook (teknologi sekarang, bersemuka dalam facebook...). Semoga Allah s.w.t. memberi kebahagiaan dan kejayaan kepada kita di dunia dan akhirat. Betapa terasa diri ini dihargai dan ingin mengucapkan kembali ribuan dan jutaan terima kasih atas ingatan kalian.

Namun, tiba-tiba hati ini tersentak. Betapa kita terlalu menghargai pemberian (walaupun sekadar ucapan) rakan-rakan dan kenalan kita tetapi..... dalam masa yang sama, kita tidak terlalu menghargai pemberian dan ingatan Pencipta kita, Allah s.w.t. Saban hari kita menghirup nikmat udaraNya, nikmat rezekiNya, nikmat umurNya..... namun apakah cukup kita mengucap syukur kepadanya. Malah tidak kurang juga antara kita yang mengingkari amanah dan suruhan Allah dalam kehidupan kita seharian. Kita alpa bahawa diri kita ini hanya pinjaman, kita tidak sekuat mana... Astaghfirullah.....

Sesungguhnya pemberian Allah s.w.t. amatlah luas... melangkaui keluasan langit dan bumi serta isinya.... Subhanallah!!
     
Dan hari ini, alhamdulillah... Allah s.w.t. beri peluang sehari lagi untuk saya memperbaiki diri dan amalan sebagai bekalan yang akan dibawa apabila mati nanti. Semoga Allah s.w.t. memberi kekuatan kepada kita semua untuk beribadat dan bersyukur kepada Allah sepanjang masa.... aminn...

Pada tengahari 21 Mei 2011, kita digemparkan dengan kejadian tanah runtuh di Ulu Langat yang melibatkan rumah perlindungan anak-anak yatim yang mengorbankan beberapa nyawa. Takziah diucapkan kepada mangsa dan yang mengenali mereka. Kepada yang pergi, Allah lebih sayangkan mereka. Allah s.w.t. menjemput mereka dalam usia yang muda, insya-Allah... mereka bakal penghuni Syurga Allah kelak. Cuma, kita yang harus muhasabah diri kita sendiri, apakah nasib kita selepas mati kelak.

Pada minggu lepas, saya menghadiri kuliah ilmu yang ingin dikongsikan bersama:

Sebagaimana kita maklumi, hati adalah raja kepada tubuh badan kita manakala akal adalah penasihat kepada hati sedangkan ilmu sebagai rujukan kepada akal. Anak-anak yang lahir adalah seumpama kain putih, maka tanggungjawab ibu bapa yang mencorakkannya.

Keadaan hati:
  • Saat kelahiran sehingga 6 bulan - hati manusia sangat suci dan bersih
  • Umur 6 bulan hingga 2 tahun    - hati manusia bersinar dan sedia menerima ilmu
  • Umur 2 tahun hingga 7 tahun    - hati manusia lebih bersinar, paling mudah menerima ilmu
  • Umur 7 tahun hingga akil baligh- hati manusia sudah mula kelam oleh pengaruh luar
  • Akil baligh ??? kita harus memikirkannya                              
Bagaimana mensucikan hati? Dengan membaca dan menghayati bacaan Al-Quran... insya-Allah akan dapat mensucikan hati yang kelam dan kotor. Jadi perbanyakkanlah membaca Al-Quran dangan cukup rukun dan tartil, dan cuba fahami maksudnya.

Wallahu'alam.

Wednesday, April 27, 2011

Rezeki dan harta

Assalamualaikum,

Dah lama saya tak menulis dalam ruangan ini, agak sibuk sedikit kebelakangan ini... heheh....

Alhamdulillah atas kurniaan Allah dan rezeki yang Dia kurniakan ke atas tiap-tiap makhlukNya di dalam alam ini. Setiap kita mampunyai rezeki kita sendiri, sebagaimana telah ditentukan oleh Allah. Hanya Allah s.w.t. yang boleh mengubah rezeki kita, sama ada di tambah atau dikurangkan. Rezeki adalah antara perkara nyata dan ghaib; nyata kerana kita dapat melihat dan merasanya, ghaib kerana kita tidak tahu sejauh mana rezeki yang telah ditentukan untuk kita.

