Friday, January 15, 2010

Keretapi Tanah Melayu 1

Pertengahan Tahun 1990, menyaksikan aku yang mula melangkah ke matrikulasi USM di Sek. Tun Syed Sheh Shahabudin di Bukit Mertajam berulang alik dari selatan semenanjung ke utara dengan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu a.k.a. KTM.

Aku menaiki keretapi Sinaran Pagi dari bandar Kluang, sekitar jam 10 pagi. Memang jadualnya sebegitu. Ketika itu aku merasakan perjalanan dengan keretapi agak lama dan lambat, sehinggakan aku selalu merungut-rungut. Tapi apabila memikirkannya kini, aku bersyukur kerana jika kita merenung semula nostalgia perjalanan yang pernah aku hadapi, banyak perkara dan pengalaman yang boleh aku pelajari cuma.. ketika itu aku cuma anak muda yang serba tidak sabar, masih mentah dalam perjalanan kehidupan. Lantas, banyak perkara yang aku terlepas pandang.

Sepanjang perjalanan, kita boleh melihat barbagai-bagai gelagat manusia andai kita memerhati...

Kebanyakan penumpang yang menunggu di atas platform, segera bersedia apabila keretapi menghampiri stesyen. Masing-masing mencapai beg dan barangan peribadi lalu sebaik keretapi hampir berhenti, masing-masing menjengah kedalam gerabak melalui tingkap koc yang selalunya terbuka (maklumlah gerabak kelas 3 tiada air-cond). Mana-mana tempat duduk yang tiada penghuni, maka beg akan dicampak dahulu ke dalam koc sebagai tanda tempat telak di'book'.

Agak kasihan pada warga tua yang kadang-kadang terkial-kial menaiki gerabak penumpang dalam keadaan bersesak-sesak. Biasanya, aku tidak berjaya mendapatkan tempat duduk dengan cara mencampakkan beg. Jika kebetulan kurang penumpang, maka dapatlah aku tempat duduk, itu pun setelah berjalan dari satu gerabak ke satu gerabak. Jika ketika itu penumpang ramai, maka merasalah aku berdiri sepanjang perjalanan dari Kluang ke Kuala Lumpur, atau duduk di atas beg berhampiran pintu gerabak. Malah ada juga penumpang yang bergayut di pintu gerabak yang terbuka dek kerana gerabak yang penuh, mungkin selepas dua atau tiga stesen kemudian, baru dapat bergerak sedikit ke dalam gerabak. Tiba di Gemas, penumpang ke Pantai Timur akan bertukar keretapi, manakala keretapi sedia ada biasanya akan meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur. Tiba di Stesen Kuala Lumpur, biasanya pada jam 6.00 p.m. (8 jam perjalanan..) Penumpang masing-masing akan turun di Stesen Kuala Lumpur dan menunggu keretapi untuk perjalanan seterusnya. Ketika inilah aku akan bergegas ke kaunter tiket untuk membeli tiket bagi perjalanan ku seterusnya ke Bukit Mertajam.

Pernah aku menyuarakan pertanyaan di kaunter stesen di Stesen Keretapi Kluang...

"Kak, tiket ke Bukit Mertajam tak ada ke?"

"Tak ada lah dik, tiket ke Kuala Lumpur je.. Tiket ke Bukit Mertajam kena beli di Stesen Kuala Lumpur. Kalau keretapi express adalah, keretapi kelas 3 tak ada " beritahu kerani bertugas.

"Kenapa kak?"

"Takut keretapi penuh la dik sebab kena tukar kat Stesen KL. Kita tak tahu berapa ramai yang nak naik dari stesen KL tu" jelasnya.

Biasanya keretapi dari Kuala Lumpur ke utara akan bertolak jam 8.00 p.m. Jika ada tiket, maka dapatlah aku menaiki keretapi seterusnya, Senandung Malam. Kalau tidak, terpaksalah aku bermalam di Kuala Lumpur. Lebih menyukarkan, penumpang tidak dibenarkan tidur di dalam stesen. Kami diarahkan keluar dari stesen selepas jam 10.00 malam.

Maka aku yang tidak berjaya mendapat tiket ke utara, terpaksa duduk di luar stesen keretapi. Mula-mula memang tak risau sangat kerana masih ramai orang, terutamanya pemandu teksi. Tetapi lama kelamaan, orang semakin kurang kerana masing-masing telah pulang beradu, tinggal aku duduk seorang di luar stesen. Maka aku menggalas beg pakaianku, melangkah menuju ke pusat bandar Kuala Lumpur dalam sinaran neon malam yang gemerlapan.

Pertama kali pengalamanku berjalan seorang diri menyusuri jalan raya di Kuala Lumpur, dari satu jalan ke satu jalan dengan memikul beg pakaian yang tidak kurang bebanannya. Ketika itu terfikir jugak kemungkinan-kemungkinan di'pau' oleh mamat-mamat KL. Tapi alhamdulillah, aku selamat.

Aku terus menapak dan sesekali berhenti setelah penat, tidak tahu ke mana arah tujuanku, hanya mahu menghabiskan masa berbaki sebelum stesen keretapi di buka semula jam 6.00 pagi. Aku memastikan yang aku tahu arah perjalanan untuk kembali ke stesen, kalau tidak, tentu haru jadinya.

Jam 5.30 pagi, aku telah berpijak semula di kaki lima stesen, melepaskan lelah sambil menunggu pintu masuk di buka. Dengan kaki yang sengal dan kebas, badan yang sakit-sakit kepenatan akibat memikul beg, aku melangkah memasuki stesen, menuju ke tandas kemudian baru ke surau.

Jam 8.00 pagi, aku menaiki pula keretapi meneruskan perjalanan ke utara ke Bukit Mertajam (aku terlupa apa nama koc yang aku naiki menuju ke utara). Perjalanan siang hari menuju ke utara, akan memakan masa yang agak lama juga, jika benar ingatanku, stesen Bukit Mertajam aku jejaki sekitar jam 5 petang.

Ini bermakna, perjalananku ketika itu antara Kluang ke Bukit Mertajam dengan Keretapi Tanah Melayu memakan masa lebih 30 jam, dengan masa terkandas yang panjang di Kuala Lumpur di bawah sinaran neon kota Metropolitan....

Thursday, January 7, 2010

Siapakah kita

Kita digemparkan dengan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan The Herald, sebuah majalah berkenaan Kristianiti bagi menggunakan kalimah Allah menggantikan kalimah Tuhan / God dalam terbitannya yang berbahasa melayu. Susulan itu, berbagai-bagai pihak mengeluarkan pendapat masing-masing, daripada golongan agamawan, orang awam, juga orang-orang bukan Islam. Ada yang menyokong dan ada juga yang menentang. Dalam berfikir antara yang tersurat dan tersirat, kebanyakan ulasan ustaz-ustaz dan golongan agamawan lebih kepada kerisauan tentang kemungkinan-kemungkinan yang tersirat di sebalik isu dan agenda seterusnya.

