Wednesday, April 13, 2011

'Last minute'...!

Hmm..... kita dah memasuki minggu kedua bulan April 2011. Ketika ini tentunya isu yang pasti hot adalah berkenaan taksiran cukai pendapatan dan juga perniagaan. Pasti ramai yang berkira-kira bagaimana untuk mendapatkan rebat sebanyak yang mungkin untuk mengurangkan cukai yang perlu dibayar. Ketika inilah kita menyelongkar semula segala resit-resit pembelian buku-buku, komputer, bayaran broadband, resit bayaran zakat sama ada zakat pendapatan ataupun zakat fitrah.   


Kalau dulu kita biasa mengisi borang BE 'hardcopy', sekarang kita mengisi borang BE melalui sisten 'online'. Pastinya lebih mudah. Tetapi ramai juga yang masih menunggu saat-saat akhir untuk mengisi borang.

Ketika itulah akan terdengar banyak rungutan orang ramai berkenaan sistem yang 'lembab', pegawai itu lambat, tak faham, dan sebagainya. Entah kenapa budaya 'last minute' ini begitu amat-amat 'sebati' dengan rakyat kita ini, tidak terkecuali jugak aku sendiri.... heheheh.

Kalau kita memandang semula sejarah diri kita sendiri, di zaman persekolahan, kita juga mengaplikasikan diri dengan budaya 'last minute' ini. Kebanyakan yang berlaku, para pelajar (termasuk aku ketika itu) hanya lebih menumpukan perhatian terhadap pelajaran ketika hampir dengan peperiksaan. Pada masa-masa peperiksaan dirasakan masih jauh, kita lebih banyak bermain-main dan berangan-angan.

Guru-guru dan ibu bapa juga memainkan peranan dengan menekankan peperiksaan sebagai matlamat pembelajaran, bukannya ilmu itu sendiri. Malah, kita ketika ini masih menekankan perkara yang sama terhadap anak-anak kita akan peri pentingnya peperiksaan berbanding ilmu yang didapati. Agak-agak nanti, pasti anak-anak kita akan turut meng'aplikasi'kan budaya 'last minute' dalam hidup mereka. ketika itu kita hanya boleh menggigit jari sambil merungut, mengapa jadi begini...???

Sedangkan kita tahu dan sedar jawapannya ada pada kita ketika ini. Tapi, mahukah kita berubah dan merubahnya...?

Untuk difikirkan bersama....
 

Monday, April 11, 2011

Pergi Tak Kembali

Sebentar tadi saya membuka Blog Rabbani, teringat pulak Ustaz Asri yang telah pergi meninggalkan kita, serta lagu nasyid yang paling meninggalkan kesan di sanubari... Jadi dinukilkan di sini, seni kata lagu berkenaan untuk kita hayati dan renungi bersama...

Pergi Tak Kembali 

Setiap insan pasti merasa
Saat perpisahan terakhir
Dunia yang fana akan ditinggalkan
Hanya amalan yang dibawa

Terdengar sayup surah dibaca
Sayunya alunan suara
Cemas di dada lemah tak bermaya
Terbuka hijab di depan mata

Selamat tinggal pada semua
Berpisah kita selamanya 
Kita tak sama nasib di sana
Baikkah atau sebaliknya

Amalan dan takwa jadi bekalan
Sejahtera bahagia pulang ke sana

Sekujur badan berselimut putih
Rebah bersemadi sendiri
Mengharap kasih anak dan isteri
Apa mungkin pahala di kirim

Terbaring sempit seluas pusara
Soal bicara terus bermula
Sesal dan insaf tak berguna lagi
Hancurlah jasad dimamah bumi

Berpisah sudah segalanya
Yang tinggal hanyalah kenangan
Di iring doa dan air mata
Yang pergi tak kan kembali lagi

Amalan dan takwa jadi bekalan
Sejahtera bahagia pulang ke sana...

Sama-samalah kita berdo'a semoga akhiran hidup kita dengan kalimah 'la ilaha'illallah, muhamad rasulullah'.....

Sakit gigi

Assalamualaikum,

Bangun pagi gigi terasa sakit. Sebenarnya dah lebih dua minggu gigi geraham ni meragam. Tampalan yang dilakukan lebih setahun lalu tertanggal dan pecah. Jadi hari ni aku MC.

Awalnya aku bercadang nak kerja hari ini, tapi bila gigi semakin sakit, berkumur dan gosok gigi pun terasa sakit, makan pun terpaksa kunyah dengan berhati-hati, jadi aku membatalkan niat. Aku kena ke klinik gigi hari ni.   

Jam 0910 pagi aku dah terpacak di depan Klinik Pergigian Mastura, Rantau Panjang, Klang. Ini kali ketiga aku mengunjungi klinik ini (kali pertama dan kedua lebih setahun yang lalu). Hari ni aku jadi pelanggan kedua Dr Mastura Misran. Nasib la Dr Mastura ni baik orangnya. Jadi doktor kenalah kata orang manis mulut, barulah pesakit yang tengah sakit pun rasa lega sket. Dr Mastura graduate dari UM, tak pasti tahun bila, mungkin sekitar tahun 2000.   

Setelah diperiksa, doktor kata, tampalan yang lama telah tertanggal, jadi lubang tampalan dahulu terbuka mendedahkan saraf gigi, tapi gigi masih elok. Dr cadangkan tampalan sementara dahulu. Aku setuju jer... lagipun sayang jugak nak buang gigi geraham tu, banyak jasanya. Kalau tak ade, payah nak mengunyah. 

Bila kena bius, mulut terasa kebas, bibir terasa tebal. Cakap pun macam boleh tak boleh je. Semasa berkumur untuk keluarkan sisa-sisa dalam mulut yang digerudi (betul ke), air tersembur keluar, susah nak kawal sebab bibir terasa kebas. Doktor siap tergelak kecil. Aku tergelak sekali. Terasa macam masuk raja lawak la pulak.... hehehe.

Anyway, Dr kata ini tampalan sementara. Minggu depan aku terpaksa ke klinik ni lagi untuk rawatan susulan. Tapi hari ini aku MC, mulut masih terasa bengkak. 

Semalam, aku berusaha menjadi plumber, akibat saluran keluar air dari sinki dan bilik air yang tersumbat. Lebih dua jam la juga aku dan bakal biras aku mengusahakan utk meng'clear'kan saluran air tu, akhirnya terpaksa cari bantuan pakar, seorang jiran yang lebih tahu selok belok saliran air kawasan perumahan ni (dia dah berpengalaman beberapa kali membantu jiran-jiran yang mengalami masalah yang sama).

Pertama kali aku menyelokkan tangan ke dalam saluran keluar air tu. Macam-macam bau dan rasa yang ada, kalau tak tahan ade yang muntah. Dengan lendir, minyak dan lemak serta bau longkang yang meloyakan. Yekkk...!!! Aku jumpa ketulan lemak yang dah beku, lipas mati dan macam-macam yang aku tak tau macam mana nak 'discribe'.... hehehe...

Finally, bila jiran aku datang membantu, dia keluarkan sekeping pecahan 'seramic' yang jadi punca saluran tu tersumbat. Barulah lega. So, next time mungkin aku tahu apa nak dilakukan bila saluran keluar air tersumbat lagi.... hehehe.... 

Wassallam.

Monday, April 4, 2011

Kau Ilhamku

Sewaktu singgah di sebuah gerai untuk membeli kuih (bekalan sarapan), terdengar lagu Kau Ilhamku dendangan saudara Man Bai dari corong radio (dahulu radio menggunakan corong pembesar suara). Lagu ini sudah lama, rasanya sejak aku berada di universiti lagi lagu ini sudah top, dan ramai sahabat-sahabatku dulu menggunakan lagu ini dengan caranya yang tersendiri. Kata orang ade 'feeling' lah.... dan aku pun tidak terkecuali menjiwai lagu ini... hehehe

Dah sepanjang perjalanan ke pejabat, lagu ini bermain-main di benak kepalaku, berulang kali. Ia sememangnya memberi makna tersendiri bagi diriku... hahaha....

Berikut senikata lagu berkenaan... bagi yang pernah mendengarnya, baca dan dendangkan dalam kepala anda....