Setiap hari kita menerima rezeki daripada Allah s.w.t. Setiap saat dan ketika juga kita menikmati rezeki pemberian Allah s.w.t. Namun, pernahkah kita mengucap terima kasih kepada Allah atas rezeki kurniaanNya.

Siapa yang boleh mengatakan bahawa apa yang dinikmatinya adalah hasil dari usaha dan susah payahnya? Siapa?

Jika kita ingin menyenaraikan nikmat dan rezeki kurniaan Allah kepada kita, pasti kita tidak akan berupaya... pasti kita akan merasa betapa kerdilnya diri kita:
  • Diri kita; nyawa, tubuh badan, deria, tutur kata, pemikiran, anggota, segalanya pada diri kita adalah milik Allah s.w.t. direzekikan kepada diri kita.
  • Apa yang kita nikmati; makanan, pakaian, tempat tinggal, kenderaan; segala nikmat yang kita rasa adalah kurniaan/pinjaman Allah kepada diri kita untuk kita nikmati sementara kita berada di muka bumi Allah ini.
  • Bumi tempat tinggal kita, tempat kita mencari rezeki dan penghidupan; adalah milik Allah s.w.t. Setiap helaan nafas keluar dan masuk, adalah atas ehsan Allah s.w.t.
Banyak lagi kurniaan Allah s.w.t. yang biasanya kita terlupa.

Kebanyakan antara kita melihat rezeki kurniaan Allah dalam bentuk harta yang Allah berikan kepada kita. Hakikat sebenarnya, harta itu hanyalah pinjaman Allah, belum lagi menjadi rezeki.      


Saya pernah mendengar daripada seorang ustaz yang menyatakan: apa yang dinamakan rezeki kurniaan Allah s.w.t. adalah -
  1. Makanan yang kita makan lalu manjadi darah daging.
  2. Pakaian yang kita pakai sehingga lusuh.
  3. Harta yang kita sedekahkan ke jalan Allah s.w.t. (termasuk harta fizikal serta usaha dan tenaga serta kebaikan yang kita lakukan pada jalan Allah)  
Segala apa yang kita belanjakan dan lakukan, akan dinilai dan dipertanggungjawabkan di atas bahu kita nanti di Akhirat kelak. Namun begitu, kita harus bersyukur kepada Allah s.w.t. atas satu kurniaanNya yang paling besar iaitu nilai Iman yang Dia masukkan ke dalam hati sanubari kita.

Iman kurniaan Allah ini haruslah kita jaga dan berusaha manyuburkan dan membajainya supaya berterusan sehingga akhir hayat kita (juga atas belas ehsan Allah s.w.t.). kerana tanpa Iman ini, segala usaha dan kebaikan yang kita lakukan adalah sia-sia....

Segala yang baik hanya dari Allah s.w.t. 

Wassallam....

Saturday, April 16, 2011

Teknologi: GIS

Dua hari aku menghadiri training dalam Geographical Information System GIS. Semalam di Ground Data Solution di PJ dan hari ini di Geoinfo Services SB, Taman Melawati KL. 

Menarik juga bila belajar semula perkara yang lama aku telah tinggalkan dan perkara yang aku baru pelajari. Terasa diri ini banyak ketinggalan, tak terkejar rasanya kalau nak mengikut perkembangan dan kemajuan teknologi. Lebih membuat aku terasa sangat apabila aku melihat golongan muda lebih terkehadapan dalam teknologi terkini.  