Sebagai makhluk, kita hanya boleh berikhtiar dan cuba merancang kerana itu yang diizinkan Allah manakala perancangan sebenarnya hanyalah milik Allah. Setiap apa yang berlaku sama ada yang tersirat mahupun yang tersurat adalah dalam Pengetahuan dan Perancangan Allah. Sebagai makhluk yang diberi akal fikiran, kita disuruh berfikir antara asbab dan akibat, usaha dan takdir. Usaha manusia hanyalah ikhtiar yang diberikan Allah sedang hakikat ikhtiar itu sendiri tiada sebarang kata penentu melainkan apa yang diizinkan Allah.

Seluruh alam ini adalah makhluk Allah yang bersifat sementara. Setiap makhluk Allah dijadikan tanpa sia-sia, bahkan ulat di dalam batu, segala zarah dan atom sentiasa berzikir kepadaNya setiap detik dan masa. Malah batang tubuh kita sendiri tidak pernah derhaka kepada penciptanya. Hanya makhluk yang bernama manusia dan jin ini yang seringkali lalai dan leka.

Namun, pernahkah kita berfikir sejenak dalam kotak fikiran, siapakah kita yang dinamakan manusia ini. Beberapa komponen asas yang membentuk manusia antaranya: jasad, akal, ruh, hati, nafsu. Jika hilang salah satu komponen ini, kita mungkin tidak lagi dipanggil manusia. Lantas bagaimana pula dengan jiwa?

Bagaimanakah pertanggungjawaban di akhirat nanti. Adakah hanya ruh yang bertanggungjawab atas segala dosa dan perbuatan. Adakah jasad juga dipertanggungjawabkan? Bagaimana dengan hati? Nafsu? Ulamak bercanggahan pendapat tentang perkara ini. Dah Allah juga berfirman melalui Kekasihnya Muhammad s.a.w. bahawasanya persoalan ruh adalah dalam pengetahuan Allah semata.

Namun manusia diberi peluang dan petunjuk dalam kita menjalani ujian kehidupan di atas muka bumi ini. Itulah dua kalimah syahadah: penyaksian tauhid atau akidah dan penyaksian syariat.

aku bersaksi tiada tuhan melainkan Allah,

dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah

Itulah penyaksian syahadah bagi umat akhir zaman, umat Nabi Muhammad s.a.w. Namun siapakah yang sebenarnya memberikan penyaksian ini. Kitakah? Bukan. Kalimah ini adalah ucapan penyaksian Nabi Muhammad s.a.w. terhadap keesaan Allah s.w.t. dan pengiktirafan Allah tarhadap Muhammad sebagai pesuruhNya serta penyaksian para malaikat sewaktu peristiwa Mikraj Nabi Muhammad ke langit bagi menerima amanah ibadat solat yang wajib didirikan olah hamba-hamba Allah.

Dan ucapan penyaksian ini Allah rakamkan di dalam solat yang wajib dibaca dalam tahiyat. Lalu masihkah kita bermegah dengan sedikit kurniaan yang Allah pinjamkan kepada kita sebagai ujian...

Siapakah kita untuk menafikannya?

Saturday, January 2, 2010

Beg Plastik

Hari ini 02.01.2010, Sabtu...
Aku mengunjungi Carrefour (betul ke ejaan nih.... entahlah..) seawal waktu pembukaannya. Tiada apa yang luar biasa, cuma satu notis bersebelahan pintu masuk utama menarik perhatianku.
'Hari tanpa beg plastik'

Tak apelah, mungkin Carrefour terlibat dengan kempen alam sekitar yang menghadkan penggunaan beg plastik sewaktu membeli belah menjelang tahun baru 2010. Yang tak sedapnya... Carrefour charge 10 sen untuk setiap beg plastik yang kita minta untuk mengisi barang yang dibeli. Nampaknya, taktik Carrefour bukan saja untuk 'menyelamatkan dunia' tetapi juga dalam masa yang sama 'menyelamatkan poket mereka...' ops... bukan menyelamatkan poket... tapi tambah mengembungkan poket taukeh-taukeh mereka....

Manakan tidak, pada hari-hari lain, mereka langsung tidak membenarkan pengunjung dan pembeli untuk membawa beg masuk ke dalam premis mereka. Malah botol susu yang sedang di hisap oleh anak-anak pun di 'tag/tanda' perkataan carrefour... takut sangat orang ramai mencuri botol di dalam Carrefour lalu buat susu untuk anak-anak mereka... rasa nak tergelak pulak...

Tiba-tiba mereka nak buat kempen 'tanpa beg plastik'. Dah tu pula, nak charge pengguna yang minta beg plastik. Bayangkan... berapa ramai pelanggan yang tidak sedar akan kempen mereka itu, akan akhirnya terperangkap membayar lebih untuk menggunakan beg plastik...

Bijak sungguh mereka berniagakan.... tang mana boleh buat untung, mereka akan balun, tak kira apa kesannya pada pengguna setia mereka.

Sebagai pengguna, pandai-pandailah kita menjalankan 'hak' kita.... kalau tak mahu di 'telan'...

Wednesday, December 30, 2009

Sambutan Tahun Baru?

Hari ini 30 Disember 2009, bermakna tinggal 1 hari saja lagi sebelum tahun baru 2010 muncul menampakkan dirinya. Pastinya ramai masyarakat dunia sedang tidak sabar-sabar dan berbagai persiapan dilakukan dalam menyambut perayaan pertukaran tahun Masihi ini. Berbeza dengan sambutan Ma'al Hijrah 12 hari lalu, segalanya serba sederhana bagi yang meraikannya, malah ramai juga yang tidak sedar tentang sambutan untuk umat Islam itu.

Pelik bukan?

Namun begitulah nasib umat akhir zaman ini, lebih mementingkan perkara-perkara lagha dan melekakan. Lebih menitikberatkan hiburan zahir tanpa memikirkan akibat di sebalik tindakan. Almaklum, syaitan telah berjaya menyesatkan manusia, malah akan terus berusaha meleka dan menyesatkan sebanyak umat manusia yang boleh, selagi belum muncul Kiamat Kubra.

Bunga api dan mercun seakan suatu yang wajib di'ada'kan sempena sambutan ini. Di seluruh dunia akan disirami cahaya bunga api dan dibingitkan letupan mercun sebaik detik 12 malam muncul. Manusia, lelaki dan perempuan bercampur baur meraikannya tanpa rasa segan maupun silu. Malah ada yang tidak segan-segan melakukan maksiat di tempat awam, memekik dan melolong, tidak kurang juga anak-anak muda menonggang air arak dan mengambil dadah demi sabutan itu. Yang berugama Islam juga ramai yang seakan lupa diri, terutama anak-anak muda yang pegangannya masih boleh dipertikaikan...

