Friday, July 31, 2009

Kehidupan

Hari ini Jumaat, 31 Julai 2009.
Ada tazkirah ringkas di masjid tadi sebelum masuk waktu Zuhor. Ustaz membicarakan tentang solat yang kita kerjakan sekian lama semenjak kita akil baligh... adakah sempurna solat kita ataukah hanya mengikut-ikut tanpa periksa hujung pangkal.
Terdapat 7 perkara yang harus diperhatikan dalam solat. Salah satunya adalah rasa malu pada Allah yang menjadikan kita. Seharusnya kita rasa malu dan merendah diri dalam solat juga diluar solat. Almaklumlah, berapa banyak nikmat-nikmat yang Allah kurniakan kepada diri kita, sejak kita berada di alam ruh, dipindahkan kita ke alam rahim lalu dilahirkan kita ke alam dunia untuk diuji... adakah benar-benar kita menghayati pengakuan yang kita berikan semasa di alam ruh tentang ketaatan kita kepada Allah s.w.t.
Sehari di akhirat umpama seribu tahun dunia, bermakna jika kita hidup selama 60 tahun, kita hanya hidup dan menempuh ujian selama 1jam 26.4 minit akhirat. Dengan kata lain kita memasuki dewan peperiksaan selama 1 jam 30 minit.

Cahaya mata ayah bonda... semoga keberkatan mengiringi hidupmu
Pernahkah terfikir di minda kita, 20 minit yang pertama di dewan peperiksaan, kita masih terkial-kial menyesuaikan diri dengan suasana dewan peperiksaan yang semuanya serba baru, tidak pernah kita lihat. Kita sibuk bermain-main tanpa mengetahui masa berlalu dengan begitu pantas. Sedar-sedar kita di tegur guru pengawas menandakan telah 20 minit masa untuk kita telah berlalu. Itulah alam kanak-kanak kita, berlalu tanpa kita sedari.
Kita baru terkial-kial pula melihat-lihat kerta soalan dan soalan-soalan yang perlu kita jawab, namun sekali lagi kita tersedar bahawa dewan peperiksaan itu begitu indah hiasannya. Masih ramai dari kita yang lebih terpana dengan keindahan dewan peperiksaan yang dihiasi dengan pelbagai lukisan dan mural yang cantik-cantik sehingga kita lupa soalan-soalan yang perlu kita jawab. Kita berangan-angan seandainya kita mempunyai rumah yang besar dan secantik itu.
Sesekali bila guru pengawas menegur, kita membelek-belek kembali soalan yang masih belum terjawab. Tapi hanya seketika di mana kita kembali berkhayal akan keindahan dewan peperiksaan yang indah untuk tatapan sementara. Sehinggalah apabila loceng dibunyikan, menandakan masa tinggal 5 minit saya lagi, barulah kita benar-benar tersedar dan dengan kalutnya kita cuba menjawab soalan-soalan yang masih banyak berbaki untuk di jawab.
Lalu, apakah kita masih mengharapkan untuk mendapat keputusan yang cemerlang??? Tepuk dada... tanyalah iman...

Sekonyong-konyong kita rasa teramat malu pada Allah. Setelah segala nikmat dan rahmat yang Allah kurniakan kepada kita, kita masih alpa dengan dunia. Kita lebih pentingkan asbab daripada hakikat yang seharusnya kita sedari. Melihat kepada si kecil yang menadah tangan di atas sejadah kita benar-benar terasa malu... dan memang seharusnya kita malu!!

Gambar Naqib.net

No comments:

Post a Comment