Friday, March 25, 2011

Mimbar Jumaat 20110325

Assalamualaikum,

Kuliah sebelum solat Jumaat di Masjid Kelana Jaya hari ini diberikan oleh seorang pendakwah muda (maaf saya terlupa namanya...)

Ringkasan kuliah yang beliau berikan boleh disimpulkan seperti berikut:

Iman, merupakan perkara paling asas dalam kehidupan manusia dalam mendasari perjalanannya menuju Akhirat. Takrifan Iman adalah 'membenarkan dengan hati, melafazkan dengan lisan dan dibuktikan dengan perbuatan'. Manakala ibadah adalah menifestasi keimanan yang dibuktikan dengan lafaz dan perbuatan, namun harus didasari dengan ilmu dan kesedaran (bukan sekadar ikutan tanpa ilmu).

Tugas utama umat Islam adalah 'amar makruf, nahi mungkar' iaitu mengajak kepada kebaikan dan mencegah perkara kemungkaran selain memantapkan keimanan kepada Yang Maha Esa. Umat Islam harus saling ingat-mengingati antara satu sama lain kerana sememangnya sifat manusia (insan) adalah 'pelupa'.

Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar

Secara amnya, setiap masa dan ketika manusia harus membuat pilihan berdasarkan sistem yang telah Allah s.w.t tetapkan untuk urusan-urusan makhlukNya di dunia (Sunnatullah). Apabila bangun dari tidur, kita dihidangkan kepada pilihan-pilihan antara yang baik dan buruk, antara pahala dan dosa, dan yang paling utama antara syurga dan neraka. Harus diingat, tiada pilihan ketiga untuk kita.

Untuk membolehkan kita membuat pilihan yang betul, harus mempunyai ilmu. Dan dengan ilmu, manusia harus patuh; sama ada dengan sukarela atau terpaksa. Maka wajib bagi umat Islam untuk mencari dan menimba ilmu dengan sebanyak-banyaknya sebagai panduan dalam meniti lorong-lorong kehidupan yang penuh onak dan duri.

Manusia tidak boleh berputus asa dari rahmat Allah kerana rahmatNya tersebar luas di muka bumi ini.

Wassallam.

No comments:

Post a Comment