Adakah hanya itu makna tahun baru? Countdown, bunga api, mercun, hiburan, enjoy hingga ke pagi... Ke mana pergi jati diri umat?
Sambutan tahun baru Masihi adalah menandakan pertukaran tahun Masihi berdasarkan tahun Matahari umat Kristian yang dikira dari kelahiran Nabi Isa a.s. Kalendar matahari ini sememangnya digunakan oleh umat manusia seluruh dunia, termasuk dunia Islam, kerana tahun matahari ini mengikut peredaran Bumi mengililingi Matahari seterusnya mempengaruhi musim dunia.
Tahun Hijrah pula digunakan oleh umat Islam berdasarkan tahun kiraan bulan. Ini digunakan dalam menentukan peribadatan manusia. Memang terdapat perselisihan jumlah hari berdasarkan pengiraan bulan dan matahari, dan ini sememangnya mempunyai hikmah yang besar kepada umat islam.
Sebagai contoh, Bulan Ramadhan mendapat giliran selisih dengan peredaran matahari, membolehkan umat Islam merasakan perbezaan apabila berpuasa di bulan panas dan juga di bulan 'sejuk', bergantung kepada perselisihan antara Tahun Hijrah dengan Tahun masihi.

Walau apa pun sambutan yang diberikan, apa yang pasti usia kita meningkat dari hari ke hari. Umur kita di dunia semakin singkat, menuju kepada akhirannya yang kita tidak tahu sama ada sudah terlalu hampir atau kita masih mempunyai masa...

Semakin kita di mamah usia, semakin kita merasa keuzuran pada tubuh badan yang dahulunya segar bugar dan sihat sejahtera.

Orang kata, 'life start at 40'... benarkah?

Atau adakah sebab menjelang usia 40 baru kita menyedari kehidupan yang kita lalui. Ketika ini, badan kian menyusut, semakin banyak penyakit menyerang; kencing manis, jantung, darah tinggi dsb, kita mula mengenang kembali usia muda yang kebanyakannya kita sia-siakan... Selepas usia 40 baru kita sedar dan berusaha menjaga kesihatan, pemakanan (atau kita dah tak boleh makan sebarangan...?) dan sering berulang alik ke hospital mendapatkan rawatan.

Hari ini juga adalah hari ke 19 bapa mertuaku berada di wad akibat penyakit batu karangnya, bermula 12/12/2009, melakukan pembedahan pada 21/12/09 dan masih dalam proses pemulihan di wad. Memandangkan bapa mertuaku mempunyai penyakit kencing manis, maka proses pemulihan luka pembedahan agak lewat. Apapun, kami mendoakan semoga bapa mertuaku segera sembuh....

Walau apapun, Selamat menyambut Tahun Baru 2010, semoga beroleh keberkatan bagi usia yang kita lalui dan umur yang masih berbaki.

Friday, December 18, 2009

Ma'al Hijrah 1431H

Hari ini adalah 1 Muharam 1431H. Di Malaysia, hari ini merupakan cuti umum sebagai menandakan rasa hormat kita terhadap sambutan Ma’al Hijrah, menghormati saat penggantian tahun dalam Islam. Namun, apakah hanya itu? Apakah kita benar-benar mengetahui sejarah hijrah Rasulullah? Bagaimanakah penghayatan kita sebagai umat Islam.

Sebahagian umat Islam berkumpul menjelang waktu Maghrib 29 Zulhijjah di akhir tahun, membaca Yasin, doa akhir tahun, solat maghrib dan diikuti do’a awal tahun. Berdasarkan statistic, hanya sebahagian kecil dari umat Islam yang mengikuti sambutan Ma’al Hijrah ini. Sungguh berbeza dengan sambutan tahun baru Masehi dimana sambutan diadakan secara besar-besaran dengan budget berjuta-juta dihamburkan untuk hiburan yang melalaikan semata.

Cuba kita renungkan, adakah kita benar-benar memahami makna di sebalik Hijrah Rasulullah s.a.w.?
Dalam forum yang diadakan oleh syarikat tempat ku berkerja sempena sambutan Ma’al Hijrah semalam, ahli panel ada menyatakan beberapa perkara untuk kita kongsi dan fikirkan bersama. Hijrah yang disuruh oleh Allah adalah:
  • Hijrah sebagai pengorbanan kepada Allah s.w.t.
  • Hijrah untuk menuntut ilmu yang diredhai Allah s.w.t.
  • Hijrah daripada maksiat kepada taat kepada Allah s.w.t.
  • Hijrah kepada perkara yang lebih baik, tidak kira sama ada dari sudut ekonomi, social, ibadat dan sebagainya.

Dan secara keseluruhannya, kita sebagai manusia ciptaan Allah di atas muka bumi ini tidak dapat lari dari Hijrah terbesar yang telah ditentukan oleh Allah. Ingatkah kita, kita berhijrah dari alam ruh ke alam rahim. Dari alam rahim kita berhijrah ke alam dunia. Apabila tiba masanya kelak, kita akan berhijrah pula ke alam akhirat, dimulai dengan alam barzakh, berhijrah ke padang mahsyar, melalui titian sirat setelah dibicarakan. Dan matlamat terbesar kehidupan kita ditentukan, sama ada kita akan berhijrah ke naraka atau ke syurga Allah s.w.t.

Itulah Hijrah terbesar kita sebagai Hamba menuju kepada Allah s.w.t.

Wednesday, December 9, 2009

Menjelang Maghrib

Seketika, sekali lagi aku sedikit tersentak mendengar perkhabaran perginya seorang lagi sahabat dan kenalanku menunaikan janjinya, berangkat pergi meninggalkan dunia ini menuju perjalanan kehidupan seterusnya. Dia dipanggil Ilahi dalam usia yang agak muda bagi kebanyakan orang... sememangnya kematian tidak mengenal usia. Apabila telah sampai masa maka akan berpisahlah roh dari jasad... sama ada kita suka atau tidak... redha atau terpaksa...

Merenung ke dalam diri, aku bertanya sendiri, bagaimanakah nasib diriku kelak. Apakah aku telah bersedia untuk berpindah kepada kehidupanku seterusnya. Antara pertanyaan-pertanyaan yang sering membelenggu hati:
  1. Bagaimanakah kelak nasib anak-anakku/isteriku/keluargaku?
  2. Bagaimana mereka meneruskan kehidupan tanpaku?
  3. Bagaimanakah rasanya sakaratul-maut? Sakitkah? Sudah tentu...
  4. Bagaimanakah pengakhiran kembaraku di dunia ini? Kesudahan yang baikkah atau kesudahan yang buruk?
  5. Sempatkah aku bertaubat atas dosa-dosaku yang terkumpul selama ini?
  6. Berapa banyakkah pahala amalan yang bakal aku bawa?
  7. Diterimakah amalanku selama ini?
  8. Ikhlaskah aku selama ini?
  9. Bagaimanakah kelak malam pertamaku di liang lahad?
  10. Bagaimanakah bakal aku hadapi soalan dua Malaikat di alam seterusnya?
  11. Luaskah lahad? Atau sempitkah dia?
  12. Adakah Allah redha terhadapku?