Kau Ilhamku

Beribu bintang di langit kini menghilang
Meraba aku dalam kelam
Rembulan mengambang kini makin suram
Pudar ilhamku tanpa arah

Sedetik wajahmu muncul dalam diam
Ada kerlipan ada sinar
Itukah bintang ataupun rembulan
Terima kasih ku ucapkan

Izinkan ku mencuri bayangan wajahmu
Izinkan ku mencuri khayalan denganmu
Maafkanlah ooo...
Andai lagu ini mengganggu ruangan hidupmu
Kau senyumlah ooo...
Sekadar memori kita di arena ini

Kau ilhamku...
Kau ilhamku....
Kau ilhamku...

Sekian dahulu...

Monday, March 28, 2011

Antara lilin, pelita dan mentol....

Saya sering melayari blog Saifulislam.com kelolaan ustaz Hasrizal, sebuah blog yang padat dengan pengajaran dari sudut pandang yang berbeza dari biasa. Sebuah blog yang memaparkan kisah, pengajaran dan pengalaman yang hanya dilalui oleh sebahagian kecil dari kita.

'Erti hidup pada memberi' begitulah moto blog beliau dan kini ianya menjadi sebahagian dari pengertian hidup yang cuba saya amalkan.

Di dalam alam Melayu kita sering mewakilkan istilah pengorbanan insan sebagai 'lilin yang membakar diri, menerangi orang lain'. Sang lilin, sanggup mengorbankan dirinya demi kebahagiaan orang lain amnya, dan semestinya kebahagian orang-orang yang disayanginya. Namun pengorbanan lilin seringkali kita lupakan apabila bahan bakarnya telah habis, tidak berganti. Bahan bakar lilin adalah beku dan pejal, maka pengorbanan sang lilin hanya sekali, habis lilin maka hilanglah cahayanya...

Bagaimana pula dengan pelita, juga membakar sumbunya (tetapi tidak dirinya), dengan berbekalkan bahan bakar yang boleh diisi semula. Namun sang pelita tidak mengorbankan dirinya. Pelita boleh digunakan berkali-kali, selagi kita mengisi semula bahan bakarnya, selagi itu pelita boleh berkhidmat memberikan cahaya sebagai petunjuk kepada persekitarannya.

Bagaimana dengan mentol? Kini kita sinonim dengan mentol yang memberikan cahaya yang segera apabila diperlukan, hanya petik suis, maka dengan sekelip mata bilik yang asalnya gelap menjadi terang. Namun kedudukan mentol biasanya tetap pada suatu tempat, tidak berubah.

Lain pula halnya dengan lampu picit yang boleh di bawa ke mana-mana..... hehehe...

Berbalik kepada lilin, pelita dan mentol, apakah natijahnya dalam kehidupan kita?

Mentol, adalah hasil akhir pencipta mentol yang berjaya dihasilkan selepas beberapa lama usaha keras tanpa jemu dalam membuat eksperimen berkenaan letrik. Kini, kemudahan yang kita ada membolehkan ianya menerangi setiap bilik di dalam rumah kita. Kini boleh diandaikan mentol sebagai antara sumber utama cahaya untuk manusia di waktu malam, dengan syarat bekalan letrik sentiasa ada. Ini menjadikan orang ramai tidak lagi menggunakan pelita dan lilin, hanya bakal digunakan apabila bekalan letrik terputus, ataupun bagi menerangi ruang-ruang yang tidak diterangi oleh mentol lampu.

Begitu juga dengan kehidupan kita, kepelbagaian ilmu telah diteroka dan kita menikmati hasilnya hari ini dengan kemajuan sains dan teknologi hasil dari pemikir-pemikir yang tidak pernah jemu menerokai ilmu. Sejarah menunjukkan, perkembangan ilmu mutakhir ini dipelopori oleh sarjana-sarjana Islam selepas mendalami ilmu-ilmu asas yang dibawa oleh junjungan besar Rasulullah.

Namun sesekali kita menemui masih ada ruang-ruang yang belum diterokai dan disinari cahaya. Maka khidmat pelita dan lilin amat-amat diperlukan di daerah-daerah sebegini. Dan sebagaimana kita tahu, antara pelita dan lilin, kedua-duanya berjasa, namun antara kebekuan lilin yang berkhidmat hanya sekali dan kebolehan pelita untuk diisi semula bahan bakarnya bagi melanjutkan tempoh khidmatnya, yang mana satukah diri kita.

Pengorbanan yang kita lakukan untuk menerangi orang lain, tidak seharusnya memangsakan diri kita sendiri. Sebaliknya, kita seharusnya berusaha menjadi pelita yang tidak pernah kering bahan bakarnya dan menerangi sebahagian ruang, walaupun kita tidak dapat menjadi mentol yang menerangi keseluruhan ruang...

Friday, March 25, 2011

Mimbar Jumaat 20110325

Assalamualaikum,

Kuliah sebelum solat Jumaat di Masjid Kelana Jaya hari ini diberikan oleh seorang pendakwah muda (maaf saya terlupa namanya...)

Ringkasan kuliah yang beliau berikan boleh disimpulkan seperti berikut:

Iman, merupakan perkara paling asas dalam kehidupan manusia dalam mendasari perjalanannya menuju Akhirat. Takrifan Iman adalah 'membenarkan dengan hati, melafazkan dengan lisan dan dibuktikan dengan perbuatan'. Manakala ibadah adalah menifestasi keimanan yang dibuktikan dengan lafaz dan perbuatan, namun harus didasari dengan ilmu dan kesedaran (bukan sekadar ikutan tanpa ilmu).

Tugas utama umat Islam adalah 'amar makruf, nahi mungkar' iaitu mengajak kepada kebaikan dan mencegah perkara kemungkaran selain memantapkan keimanan kepada Yang Maha Esa. Umat Islam harus saling ingat-mengingati antara satu sama lain kerana sememangnya sifat manusia (insan) adalah 'pelupa'.

Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar

Secara amnya, setiap masa dan ketika manusia harus membuat pilihan berdasarkan sistem yang telah Allah s.w.t tetapkan untuk urusan-urusan makhlukNya di dunia (Sunnatullah). Apabila bangun dari tidur, kita dihidangkan kepada pilihan-pilihan antara yang baik dan buruk, antara pahala dan dosa, dan yang paling utama antara syurga dan neraka. Harus diingat, tiada pilihan ketiga untuk kita.

Untuk membolehkan kita membuat pilihan yang betul, harus mempunyai ilmu. Dan dengan ilmu, manusia harus patuh; sama ada dengan sukarela atau terpaksa. Maka wajib bagi umat Islam untuk mencari dan menimba ilmu dengan sebanyak-banyaknya sebagai panduan dalam meniti lorong-lorong kehidupan yang penuh onak dan duri.

Manusia tidak boleh berputus asa dari rahmat Allah kerana rahmatNya tersebar luas di muka bumi ini.

Wassallam.

Friday, March 18, 2011

Suara Mimbar Jumaat 20110318

Hari ini Jumaat, 18 March 2011.

Tazkirah sebelum solat Jumaat di Masjid Kelana Jaya berkenaan betapa pemurahnya Allah s.w.t. terhadap hamba-hambaNya. Berikut adalah isi tazkirah yang dapat disimpulkan.

  1. Apabila hambaNya berniat untuk melakukan kebaikan walaupun tidak dilakukannya, maka Allah memberikan satu pahala kebaikan.
  2. Apabila hambaNya menzahirkan niat baiknya dengan melakukan kebaikan itu, maka Allah memberikannya sekurang-kurangnya 10 pahala kebaikan dan boleh digandakan sehingga 700 atau lebih.
  3. Apabila hambaNya berniat melakukan maksiat/kejahatan tetapi dia tidak melakukannya, maka Allah memberinya 1 pahala kebaikan kerana tidak melakukan maksiat tersebut.
  4. Apabila hambaNya melakukan maksiat/kejahatan tersebut, maka Allah memberinya 1 DOSA.

Amat Pemurah Allah s.w.t., dalam banyak perkara Allah melimpahkan rahmat kasih sayangNya kepada makhluk-makhlukNya...

