Friday, February 5, 2010

Esok tanpa petrol...

Hidup kita kini mahu tidak mahu terlalu bergantung kepada teknologi. Dari sekecil-kecil teknologi seperti telefon bimbit, kereta, motosikal, sehinggalah yang sebesar-besar kapal terbang yang membawa manusia mengelilingi dunia. Namun, pernahkah anda membayangkan bagaimana agaknya jika tiba-tiba bekalan petrol dan bahanapi seluruh dunia kering esok hari. Tiada lagi bekalan minyak dari telaga-telaga pengeluar minyak di seluruh dunia untuk diproses di kilang penapisan. Dengan kata lain Allah mencabut nikmat minyak yang diberikan kepada manusia di seluruh dunia.

Bagi Negara yang biasanya mempunyai stok penimbal, ketika inilah stok penimbal memainkan peranannya. Negara yang mempunyai stok penimbal ini akan menjadi sangat berkuasa, dalam menentukan siapa yang boleh memperolehi bekalan minyak dari simpanan mereka dan siapa yang akan disingkirkan. Ketika inilah, harga minyak akan melambung naik melebihi harga emas tulen. Mungkin ada yang terpaksa membeli minyak dengan pertukaran emas.

Bagi yang tidak mendapat bekalan semula, bekalan petrol di stesyan minyak mungkin akan dapat bertahan dalam 2 atau 3 hari, paling lama seminggu. Simpanan petrol di kilang penapisan mungkin akan dapat bertahan selama 2 hingga 3 minggu sebelum bekalan benar-benar kering. Itupun dengan kawalan dan catuan.
Negara dengan stok penimbal pula mungkin mempunyai bekalan kepenggunaannya sehingga 6 bulan atau lebih sedikit. Namun mahu tidak mahu, bekalan akan kering dan habis.
Kes di Malaysia, kita mungkin masih mendapat bekalan sehingga sebulan sebelum stok benar-benar kering, itupun dengan catuan dan kawalan ketat kerajaan. Keutamaan diberikan untuk kegunaan ketenteraan dan pengangkutan bahan makanan dan kecemasan atau keperluan perubatan. Kepenggunaan peribadi adalah dilarang bagi melanjutkan simpanan selama mana yang boleh dengan harapan bekalan dari telaga baru akan menggantikan telaga yang telah kering.
Maka banyak akan kelihatan kereta-kereta mula tersadai di tepi jalan raya, mungkin juga di tengah-tengah jalanraya, tidak dapat bergerak tanpa bahan api. Harga makanan akan melambung tinggi disebabkan bekalan yang tidak mencukupi. Nilai wang akan merudum jauh sehinggakan harga seliter petrol mungkin mencapai ratusan malah mungkin mencapai ribuan ringgit. Begitu juga dengan makanan, yang harganya naik mencanak akibat permintaan tinggi manakala bekalan tidak mencukupi.

Bekalan elektrik akan terputus selepas 4 atau 5 hari disebabkan tiada lagi bahan bakar penjana elektrik, memandangkan kebanyakan bekalan elektrik di negara kita dijana menggunakan bahanapi diesel. Bagi kawasan yang mendapat bekalan elektrik melalui penjanaan elektrik-hydro agak bernasib baik kerana bekalan masih tidak terputus. Dengan terputusnya bekalan elektrik di kebanyakan tempat, maka kebanyakan manusia akan terputus hubungan. Masalah kebergantungan kepada teknologi muncul mendadak.
Kesan secara langsung akan lebih ketara di bandar-bandar besar, yang pesat membangun dek kerana penghuni-penghuninya yang terlalu bergantung kepada teknologi. Bateri HP mungkin akan hanya bertahan beberapa jam. Komputer yang digunakan untuk bekerja tidak berfungsi. Segala macam mesin tidak berguna ketika itu. Kenderaan tidak boleh bergerak kecuali beberapa kenderaan kepunyaan tentera dan kenderaan rasmi kerajaan yang dibekalkan bahan api yang sedikit bersisa.

