Friday, December 24, 2010

Satu dalam Seribu

Setiap hari kita disibukkan dengan aktiviti harian kita. Saban hari kita merasakan betapa cepatnya waktu berlalu tanpa kita sedari. Dalam tidak sedar, kita mensia-siakan saki baki waktu yang kita ada... seandainya kita tahu di mana penghujung usia kita.

"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal saleh. Mereka yang berpesan dengan kebenaran serta berpesan dengan kesabaran"

Di penghujung usia dunia, masa dirasakan singkat dek kerana kita tidak lagi menghitung masa. Kita disibukkan dengan aktiviti-aktiviti mengejar dunia dan isinya, dunia yang semakin tua semakin indah dan mempersonakan.

Jarak perjalanan tidak lagi terasa jauh oleh kemajuan pengangkutan. Malaysia dan Amerika hanya setengah hari perjalanan. Namun kita terlupa, setiap saat yang berlalu, semakin hampir kita dengan kematian, meninggalkan dunia dan segala isinya, menunggu perhitungan amal perbuatan.

Namun, siapakah yang benar-benar tahu kedudukannya, adakah dalam redha Allah s.w.t. atau dalam keadaan dilaknat. Siapakah yang benar-benar tahu tahap keimanannya? Sudahkah kita diuji, atau sememangnya kita gagal dalam ujian.

"Dalam 1000 manusia di akhir zaman, 999 adalah golongan Yakjuj dan Makjuj..."

Adakah kita satu dalam seribu, atau kita antara 999 manusia yang dilaknat? Siapa yang yakin kedudukan dirinya?

Perkhabaran menyatakan Dajjal adalah manusia ajaib akhir zaman yang akan menyesatkan manusia, namun bakal dibunuh oleh Nabi Isa dan Imam Al Mahdi yang memimpin manusia-manusia yang beruntung mendapat hidayah Allah.

Kita berdoa semoga dijauhkan dari fitnah Dajjal. Namun tanpa sedar, fitnah Dajjal telah datang menjenguk dan menguji manusia jauh sebelum munculnya Dajjal menampakkan diri. Tanpa kita sedari, kita hidup dalam sistem yang dijana oleh Dajjal melalui pengikut-pengikutnya dalam 'kemodenan'. Dajjal mempersembahkan 'syurga' yang sebenarnya jalan menuju neraka, juga mengugut dengan 'neraka' yang sebenarnya jalan menuju syurga Allah s.w.t.

Perancangan Dajjal untuk umat akhir zaman bukannya singkat, berabad lamanya perancangan halus dan teliti demi menyesatkan manusia, sehingga manusia tidak menyedari diri sedang teruji, diri sedang terfitnah. Dari sistem ekonomi kapitalis, politik, budaya dan adat, segalanya adalah ujian 'syurga' dan 'neraka'.
Mungkinkah yakjuj dan makjuj adalah golongan pengikut Dajjal, dan sesiapa yang mengikut cara dan sistem Dajjal yang dikembangkan dalam senyap, adalah juga termasuk dalam golongan Yakjuj dan Makjuj. Maka antara nisbah 1 dalam 1000, masihkah kita mendakwa kita antara yang satu dalam seribu?
Terasa diri ini ingin menangis mengenangkan, di manakah kedudukan diri ini, satu atau 999?

No comments:

Post a Comment