Namun begitu, ulama ada menyebut 'kenikmatan melakukan maksiat itu akan lenyap, tetapi dosa yang tercatat akan kekal, kecuali mendapat ampunan Allah...'

Mimbar Jumaat oleh Dato' Hassan Ali, mengupas doa Nabi Yusuf a.s., dapat disimpulkan sebagaimana berikut:

  1. Ya Allah, hanya Engkaulah Penguasaku di dunia dan akhirat, tiada penguasa yang lain.
  2. Ya Allah, jadikanlah akhiran kami, mati kami sebagai seorang muslim/muslimat.
  3. Ya Allah, himpunkanlah kami di mahsyar nanti bersama orang-orang yang soleh.

Lingkaran kehidupan manusia berupa 4 pilihan:

  1. Lahir dari ibu bapa yang kafir, membesar sebagai kafir, dewasa sebagai kafir dan mati sebagai kafir.
  2. Lahir dari ibu bapa yang kafir, membesar sebagai kafir, dewasa sebagai muslim dan mati sebagai muslim.
  3. Lahir dari ibu bapa muslim, membesar sebagai muslim, dewasa sebagai muslim, tetapi mati sebagai kafir (akibat tersilap langkah - na'uzubillah).
  4. Lahir dari ibu bapa muslim, membesar sebagai muslim, dewasa sebagai muslim dan mati dalam keadaan muslim.

Sebagai hamba, kita harus menseimbangkan antara amalan kita dengan mengharap Rahmat Allah s.w.t. Amalan tidak dapat menjamin ke Syurga tanpa Rahmat dari Allah. Menjadi satu kemestian bagi seorang muslim untuk merasa takut dan mengharap sentiasa kepada Allah s.w.t.

Wassallam

Monday, February 21, 2011

Maulidur Rasul Muhammad s.a.w.

Assalamualaikum,

Dah sekian lama hamba tak update blog ini, mungkin kesibukan kerja dan keluarga merenggangkan sedikit hubungan dengan blog ini, namun blog gambar tetap di update sebab lebih mudah, tidak perlu mengarang panjang-panjang.

Hari ini, di tempat kerja kami dihidangkan suatu majlis sambutan Maulidur Rasul 2011. Alhamdulillah, penceramahnya adalah Ustaz Mohd Aqsyah suami kepada Dato' Ustazah Noor Bahyah yang agak gmalour tu. Tapi Uztazah Noor Bahyah tidak dapat hadir disebabkan urusan yang tak dapat dielakkan.

Berikut adalah ringkasan ilmu yang dapat hamba kutip, dan titipkan untuk dikongsikan bersama:

Tiga perkara yang umat Islam harus tahu:

  1. Umat Islam adalah umat terbaik (jika kena pada tingkah dan caranya)
  2. Janganlah kamu berduka cita kerana Allah menjanjikan balasan baik atas setiap apa yang berlaku kepada umat Islam (andai kena caranya; redha dan tawakkal)
  3. Umat Islam adalah umat yang seimbang Dunia dan Akhirat

Tafsir perkataan:

  • Maulud ertinya 'bayi yang dilahirkan'
  • Maulid ertinya 'kelahiran'

Jadi, sebutan yang sebenar adalah Maulid Nabi / Maulidur Rasul bukannya Maulud Nabi. Orang Melayu seharusnya membetulkan sebutan ini.

Tiga perkara sebagai tanda kita sayang kepada Rasulullah s.a.w.:

  1. Banyakkan selawat nabi dan keluarganya.
  2. Ikut cara Nabi / Sunnahnya
  3. Jaga pusaka nabi iaitu Al-Quran dan Hadis/Sunnah Nabi.

Nabi Muhammad s.a.w. adalah sebaik-baik ketua keluarga yang harus menjadi teladan. Bahasa kasih sayang untuk kerukunan rumah tangga. (5 perkara)

  1. Ikat kasih sayang dengan sentuhan.
  2. Perkataan / ucapan yang baik (jangan marah, banyak bersabar dan berdoa untuk keluarga, isteri dan anak-anak)
  3. Pemberian hadiah tanda ingatan
  4. Masa yang berkualiti bersama keluarga
  5. banyak memberi khidmat kepada pasangan dan keluarga

Jadilah seperti lebah, contohi kerana:

  • Lebah makan benda yang baik-baik sahaja.
  • Lebah hidup secara berjemaah.
  • Lebah menjaga persekitarannya, pokok tempat lebah bersarang tetap hidup subur.
  • Apabila lebah berpindah ke sarang lain, mereka meninggalkan madu yang baik untuk manusia.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat untuk semua.

Wassallam.

Monday, February 14, 2011

First world facilities vs. Third world salary

Our government always mention that we are going to develop our nation into modern world i.e. first world. Here and there, there are many new facilities emerged onto the surface, brand new and majestic. However, if we want to use the facilities, we need to pay for it.
Especially in KL, we need to pay tolls everyday, in our way to the offices if we are travelling by car, despite all the traffic jam. When we are going back home in the evening, we have to pay tolls on the way back, also complete with traffic jam. Try to avoid paying tolls, extra massive traffic jam.
Drinks and meals are quite expensive in KL, especially to the low income citizen. Those who cannot afford the fees may have to 'ikat perut', skip lunch and hope for a good dinner at home. Despite that, KL is full of hope and people who come to the city centre with the intention to change their life in materials. People are forced to work extra hours in order to fullfil the needs of theur family.
In this metropolitan city, people who have money can make more money. People with money can use other people to make money for them. In the end the gap between rich and poor will become bigger and larger. These can be seen at large cities e.g. Jakarta, Delhi, Manila, Bangkok even Abu Dhabi (I haven't seen all these with my own eyes, but many talks about this...)
What are the first world facilities if the majority of the people can only 'see' them from far. If the people want to enjoy them, they need to pay. From education to health, people are forced to pay for the service. The price for the fuel goes up and up and away! (Despite the petroleum produced off-shore of peninsular Malaysia as well as Sabah and Sarawak.)
In the old days, graduate students can enjoy their first salary without so much worry. Now, even the graduates are still below the urban poverty line, can be considered as 'miskin bandar'. What are our achievement after more than 5 decades of independencies?
Are we becoming poorer and poorer...?

Friday, December 24, 2010

Satu dalam Seribu

Setiap hari kita disibukkan dengan aktiviti harian kita. Saban hari kita merasakan betapa cepatnya waktu berlalu tanpa kita sedari. Dalam tidak sedar, kita mensia-siakan saki baki waktu yang kita ada... seandainya kita tahu di mana penghujung usia kita.

"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal saleh. Mereka yang berpesan dengan kebenaran serta berpesan dengan kesabaran"

Di penghujung usia dunia, masa dirasakan singkat dek kerana kita tidak lagi menghitung masa. Kita disibukkan dengan aktiviti-aktiviti mengejar dunia dan isinya, dunia yang semakin tua semakin indah dan mempersonakan.

Jarak perjalanan tidak lagi terasa jauh oleh kemajuan pengangkutan. Malaysia dan Amerika hanya setengah hari perjalanan. Namun kita terlupa, setiap saat yang berlalu, semakin hampir kita dengan kematian, meninggalkan dunia dan segala isinya, menunggu perhitungan amal perbuatan.

Namun, siapakah yang benar-benar tahu kedudukannya, adakah dalam redha Allah s.w.t. atau dalam keadaan dilaknat. Siapakah yang benar-benar tahu tahap keimanannya? Sudahkah kita diuji, atau sememangnya kita gagal dalam ujian.

"Dalam 1000 manusia di akhir zaman, 999 adalah golongan Yakjuj dan Makjuj..."

Adakah kita satu dalam seribu, atau kita antara 999 manusia yang dilaknat? Siapa yang yakin kedudukan dirinya?

Perkhabaran menyatakan Dajjal adalah manusia ajaib akhir zaman yang akan menyesatkan manusia, namun bakal dibunuh oleh Nabi Isa dan Imam Al Mahdi yang memimpin manusia-manusia yang beruntung mendapat hidayah Allah.

