Thursday, May 21, 2009

Semalam dan hari ini...

Esok 22 Mei 2009, bermakna genap usiaku 37 tahun. Hmm... rasa dah tua diri ini. Bila menoleh ke belakang sambil menyusuri kembali zaman lalu, terkenang kembali zaman kanak-kanak yang tersimpan dalam lipatan sejarah diri. Aku percaya setiap orang mempunyai kenangan sendiri masing-masing lantas membentuk peribadi diri menjadi dewasa sebagaimana sekarang. Sejauh yang aku ingat, ketika usiaku sekitar 3 tahun, aku telah mempunyai adik perempuan. Masih ku ingat ketika kami sekeluarga berpindah ke penempatan baru ladang di Kahang. Seingat aku ketika itu merupakan ladang getah. Ketika itu tiada bekalan letrik. Bermula dengan pelita, arwah abah 'upgrade'kan kepada lampu pam. Setiap hari menjelang maghrib, aku dan adik berkumpul di samping arwah abah, melihatnya memasang lampu pam. Menjangkau usia 7 tahun, sepertimana kanak-kanak lain aku memulakan zaman persekolahan. Ketika itu sekolah kami terletak hanya sepelaung dari rumahku. Guruku, Cikgu Salim, Cikgu Salleh dan Mr. Eng dan beberapa orang guru lagi yang tak berapa nak ingat. Ketika itu kawan ku Joe, Rosli, Kamaludin, Atikah, Rozita dan ramai lagi... Petang Jumaat, aku akan ke rumah bapa saudaraku untuk menonton cerita Ultraman (ketika itu TV hanya hitam dan putih...) Sesekali, akan ada rombongan dari Jabatan Penerangan, memberikan sedikit 'lecture' disusuli tayangan wayang gambar melayu atau hindustan percuma di atas layar kain putih di tepi padang atau kawasan lapang. Darjah 5 dan 6 aku bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kahang. Ketika itu kawasa ladang sudah mula ditukar kepada tanaman kelapa sawit. Tanaman getah sudah mula berkurangan. Aku diterima menduduki Darjah 5A. Kawan rapatku di masa itu... Ahmad Badarudin, Rahim Razali, Ibrahim, Zaki, Siti Rosila, Nurulmumtazah, Suhaiza dan ramai lagi (apa khabar mereka sekarang....???). Di rumah, sudah ada TV hitam putih dan lampu kalimantang, tapi menggunakan bateri kereta yang perlu dicas seminggu sekali. Menduduki Penilaian Darjah 5 dengan keputusan yang agak baik (ketika itu keputusan 4A dan 1B dikira cemerlang... hehehe) langsung aku dapat melanjutkan persekolahan di asrama harian Sekolah Tinggi Kluang. Minggu pertama bersekolah di asrama, tidurku berendam air mata, maklumlah pertama kali berjauhan dengan mak dan abah. Tapi selepas itu aku mula belajar berdikari. Aku bernasib baik kerana kawanku Ahmad Badrudin juga diterima di asrama yang sama, jadi tak keseorangan. Cuma yang aku tak tahan, selalu juga aku dibuli pelajar senior... biasanya kena basuh baju dan kasut sekolah mereka. Di situ juga aku mengenali Rahim Rasimin, Suhaimi, Mahadzer, Zamri dan ramai lagi... Selepas SRP, aku melangkah ke SMS Muar di Tanjung Agas. Arwah abah menghantar aku dengan bersusah payah menaiki bas beberapa kali melalui bandar Kluang, Batu Pahat kemudian ke Muar. Kawan-kawan baru seperti S.A. Bakar, Zainuddin, Nazre, Norhayati, NurAsilah dan lain-lain mewarnai sebahagian hidupku... Gagal ke Jepun, aku menjalani matrikulasi USM selama 2 tahun. Kemudian aku melanjutkan pelajaran dalam Civil Engineering di USM Tronoh Perak. Ketika mula masuk, keadaan kampus lebih merupakan bekas lombong bijih timah dengan 7 kolam lombong di dalam kawasan kampus. Namun selepas 4 tahun berada di situ, aku menyaksikan perubahan muka bumi kampus dari kawasan kolam lombong kepada kampus yang lebih sempurna. Namun kini kukira keadaannya jauh berubah selepas lokasi kampus diambilalih oleh universiti Petronas. Di kampus ini juga aku mengenali perkataan 'cinta'... Memang seronok mengimbau kembali kenangan lalu yang tersimpan kemas dalam diari hidupku. Kawan-kawan yang pernah ku kenali entah di mana kini. Hanya sebahagian saja yang dapat kuhubungi semula manakala yang lain tiada khabar berita... termasuk gadis yang pernah bertahta di hatiku dulu. Alam pekerjaan memang berbeza berbanding alam ketika belajar. Tanggungjawab dalam hidup semakin berat. Tiada lagi istilah 'enjoy'. yang ada adalah 'survival'. Aku dan isteri yang kukenali 9 tahun lalu, kini dikurniakan dua orang cahaya mata yang comel. Dengan izin Allah aku akan berusaha mendidik permata hati kami agar menjadi insan yang berguna... berjaya di dunia dan berjaya di akhirat....
Aku, isteri dan anak-anak....
Semoga Allah memberkati hidup kami... Insya-Allah...

No comments:

Post a Comment