Perkara mudah, staff yang 'mengajar' atau memberi penerangan dan briefing kepada kami rata-rata baru setahun menamatkan pengajian mereka. Dan kelihatannya mereka begitu bersemangat dan confident serta berpengetahuan mendalam (mungkin disebabkan setiap hari mereka mengadap kerja mereka yang berkaitan dengan teknologi GIS.... hehehe) 

Semalam, staff yang mengajar di GDS, Atikah, baru graduate tahun lepas dari UiTM. Manakala hari ini staff yang mengajar, Nadia, juga graduate tahun lepas di UTM Skudai. Melihat pada cara gaya si Nadia mengajar, tidak kekok langsung malah dengan confident sekali. Bila aku siasat sket, rupanya dia menjadi guru tuisyen matematik secara sambilan di rumahnya (keluarganya tinggak di Ulu Klang).

Kalau nak ikutkan, malu juga bila dah tua-tua macam ni baru nak belajar tentang GIS, sedangkan aplikasinya sudah mula digunakan secara menyeluruh di kebanyakan bidang pengetahuan dan pekerjaan daripada perladangan, perikanan, industri, pengawalan dan termasuk engineering. Tapi, macam biasa, aku tebalkan muka dan bertanya sebanyak mungkin untuk aku cungkil ilmu pengetahuan dari mereka.

Tak salahkan kita belajar dari orang yang lebih muda dari kita.


Memang kalau kita perhatikan, sememangnya anak muda punya semangat dan kekuatan dalam memanfaatkan teknologi dalam zaman mereka (mungkin zaman aku dah mula berlalu... hehehe, kini zaman mereka, zaman teknologi canggih... hahaha). Golongan 'tua' atau 'orang lama' biasanya sedikit beku dengan teknologi.

Contoh termudah, handphone sering bertukar ganti, dari satu model kepada model seterusnya. Banyak aplikasi-aplikasi terkini yang canggih-manggih keluar dengan model-model terbaru hp, tapi bagi aku, aplikasi-aplikasi itu agak kurang aku gunakan, malah setengahnya tidak aku hiraukan. Bagiku, cukup apabila aku dapat meng'akses' perkara asas yang aku perlukan: perhubungan, maklumat penghubung (phonebook) itu yang penting. Dan kini aku baru belajar menggunakan 'map' dalam Blackberry, penggunaan email dan access internet serta modem.

Walaupun aku tahu banyak lagi aplikasi-aplikasi canggih dalam blackberry tu, tapi semacam tiada masa pulak aku nak 'explore'.... hehehe. Mungkin otak aku dah mula beku, hehehe....

Namun, aku masih percaya, kita tidak boleh terlalu bergantung sepenuhnya kepada teknologi. Sesekali kita harus meninggalkan HP di rumah, dan menikmati kehidupan kita dengan sendiri, tanpa dihantui oleh teknologi. Sesekali keterasingan itu juga berguna dan menenangkan.....

    

Wednesday, April 13, 2011

'Last minute'...!

Hmm..... kita dah memasuki minggu kedua bulan April 2011. Ketika ini tentunya isu yang pasti hot adalah berkenaan taksiran cukai pendapatan dan juga perniagaan. Pasti ramai yang berkira-kira bagaimana untuk mendapatkan rebat sebanyak yang mungkin untuk mengurangkan cukai yang perlu dibayar. Ketika inilah kita menyelongkar semula segala resit-resit pembelian buku-buku, komputer, bayaran broadband, resit bayaran zakat sama ada zakat pendapatan ataupun zakat fitrah.   


Kalau dulu kita biasa mengisi borang BE 'hardcopy', sekarang kita mengisi borang BE melalui sisten 'online'. Pastinya lebih mudah. Tetapi ramai juga yang masih menunggu saat-saat akhir untuk mengisi borang.

Ketika itulah akan terdengar banyak rungutan orang ramai berkenaan sistem yang 'lembab', pegawai itu lambat, tak faham, dan sebagainya. Entah kenapa budaya 'last minute' ini begitu amat-amat 'sebati' dengan rakyat kita ini, tidak terkecuali jugak aku sendiri.... heheheh.