Kita berdoa semoga dijauhkan dari fitnah Dajjal. Namun tanpa sedar, fitnah Dajjal telah datang menjenguk dan menguji manusia jauh sebelum munculnya Dajjal menampakkan diri. Tanpa kita sedari, kita hidup dalam sistem yang dijana oleh Dajjal melalui pengikut-pengikutnya dalam 'kemodenan'. Dajjal mempersembahkan 'syurga' yang sebenarnya jalan menuju neraka, juga mengugut dengan 'neraka' yang sebenarnya jalan menuju syurga Allah s.w.t.

Perancangan Dajjal untuk umat akhir zaman bukannya singkat, berabad lamanya perancangan halus dan teliti demi menyesatkan manusia, sehingga manusia tidak menyedari diri sedang teruji, diri sedang terfitnah. Dari sistem ekonomi kapitalis, politik, budaya dan adat, segalanya adalah ujian 'syurga' dan 'neraka'.
Mungkinkah yakjuj dan makjuj adalah golongan pengikut Dajjal, dan sesiapa yang mengikut cara dan sistem Dajjal yang dikembangkan dalam senyap, adalah juga termasuk dalam golongan Yakjuj dan Makjuj. Maka antara nisbah 1 dalam 1000, masihkah kita mendakwa kita antara yang satu dalam seribu?
Terasa diri ini ingin menangis mengenangkan, di manakah kedudukan diri ini, satu atau 999?

Friday, December 3, 2010

Petrol naik lagi

Menghampiri penghujung tahun 2010, baru nak menyambut 1432H, rakyat Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan kenaikan 4 dalam 1. Harga petrol naik lagi, begitu juga dengan harga gula. Walaupun beberapa bulan dulu kerajaan sedia ada menyatakan tiada kenaikan harga petrol dalam tahun ini, tapi balum pun habis 2010 berlaku juga kenaikan harga....

Pi mai pi mai.... rakyat golongan bawahan juga yang susah, yang merana...

Di Selangor, negeri di mana hamba bertapak, kerajaan negerinya berusaha mengelakkan tuntutan kenaikan harga oleh pihak Syabas, pembekal air swasta negeri Selangor. Demo dan bantahan telah digerakkan diketuai sendiri oleh pucuk pimpinan negeri.... dan rakyat Selangor amat berterima kasih atas tindakan ini lantaran dapat menyelamatkan rakyat selangor buat sementara....

minyak kuning untuk orang-orang miskin... RON95 tidak terkecuali dari kenaikan harga...

minyak hijau, untuk golongan sedikit berada.... RON97, mencanak naik harganya...

Keadaan kehidupan yang serba mencabar di Malaysia amnya, khususnya di kota raya dan bandar-bandar besar menyebabkan kebanyakan kita pening kepala. Apa tidaknya, celik mata saja kena kira duit, nak makan... duit, nak berjalan... duit, nak buang air pun kena duit! Tak hairanlah semakin banyak penyakit melanda khususnya warga kota.

Kalau dulu sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis adalah sakit orang berduit, tapi sekarang hampir semua golongan berisiko meghadapi penyakit itu. Disebabkan apa? sebabnya semua orang sekarang ini terpaksa memikirkan mana nak cekau duit..... kais pagi.... kais petang.... nak cari duit. Sampaikan malam pun ada yang masih mengais sebab nak cari duit lebih...

Sebabnya....? Kenaikan harga petrol akan mencanakkan kenaikan banyak barangan lain, maka nilaian duit kita semakin susut, kita perlu lebih banyak mengais siang dan malam untuk mencari lebih duit......

'senjata' untuk membunuh jiwa manusia yang asalnya merdeka...

Salah kita juga sebab membenarkan diri dikongkong dan dipermainkan oleh kapitalis. Kita terlalu bergantung dengan petrol. Andailah kata kita gantikan petrol dengan air hujan, alangkah bagusnya!!!!!

Dahulu ada juga terdengar usaha-usaha untuk membebaskan diri dari kongkongan petrol, tapi hasilnya tidak ke mana. Apakan tidak, kuasa dan pengaruh korporat menundukkan kuasa rakyat! Hasilnya, rakyat terbiar dalam kemiskinan dan kedunguan agar boleh diperbodohkan dan diperkotak-katik semahunya, demi..... sebuah kuasa.....

Tuesday, November 9, 2010

Banjir, banjir,...

Hujan yang turun membawa rahmat kepada umat manusia dan juga sebahagian besar mahluk Allah di muka bumi ini. Hujan yang turun juga menjadi ujian kepada umat manusia; antara syukur, redha, suka, kecewa, takut, marah, benci dan sebagainya...

Apabila Allah menurunkan ujian/bala/bencana, ujian datang kepada semua umat, sama ada yang terkena secara langsung atau tidak langsung. Yang terkena, diuji tahap kesabarannya dalam menghadapi musibah. Yang tidak terkena, diuji tahap kesyukurannya atas nikmat yang diberikan dan tanggung jawabnya sama ada datang membantu atau hanya memandang sinis.

Dan biasanya, kategori kedua - ramai yang gagal. Gagal dalam memahami rahsia disebalik musibah yang datang menimpa. Gagal dalam mengawal hati yang bongkak dengan kenikmatan. Gagal mengenalpasti tanggungjawab di amanahkan Allah.

Saudara-saudara kita di utara, Kedah dan Perlis sedang dilanda musibah banjir yang datang menimpa. Ramai yang menuding jari menyalahkan orang lain, mencari kambing hitam untuk dipersalahkan. Dalam tidak sedar, satu jari menuding kepada orang lain, 3 jari menuding kepada diri sendiri, dan satu jari menuding ke langit. Apakah maksudnya?

Mengapa kita saling menyalahkan, sedangkan menuding jari tidak menyelesaikan apa-apa. Seeloknya saling bahu-membahu sesama kita menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan, disamping berdoa kepada Allah semoga segalanya menjadi kesaksian kita di hadapan Allah di padang mahsyar kelak...

Wallahu'alam.

Tuesday, August 31, 2010

31 Ogos 2010

Hari ni 31 Ogos 2010. Hari ni raykat Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke 53. Bermakna sudah 53 tahun Tanah Melayu merdeka dari penjajahan British, Belanda dan Portugis. Sejak kejatuhan Empayar Islam Melaka dalam tahun 1511, Tanah Melayu telah terjajah selama ratusan tahun oleh para penjajah Eropah dimulai dengan Portugis, diikuti Balanda dan kemudian British. Selepas kemerdekaan 1957, sekali lagi cubaan penjajahan berlaku, kali ini oleh Jepun yang bercita-cita menjadi empayar timur. Lorong berliku dihadapi oleh masyarakat tempatan ketika itu dalam menghadapi kehidupan seharian akibat ancaman oleh pihak Jepun dan penentang tempatan. Kini, kita dikatakan telah merdeka. Namun sejauh mana kemerdekaan itu kita hargai. Benarkah kita telah merdeka? Adakah generasi selepas merdeka mengetahui dan mengenali erti kemerdekaan? Tanyakan kepada majoriti masyarakat yang ada, pasti jawapannya berbeza-beza. Merdekakah kita jika saban waktu kita bekerja untuk membayar hutang yang entah bila langsainya? Kita terjajah oleh hutang! Merdekakah kita jika saban waktu kita terbelenggu oleh pelbagai akta yang menakutkan? Kita terjajah oleh akta! Merdekakah kita jika boleh dikatakan setiap hari kita dihidangkan berita-berita pembunuhan, penculikan, rompakan. Kita berkira-kira, selamatkah kita dan keluarga kita hari ini dari anasir-anasir menakutkan itu? Kita dijajah oleh ketakutan! Merdekakah kita jika saban waktu kita dihidangkan dengan budaya dan ragam yang bukan milik kita lantas bakal meranapkan jatidiri anak bangsa? Kita dijajah oleh budaya asing! Merdekakah kita jika kebanyakan yang kita gunakan saban hari adalah dari dunia asing? Apakah erti kemerdekaan sebenarnya?

