Monday, March 28, 2011

Antara lilin, pelita dan mentol....

Saya sering melayari blog Saifulislam.com kelolaan ustaz Hasrizal, sebuah blog yang padat dengan pengajaran dari sudut pandang yang berbeza dari biasa. Sebuah blog yang memaparkan kisah, pengajaran dan pengalaman yang hanya dilalui oleh sebahagian kecil dari kita.

'Erti hidup pada memberi' begitulah moto blog beliau dan kini ianya menjadi sebahagian dari pengertian hidup yang cuba saya amalkan.

Di dalam alam Melayu kita sering mewakilkan istilah pengorbanan insan sebagai 'lilin yang membakar diri, menerangi orang lain'. Sang lilin, sanggup mengorbankan dirinya demi kebahagiaan orang lain amnya, dan semestinya kebahagian orang-orang yang disayanginya. Namun pengorbanan lilin seringkali kita lupakan apabila bahan bakarnya telah habis, tidak berganti. Bahan bakar lilin adalah beku dan pejal, maka pengorbanan sang lilin hanya sekali, habis lilin maka hilanglah cahayanya...

Bagaimana pula dengan pelita, juga membakar sumbunya (tetapi tidak dirinya), dengan berbekalkan bahan bakar yang boleh diisi semula. Namun sang pelita tidak mengorbankan dirinya. Pelita boleh digunakan berkali-kali, selagi kita mengisi semula bahan bakarnya, selagi itu pelita boleh berkhidmat memberikan cahaya sebagai petunjuk kepada persekitarannya.

Bagaimana dengan mentol? Kini kita sinonim dengan mentol yang memberikan cahaya yang segera apabila diperlukan, hanya petik suis, maka dengan sekelip mata bilik yang asalnya gelap menjadi terang. Namun kedudukan mentol biasanya tetap pada suatu tempat, tidak berubah.

Lain pula halnya dengan lampu picit yang boleh di bawa ke mana-mana..... hehehe...

Berbalik kepada lilin, pelita dan mentol, apakah natijahnya dalam kehidupan kita?

Mentol, adalah hasil akhir pencipta mentol yang berjaya dihasilkan selepas beberapa lama usaha keras tanpa jemu dalam membuat eksperimen berkenaan letrik. Kini, kemudahan yang kita ada membolehkan ianya menerangi setiap bilik di dalam rumah kita. Kini boleh diandaikan mentol sebagai antara sumber utama cahaya untuk manusia di waktu malam, dengan syarat bekalan letrik sentiasa ada. Ini menjadikan orang ramai tidak lagi menggunakan pelita dan lilin, hanya bakal digunakan apabila bekalan letrik terputus, ataupun bagi menerangi ruang-ruang yang tidak diterangi oleh mentol lampu.

Begitu juga dengan kehidupan kita, kepelbagaian ilmu telah diteroka dan kita menikmati hasilnya hari ini dengan kemajuan sains dan teknologi hasil dari pemikir-pemikir yang tidak pernah jemu menerokai ilmu. Sejarah menunjukkan, perkembangan ilmu mutakhir ini dipelopori oleh sarjana-sarjana Islam selepas mendalami ilmu-ilmu asas yang dibawa oleh junjungan besar Rasulullah.

Namun sesekali kita menemui masih ada ruang-ruang yang belum diterokai dan disinari cahaya. Maka khidmat pelita dan lilin amat-amat diperlukan di daerah-daerah sebegini. Dan sebagaimana kita tahu, antara pelita dan lilin, kedua-duanya berjasa, namun antara kebekuan lilin yang berkhidmat hanya sekali dan kebolehan pelita untuk diisi semula bahan bakarnya bagi melanjutkan tempoh khidmatnya, yang mana satukah diri kita.

Pengorbanan yang kita lakukan untuk menerangi orang lain, tidak seharusnya memangsakan diri kita sendiri. Sebaliknya, kita seharusnya berusaha menjadi pelita yang tidak pernah kering bahan bakarnya dan menerangi sebahagian ruang, walaupun kita tidak dapat menjadi mentol yang menerangi keseluruhan ruang...

No comments:

Post a Comment