Tiada lagi kesesakan jalanraya dipagi hari, kecuali kesesakan oleh kenderaan-kenderaan yang tersadai tiada bertuan lagi. Kita tidak boleh bergerak jauh dari kediaman, tidak dapat pergi bekerja. Wang di bank tidak dapat dikeluarkan memandangkan mesin ATM tidak berfungsi.
Langsung, apa yang harus kita lakukan. Rumah bergelap siang dan malam, tiada lagi TV, radio mahupun video game. Tiada lagi internet, blogging dan multimedia. Kebosanan? Pasti!
Apa yang lebih teruk dari itu adalah kehabisan simpanan makanan di rumah. Harga barangan runcit melambung oleh permintaan yang tinggi dengan bekalan yang terhad. Sedangkan wang tiada kerana mesin ATM tidak boleh berfungsi, bank terpaksa berfungsi secara manual. Ini meningkatkan kebarangkalian rompakan besar-besaran oleh manusia-manusia yang terdesak.
Bekalan makanan di depoh simpanan juga terpaksa dicatu. Keadaan menjadi huru hara dan akhirnya darurat diishtiharkan di seluruh negara. Tentera mengambil alih pemerintahan dengan perintah berkurung 24 jam. Sistem kenegaraan dan kuasa-kuasa besar akan runtuh sekelip mata. Senjata-senjata canggih kawalan komputer akan tersadai tidak mampu dioperasikan. Hanya senjata makanikal berfungsi mengawal keadaan. Kenderaan, mungkin kita terpaksa bertukar kepada basikal ataupun kuda bagi negara-negara yang mempunyai kawanan kuda yang banyak.

Keadaan di kampung-kampung pedalaman mungkin kurang merasakan kesan drastik kehilangan nikmat ini. Namun beransur-ansur terkesan oleh huru-hara yang merebak ke kawasan luar bandar. Ramai penghuni bandar akan bergerak ke kawasan kampung untuk perlindungan keselamatan masing-masing.
Ketika itu kita akan benar-benar menghargai alam semulajadi, pokok-pokok buah-buahan, tanaman, sayuran, binatang ternak dan lain-lain. Mungkin anak-anak moden yang sebelumnya hanya mengenal ayam goreng KFC akan mengenali pula ayam kampung yang hidup bebas di belukar di hujung kampung. Kita akan belajar mengenal sawah dan padi selain hanya beras dan nasi. Kerbau dan lembu serta kambing berbanding daging beku dan dalam tin.

Segalanya akan berubah, kali ini benar-benar berubah. Tidak mustahil orang kampung akan lebih selesa berbanding yang hidup di bandar. Mungkin pemandangan di bandar akan kelihatan seperti Semenanjung Gaza atau Bosnia Herzegovina. Kita akan merasa keperitan mereka-mereka yang pernah menderita kebuluran sama ada oleh akibat peperangan atau bencana alam. Tiada lagi gelak ketawa, yang ada hanya keluh kesah dan air mata. Anak-anak menangis kelaparan, tiada huburan, bakalan api dan air, malah mungkin tiada makanan.
Maka haruskah kita terus bergelak ketawa tanpa memikirkan hari mendatang? Haruskah kita berdiam diri, hanya melihat penderitaan manusia-manusia dan saudara-saudara lain yang dirundung malang tanpa sekelumit niat untuk membantu? Masihkah kita merasakan bahawa penderitaan sebegitu bukan untuk kita?
Berhati-hati dengan nikmat dan kurniaan Allah kerana itu hanya ujian dan pinjaman sementara...
Renung-renungkan...

3 comments:

  1. ...hidup kita memang bergantung kepada teknologi

    ReplyDelete
  2. sebenarnya terbalik kalau kita tafsirkan dalam konteks penghasilan... teknologi bergantung pada manusia untuk meghasilkannya dan akhirnya menentukan bagaimana penggunaan teknologi tersebut dalam kehidupan si pencipta teknologi tersebut, apabila si manusia ini lalai dengan ciptaannya, maka pada masa itulah ciptaan akan memakan tuan... seperti mana sekarang.. takde kereta kita tak boleh bergerak kemana-mana.. tapi kita lupa sebenarnya tanpa kita pun kereta tak boleh berfungsi... tapi tanpa kereta pon seorang manusia yang benar2 ingin berusaha boleh bergerak dengan seribu satu cara cuma kemahuan dan keinginan sahaja yang menentukan berjaya atau tidak manusia itu.... fikirkanla...

    p.s : saya sokong dok kampung memang besh.. tu salah satu sebab saya tak pindah keluar dari segamat, hehehe.. nanti takde minyak meh datang segamat.. banyak durian ngan ayam utan kat sempadan pemanis / selancar tu.. hahhahaha...

    ReplyDelete