Monday, August 23, 2010

Ramadhan 1431H

Assalamualaikum,
Dah lama aku tinggalkan blog nih, tak sempat nak masukkan entry, namun aku cuba untuk mengaktifkan semula catatan dalam blog ini. Mudah-mudahan ianya akan menjadi satu catatan yang berguna untuk generasi mendatang, khusus untuk generasi anak-anakku.
Hari ini sudah 13 Ramadhan 1431H, sudah hampir ke pertengahan puasa. Di surau tempat ku, ada sedikit kuliah peringatan yang diberikan oleh ustaz sebelum solat terawih. Antara kandungan kuliah yang dapat aku petik secara serba ringkas;
Umumnya, orang-orang yang beriman amat-amat takut kepada 5 perkara:
  1. Syirik: ini adalah kerana seandainya berlaku perbuatan syirik, segala amalan yang terdahulu akan terhapus serta-merta. Sentiasalah berjaga-jaga dan berimgat.
  2. Murtad: murtad boleh berlaku sama ada dengan sengaja atau tidak kita sedari. banyak perbuatan yang boleh menjuruskan kepada murtad tanpa kita sedar. Carilah ilmu sebagai panduan kita.
  3. Dosa: setiap dosa yang kita lakukan seandainya tidak sempat bertaubat, maka api nerakalah yang boleh menghapuskannya, insya-Allah.
  4. Khurafat dan bidaah
  5. Neraka jahannam. Siksa neraka teramatlah pedih, dan ketika itu tiada penamat sebagaimana kematian sebagai penamat siksaan di dunia.

Pesanan Saidina Ali r.a.

"Terdapat hanya dua golongan yang benar-benar layak merayakan hari raya Aidilfitri, iaitu orang yang dah confirm Allah s.w.t. terima puasanya dan orang yang telah confirm mendapat ampunan Allah dengan berakhirnya Ramadhan..."

Jadi, sama-samalah kita muhasabah diri kita, di manakah kedudukan iman dan amal kita...

Wallahu'alam.

Tuesday, April 13, 2010

Funfair?

Rasanya dah lama saya tak update blog nih... bukan tak mahu... cuma agak busy (ceh... alasan!)..

Berdasarkan pemerhatian, sejak kebelakangan ini begitu banyak 'fun fair' yang tumbuh di sekitar Lembah Klang bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Jika kita rajin meneroka jalan-jalan sekitar lembah Klang di waktu malam, pasti kita terlihat lampu sorot menyuluh tinggi melangit menarik perhatian orang ramai. Dan jika di amati, lampu sorot ini puncanya dari lokasi 'funfair' yang seboleh-boleh menarik orang ramai mengunjunginya, terutama kanak-kanak. Di tempat saya sendiri, sudah 3 kali pesta 'funfair' diwujudkan bersebelahan hypermarket Carrefour semenjak awal tahun lepas, dan setiap kali beroperasi sehingga 1 bulan.

Ibu bapa pastinya pening kepala apabila anak-anak merengek-rengek minta di bawa memasuki 'funfair' tersebut. Lebih-lebih lagi yang hanya bergaji cukup makan, mana nak cekau duit untuk 'hiburan' anak-anak sebegini.

Saya pernah membawa anak-anak dan adik-adik ipar mengunjungi 'funfair' berhampiran rumah, itupun setelah didesak berkali-kali, dan anak-anak asyik bertanya bila nak bawa mereka 'bergembira' di 'funfair' berkenaan. Bayangkan, sekali masuk dengan keluarga, main permainan yang basic, pun habis RM50. (itu selepas berkira-kira dan berjimat la tu...)
Pengunjung pada malam tu, dan hampir setiap malam, punya lah ramai. Bayangkan jika purata keluarga yang mengunjungi 'funfair' menghabiskan RM50, berapakan jumlah kutipan dalam satu malam? Dan berapakah jumlah kutipan sebulan?
Banyak untung maa...!
Yang rugi? KITA semua..!

Tapi... yang lebih mengejutkan, kebanyakan permainan seperti baling botol, pancing anak itik, baling gelang, lebih merupakan perjudian berbanding permainan riadah. Yang peliknya, ramai ibu bapa membiarkan anak-anak bermain permainan judi ini tanpa memikirkan itulah benih-benih maksiat yang di tanamkan dalam diri anak-anak. Walaupun pada mulanya sekadar suka-suka, hakikatnya ia adalah judi! Dan sekiranya anak-anak dibiarkan dengan permainan sebegini, tidak mustahil apabila dewasa kelak mereka akan biasa berjudi di Genting, pusat perjudian terkemuka di Malaysia.
Di manakah tindakan kita sebagai umat Islam? Haruskah kita membiarkan benih-benih maksiat dan perjudian ini meresapi minda anak-anak yang masih fitrah? Manakah perginya Jabatan penguatkuasa tempatan?
Sedarlah bahawa pengusaha 'funfair' ini tidak pernah memikirkan masa depan masyarakat dan generasi akan datang, yang penting bagi mereka hanyalah mengembungkan poket dan perut mereka semata.
Haruskah kita mengorbankan jatidiri anak-anak dan generasi masa depan kita?

Wednesday, February 17, 2010

Keretapi Tanah Melayu 2

“Tolong.. caya...!! dua taun...” antara kalimat-kalimat yang dihamburkan adik Danish Iman sambil mengekek membuatkan kami sekeluarga tergelak sakan apabila dia bergomol dengan kakaknya atau dengan ayahnya (akulah tu). Memang seronok bermain dengan anak kecil seusia Danish Iman kerana keletah dan ragam mereka yang menghiburkan orang dewasa seperti kita.

Pada usia begini, sememangnya kanak-kanak akan melakukan pelbagai eksperimen dalam aktiviti harian mereka. Segalanya mahu dicuba, dari yang mudah hinggalah yang menyebabkan kita yang dewasa mengurut dada kerisauan. Malah kadang kala runtuh juga tembok kesabaran emak dan ayahnya.

“Ayah! Ketetapi!! Tuu... ketetapi!!”

“Iyee.. keretapi lah...” aku cuba membetulkan.

“Ketetapi...”

Begitulah biasanya telatah Muhammad Danish Iman yang baru belajar bercakap pelat apabila usianya melepasi 2 tahun, apabila terlihat gambar atau mainan, atau objek keretapi. Entah kenapa keretapi begitu bermakna bagi dirinya.

Bagiku juga, keretapi mempunyai nostalgia tersendiri. Sewaktu tempoh pembelajaranku di peringkat tinggi, keretapi merupakan pengangkutan rasmi yang menghubungkanku antara tanah kelahiran dengan bumi tempat menimba ilmu.

Keretapi Tanah Melayu (KTM), antara perkhidmatan awam yang masih mengekalkan perkataan ‘Melayu’, selain Rejimen Askar Melayu Diraja. Kebanyakan perkhidmatan awam lain apatah lagi badan swasta, kebanyakannya menggunakan perkataan atau pengenalan yang ‘lebih orang putih dari orang putih, lebih Inggeris dari orang Inggeris sendiri’. Sehinggakan kadang kala kita pun tidak tahu terjemahannya di dalam bahasa melayu dek kerana biasa menuturkannya dalam bahasa inggeris.

Perjalanan dengan gerabak KTM biasanya akan menyelusuri desa, ladang dan hutan rimba sesekali berhenti di stesen di pekan dan pinggir bandar. Perjalanan yang biasanya terasa lambat dan membosankan.

Aku menaiki keretapi Sinaran Pagi di stesen Kluang, melalui perjalanan jauh menuju kota Kuala Lumpur. Tiba di Stesen Kuala Lumpur jam 6.00 petang. Seperti kebiasaannya, aku akan bergegas ke kaunter tiket untuk membeli tiket keretapi menuju ke Butterworth yang akan bertolak jam 8.00 malam.

Kejadian berulang bila mana tiket ke utara kehabisan. Aku mula menggaru kepala yang tidak gatal, memikir-mikir bagaimana untuk aku mengharungi malam ini. Jika dulu, aku melayani malam dengan langkah-langkah perlahan menjelajahi wajah malam ibu kota Kuala Lumpur, mungkinkah aku akan mengulanginya lagi. Fikiranku bercelaru.

Selepas solat maghrib, aku masih duduk termenung di bangku di atas platform, melihat pelbagai kerenah para pengunjung yang menunggu kehadiran gerabak atau koc yang akan membawa mereka ke destinasi. Di hadapanku, tersergam koc KTM Express Senandung Malam menuju ke utara, destinasi yang kutuju.

