Thursday, June 9, 2011

Ikhlas

Assalamualaikum,

Sekali lagi saya sempat mengikuti rancangan Bicarawara pagi ini di Astro Oasis bersama ustaz Abdullah Gymnastiar. Tajuk pagi ini berkisar tentang keikhlasan kita yang bernama manusia.

Dalam masa yang singkat, sempat saya mencatat serba sedikit inti pati yang dibicarakan. Antaranya; ciri-ciri orang yang melakukan sesuatu berdasarkan keikhlasan: 
  • Orang yang ikhlas biasanya tidak akan kecewa. Setiap apa yang dilakukan adalah kerana Allah s.w.t. maka dia yakin bahawa segalanya terpulang kepada Allah untuk menilai amal perbuatannya.
  • Orang ikhlas akan terus bersemangat dalam melakukan amal perbuatannya.
  • Orang yang ikhlas tidak membezakan sama ada amal yang dilakukannya besar atau kecil, kerana dia yakin Allah akan menilai setiap amal hamba-hambanya sama ada besar atau kecil. Malah perbuatan sebesar zarah pun akan dinilai di akhirat kelak.
  • Orang yang ikhlas akan melakukan kebaikan untuk semua makhluk Allah s.w.t. di atas muka bumi ini, bukan hanya tertumpu kepada kelompoknya sahaja. Orang Islam yang ikhlas akan melakukan kebaikan untuk semua umat manusia sama ada Islam atau kafir, kerana semua manusia sama disisi Allah, hanya ketakwaan yang membezakan darjat seseorang di sisi Allah. Persoalan akidah adalah antara manusia itu sendiri dengan Allah. Islam adalah agama yang membawa rahmat untuk seluruh umat manusia dan makhluk lain.
  • Orang yang ikhlas tidak boleh melakukan kezaliman walaupun kepada musuh, hatta kepada binatang sekecil semut sekalipun.
  • Orang yang ikhlas sentiasa berfikir dan berusaha bagaimana menjadikan setiap perbuatannya menjadi amal kebajikan dan di terima Allah s.w.t.
Mencari sebuah keikhlasan sememangnya payah; "seumpama mencari semut hitam yang berada di atas batu yang hitam di malam yang gelap pekat" Begitulah perumpamaan keikhlasan dalam diri manusia. Namun sebagai manusia, kadang kala kita dapat menilai dan merasa sama ada seseorang itu ikhlas dalam perbuatannya atau tidak.

Keikhlasan seharusnya ditanamkan dalam setiap perbuatan kita; dari mula melakukan sesuatu, semasa melakukan sesuatu dan pada akhirnya. Alhamdulillah jika kita berjaya mengawal lintasan hati kita dari perasaan riak dan bangga diri seandainya melakukan kebajikan. Dan seharusnya kita melupakan terus amal kebajikan kita kerana selagi kita mengingatinya takut-takut akan menimbulkan riak di dalam hati. Riak ini boleh meleburkan amal perbuatan dan kebajikan yang kita lakukan terdahulu.

 Dua perkara yang harus kita lupakan,
iaitu kebaikan kita kepada orang lain dan keburukan orang terhadap diri kita

Dua perkara yang harus kita sentiasa ingati;
iaitu keburukan yang kita lakukan terhadap orang lain
dan kebaikan orang terhadap diri kita
  
Akhirkata, sebagai peringatan terhadap diri sendiri, lakukanlah amal kebaikan dengan keikhlasan kerana ianya akan menimbulkan perasaan nikmat dengan amalan kebajikan.

Segala yang baik datang dari Allah s.w.t.

Wassallam.



    

No comments:

Post a Comment