Kalau kita memandang semula sejarah diri kita sendiri, di zaman persekolahan, kita juga mengaplikasikan diri dengan budaya 'last minute' ini. Kebanyakan yang berlaku, para pelajar (termasuk aku ketika itu) hanya lebih menumpukan perhatian terhadap pelajaran ketika hampir dengan peperiksaan. Pada masa-masa peperiksaan dirasakan masih jauh, kita lebih banyak bermain-main dan berangan-angan.

Guru-guru dan ibu bapa juga memainkan peranan dengan menekankan peperiksaan sebagai matlamat pembelajaran, bukannya ilmu itu sendiri. Malah, kita ketika ini masih menekankan perkara yang sama terhadap anak-anak kita akan peri pentingnya peperiksaan berbanding ilmu yang didapati. Agak-agak nanti, pasti anak-anak kita akan turut meng'aplikasi'kan budaya 'last minute' dalam hidup mereka. ketika itu kita hanya boleh menggigit jari sambil merungut, mengapa jadi begini...???

Sedangkan kita tahu dan sedar jawapannya ada pada kita ketika ini. Tapi, mahukah kita berubah dan merubahnya...?

Untuk difikirkan bersama....
 

Monday, April 11, 2011

Pergi Tak Kembali

Sebentar tadi saya membuka Blog Rabbani, teringat pulak Ustaz Asri yang telah pergi meninggalkan kita, serta lagu nasyid yang paling meninggalkan kesan di sanubari... Jadi dinukilkan di sini, seni kata lagu berkenaan untuk kita hayati dan renungi bersama...

Pergi Tak Kembali 

Setiap insan pasti merasa
Saat perpisahan terakhir
Dunia yang fana akan ditinggalkan
Hanya amalan yang dibawa

Terdengar sayup surah dibaca
Sayunya alunan suara
Cemas di dada lemah tak bermaya
Terbuka hijab di depan mata

Selamat tinggal pada semua
Berpisah kita selamanya 
Kita tak sama nasib di sana
Baikkah atau sebaliknya

Amalan dan takwa jadi bekalan
Sejahtera bahagia pulang ke sana

Sekujur badan berselimut putih
Rebah bersemadi sendiri
Mengharap kasih anak dan isteri
Apa mungkin pahala di kirim

Terbaring sempit seluas pusara
Soal bicara terus bermula
Sesal dan insaf tak berguna lagi
Hancurlah jasad dimamah bumi

Berpisah sudah segalanya
Yang tinggal hanyalah kenangan
Di iring doa dan air mata
Yang pergi tak kan kembali lagi

Amalan dan takwa jadi bekalan
Sejahtera bahagia pulang ke sana...

Sama-samalah kita berdo'a semoga akhiran hidup kita dengan kalimah 'la ilaha'illallah, muhamad rasulullah'.....

Sakit gigi

Assalamualaikum,

Bangun pagi gigi terasa sakit. Sebenarnya dah lebih dua minggu gigi geraham ni meragam. Tampalan yang dilakukan lebih setahun lalu tertanggal dan pecah. Jadi hari ni aku MC.

Awalnya aku bercadang nak kerja hari ini, tapi bila gigi semakin sakit, berkumur dan gosok gigi pun terasa sakit, makan pun terpaksa kunyah dengan berhati-hati, jadi aku membatalkan niat. Aku kena ke klinik gigi hari ni.   

Jam 0910 pagi aku dah terpacak di depan Klinik Pergigian Mastura, Rantau Panjang, Klang. Ini kali ketiga aku mengunjungi klinik ini (kali pertama dan kedua lebih setahun yang lalu). Hari ni aku jadi pelanggan kedua Dr Mastura Misran. Nasib la Dr Mastura ni baik orangnya. Jadi doktor kenalah kata orang manis mulut, barulah pesakit yang tengah sakit pun rasa lega sket. Dr Mastura graduate dari UM, tak pasti tahun bila, mungkin sekitar tahun 2000.   