Menghampiri jam 8.00, kelihatan manusia-manusia mula memasuki gerabak penumpang sesuai dengan tiket yang dibeli. Aku yang tidak mempunyai tiket, kian resah, cuba mengira-ngira apakah langkah yang harus aku ambil. Terasa malas untuk sekali lagi mengharungi malam-malam berjalan sendiri di kota besar Kuala Lumpur, walau nampak indah dihiasi neon malam, namun siapa tahu wajah buruk di sebalik kegelapan lorong-lorong sunyi yang berselang seli dengan kerlipan neon menerangi jalan. Jika dahulu, aku terselamat dari sebarang perkara tidak diingini, namun pengulangan ini adakah aku akan masih bernasib baik seperti dulu?

Pritt..!!!

Bunyi wisel petugas platform menyedarkan aku dari kebuntuan. Entah dari mana datangnya kudrat, aku bingkas bangun dan melangkah pantas melalui pintu gerabak memasuki koc penumpang dengan beg besar tergalas di bahu. Aku nekad untuk meneruskan perjalanan walaupun tanpa tiket!!

Beberapa detik kemudian, gerabak mula meluncur perlahan di atas landasan. Semakin lama semakin laju. Aku bergerak antara kerusi penumpang mencari-cari kalau-kalau ada kerusi yang masih kosong. Tiada.

Tidak berputus asa, aku bergerak pula ke koc seterusnya. Tanpa mempedulikan penumpang lain, aku terus mencari-cari sehingga akhirnya menemui kerusi yang masih kosong.

‘Barangkali tiada orang di tempat ini’

Seorang lelaki sedikit berusia bersebalahan tingkap kelihatan termenung memandang keluar tingkap, tanpa mengendahkan aku yang tercegat disitu. Aku meletakkan beg di bahagian meletak barang dan perlahan-lahan duduk di situ tanpa berkata sepatahpun. Aku cuba berehat, namun kerisauan melanda, maklumlah orang bersalah.

Beberapa detik berlalu, apabila tiba-tiba aku menyedari kehadiran pemeriksa tiket memasuki koc tempat aku berada. Aku menunggu beberapa detik sebelum perlahan-lahan bangkit lalu bergerak melintasi peperiksa tiket dengan dada berdebar-debar. Tujuanku untuk ke kawasan koc dimana telah dilakukan pemeriksaan.

Alhamdulillah, dia tidak bertanyakan tiketku. Aku menarik nafas lega dan berlalu, tempat tujuanku, tandas di hujung gerabak. Untuk seketika aku termenung disitu, berkira-kira dan merancang tindakan seterusnya. Lantas aku memutuskan untuk bergerak ke cafe keretapi manakala beg pakaian kubiarkan ditempatnya.

Di cafe kelihatan beberapa penumpang sedang menikmati minuman. Aku memesan teh-o, minuman paling murah selain air kosong dan air suam. Almaklum, kerana harga makanan dan minuman di cafe agak mahal. Sebab itu apabila terdapat beberapa peniaga bergerak menjual makanan dan minuman di dalam koc, permintaannya memang tinggi sebab agak murah dan berbaloi-baloi, kata orang sekarang.

Sambil menghirup teh-o panas, aku cuba berbual-bual dengan seorang pakcik yang mungkin seusia ayahku. Kami berbual agak rancak, sambil sesekali mataku meliar melihat-lihat kalau-kalau ada pemeriksa tiket memasuki cafe berkenaan. Berdasarkan pengalamanku yang lalu, pemeriksaan tiket dilakukan dua atau tiga kali sepanjang perjalanan.

Selesai menghirup titisan teh-o terakhir, aku melihat jam mengagak-agak waktu peperiksaan seterusnya. Dari celah pintu kaca yang menghubungkan antara gerabak, kelihatan pemeriksa tiket sedang menjalankan tugasnya.

Aku meminta diri dari pakcik teman berbualku, lalu bergerak ke arah belakang gerabak. Aku menyembunyikan diri di dalam tandas gerabak, fikiranku ligat merancang pilihan-pilihan yang ada yang boleh aku lakukan. Bagaimana kalau pemeriksa tiket mengetuk pintu tandas meminta menunjukkan tiket?

Aku menunggu beberapa lama dalam debaran. Tiada ketukan di pintu. Aku menunggu lagi beberapa ketika sebelum perlahan-lahan membuka pintu. Kelihatan pemeriksa tiket sedang memeriksa di koc di bahagian belakang, bermakna aku terlepas sekali lagi. Alhamdulillah.!

Selepas itu tiada lagi pemeriksaan dilakukan. Perjalanan diteruskan menuju ke utara. Bilangan penumpang kian berkurangan selepas keretapi berhenti di beberapa stesen utama. Namun sepanjang perjalanan malam itu, aku tidak dapat melelapkan mata, malah tiada rasa mengantuk memandangkan perasaan takut dan bersalah menghantui perasaan.

Sekitar jam 6.00 pagi, keretapi menghampiri daerah Butterworth. Tidak lama lagi aku akan mengakhiri perjalananku yang terasa amat panjang antara rasa lega dan bersalah...

Friday, February 5, 2010

Esok tanpa petrol...

Hidup kita kini mahu tidak mahu terlalu bergantung kepada teknologi. Dari sekecil-kecil teknologi seperti telefon bimbit, kereta, motosikal, sehinggalah yang sebesar-besar kapal terbang yang membawa manusia mengelilingi dunia. Namun, pernahkah anda membayangkan bagaimana agaknya jika tiba-tiba bekalan petrol dan bahanapi seluruh dunia kering esok hari. Tiada lagi bekalan minyak dari telaga-telaga pengeluar minyak di seluruh dunia untuk diproses di kilang penapisan. Dengan kata lain Allah mencabut nikmat minyak yang diberikan kepada manusia di seluruh dunia.

Bagi Negara yang biasanya mempunyai stok penimbal, ketika inilah stok penimbal memainkan peranannya. Negara yang mempunyai stok penimbal ini akan menjadi sangat berkuasa, dalam menentukan siapa yang boleh memperolehi bekalan minyak dari simpanan mereka dan siapa yang akan disingkirkan. Ketika inilah, harga minyak akan melambung naik melebihi harga emas tulen. Mungkin ada yang terpaksa membeli minyak dengan pertukaran emas.

Bagi yang tidak mendapat bekalan semula, bekalan petrol di stesyan minyak mungkin akan dapat bertahan dalam 2 atau 3 hari, paling lama seminggu. Simpanan petrol di kilang penapisan mungkin akan dapat bertahan selama 2 hingga 3 minggu sebelum bekalan benar-benar kering. Itupun dengan kawalan dan catuan.
Negara dengan stok penimbal pula mungkin mempunyai bekalan kepenggunaannya sehingga 6 bulan atau lebih sedikit. Namun mahu tidak mahu, bekalan akan kering dan habis.
Kes di Malaysia, kita mungkin masih mendapat bekalan sehingga sebulan sebelum stok benar-benar kering, itupun dengan catuan dan kawalan ketat kerajaan. Keutamaan diberikan untuk kegunaan ketenteraan dan pengangkutan bahan makanan dan kecemasan atau keperluan perubatan. Kepenggunaan peribadi adalah dilarang bagi melanjutkan simpanan selama mana yang boleh dengan harapan bekalan dari telaga baru akan menggantikan telaga yang telah kering.
Maka banyak akan kelihatan kereta-kereta mula tersadai di tepi jalan raya, mungkin juga di tengah-tengah jalanraya, tidak dapat bergerak tanpa bahan api. Harga makanan akan melambung tinggi disebabkan bekalan yang tidak mencukupi. Nilai wang akan merudum jauh sehinggakan harga seliter petrol mungkin mencapai ratusan malah mungkin mencapai ribuan ringgit. Begitu juga dengan makanan, yang harganya naik mencanak akibat permintaan tinggi manakala bekalan tidak mencukupi.