Persoalan-persoalan itu hanya kupendam di dalam dada. Kita hanya boleh berusaha menjadi hamba, berikhtiar mencari redha Allah, takdir penentu adalah kehendak Allah s.w.t.

Tuesday, December 8, 2009

Perjalanan Manusia

Demi matahari dan sinarnya di pagi hari... Demi bulan apabila ia mengiringi... Demi siang apabila menampakkan dirinya... Demi malam apabila ia mengiringinya... Demi langit berserta segala binaannya.... Demi bumi dan segala penghamparannya... Demi jiwa serta penyempurnaannya... Allah mengilhamkan keburukan dan kebaikan ke dalam hati... Beruntunglah kepada sesiapa yang menyucikannya... Merugilah kepada sesiapa yang mengotorinya....

(petikan dari Surah As-Syams...)

Keberadaan manusia di atas muka bumi ini hanyalah sedetik dari lipatan sejarah penciptaan alam yang maha luas ini yang dimulai dengan 'Big Bang' lalu berkembang alam ini membentuk unsur-unsur asas atom. Ini diikuti dengan pembentukan galaksi dan bintang serta planet-planet. Pembentukan bumi sendiri mengambil masa yang panjang sebelum penciptaan manusia pertama, nabi Adam a.s.
"dan apakah orang-orang kafir itu tidak melihat bahawasanya langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu (satu unit penciptaan), kemudian kami pisahkan antara keduanya. Dan daripada air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakan mereka tiada juga beriman?". (Surah Al-Anbia: 30)
Sejak dari mula manusia dijadikan, Allah mengajarkan Nabi Adam, bapa segala umat manusia akan nama-nama alam yang terbentang luas ini bagi meningkatkan taraf keilmuan makhluk bernama manusia. Wahyu pertama yang diturunkan Allah s.w.t. kepada Baginda Rasulullah melalui perantaraan Malaikat Jibril menyeru kepada umat manusia..
"Bacalah dengan nama Tuhanmu..."
Namun kebanyakan manusia tidak membaca, memandang tapi tidak melihat, membaca dengan mata, bukan dengan minda dan hati. Lalu bagaimanakan manusia mahu mengambil pengajaran akan alam ciptaan Allah s.w.t. yang maha luas ini...

Perjalanan kehidupan manusia melalui 7 fasa:

  1. Alam ruh
  2. Alam rahim
  3. Alam dunia
  4. Alam barzakh
  5. Padang Mahsyar
  6. Titian Sirat
  7. Syurga / Neraka

Setiap manusia yang dijadikan Allah pasti akan menempuh kesemua 6 alam yang pertama. Setiap manusia yang dihidupkan di dunia ini akan menempuh kematian yang pasti, akan menempuh alam barzakh, perhimpunan di Padang Mahsyar, pengadilan dan titian sirat. Namun, akhir perjalanan manusia akan terbahagi dua, sama ada ke Syurga Allah... atau ke Naraka Allah. Akhir perjalanan kita akan bergantung sepenuhnya kepada Ehsan dan Rahmat Allah s.w.t. kepada kita makhluk-makhluk Allah.

Namun, Allah s.w.t. tidak zalim. Di dunia ini kita diseru kepada jalan menuju Syurga Allah. Hanya apakah kita mengikutinya atau tidak, kitalah yang menzalimi diri kita sendiri.

Seandainya kita mencari kebahagian, kebahagian bagaimanakah yang kita mahukan. Yang sementara ataukah yang kekal abadi.

Renung-renungkan.....

Tuesday, November 17, 2009

2012

Cuti hujung minggu lalu memberi peluang kepada kami untuk aktiviti keluarga. Kerana kebetulan pelancaran 2012 minggu lalu, kami mengambil keputusan menonton filem berkenaan kemusnahan dunia itu. Lagipun sudah lama kami tidak menonton wayang di panggung. Kali terakhir kami menonton adalah dalam tahun 2001, tak lama selepas mendirikan rumah tangga – Cerita Senario the Movie.

2012: berkenaan perubahan mendadak mukabumi dipercayai disebabkan oleh ‘galactic alignment’ antara matahari, galaksi dan planet-planet yang berlaku akhir tahun 2012. Tepat pada tarikh 21 Dec 2012, berlaku pergerakan kerak bumi mencetuskan gempa berskala 9++ di ‘hot spot areas’. Kota-kota metropolitan di USA dan serata dunia musnah oleh gerak gempa yang maha dahsyat. Supervolcano Yellowstone park meletuskan lahar panas dan ganas.

Tidak ketinggalan gerak gempa di dasar lautan menimbulkan tsnunami yang dahsyat. Pergerakan plate techtonic yang biasanya mengambil masa jutaan tahun, tiba-tiba berlaku menyebabkan kedudukan benua berubah mendadak. Kutub utara berubah arah menghampiri khatulistiwa. Banjaran Himalaya merudum dari ketinggiannya manakala sebahagian benua Afrika Selatan menjadi dataran tinggi (bumbung dunia).

Kesan khas filem memang menakjubkan. Keadaan hiruk pikuk yang digambarkan sememangnya berkesan. Mungkinkah begitu keadaannya apabila berlakunya Kiamat Besar nanti. Cuma apabila berlaku Kiamat, tiada lagi makhluk yang tinggal, malah Malaikat pun akan dimatikan, sebelum dihidupkan semula untuk menjalani kehidupan yang seterusnya kekal abadi. Manusia akan kekal hidup melalui untung nasib yang diusahakannya semasa di dunia ini. Malah kalau naik kapal terbang pun pasti tidak akan boleh mengelakkan diri dari Kiamat.

Melihat kesan ombak yang menjulang sehingga menenggelamkan permukaan benua, malah ombak beratus meter tinggi mencecah hingga ke banjaran Himalaya (Everest), terkenang kisah Nabi Nuh bilamana berlaku banjir besar sehingga menenggelamkan bukit tempat Nabi Nuh membina bahteranya. Manusia-manusia ditenggelamkan bersama-sama perasaan ego mereka.

Namun apakah ini bakal berlaku apabila menjelangnya 2012. Kita tidak tahu. Apa yang pasti Kiamat Besar pasti akan berlaku cuma masanya hanya Allah s.w.t. yang mengetahui. Kita Cuma boleh bersedia menanti Kiamat Kecil yang bakal menemui setiap dari kita.

Sudahkah kita bersedia?

Thursday, November 12, 2009

Hujan yang turun

Sekonyong-konyong awan mendung meluncur ditiup angin dan berkumpul di dada langit. Hati-hati manusia lantas berdebar, gerun dengan suasana yang tadinya cerah dan ceria bertukar suram dan menggerunkan.