Setelah diperiksa, doktor kata, tampalan yang lama telah tertanggal, jadi lubang tampalan dahulu terbuka mendedahkan saraf gigi, tapi gigi masih elok. Dr cadangkan tampalan sementara dahulu. Aku setuju jer... lagipun sayang jugak nak buang gigi geraham tu, banyak jasanya. Kalau tak ade, payah nak mengunyah. 

Bila kena bius, mulut terasa kebas, bibir terasa tebal. Cakap pun macam boleh tak boleh je. Semasa berkumur untuk keluarkan sisa-sisa dalam mulut yang digerudi (betul ke), air tersembur keluar, susah nak kawal sebab bibir terasa kebas. Doktor siap tergelak kecil. Aku tergelak sekali. Terasa macam masuk raja lawak la pulak.... hehehe.

Anyway, Dr kata ini tampalan sementara. Minggu depan aku terpaksa ke klinik ni lagi untuk rawatan susulan. Tapi hari ini aku MC, mulut masih terasa bengkak. 

Semalam, aku berusaha menjadi plumber, akibat saluran keluar air dari sinki dan bilik air yang tersumbat. Lebih dua jam la juga aku dan bakal biras aku mengusahakan utk meng'clear'kan saluran air tu, akhirnya terpaksa cari bantuan pakar, seorang jiran yang lebih tahu selok belok saliran air kawasan perumahan ni (dia dah berpengalaman beberapa kali membantu jiran-jiran yang mengalami masalah yang sama).

Pertama kali aku menyelokkan tangan ke dalam saluran keluar air tu. Macam-macam bau dan rasa yang ada, kalau tak tahan ade yang muntah. Dengan lendir, minyak dan lemak serta bau longkang yang meloyakan. Yekkk...!!! Aku jumpa ketulan lemak yang dah beku, lipas mati dan macam-macam yang aku tak tau macam mana nak 'discribe'.... hehehe...

Finally, bila jiran aku datang membantu, dia keluarkan sekeping pecahan 'seramic' yang jadi punca saluran tu tersumbat. Barulah lega. So, next time mungkin aku tahu apa nak dilakukan bila saluran keluar air tersumbat lagi.... hehehe.... 

Wassallam.

Monday, April 4, 2011

Kau Ilhamku

Sewaktu singgah di sebuah gerai untuk membeli kuih (bekalan sarapan), terdengar lagu Kau Ilhamku dendangan saudara Man Bai dari corong radio (dahulu radio menggunakan corong pembesar suara). Lagu ini sudah lama, rasanya sejak aku berada di universiti lagi lagu ini sudah top, dan ramai sahabat-sahabatku dulu menggunakan lagu ini dengan caranya yang tersendiri. Kata orang ade 'feeling' lah.... dan aku pun tidak terkecuali menjiwai lagu ini... hehehe

Dah sepanjang perjalanan ke pejabat, lagu ini bermain-main di benak kepalaku, berulang kali. Ia sememangnya memberi makna tersendiri bagi diriku... hahaha....

Berikut senikata lagu berkenaan... bagi yang pernah mendengarnya, baca dan dendangkan dalam kepala anda....

Kau Ilhamku

Beribu bintang di langit kini menghilang
Meraba aku dalam kelam
Rembulan mengambang kini makin suram
Pudar ilhamku tanpa arah

Sedetik wajahmu muncul dalam diam
Ada kerlipan ada sinar
Itukah bintang ataupun rembulan
Terima kasih ku ucapkan

Izinkan ku mencuri bayangan wajahmu
Izinkan ku mencuri khayalan denganmu
Maafkanlah ooo...
Andai lagu ini mengganggu ruangan hidupmu
Kau senyumlah ooo...
Sekadar memori kita di arena ini

Kau ilhamku...
Kau ilhamku....
Kau ilhamku...

Sekian dahulu...

Monday, March 28, 2011

Antara lilin, pelita dan mentol....