Bekalan elektrik akan terputus selepas 4 atau 5 hari disebabkan tiada lagi bahan bakar penjana elektrik, memandangkan kebanyakan bekalan elektrik di negara kita dijana menggunakan bahanapi diesel. Bagi kawasan yang mendapat bekalan elektrik melalui penjanaan elektrik-hydro agak bernasib baik kerana bekalan masih tidak terputus. Dengan terputusnya bekalan elektrik di kebanyakan tempat, maka kebanyakan manusia akan terputus hubungan. Masalah kebergantungan kepada teknologi muncul mendadak.
Kesan secara langsung akan lebih ketara di bandar-bandar besar, yang pesat membangun dek kerana penghuni-penghuninya yang terlalu bergantung kepada teknologi. Bateri HP mungkin akan hanya bertahan beberapa jam. Komputer yang digunakan untuk bekerja tidak berfungsi. Segala macam mesin tidak berguna ketika itu. Kenderaan tidak boleh bergerak kecuali beberapa kenderaan kepunyaan tentera dan kenderaan rasmi kerajaan yang dibekalkan bahan api yang sedikit bersisa.

Tiada lagi kesesakan jalanraya dipagi hari, kecuali kesesakan oleh kenderaan-kenderaan yang tersadai tiada bertuan lagi. Kita tidak boleh bergerak jauh dari kediaman, tidak dapat pergi bekerja. Wang di bank tidak dapat dikeluarkan memandangkan mesin ATM tidak berfungsi.
Langsung, apa yang harus kita lakukan. Rumah bergelap siang dan malam, tiada lagi TV, radio mahupun video game. Tiada lagi internet, blogging dan multimedia. Kebosanan? Pasti!
Apa yang lebih teruk dari itu adalah kehabisan simpanan makanan di rumah. Harga barangan runcit melambung oleh permintaan yang tinggi dengan bekalan yang terhad. Sedangkan wang tiada kerana mesin ATM tidak boleh berfungsi, bank terpaksa berfungsi secara manual. Ini meningkatkan kebarangkalian rompakan besar-besaran oleh manusia-manusia yang terdesak.
Bekalan makanan di depoh simpanan juga terpaksa dicatu. Keadaan menjadi huru hara dan akhirnya darurat diishtiharkan di seluruh negara. Tentera mengambil alih pemerintahan dengan perintah berkurung 24 jam. Sistem kenegaraan dan kuasa-kuasa besar akan runtuh sekelip mata. Senjata-senjata canggih kawalan komputer akan tersadai tidak mampu dioperasikan. Hanya senjata makanikal berfungsi mengawal keadaan. Kenderaan, mungkin kita terpaksa bertukar kepada basikal ataupun kuda bagi negara-negara yang mempunyai kawanan kuda yang banyak.

Keadaan di kampung-kampung pedalaman mungkin kurang merasakan kesan drastik kehilangan nikmat ini. Namun beransur-ansur terkesan oleh huru-hara yang merebak ke kawasan luar bandar. Ramai penghuni bandar akan bergerak ke kawasan kampung untuk perlindungan keselamatan masing-masing.
Ketika itu kita akan benar-benar menghargai alam semulajadi, pokok-pokok buah-buahan, tanaman, sayuran, binatang ternak dan lain-lain. Mungkin anak-anak moden yang sebelumnya hanya mengenal ayam goreng KFC akan mengenali pula ayam kampung yang hidup bebas di belukar di hujung kampung. Kita akan belajar mengenal sawah dan padi selain hanya beras dan nasi. Kerbau dan lembu serta kambing berbanding daging beku dan dalam tin.

Segalanya akan berubah, kali ini benar-benar berubah. Tidak mustahil orang kampung akan lebih selesa berbanding yang hidup di bandar. Mungkin pemandangan di bandar akan kelihatan seperti Semenanjung Gaza atau Bosnia Herzegovina. Kita akan merasa keperitan mereka-mereka yang pernah menderita kebuluran sama ada oleh akibat peperangan atau bencana alam. Tiada lagi gelak ketawa, yang ada hanya keluh kesah dan air mata. Anak-anak menangis kelaparan, tiada huburan, bakalan api dan air, malah mungkin tiada makanan.
Maka haruskah kita terus bergelak ketawa tanpa memikirkan hari mendatang? Haruskah kita berdiam diri, hanya melihat penderitaan manusia-manusia dan saudara-saudara lain yang dirundung malang tanpa sekelumit niat untuk membantu? Masihkah kita merasakan bahawa penderitaan sebegitu bukan untuk kita?
Berhati-hati dengan nikmat dan kurniaan Allah kerana itu hanya ujian dan pinjaman sementara...
Renung-renungkan...

Friday, January 15, 2010

Keretapi Tanah Melayu 1

Pertengahan Tahun 1990, menyaksikan aku yang mula melangkah ke matrikulasi USM di Sek. Tun Syed Sheh Shahabudin di Bukit Mertajam berulang alik dari selatan semenanjung ke utara dengan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu a.k.a. KTM.

Aku menaiki keretapi Sinaran Pagi dari bandar Kluang, sekitar jam 10 pagi. Memang jadualnya sebegitu. Ketika itu aku merasakan perjalanan dengan keretapi agak lama dan lambat, sehinggakan aku selalu merungut-rungut. Tapi apabila memikirkannya kini, aku bersyukur kerana jika kita merenung semula nostalgia perjalanan yang pernah aku hadapi, banyak perkara dan pengalaman yang boleh aku pelajari cuma.. ketika itu aku cuma anak muda yang serba tidak sabar, masih mentah dalam perjalanan kehidupan. Lantas, banyak perkara yang aku terlepas pandang.

Sepanjang perjalanan, kita boleh melihat barbagai-bagai gelagat manusia andai kita memerhati...

Kebanyakan penumpang yang menunggu di atas platform, segera bersedia apabila keretapi menghampiri stesyen. Masing-masing mencapai beg dan barangan peribadi lalu sebaik keretapi hampir berhenti, masing-masing menjengah kedalam gerabak melalui tingkap koc yang selalunya terbuka (maklumlah gerabak kelas 3 tiada air-cond). Mana-mana tempat duduk yang tiada penghuni, maka beg akan dicampak dahulu ke dalam koc sebagai tanda tempat telak di'book'.

Agak kasihan pada warga tua yang kadang-kadang terkial-kial menaiki gerabak penumpang dalam keadaan bersesak-sesak. Biasanya, aku tidak berjaya mendapatkan tempat duduk dengan cara mencampakkan beg. Jika kebetulan kurang penumpang, maka dapatlah aku tempat duduk, itu pun setelah berjalan dari satu gerabak ke satu gerabak. Jika ketika itu penumpang ramai, maka merasalah aku berdiri sepanjang perjalanan dari Kluang ke Kuala Lumpur, atau duduk di atas beg berhampiran pintu gerabak. Malah ada juga penumpang yang bergayut di pintu gerabak yang terbuka dek kerana gerabak yang penuh, mungkin selepas dua atau tiga stesen kemudian, baru dapat bergerak sedikit ke dalam gerabak. Tiba di Gemas, penumpang ke Pantai Timur akan bertukar keretapi, manakala keretapi sedia ada biasanya akan meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur. Tiba di Stesen Kuala Lumpur, biasanya pada jam 6.00 p.m. (8 jam perjalanan..) Penumpang masing-masing akan turun di Stesen Kuala Lumpur dan menunggu keretapi untuk perjalanan seterusnya. Ketika inilah aku akan bergegas ke kaunter tiket untuk membeli tiket bagi perjalanan ku seterusnya ke Bukit Mertajam.

Pernah aku menyuarakan pertanyaan di kaunter stesen di Stesen Keretapi Kluang...

"Kak, tiket ke Bukit Mertajam tak ada ke?"

"Tak ada lah dik, tiket ke Kuala Lumpur je.. Tiket ke Bukit Mertajam kena beli di Stesen Kuala Lumpur. Kalau keretapi express adalah, keretapi kelas 3 tak ada " beritahu kerani bertugas.

"Kenapa kak?"

"Takut keretapi penuh la dik sebab kena tukar kat Stesen KL. Kita tak tahu berapa ramai yang nak naik dari stesen KL tu" jelasnya.

Biasanya keretapi dari Kuala Lumpur ke utara akan bertolak jam 8.00 p.m. Jika ada tiket, maka dapatlah aku menaiki keretapi seterusnya, Senandung Malam. Kalau tidak, terpaksalah aku bermalam di Kuala Lumpur. Lebih menyukarkan, penumpang tidak dibenarkan tidur di dalam stesen. Kami diarahkan keluar dari stesen selepas jam 10.00 malam.

