Thursday, July 16, 2009

Jerebu lagi...

Dalam seminggu dua ini, negara kita mengalami jerebu yang agak teruk menyebabkan jarak pandangan yang terhad juga keadaan tekak yang kurang selesa, batuk, bersin dan sebagainya. Doktor kata ketika ini kena banyakkan minum air kosong untuk membasuh debu-debu dan kotoran yang terperangkap di tekak menyebabkan rasa tidak selesa. Sama ada berkesan atau tidak, tak tahu lah pulak, bergantung kepada tubuh individu merasainya. Kita juga dikejutkan dengan wabak H1N1 atau selsema babi. Ini satu lagi musibah yang agak besar kita hadapi, namun adakah kita mengambil iktibar akan apa yang berlaku. Atau kita hanya melihat musibah ini sebagai salah satu rencah hidup yang perlu kita lalui tanpa mengambil apa-apa pengajaran dan peringatan daripadanya.

Sekali pandang, pemandangan dalam suasana jerebu seakan pemandangan di kawasan pergunungan yang segar dan sejuk mata memandang. Tetapi bahang yang terasa menyedarkan kita hakikat sebenar yang kita hadapi. Bagi yang bekerja di pejabat berhawa dingin mungkin jerebu yang kita alami merupakan perkara kecil... tetapi bagi mereka yang bekerja di bawah terik mentari, jerebu ini amat mengganggu keselesaan terutamanya anak tekak.

Persoalan yang kadang-kadang timbul dalam benak kita, kenapa kita mengalami jerebu sekarang ini, sedangkan 20 tahun lalu perkara ini amat-amat jarang berlaku. Adakah ini akibat kerakusan kita sendiri menodai alam sekitar tempat tinggal kita sehinggakan alam memberontak dan tidak lagi melindungi kita sebagai penghuninya???

Mungkin kita harus memandang ke dalam diri, bolehkah kita meninggalkan bumi ini dan mencari bumi yang lain untuk kita terokai... ataukah kita terperangkap di muka bumi ini selama-lamanya. Adakah kita bersedia tinggal di bumi yang kita sendiri kotorkan.... atau kita tidak peduli kerana kita tahu kita tidak akan hidup lama untuk merasai musibah yang kita tinggalkan kepada generasi anak-anak kita.... alangkah kejamnya kita!!!

No comments:

Post a Comment