Di nagara kita, dek kerana letaknya berdekatan dengan garisan Khatulistiwa dan dikelilingi laut, kita mendapat hujan yang cukup lebat. Boleh dikatakan setiap hari hujan akan turun hampir di setiap kawasan lebih-lebih lagi apabila kita menghampiri musim tengkujuh. Jika dahulu kita sinonim dengan musim tengkujuh di hujung tahun melanda kawasan Pantai Timur Semenanjung, kini tidak lagi. Sebaliknya tengkujuh boleh dirasai di semua bahagian Semenanjung malahan hampir tiada musim yang jelas diperhatikan kini.

Terbaru, berita memaparkan keadaan banjir melanda Kelantan dan Terengganu. Surut sedikit di pantai timur, banjir melanda pula Kedah, negeri jelapang padi yang kini jumlah padinya kian merosot, (asyik dok kena import padi Thai...). Mungkin selepas ini banjir akan melanda kawasan tengah dan selatan semenanjung pula. Dalam kes ni, KL terkecuali kerana walaupun tanpa musim tengkujuh, potensi untuk banjir kilat melanda KL masih ada walaupun dengan wujudnya Smart Tunnel. (tak percaya... tanya orang KL)
Bila hujan turun, maka kedengaranlah keluhan-keluhan kecil dan besar dari manusia-manusia kecil dan besar. Hujan seumpama sesuatu yang menyusahkan mereka, susah untuk bergerak, itu dan ini. Namum hakikatnya kita akan menghadapi kesukaran jika tiada hujan. Lihatlah Afrika, Asia Tengah dan kawasan sewaktu dengannya. Jika kita tidak suka hujan di Malaysia mungkin lebih baik berhijrah ke Afrika dimana kita tidak disusahkan oleh hujan yang turun.
Hujan adalah rahmat Allah terhadap makhlukNya. Malah kita disunatkan memanjatkan doa ketika mana hujan turun. Namun berapa ramaikah kita yang berdoa ketika hujan. Lebih tragis lagi ada yang menyumpah seranah dek kerana hujan turun membantutkan aktiviti mereka. Tidak takutkah kita pada Allah yang menjadikan alam ini. Kuat sangatkah kita sehingga sanggup menyumpah kejadian Allah.

Hujan turun dalam berbagai cara, ada yang menurunkan air diiringi angin sepoi-sepoi bahasa. Ada juga yang menurunkan air diiringi angin kuat menerbitkan ribut dan taufan. Ada juga yang menurunkan air beku membentuk hujan ais, juga yang menurunkan salji.
Kitaran air di muka bumi ini adalah tetap. Setiap mililiter air yang tersejat dari permukaan bumi akan turun semula sebagai hujan air, hujan ais mahupun salji tanpa berubah kuantitinya. Beginilah Allah memberikan rahmat pada makhluknya, memberikan air bersih sumber kehidupan sekelian makhlukNya di muka bumi, namun hanya sedikit dari hamba-hambaNya yang bersyukur.

Dan selepas berhentinya hujan, pasti akan ada cerah mentari...

Thursday, October 29, 2009

Lobak, Telur dan Kopi

“Seorang anak mengeluh pada ayahnya mengenai kehidupannya dan bertanya mengapa hidup ini terasa begitu sukar dan menyakitkan baginya. Dia tidak tahu bagaimana untuk menghadapinya dan hampir menyerah kalah dalam kehidupan. Setiap kali satu masalah selesai, timbul pula masalah baru.

Ayahnya yang bekerja sebagai tukang masak membawa anaknya itu ke dapur. Dia mengisi tiga buah periuk dengan air dan menjerangkannya diatas api. Setelah air didalam ketiga periuk tersebut mendidih, dia memasukkan lobak merah didalam periuk pertama, telur dalam periuk kedua dan serbuk kopi dalam periuk terakhir. Dia membiarkannya mendidih tanpa berkata-kata. Si anak tertanya-tanya dan menunggu dengan tidak sabar sambil memikirkan apa yang sedang dilakukan oleh ayahnya. Setelah 20 minit, si ayah mematikan api.

Dia menyisihkan lobak dan menaruhnya dalam mangkuk, mengangkat telur dan meletakkannya dalam mangkuk yang lain dan menuangkan kopi di mangkuk lain.

Lalu dia bertanya kepada anaknya, “Apa yang kau lihat, nak?”

“Lobak, telur dan kopi”, jawab si anak. Ayahnya meminta anaknya merasa lobak itu. Dia melakukannya dan berasa bahawa lobak itu sedap dimakan.

Ayahnya meminta mengambil telur itu dan memecahkannya.. Setelah membuang kulitnya, dia dapati sebiji telur rebus yang isinya sudah keras.

Terakhir, ayahnya meminta untuk merasa kopi. Dia tersenyum ketika meminum kopi dengan aromanya yang wangi.
Setelah itu, si anak bertanya, “Apa erti semua ini, ayah?”
Ayah menerangkan bahawa ketiga-tiga bahan itu telah menghadapi kesulitan yang sama,direbus dalam air dengan api yang panas tetapi masing-masing menunjukkan reaksi yang berbeza.

Lobak sebelum direbus kuat, keras dan sukar dipatahkan. Tetapi setelah direbus, lobak menjadi lembut dan mudah dimakan. Telur pula sebelumnya mudah pecah dengan isinya yang berupa cairan.Tetapi setelah direbus, isinya menjadi keras.
Serbuk kopi pula mengalami perubahan yang unik. Setelah berada didalam rebusan air, serbuk kopi mengubah warna dan rasa air tersebut
“Kamu termasuk golongan yang mana? Air panas yang mendidih itu umpama kesukaran dan dugaan yang bakal kamu lalui. Ketika kesukaran dan kesulitan itu mendatangimu, bagaimana harus kau menghadapinya ?
Apakah kamu seperti lobak, telur atau kopi ?” tanya ayahnya.
Bagaimana dengan kita ? Apakah kita adalah lobak yang kelihatan keras, tapi dengan adanya penderitaan dan kesulitan, kita menyerah menjadi lembut dan kehilangan kekuatan. Atau, apakah kita adalah telur yang pada awalnya memiliki hati lembut, dengan jiwa yang dinamis ? Namun setelah adanya kematian, patah hati, perpisahan atau apa saja cabaran dalam kehidupan akhirnya kita menjadi menjadi keras dan kaku. Dari luar kelihatan sama, tetapi apakah kita menjadi pahit dan keras dengan jiwa dan hati yang kaku? Atau adakah kita serbuk kopi ? Yang berjaya mengubah air panas, sesuatu yang menimbulkan kesakitan, untuk mencapai rasa yang maksimum pada suhu 100 darjah celcius.
Ketika air mencapai suhu terpanas, kopi akan terasa semakin nikmat.Jika kita seperti serbuk kopi, ketika keadaan menjadi semakin buruk atau memuncak, kita akan menjadi semakin baik dan membuat keadaan disekitar kita juga menjadi semakin baik.
Samalah halnya dengan serbuk kopi yang berjaya mengubah air panas yang membakarnya menjadikan ia lebih sedap dan enak untuk diminum.
Antara lobak, telur dan kopi, kita yang mana?