Maka aku yang tidak berjaya mendapat tiket ke utara, terpaksa duduk di luar stesen keretapi. Mula-mula memang tak risau sangat kerana masih ramai orang, terutamanya pemandu teksi. Tetapi lama kelamaan, orang semakin kurang kerana masing-masing telah pulang beradu, tinggal aku duduk seorang di luar stesen. Maka aku menggalas beg pakaianku, melangkah menuju ke pusat bandar Kuala Lumpur dalam sinaran neon malam yang gemerlapan.

Pertama kali pengalamanku berjalan seorang diri menyusuri jalan raya di Kuala Lumpur, dari satu jalan ke satu jalan dengan memikul beg pakaian yang tidak kurang bebanannya. Ketika itu terfikir jugak kemungkinan-kemungkinan di'pau' oleh mamat-mamat KL. Tapi alhamdulillah, aku selamat.

Aku terus menapak dan sesekali berhenti setelah penat, tidak tahu ke mana arah tujuanku, hanya mahu menghabiskan masa berbaki sebelum stesen keretapi di buka semula jam 6.00 pagi. Aku memastikan yang aku tahu arah perjalanan untuk kembali ke stesen, kalau tidak, tentu haru jadinya.

Jam 5.30 pagi, aku telah berpijak semula di kaki lima stesen, melepaskan lelah sambil menunggu pintu masuk di buka. Dengan kaki yang sengal dan kebas, badan yang sakit-sakit kepenatan akibat memikul beg, aku melangkah memasuki stesen, menuju ke tandas kemudian baru ke surau.

Jam 8.00 pagi, aku menaiki pula keretapi meneruskan perjalanan ke utara ke Bukit Mertajam (aku terlupa apa nama koc yang aku naiki menuju ke utara). Perjalanan siang hari menuju ke utara, akan memakan masa yang agak lama juga, jika benar ingatanku, stesen Bukit Mertajam aku jejaki sekitar jam 5 petang.

Ini bermakna, perjalananku ketika itu antara Kluang ke Bukit Mertajam dengan Keretapi Tanah Melayu memakan masa lebih 30 jam, dengan masa terkandas yang panjang di Kuala Lumpur di bawah sinaran neon kota Metropolitan....

Thursday, January 7, 2010

Siapakah kita

Kita digemparkan dengan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan The Herald, sebuah majalah berkenaan Kristianiti bagi menggunakan kalimah Allah menggantikan kalimah Tuhan / God dalam terbitannya yang berbahasa melayu. Susulan itu, berbagai-bagai pihak mengeluarkan pendapat masing-masing, daripada golongan agamawan, orang awam, juga orang-orang bukan Islam. Ada yang menyokong dan ada juga yang menentang. Dalam berfikir antara yang tersurat dan tersirat, kebanyakan ulasan ustaz-ustaz dan golongan agamawan lebih kepada kerisauan tentang kemungkinan-kemungkinan yang tersirat di sebalik isu dan agenda seterusnya.

Sebagai makhluk, kita hanya boleh berikhtiar dan cuba merancang kerana itu yang diizinkan Allah manakala perancangan sebenarnya hanyalah milik Allah. Setiap apa yang berlaku sama ada yang tersirat mahupun yang tersurat adalah dalam Pengetahuan dan Perancangan Allah. Sebagai makhluk yang diberi akal fikiran, kita disuruh berfikir antara asbab dan akibat, usaha dan takdir. Usaha manusia hanyalah ikhtiar yang diberikan Allah sedang hakikat ikhtiar itu sendiri tiada sebarang kata penentu melainkan apa yang diizinkan Allah.

Seluruh alam ini adalah makhluk Allah yang bersifat sementara. Setiap makhluk Allah dijadikan tanpa sia-sia, bahkan ulat di dalam batu, segala zarah dan atom sentiasa berzikir kepadaNya setiap detik dan masa. Malah batang tubuh kita sendiri tidak pernah derhaka kepada penciptanya. Hanya makhluk yang bernama manusia dan jin ini yang seringkali lalai dan leka.

Namun, pernahkah kita berfikir sejenak dalam kotak fikiran, siapakah kita yang dinamakan manusia ini. Beberapa komponen asas yang membentuk manusia antaranya: jasad, akal, ruh, hati, nafsu. Jika hilang salah satu komponen ini, kita mungkin tidak lagi dipanggil manusia. Lantas bagaimana pula dengan jiwa?

Bagaimanakah pertanggungjawaban di akhirat nanti. Adakah hanya ruh yang bertanggungjawab atas segala dosa dan perbuatan. Adakah jasad juga dipertanggungjawabkan? Bagaimana dengan hati? Nafsu? Ulamak bercanggahan pendapat tentang perkara ini. Dah Allah juga berfirman melalui Kekasihnya Muhammad s.a.w. bahawasanya persoalan ruh adalah dalam pengetahuan Allah semata.

Namun manusia diberi peluang dan petunjuk dalam kita menjalani ujian kehidupan di atas muka bumi ini. Itulah dua kalimah syahadah: penyaksian tauhid atau akidah dan penyaksian syariat.

aku bersaksi tiada tuhan melainkan Allah,

dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah

Itulah penyaksian syahadah bagi umat akhir zaman, umat Nabi Muhammad s.a.w. Namun siapakah yang sebenarnya memberikan penyaksian ini. Kitakah? Bukan. Kalimah ini adalah ucapan penyaksian Nabi Muhammad s.a.w. terhadap keesaan Allah s.w.t. dan pengiktirafan Allah tarhadap Muhammad sebagai pesuruhNya serta penyaksian para malaikat sewaktu peristiwa Mikraj Nabi Muhammad ke langit bagi menerima amanah ibadat solat yang wajib didirikan olah hamba-hamba Allah.

Dan ucapan penyaksian ini Allah rakamkan di dalam solat yang wajib dibaca dalam tahiyat. Lalu masihkah kita bermegah dengan sedikit kurniaan yang Allah pinjamkan kepada kita sebagai ujian...

Siapakah kita untuk menafikannya?

Saturday, January 2, 2010

Beg Plastik

Hari ini 02.01.2010, Sabtu...
Aku mengunjungi Carrefour (betul ke ejaan nih.... entahlah..) seawal waktu pembukaannya. Tiada apa yang luar biasa, cuma satu notis bersebelahan pintu masuk utama menarik perhatianku.
'Hari tanpa beg plastik'

Tak apelah, mungkin Carrefour terlibat dengan kempen alam sekitar yang menghadkan penggunaan beg plastik sewaktu membeli belah menjelang tahun baru 2010. Yang tak sedapnya... Carrefour charge 10 sen untuk setiap beg plastik yang kita minta untuk mengisi barang yang dibeli. Nampaknya, taktik Carrefour bukan saja untuk 'menyelamatkan dunia' tetapi juga dalam masa yang sama 'menyelamatkan poket mereka...' ops... bukan menyelamatkan poket... tapi tambah mengembungkan poket taukeh-taukeh mereka....

Manakan tidak, pada hari-hari lain, mereka langsung tidak membenarkan pengunjung dan pembeli untuk membawa beg masuk ke dalam premis mereka. Malah botol susu yang sedang di hisap oleh anak-anak pun di 'tag/tanda' perkataan carrefour... takut sangat orang ramai mencuri botol di dalam Carrefour lalu buat susu untuk anak-anak mereka... rasa nak tergelak pulak...

Tiba-tiba mereka nak buat kempen 'tanpa beg plastik'. Dah tu pula, nak charge pengguna yang minta beg plastik. Bayangkan... berapa ramai pelanggan yang tidak sedar akan kempen mereka itu, akan akhirnya terperangkap membayar lebih untuk menggunakan beg plastik...

Bijak sungguh mereka berniagakan.... tang mana boleh buat untung, mereka akan balun, tak kira apa kesannya pada pengguna setia mereka.

Sebagai pengguna, pandai-pandailah kita menjalankan 'hak' kita.... kalau tak mahu di 'telan'...