Thursday, July 9, 2009

Darah oh darah...!!

Terasa tersangat kerdil diri ini apabila kita merenung dan menikmati keindahan waktu senja... terutamanya apabila berada di kawasan lapang seperti di pinggiran pantai Selat Melaka. Pandangan terlihat nun jauh di ufuk barat sambil menanti perlahan-lahan sang matahari kian mengundur diri. Dan apabila mendongak ke langit yang mula gelap, seketika terlihat satu atau dua kerdipan bintang... terasa diri seperti melayang ke angkasa raya nan luas.
Melihat melalui skala makro bidang astronomi, kewujudan kita teramat-amat-amat-amatlaaaahhh kecil berbanding pelbagai cakerawala yang segalanya amat-amat besar dan jauh. Sesekali kita bertanya, adakah hanya kita, penduduk bumi ini yang diberi akal fikiran untuk memikirkan kewujudan segala cakerawala, atau adakah makhluk lain menghuni bumi yang lain, dan seperti kita diberi tanggung dan jawab terhadap kewujudan kita terhadap Pencipta. Yang kita tahu hanya makhluk Jin hidup dan bermasyarakat seperti kita... juga di bumi ini walaupun kita tidak melihatnya. {kalau kita dapat melihat mereka....??? Haru dibuatnya!!}
Melihat kepada fiksyen sains di TV, kita dihidangkan dengan tanggapan bahawa kita adalah manusia yang boleh menjelajah angkasa raya dengan mudah.... sedangkan hakikatnya kita hanyalah berkhayal. Penerokaan angkasa raya yang berjaya setakat ini hanyalah di sekeliling bumi bertuah ini. Kita tidak dapat hidup berjauhan dengan 'ibu' yang me'lahir'kan dan mem'besar'kan diri kita. Sehinggakan apabila kita mati, jasad kita kembali kepada 'ibu' yang selama kita hidup, kita buat endah tak endah.
Apabila kita melihat kepada skala mikro pula, apakah kita tahu komponen badan kita. Setiap sel yang membentuk diri kita, adakah kita kenal dan hargai? Biasanya kita buat endah tak endah dengan apa yang kita ada, sehinggalah apabila kita kehilangannya, barulah terasa sayang dan kasih. Itulah hakikat kita, manusia yang lupa dan lalai.
Mahu tidak mahu, kita harus hidup di muka bumi ini dalam saling membantu dan perlu- memerlukan sementara kita dipinjamkan nyawa, selagi darah masih mengalir.
Maka apabila aliran darah kita terhenti, perjalanan 'hidup' kita terhenti seketika, lantas kehidupan lain pula menyusul untuk kita lalui.... tetapi adakah kita telah bersedia untuk kehidupan seterusnya...??

No comments:

Post a Comment