Thursday, October 15, 2009

Happy Birthday Alya (7 tahun)

Semalam, 14 October 2009 genaplah umur Nur Alya Safiah 7 tahun. Diam tak diam dah besar anak ayah ni. Begitu cepat masa berlalu...

Masih terbayang-bayang saat kelahirannya di Hospital Bandar Muadzam Shah. Keletahnya ketika kecil, belajar berjalan jatuh, belajar bercakap, belajar makan sendiri...

Ketika berumur 2 tahun, Alya pernah terperangkap di dalam kereta sendirian. Ketika itu kami sedang bersedia untuk balik ke kampung di Simpang Rengam Johor. Aku menghidupkan enjin kereta Satria Merah, lalu memunggah beg-beg pakaian yang perlu dibawa. Sebagaimana biasa Alya merengek-rengek nak masuk ke dalam kereta, mungkin teruja untuk balik kampung.

Kereta Satria mempunyai 'centralized doorlock switch' antara seat pemandu dan penumpang sebelah. Dek kerana terujanya, Alya telah tertekan suis berkenaan dengan keadaan semua pintu dan tingkap kereta tertutup. Salah aku juga sebab kurang berhati-hati dan tidak mengambil langkah berjaga-jaga. Dalam keadaan panik, aku cuba membuka pintu sebagaimana biasanya dilakukan orang yang tertinggal kunci di dalam kereta (tapi aku tertinggal anak kecil di dalam kereta).

Dalam masa sama isteriku cuba mengagah dan mengacah Alya untuk bergerak antara seat pemandu dan penumpang, dengan harapan dia akan memijak suiz centralized doorlock, tapi tetap tidak berlaku walaupun telah berkali-kali Alya yang masih tidak tahu apa-apa bergerak pergi dan balik antara dua seat tersebut. Akhirnya Alya duduk, mungkin kepenatan 'bermain' atau dia dah mula bosan. Nasib baik ketika itu aircond dipasang, jadi Alya tidak kepanasan seorang diri.

Akhirnya aku memecut motosikal ke bengkel Tuan Rumah berdekatan, meminta bantuan mekanik untuk membukakan pintu kereta. Awalnya kami cuba teknik membuka pintu melalui celah antara tingkap dan dinding pintu, tapi masih tidak berhasil. Nak buka pintu booth bahagian belakang pun gagal. Akhirnya aku mencadangkan supaya dibuka bonet depan dan mematikan enjin secara manual / paksa, tapi pintu masih juga gagal dibuka.

Dalam keadaan terdesak begitu, nyaris aku memcahkan cermin sisi kereta. Tapi mekanik yang membantu mencabut pula wayar sambungan bateri, barulah pintu terbuka secara automatik. Fuuuhhh.... barulah lega rasanya.... selamat anak aku...

Kini semua itu tinggal kenangan. Alya kian membesar dan belajar di Sekolah Integrasi. Semoga Alya berjaya dan menjadi anak solehah...

Gambar ketika majlis penyampaian hadiah Tadika Seri Bistari. banyak juga hadiah yang Alya dapat.
(Photo edited using Photoshop)

Tuesday, October 13, 2009

Zon Selesa

Sebagaimana namanya, kita berasa amat selesa berada dalam zon selesa. Setiap dari kita mempunyai zon selesa masing-masing. Secara tidak langsung, kita mengikat diri kita sendiri untuk terus berada di dalam zon selesa walaupun mungkin hakikatnya kita tidak pun seselesa mana.
Ketakutan yang menggugat tanpa kita sedari, terus membelenggu diri walaupun hakikatnya kita sedar kita ingin keluar dan patut keluar dari zon selesa, meneroka alam luas di luar zon yang kita telah biasa. Bayangkan, kita lebih suka melalui jalan-jalan yang kita lalui setiap hari untuk ke tempat kerja, tanpa terfikir untuk sesekali menerjah dan meneroka laluan/ruang lain yang kita tidak biasa. Kita selesa mendengar siaran radio yang sama hampir setiap hari. Kita selesa dengan aktiviti harian kita walau serutin manapun ia, walaupun hati kecil kita pernah mencadangkan aktiviti lain di luar dari rutin harian.
Mengapa kita terhambat? Mengapa kita takut untuk meneroka dunia di luar tembok sempadan yang kita sendiri membinanya. Kita mengunci rapat pintu kebarangkalian, dan hanya sesekali menjenguk melalui tingkap, memerhati dan mengagumi keindahan di sebelik tembok zon selesa yang kita bina.

FEAR: False Emotion Apear Real
Hakikat ketakutan yang kita alami sebenarnya hanyalah mainan emosi. Kita yang menjangkakan kemungkinan-kemungkinan yang buruk bakal berlaku apabila kita meneroka dunia luar. Kita takut andai kita tidak dapat kembali ke dunia kita semula, dunia selesa kita.
Persoalannya, bagaimanakah perasaan takut ini begitu menebal dalam pemikiran kita. Adakah kita dilahirkan dengan perasaan takut? Atau kita dididik dengan perasaan takut?
Adakah seorang anak yang baru lahir mempunyai perasaan takut. Bagaimana anak kecil kita mahu belajar berjalan jika dia takut untuk jatuh? Bagaimana anak kecil kita mahu belajar bercakap jika dia takut ditertawakan?
Sedar atau tidak, ibu bapa sebenarnya menyemai perasaan takut yang begitu negetif dalam diri anak-anak. Takut tempat gelap, nanti ada momok. Takut tempat tinggi, nanti jatuh. Walaupun tujuan jangka pendek memang baik, namun hasilan jangka panjang dalam pembinaan jiwa anak-anak menurun kepada negatif. Tanpa disedari, kita membenamkan kekuatan diri dengan ketakutan palsu yang diada-adakan.

Permainan emosi ini merupakan antara faktor terbesar yang menghambat seseorang dari mengecap kejayaan. Keselesaan berangan-angan mencapai impian... tanpa ada usaha gigih mencapainya kerana usaha adakalanya menjerih dan memeritkan.

Dream + action = reality

Dream – action = fantasy

Apakah pilihan kita??

Renungan: Manusia sehingga hujung nyawa

Sedar atau tidak, kita berada dalam alam ini dengan tujuan yang satu, iaitu untuk beribadah kepada Allah s.w.t.

Namun dalam kita meniti saat demi saat, hari demi hari, tahun demi tahun, masa yang direzekikan untuk kita, nafas yang direzekikan untuk kita, tubuh badan, akal fikiran, nyawa yang dipinjamkan kepada kita sebagai modal untuk kita menyelusuri perjalanan dan ujian yang ditempuh di alam dunia ini... berapakah masa, nafas, tubuh badan, akal fikiran yang kita gunakan untuk tujuan beribadah kepada Allah?

