Friday, April 22, 2011

Suara Mimbar 20114022 : Membudayakan Al-Quran di dalam diri

Assalamualaikum,

Sewaktu turunnya wahyu berkenaan kewajiban jihad kepada umat Islam, para sahabat diminta untuk menginfakkan sebahagian harta mereka ke jalan fisabilillah. Tanpa berlengah-lengah para sahabat kembali ke rumah masing-masing bagi mengambil sebahagian harta mereka untuk diinfakkan.

"Isteriku, apakah yang kita ada untuk diinfakkan ke jalan Allah?" tanya seorang sahabat kepada isterinya sebaik sahaja dia sampai ke rumahnya.

"Minta maaf suamiku. Ketika ini kita tiada apa-apa untuk diberikan kepada Rasulullah" jawab isterinya.

"Benarkah? Aku malu kepada Allah dan Rasulnya. Para sahabat yang lain menginfakkan harta mereka ke jalan Allah, tapi kita tidak dapat berbuat demikian" keluh sahabat berkenaan.

"Nanti aku lihat didapur" si isteri pergi ke dapur dan tidak lama kemudian dia keluar dengan segenggam buah tamar di tangan "ini saja yang ada, wahai suamiku"

Sahabat tadi mengambil segenggam tamar daripada tangan isterinya lalu bergerak menuju kepada Rasulullah. Segenggam buah tamar yang dibawanya disorokkan di dalam bajunya kerana malu dengan sumbangannya yang sangat sedikit.

Sewaktu mengumpul harta-harta yang diinfakkan, Rasulullah s.a.w. bersabda yang lebih kurang ertinya "sesungguhnya Allah telah mewahyukan kepadaku bahawa infak yang paling bernilai disisi Allah adalah segenggam tamar yang diberikan oleh sahabat ini" Rasulullah menunjukkan kepada sahabat tadi.

Petikan cerita diatas adalah salah satu isi kandungan khutbah Jumaat Masjid Kelana Jaya hari ini, kisah bagaimana seorang sahabat Rasulullah masih berusaha menginfakkan hartanya walaupun ketika itu mereka sendiri dalam keadaan susah dan tidak berharta. Ini adalah hasil didikan Rasulullah terhadap para sahabat sehingga para sahabat sanggup berkorban apa saja demi agama Allah s.w.t. Umat Islam dahulu terdidik dengan didikan Al-Quran terus daripada Rasulullah s.a.w.

Berbeza sekali dengan umat Islam masa kini yang terlalu jauh dari menghayati Al-Quran. Jika umat dahulu merasakan yang dosa kecil itu tersangat besar sebesar bukit Uhud, umat Islam kini seakan menganggap bahawa dosa besar yang dilakukan hanyalah seperti lalat yang hinggap di hidung mereka, apabila dihalau, lalat itu akan kembali hinggap di tubuh. 

Beberapa lama dahulu, di dalam salah satu persidangan kabinet, seorang menteri Yahudi di Eropah mengangkat tinggi sebuah mushaf Al-Quran di tangannya sambil berkata dengan lantang 

"ketahuilah sesungguhnya bahawa kita tidak akan dapat mengalahkan umat Islam selagi umat Islam itu berpegang teguh kepada kitab ini. Kita harus memusnahkan dan mengoyak-ngoyakkan kitab ini..."  

Seorang menteri lain kemudiannya mengambil naskah Al-Quran tersebut lalu dia mengoyakkan dan memijak-mijak Al-Quran tersebut lalu berkata "Nah! Aku telah musnahkan dan mengoyak Al-Quran pegangan umat Islam ini"

Menteri berkenaan berkata "Bukan begitu caranya, kita harus memusnah dan mengoyakkan Al-Quran yang berada di dalam diri umat Islam, barulah kita akan berjaya menakluki mereka.."

Begitulah perancangan musuh-musuh Islam sejak lama dahulu. Umat Islam telah diserang dari segenap sudut; fikiran, budaya, teknologi, ilmu, hiburan dan banyak lagi, termasuk pemakanan. Hasilnya sekarang dapat kita lihat, sejauh manakah umat Islam masih berpegang dengan Al-Quran. Amat sedikit sekali!!! Segalanya seakan hancur!!!!

Anak-anak muda hancur ahlaknya. Setengah anak muda Islam lebih buruk akhlaknya berbanding dari yang bukan Islam. Tidak dinafikan, akhlak sebahagian umat Islam sendiri menyebabkan orang bukan Islam menjauhkan diri dari Islam. Sebahagian umat Islam sendiri yang berusaha menjatuhkan dan meruntuhkan Islam. Sebahagian umat yang mengakui sebagai Islam, berusaha menjatuhkan dan menentang sebahagian umat Islam lain yang berusaha menegakkan agama Allah ini.

Sebagaimana pernah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. "Umat Islam akhir zaman adalah seumpama buih-buih di lautan, hanyut ke tepi dan ke tengah mengikut arus, pecah berderai apabila dipukul ombak" .... bukan disebabkan ketika itu umat Islam sedikit, tetapi sebab umat Islam tiada kualiti langsung sehingga sukar mengenal sama ada dia Islam atau tidak. Kadangkala tuan punya badan sendiri tidak tahu sama ada dia masih Islam atau telah tergelincir dari landasan syahadah...

Fikir-fikirkan...

Wassallam

     

No comments:

Post a Comment