Saturday, June 25, 2011

Tugas seorang Muslim

Assalamualaikum,

Seperti hari-hari biasa, menjelang jam 1 tengahari, kami berpusu-pusu bergerak keluar dari pejabat menuju kepada haluan masing-masing. Majoriti dengan tujuan untuk mengisi perut yang mula berbunyi minta diisi.

Bersama rakan-rakan sekerja, aku berjalan menuju ke cafe yang jaraknya hanya kira-kira 50 meter dari pejabat. Hidangan hari itu seperti biasa, tiada apa yang luar biasa. Selepas membayar harga makanan, aku duduk bersama 2 lagi rakanku yang masing-masing sedang menikmati hidangan masing-masing.

Sambil menikmati makanan, kami berbual-bual seperti biasa, tentang kehidupan yang semakin mencabar, tentang peristiwa yang berlaku di sekeliling. Namun ada yang agak luar biasa dalam kandungan perbualan kami tengahari itu.

Sahabat ku berkata kira-kira begini "Err... Aku ada dengar ceramah dari seorang alim, katanya.... manusia sekarang ini punya dua dosa besar yang sentiasa dia 'carry' walaupun bagaimana alim pun orang itu.... iaitu 'jihad dan dakwah'...."

Aku terkejut dengan kata-kata itu, lantas fikiran ini menerawang cuba memperhalusi kata-katanya...

Sememangnya apabila kita menilai semula kehidupan kita, sejauh manakah kita melakukan apa yang Allah perintahkan. Kita berkawan dengan sahabat-sahabat yang masih kafir, tapi pernahkah kita berdakwah kepada mereka. Pernahkah terfikir bahawa di akhirat nanti, sahabat kita akan menuntut di hadapan Allah mendakwa bahawa kita tidak pernah menasihati dan berdakwah kepadanya di dunia ini sepanjang kita berkawan dengannya.

Sahabat-sahabat kita yang lalai, mungkin akan menuntut di hadapan Allah bahawa kita semasa di dunia ini hanya mementingkan diri sendiri, menghadiri majlis ilmu, melakukan ibadat tanpa mempedulikan para sahabat kita yang terlalai. Kita terlupa untuk mengingatkan sahabat-sahabat kita akan Allah.

Kita tahu bahawa ramai umat Islam dewasa ini yang tertindas, tetapi kita tidak melakukan apa-apa untuk menolong mereka. Malah kita hanya melihat sambil menggeleng-gelengkan kepala. Mampukah kita menjawab tuntutan saudara kita yang tertindas nanti di hadapan Allah s.w.t. di akhirat kelak.

Sesungguhnya persoalan itu perlu kita fikirkan dan renungkan bersama. Semoga ada hidayah dari Allah untuk kita semua.

"Demi Masa, Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran"

Amin....

  

No comments:

Post a Comment