Saya sering melayari blog Saifulislam.com kelolaan ustaz Hasrizal, sebuah blog yang padat dengan pengajaran dari sudut pandang yang berbeza dari biasa. Sebuah blog yang memaparkan kisah, pengajaran dan pengalaman yang hanya dilalui oleh sebahagian kecil dari kita.

'Erti hidup pada memberi' begitulah moto blog beliau dan kini ianya menjadi sebahagian dari pengertian hidup yang cuba saya amalkan.

Di dalam alam Melayu kita sering mewakilkan istilah pengorbanan insan sebagai 'lilin yang membakar diri, menerangi orang lain'. Sang lilin, sanggup mengorbankan dirinya demi kebahagiaan orang lain amnya, dan semestinya kebahagian orang-orang yang disayanginya. Namun pengorbanan lilin seringkali kita lupakan apabila bahan bakarnya telah habis, tidak berganti. Bahan bakar lilin adalah beku dan pejal, maka pengorbanan sang lilin hanya sekali, habis lilin maka hilanglah cahayanya...

Bagaimana pula dengan pelita, juga membakar sumbunya (tetapi tidak dirinya), dengan berbekalkan bahan bakar yang boleh diisi semula. Namun sang pelita tidak mengorbankan dirinya. Pelita boleh digunakan berkali-kali, selagi kita mengisi semula bahan bakarnya, selagi itu pelita boleh berkhidmat memberikan cahaya sebagai petunjuk kepada persekitarannya.

Bagaimana dengan mentol? Kini kita sinonim dengan mentol yang memberikan cahaya yang segera apabila diperlukan, hanya petik suis, maka dengan sekelip mata bilik yang asalnya gelap menjadi terang. Namun kedudukan mentol biasanya tetap pada suatu tempat, tidak berubah.

Lain pula halnya dengan lampu picit yang boleh di bawa ke mana-mana..... hehehe...

Berbalik kepada lilin, pelita dan mentol, apakah natijahnya dalam kehidupan kita?

Mentol, adalah hasil akhir pencipta mentol yang berjaya dihasilkan selepas beberapa lama usaha keras tanpa jemu dalam membuat eksperimen berkenaan letrik. Kini, kemudahan yang kita ada membolehkan ianya menerangi setiap bilik di dalam rumah kita. Kini boleh diandaikan mentol sebagai antara sumber utama cahaya untuk manusia di waktu malam, dengan syarat bekalan letrik sentiasa ada. Ini menjadikan orang ramai tidak lagi menggunakan pelita dan lilin, hanya bakal digunakan apabila bekalan letrik terputus, ataupun bagi menerangi ruang-ruang yang tidak diterangi oleh mentol lampu.

Begitu juga dengan kehidupan kita, kepelbagaian ilmu telah diteroka dan kita menikmati hasilnya hari ini dengan kemajuan sains dan teknologi hasil dari pemikir-pemikir yang tidak pernah jemu menerokai ilmu. Sejarah menunjukkan, perkembangan ilmu mutakhir ini dipelopori oleh sarjana-sarjana Islam selepas mendalami ilmu-ilmu asas yang dibawa oleh junjungan besar Rasulullah.

Namun sesekali kita menemui masih ada ruang-ruang yang belum diterokai dan disinari cahaya. Maka khidmat pelita dan lilin amat-amat diperlukan di daerah-daerah sebegini. Dan sebagaimana kita tahu, antara pelita dan lilin, kedua-duanya berjasa, namun antara kebekuan lilin yang berkhidmat hanya sekali dan kebolehan pelita untuk diisi semula bahan bakarnya bagi melanjutkan tempoh khidmatnya, yang mana satukah diri kita.

Pengorbanan yang kita lakukan untuk menerangi orang lain, tidak seharusnya memangsakan diri kita sendiri. Sebaliknya, kita seharusnya berusaha menjadi pelita yang tidak pernah kering bahan bakarnya dan menerangi sebahagian ruang, walaupun kita tidak dapat menjadi mentol yang menerangi keseluruhan ruang...