Waktu datang dan berlalu tanpa gantinya. Umur bergerak kian jauh meninggalkan kita. Nafas dan nadi berdenyut menyusutkan bekalan rezeki yang diperuntukkan kepada kita makhluk Allah s.w.t. Dan apabila bekalan itu telah sampai ke penghujungnya, apabila rezeki yang Allah peruntukkan khas untuk kita sejak azali kian usai dan selesai, maka sampai waktunya kita akan dipanggil mengadapNya.

Kita disimpan untuk seketika sedalam 6 kaki di dalam bumi, menunggu waktu untuk dibangkitkan semula untuk dibicarakan. Di sana, adakah kita bersedia dengan jawaban sewajarnya??? Renungkan...

Wednesday, October 7, 2009

Baju Raya

Hari ni 18 Syawal 1430H... dah 18 hari kita meninggalkan Ramadhan. Dah 18 hari kononnya kita berjaya 'graduate' daripada madrasah Ramadhan. Maka umat Melayu Islam Malaysia ni berlumba-lumba mengadakan rumah terbuka bagi meraikan 'kejayaan' mengharungi ujian di bulan Ramadhan.
Jamuan rumah terbuka merupakan adat baru yang melanda Malaysia. Fenomena ini mula kelihatan sejak kira-kira 10 tahun lalu. Ketika ini akan kelihatan bermacam pakaian baru dan cantik diperagakan... nak tayang baju raya la katakan. Terutama bagi orang lelaki, ketika inilah kalau nak lihat lelaki-lelaki macho ini memperagakan baju Melayu lengkap dengan samping (tak kira la samping songket atau samping kain pelikat...) Almaklum, bagi lelaki Melayu amnya, baju Melayu lengkap ini hanya di pakai setahun sekali... eh... silap! Setahun dua kali, Raya Idilfitri dan Raya Idiladha (itu pun semasa pergi ke masjid untuk sembahyang raya... kalau tahan sikit mungkin sampai ke petang... kalau tidak balik dari Masjid, dah berbungkus baju tu semula.

Berbanding dengan golongan wanita, mereka sentiasa atau kerap memperagakan baju kurung terutama bagi yang bekerja. Mungkin sesetengah wanita yang dah mula melupakan baju kurung, lebih selesa mengenakan blouse dan seluar atau skirt semasa bekerja. Namun kebanyakan wanita tetap mengenakan baju kurung kerana sifatnya yang sesuai dengan tudung bagi menutup aurat mereka.
Ketika jamuan raya sebegini, kita dapat melihat berbagai fesyen pakaian wanita. tak kira lah sama ada baju kurung, kebaya ataupun berbagai-bagai lagi fesyen lain. Namun dek kerana golongan Hawa ini dah selalu sangat bersolek, boleh kata setiap hari, maka kelainan yang cuba ditonjolkan seakan tidak kelihatan. berbanding dengan golongan Adam yang hampir sepanjang tahun melupakan baju Melayu (kecuali masa ke masjid dipakai dengan kain pelikat..) dan tidak bersolek, sesekali berbaju melayu lengkap seakan menampakkan kelainan yang lebih ketara.

Bak kata orang tua-tua... ALAH BISA, TEGAL BIASA, kalau dah terlalu biasa, dah tak de 'bisa'nya. Renung-renungkan....

Kumpulan jejaka-jejaka...

Wednesday, September 30, 2009

Selepas Idilfitri

Hari ini 11 Syawal 1430H, sudah 11 hari umat Islam selamat menyambut Hari Raya Idilfitri. Kota raya Kuala Lumpur sesak semula apabila mereka-mereka yang balik kampung, pulang semula ke kota menyambung kerja yang ditinggalkan sementara. Namun, mood raya masih kelihatan di mana-mana. Banyak jamuan dan rumah terbuka diadakan bagi menjamu tetamu yang berkunjung. Bukan saja rumah, pejabat dan hotel-hotel pun banyak yang terbuka, poket pun ikut terbuka jugak... kanak-kanak yang pastinya paling gembira mengumpul duit raya dari mak ayah dan rakan-rakan mak dan ayah (bagi mereka yang mempunyai anak ramai.. mak ayah pun tumpang gembira sama tolong mengira duit raya anak-anak.... hehehe)

Menteri pulak dok bising, mengapa selepas berbagai promosi dan kempen keselamatan jalan raya, kadar kemalangan masih juga di takuk lama. Manusia masih juga alpa dan lalai serta memandu mengikut perasaan di jalan raya. Namun, selagi manusia bernama manusia, selagi itu dia mudah lupa dan lalai... dan mudah juga dilalaikan. (Kita juga lupa bahawa apabila sampai masa perjanjian kita, mahu atau tidak kita mesti berangkat dan diusung menuju ke alam barzakh, tempat kembalinya kita... kemalangan yang berlaku hanyalah asbab yang ditentukan..)

Jadi, sebelum maut datang menjemput, beringatlah dan berhati-hatilah, mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan yang diterima Allah dalam redhaNya apabila tiba masa kita pergi meninggalkan dunia ini... wassallam

Thursday, September 17, 2009

beberapa hari menjelang raya.

Hari ini 17 September 2009 bersamaan dengan 27 Ramadhan 1430. Sudah 27 hari kita menjalani ibadah puasa. Ramadhan kian sampai ke penghujungnya. Umat Melayu Islam di Malaysia sejak dari awal Ramadhan telah mula menyaipkan persediaan menyambut Hari Raya Idilfitri. Di penghujung Ramadhan ini, lagilah galak dan ligat persediaan yang dibuat.

Anak rantau sudah memikir-mikir dan terbayang-bayang perjalanan balik ke kampung halaman menemui ayah ibu. Nak kerja pun macam tidak ade 'mood' - segalanya jadi 'mood raya'. Bos bagi arahan pun macam payah je nak ikut, lebih seronok bersembang dengan kawan-kawan tentang persediaan raya masing-masing, baju raya, kuih raya dsb. Yang bujang, pastinya akan menuju kampung halaman. Yang dah berkahwin, pastinya merancang giliran kampung siapa pula raya kali ini. Anak-anak gembira mengenangkan akan berjumpa dengan sepupu sepapat di kampung kelak.

Tiket bas express habis terjual sejak awal Ramadhan lagi. Kalau baru cadang-cadang nak balik naik bas ketika ini... lupakan saja. Silap haribulan beraya sendiri di ibu kota berteman air mata dan air liur, dek terkenang masakan ibu di kampung... ketupat, rendang, kuah lodeh, sate, ayam masak merah dan berbagai lagi hidangan yang melelehkan air liur. Tak kan sama masakan ibu dengan masakan di kedai walaupun menunya sama...

Ketika ini bilangan peniaga di pasar Ramadhan mula menyusut dek kerana pak-pak peniaga juga nak buat persiapan untuk menyambut hari raya. Yang bujang mula bermasalah mendapatkan juadah berbuka puasa lantaran kurang menu pilihan. Namun kegembiraan dan semangat untuk balik beraya tetap tergambar di wajah ceria.

