Tuesday, June 7, 2011

Rendah Hati

Assalamualaikum,

Jam 7 pagi tadi, semasa bersiap untuk ke tempat kerja, saya sempat mengadap TV Astro Oasis. Rancangan Rawat Hatinya Bangunlah bersama Ustaz Aagim dari Indonesia. Topik pagi ini membincangkan berkenaan rendah hati.

Rendah hati berbeza dengan rendah diri:
  • Rendah Diri bermakna memandang diri serba kekurangan berbanding dengan orang lain. Memandang kelebihan orang lain dan membezakan dengan kekurangan diri sendiri. Selalu menyendiri dan malu pada diri sendiri, malu untuk bercampur dengan masyarakat. Banyak punca sifat rendah diri, antaranya; kekurangan fizikal, mental, kesilapan lalu sama ada oleh diri sendiri mahupun orang lain. Sifat rendah diri tidak seharusnya menjadi amalan kita kerana akan menyebabkan kemunduran diri dan peribadi.
  • Berbeza pula dengan sifat meninggi diri; sifat ini sering memandang kelebihan diri sendiri dan membandingkan dengan kekurangan orang lain. Sering merasa bangga diri, riak, takbur, ujub dan pelbagai lagi sifat negatif. Sifat ini sering menjurus kepada merendah-rendahkan orang lain supaya nampak bahawa dirinya bagus dan baik, sedangkan hakikatnya ianya menyebabkan dirinya terhina oleh sikapnya sendiri.
  • Sifat rendah hati adalah sifat terpuji. Ia menyebabkan kita selalu bersyukur dengan pemberian nikmat yang Allah s.w.t. kurniakan kepada kita. Walaupun berlaku 'kekurangan/kecacatan' sedikit (Maha Suci Allah s.w.t. dari menciptakan kecacatan pada makhluknya) namun pelbagai lagi kenikmatan yang kita rasai, tidak terlalu berbangga dengan kejayaan dan kelebihan diri kerana sedar itu semua milik Allah s.w.t.    
Allah s.w.t. menciptakan makhluknya serba sempurna, setiap makhluknya ada tugas dan tanggungjawab yang diberikan, sama ada ringan atau berat. Setiap makhluk yang Allah citpakan dalam alam ini, sama ada di muka bumi, di dalam bumi mahupun di angkasa raya, semuanya mempunyai amanah dan tanggungjawab masing-masing, setiap mereka tunduk, patuh dan taat sama ada secara rela atau terpaksa.

Manakala manusia dan jin, diperintahkan untuk memikul tanggungjawab mengimarahkan muka bumi ini, menjadi Khalifah di muka bumi dan di beri pilihan yang akan dipertanggungjawabkan di bahu-bahu mereka di akhirat kelak. Satu tugas yang amat berat, tidak terpikul oleh gunung-ganang mahupun makhluk lain.

Namun manusia dan jin, sering terlalai atas kebodohan dan kedegilan diri sendiri. 'Insan' bermakna sering terlupa. Maka Allah menurunkan peringatan ke atas umat manusia melalui hamba-hambaNya yang menjadi rasul-rasul Allah, pemberi peringatan. Namun kebanyakan manusia berdegil, lebih menurut perintah hawa nafsu dan syaitan yang memang tugasnya menguji manusia ke arah kesesatan.    

Ya, manusia mudah lupa! Lupa akan asal usul dirinya.

Maka hendaklah kita mendekatkan diri kepada Allah, memohon agar Allah s.w.t. sentiasa memelihara kita setiap masa, dunia dan akhirat.

Amin....

No comments:

Post a Comment