Sunday, May 24, 2009

Tasik Shah Alam

Hari minggu, jika tiada aktiviti yang dirancang, aku akan menuju ke Tasik Shah Alam untuk beriadah. Kali terakhir aku berjoging adalah kira-kira 3 minggu lalu. Biasanya aku akan ke sini bersama keluarga sebagai salah satu aktiviti keluarga bagi mengeratkan hubungan. Tapi hari aku datang seorang memandangkan isteriku ada rancangan lain yang perlu diuruskan.

Nampak tiada yang begitu menarik pagi ini, aku berlari mengelilingi tasik sambil menikmati keindahan suasana pagi yang begitu tenteram. Tiba di satu bahagian di tepi tasik bersebelahan masjid Shah Alam, aku berehat melepaskan lelah. Kebetulan terdapat lokasi refleksologi lantas aku menuju ke laluan refleksologi. Kehadiran seorang lelaki tua di salah satu bangku rehat menarik perhatianku. Kukira usianya antara 60 hingga 70 tahun, dengan rambut yang memutih, sweater kelabu dan seluar panjang kelabu. Raut wajahnya membayangkan pengalaman hidupnya... pastinya banyak pengalaman dan rahsia yang disimpan di sebalik kedutan wajahnya. Kelihatannya dia begitu tekun menulis sesuatu ke dalam cebisan kertas di atas buku kukira sebagai 'scrap book' dan di alas dengan akhbar yang agak lusuh. Di sebelahnya, sebuah beg galas kelabu kehijauan berisi beberapa dokumen yang aku tidak tahu apakah dia. Entah mengapa, kehadiran lelaki tua itu seakan menggamit hatiku untuk menegurnya. Namun melihatkan ketekunannya, aku menahan hasratku dan aku hanya memerhatikannya beberapa ketika. Namun kehadiran beberapa kanak-kanak dan wanita dewasa yang bermain-main dan singgah beriadah berhampiran dengannya menjadikan si lelaki tua berambut putih agak tidak selesa. Dia berhenti menulis, melihat jam di tangan kanannya seketika lalu menutup bukunya. Lelaki tuan berambut putih bangun setelah memasukkan bukunya ke dalam beg galas. Beberapa ketika kemudian dia mula mengatur langkah dan berlalu pergi menuju ke kawasan masjid dan hilang di sebalik rimbunan dedaun pokok. Aku tidak tahu siapakah lelaki berambut putih dan apa yang sedang dibuatnya. Mungkinkah dia sedang mencatat pengalamannya lewat kehidupan yang kian berlalu... atau mengarap sejarah hidupnya untuk tatapan cucu tersayang... mungkin... tapi aku tidak tahu. Dua hari lepas, isteriku menghadiahkan sehelai kemeja, tali leher dan tali pinggang sempena ulangtahun hari lahirku. Aku rasa amat terharu... bukan kerana nilaian hadiah yang diberikan sebaliknya atas ingatan isteriku.

Sememangnya, kita kerap mengejar sesuatu yang kita inginkan dan tidak ada di depan mata sehinggakan kita terlupa dan mengabaikan apa yang kita ada. Ubahlah situasi dengan menghargai kembali apa yang kita ada... hidup adalah untuk memberi... bukannya meminta sesama manusia...

No comments:

Post a Comment