Yang paling gembira pastinya anak-anak dan juga yang masih merasa dirinya kanak-kanak... Ketika inilah peluang anak-anak mengumpul duit raya, dan mak bapak pulak yang pening kepala, mana nak cekau budget untuk duit raya anak-anak dan tak ketinggalan juga anak buah yang datang bertandang.

Jalan raya kian sesak seawal pagi sementelah perantau mula mengatur langkah menuju ke kampung halaman. Ada yang balik malam, ada yang balik awal pagi. Yang pastinya kemeriahan di lebuhraya dan jalan-jalan raya memang begitu terasa di musim perayaan sebegini. Polis pula bertungkus lumus mengatur segala strategi ops-ops yang entah kali keberapa bagi memantau sikap pemandu. Namun hasilnya masih lebih kurang sama saban tahun, bilangan kemalangan tetap juga di tahap yang sama.
Salam Ramadhan untuk semua umat Islam
Salam Idilfitri untuk umat Islam yang berjaya
Selamat Menyambut Hari Raya Idilfitri
Maaf Zahir & Batin

Monday, September 14, 2009

Akhir Ramadhan

Setiap detik masa berlalu bermakna bertambah usia kita, semakin kuranglah umur kita yang tinggal. Masa datang dan pergi, masa yang berlalu tak akan dapat kita kecapi kembali...

Ramadhan kian menuju ke penghujungnya. Ketika ini kebanyakan umat Melayu di Malaysia mula melupakan Ramadhan walaupun Ramadhan masih wujud dan setia bertandang ke pintu rumah kita. Kita lebih suka dan selesa membincangkan perihal berakhirnya Ramadhan dan sambutan Hari Raya Idilfitri di mana memang sepatutnya Hari Raya kita sambut dengan penuh keriangan dan pengertian.

Namun, apakah pengertian sebenar tercapai sedang kita tidak begitu menghiraukan Ramadhan. Apakah kegembiraan yang kita kecapi merupakan kegembiraan hakiki ataupan hanya kegembiraan plastik yang penuh kepura-puraan.

Jemaah di surau pun sudah mulai berkurangan. Kalau pada hari pertama dan kedua Ramadhan, bilangan jemaah ramai sampai penuh surau, kini tinggal 2 saf pada awal terawikh. Melepasi 8 rakaat, jemaah tinggal satu saf, itu pun kadang kala tak penuh.

Tapi kalau kita menjengah ke pusat beli belah di bandar, manusia bersesak-sesak, pelbagai rupa dan warna, muda dan tua, semuanya sibuk membeli untuk persediaan raya (tak ketinggalan saya pun membeli belah sama... penat gile... memang ramai gile...)...

Bila dah raya, KL senyap sunyi dek kerana warga kota sebahagian besarnya pulang ke kampung. Ketika ini yang memeriahkan kota Kuala Lumpur kebanyakannya warga pendatang; Myanmar, Bangladesh, Indonesia, Cina, India dsb. Umat Melayu jadi minoriti sungguh...

Tapi yang best, bazar Ramadhan!! Tiap hari menyediakan menu yang berbagai... cuma kena hati-hati takut terbeli makanan yang tercemar!! Haru pulak.
Namun, hari-hari terakhir Ramadan akan menyaksikan susut peniaga di Bazar Ramadhan dek kerana peniaga pulak yang sibuk buat persediaan menyambut Raya setelah mengaut keuntungan sepanjang bulan Ramadhan.
"Ku mengharapkan Ramadhan kali ini penuh makna
agar dapat kulalui dengan sempurna..."

Saturday, September 5, 2009

Danish Iman 2 tahun

Dua tahun lalu, seorang insam lahir ke dunia ini, menjadi permata hati ibu dan ayah... Hari ini, 4 September 2009, Muhammad Danish Iman genap usianya 2 tahun.

Dua tahun terasa begitu cepat berlalu. Diam tak diam dah besar rupanya anak ayah ni. Semakin banyak kerenahnya, semakin nakal dan banyak akal. Iman juga dah mula pandai merajuk. Kalau dah merajuk tu satu hal pulak nak memujuknya.

Cuma satu harapan ayah dan ibu, supaya Danish Iman menjadi anak soleh yang mendoakan ayah dan ibu apabila kami pergi nanti, insya-Allah.

Friday, August 21, 2009

Ramadhan Datang Lagi...

Ramadhan Al-Mubarak datang lagi untuk ke sekian kalinya menemui makhluk-makhluk Allah di atas muka bumi. Berbagai-bagai rasa dan cara ditunjukkan oleh umat manusia dalam menyambut kedatangan Ramadhan... ada yang suka dan gembira, ada yang resah dan gelisah, ada yang mengeluh, malah ada juga yang mencemuh....
Berbagai tafsiran hati manusia bergantung kepada tahap keimanan individu... besar atau kecil iman seseorang. Namun yang pastinya, Ramadhan tetap berkunjung di muka pintu selagi datang perintah Allah... sebelum kedatangan Kiamat Al-Qubra yang menandakan penamatnya ujian untuk umat manusia di muka bumi ini.
Mimbar masjid Kelana Jaya hari ini mengingatkan umat manusia yang beriman agar mengambil kesempatan tawaran Allah sempena kedatangan Ramadhan tahun ini. Dinukilkan bahawa 3 tawaran terbesar yang Allah s.w.t. tawarkan sepanjang ramadhan:
  1. Awal Ramadhan adalah rahmat Allah
  2. Pertengahan Ramadhan adalah keampunan Allah
  3. Akhir Ramadhan adalah pembebasan dari Neraka Allah terhadap makhlukNya yang terpilih.

Maka, sebagai makhluk, sebagai umat Islam seharusnya kita mengambil kesempatan ini, manfaat ini mencari redha Allah atas kehidupan kita di atas muka bumi ini. Mungkin inilah Ramadhan terakhir untuk kita sebelum kita kembali menemui Allah s.w.t.

Sama-samalah kita berusaha ye.... :)

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak
Selamat Menjalani Ibadah Puasa
Semoga Amal Kita Semua Mendapat Redha Allah

Amin

Tuesday, August 18, 2009

Matahari Pagi

Dalam perjalanan menghantar anak ke Sekolah Integrasi Batu Belah di Klang pagi tadi, terlihat matahari pagi memancar cerah di ufuk timur. Nyata hujan lebat yang turun petang semalam serta hujan renyai malam tadi telah membasuh jerebu dan kegawatan cuaca yang melanda Lembah Klang sejak kebelakangan ini.
Setiap pagi kemunculan matahari pagi menandakan munculnya hari baru, aktiviti baru dan azam baru untuk sekian makhluk di muka bumi ini. Setiap nafas yang dihirup, paru-paru yang berkembang, kesegaran yang dirasa, adalah nikmat yang Allah kurniakan. Subhanallah...

Ini bukan gambar pagi tadi - ambil dari internet