Thursday, August 9, 2012

Kuliah Zuhor 20 Ramadhan 1433H


Assalamualaikum w.b.t.


Kuliah Zuhor di surau Persada PLUS hari ini disampaikan oleh Imam Muda Syed Faris Syed Roslan. Sebagaimana semalam, kuliah berkisar tentang puasa Ramadhan yang sedang umat Islam lalui ketika ini. 

Beberapa intipati kuliah yang dapat saya catat sebagaimana di bawah: 
  1. Walaupun ibadah puasa yang difardhukan kepada umat manusia itu adalah hak Allah s.w.t. Kita sebagai manusia harus juga berkira-kira tentang ibadat kita sendiri. Kita sebolehnya cuba menilai dengan membandingkan puasa kita hari ini dengan puasa kita yang sebelumnya, dan tahun-tahun sebelum ini.
  2.  
  3. Persediaan untuk menyambut Ramadhan bukanlah dilakukan pada awal Ramadhan, tetapi hendaklah dilakukan terlebih awal dari itu. Nabi Muhammad s.a.w. sendiri menyarankan umatnya melakukan persediaan untuk menyambut Ramadhan bermula dari bulan Rejab, dengan melakukan puasa sunat serta memperbanyakkan membaca Al-Quran.   
  4.  
  5. Ibadah puasa adalah antara ibadah tertua yang dilakukan oleh orang-orang terdahulu. Manusia pertama yang berpuasa adalah nabi Allah Adam a.s. Manakala puasa yang paling Allah s.w.t. sukai adalah puasa Nabi Daud a.s. dimana baginda berpuasa berselang hari.
  6.  
  7. Sebagaimana mukjizat para nabi terdahulu, adalah bertujuan bagi membendung kelebihan yang dipunyai oleh kaum yang menentang dan mematahkan hujah mereka. Contonhya: Nabi Musa diutus kepada kaum yang pandai ilmu sihir, maka mukjizat baginda adalah bagi menentang sihir kaumnya. Begitu juga dengan nabi-nabi yang lain, Nabi Daud dengan teknologi pertukangan, Nabi Nuh dengan teknologi perkapalan, maka Al-Quran juga mengandungi banyak mukjizat sepanjang zaman meliputi mukjizat seni, sosial, kemasyarakatan, undang-undang dan juga mukjizat saintifik. Ini sejajar dengan jaminan Allah s.w.t. bahawa Al-Quran akan sentiasa terpelihara sehingga hari Kiamat.
  8.  
  9. Perkara untuk direnungkan; mengapa puasa kita sukar untuk mencapai tahap sebagaimana puasa para sahabat dan orang terdahulu. Tiga (3) perkara harus diberi perhatian iaitu 1)Tahap iman kita yang lemah, 2) Tahap ilmu kita yang cetek, dan 3) Mudahnya kita berjumpa maksiat setiap hari. Maka berhati-hatilah. 
  10.  
  11. Pesanan akhir adalah supaya kita menjaga 2 perkara dalam usaha kita untuk memelihara puasa kita iaitu dengan menjaga lidah dan banyakkan bersedekah di dalam bulan Ramadhan.  
  12.  
Sekian, semoga ada manfaat untuk kita semua.

Wassallam.



No comments:

Post a Comment