Tuesday, September 20, 2011

Amal dan Ikhlas

Assalamualaikum,

Kuliah Zuhor hari ini disampaikan oleh Ustaz Abdullah berkisar tentang amalan anak Adam.

Amalan anak Adam adalah bergantung kepada niatnya, apabila baik niatnya, maka baiklah amalnya. Dan bagi seorang Islam, amalan yang baik ini akan menjadi ibadah. Tetapi apabila terpesong niatnya, amalan yang baik akan menjadi sia-sia.

Jika kita beramal dengan niat semata-mata kerana Allah, dan bukan kerana yang lain, maka ianya menjadi suatu ibadah. Dari situ akan timbul 'ikhlas'.

Ibadah kita akan dinilai oleh Allah berdasarkan tahap keikhlasan manusia muslim tersebut dalam mengerjakannya. Perlu diingat bahawa amalan baik yang dilakukan oleh bukan Muslim sesungguhnya tiada nilai di sisi Allah, kerana asasnya telah lari dan rosak. Perkara asas di sini adalah Tauhid kepada Allah.

Ikhlas adalah perkataan dalam bahasa Arab, bermaksud murni dan bersih, tidak bercampur. Ini bermakna, untuk mencari keikhlasan dalam beribadah. Maka niat yang baik dan ikhlas menimbulkan nilai ibadah yang baik dan terpuji. Niat yang ikhlas timbul dari hati nurani ('cahaya hati/iman') yang bersih.

Amalan yang ikhlas kepada Allah boleh dibahagikan kepada 3 bahagian:
  • Amalan yang dilakukan kerana takutkan Allah dan takut kepada neraka Allah. Amalan sebegini adalah amalan seorang hamba kepada tuannya.
  • Amalan yang dilakukan dengan tujuan untuk mendapatkan balasan baik dari Allah seterusnya mendapat nikmat Syurga Allah. Amalan sebegini tidak salah. Ini dinamakan amalan saudagar atau peniaga, iaitu melakukan amalan berdasarkan keuntungan / faedah yang dijanjikan Allah.
  • Amalan yang dilakukan kerana taat kepada Allah, merasa malu dan bersyukur dengan Allah atas pemberian nikmat yang Allah kurniakan. Risau dan takut andainya amalannya tidak diterima oleh Allah dan hanya mengharapkan redha Allah. Ini adalah amalan para nabi dan rasul. Ini dinamakan amalan orang merdeka.
'Merdeka' dalam erti kata tidak mengharapkan balasan kebaikan dari Allah, tidak 'takut' akan siksaan api neraka, hanya menginginkan redha Allah semata-mata.

"Tingkat amalan 'terpuji' apabila si hamba redha kepada Allah, dan Allah redha kepada si hamba"


No comments:

Post a Comment