Wednesday, August 8, 2012

Kuliah Zuhor 19 Ramadhan 1433H

Assalamualaikum w.b.t.

Hari ini 8 Ogos 2012 bersamaam 19 Ramadhan 1433H. Bermakna kita telah melepasi 18 hari berpuasa bulan Ramadhan tahun ini.

Hari ini surau Persada PLUS telah mengadakan Kuliah Zuhor setelah hampir sebulan ketandusan majlis ilmu dalam bulan Ramadhan. Untuk makluman, semalam juga telah diadakan Kuliah Zuhor oleh Ustaz Zawawi, tetapi saya tidak dapat hadir kerana bercuti.

Kuliah Zuhor hari ini disampaikan oleh Ustaz Syarul Azman Syaharuddin, Pensyarah Jabatan Dakwah KUIS dengan tajuk Puasa Ramadhan. 


Masjid Nabawi (Gambar Hiasan)
Menjelang Ramadhan, ramai umat Islam yang menyambutnya, sama ada dengan perasaan gembira ataupun berduka. Ini bergantung kepada tahap keimanan masing-masing.

Ramadhan merupakan madrasah bagi mendidik jiwa manusia yang beriman. Berpuasa dalam bulan Ramadhan adalah antara suruhan Allah s.w.t. terhadap hamba-hambaNya yang beriman, kecil, besar, tua dan muda. Kewajiban ini adalah juga diberikan kepada umat-umat nabi-nabi yang terdahulu. Suruhan dan kewajiban yang Allah s.w.t. perintahkan bukanlah perkara main-main, ianya untuk menjadikan orang-orang yang beriman, supaya lebih bertakwa. Peningkatan takwa hanya dapat digapai dengan melakukan ibadah puasa yang berkualiti.

"Orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa..."

Imam Al-Ghazali membahagikan puasa umat Islam kepada 3:
  • Puasa orang awam; menahan diri dari lapar dan dahaga dari subuh hingga ke waktu maghrib sebagaimana disuruh oleh Allah.
  • Puasa orang Khusus; menahan diri daripada lapar dan dahaga, serta menahan diri daripada melakukan maksiat yang zahir. Contoh maksiat zahir adalah perbuatan mengumpat, tidak menutup aurat, melihat perkara yang haram dan sebagainya.
  • Puasa para Nabi dan Rasul; menahan diri dari makan dan minum, menahan diri dari melakukan maksiat yang zahir, serta berupaya menahan diri dari melakukan maksiat hati. Contoh maksiat hati adalah berburuk sangka, lintasan hati yang buruk, keinginan melakukan maksiat dsb.
Persoalannya di sini, di manakah tahap puasa yang kita lakukan sekarang ini? Adakah puasa orang awam, atau kita berusaha meningkatkan diri kepada tingkatan puasa yang lebih tinggi?

Di dalam melakukan ibadah dalam bulan Ramadhan ini, kita seharusnya sentiasa berkira-kira. Kita harus sentiasa mengira, berapa banyakkah pahala yang boleh kita perolehi hari ini, berapa banyakkah pahala yang hilang oleh perbuatan maksiat kita hari ini. Berapa banyakkah Al-Quran yang sudah kita baca, berapa banyakkah sedekah yang telah kita hulurkan, berapa banyakkah perbuatan mengumpat yag kita lakukan hari ini.... segalanya harus kita hisab, lakukan muhasabah diri sebanyak mungkin.

Ramadhan adalah madrasah untuk mendidik diri kita. Ia bukanlah tujuan terakhir, tetapi permulaan kita melakukan baik pulih diri dalam usaha meningkatkan takwa bagi bulan dan tahun mendatang. Beramallah sebaik mungkin dalam Ramadhan ini kerana kita tidak tahu bila akhiran hidup kita ini. Berkemungkinan kita tidak akan dapat bertemu dengan Ramadhan akan datang.

Beberapa lagi pesanan ustaz:
  • Nasihat yang kita terima, sebenarnya adalah dari Allah, melalui perantaraan manusia. Hakikatnya, kita sentiasa berada dalam pengawasan Allah s.w.t., apa yang berlaku adalah suratan dan peringatan dari Allah untuk kita.
  • Puasa itu adalah hak Allah s.w.t. dan hanya Allah s.w.t. yang boleh menilai puasa kita. 
  • Tutuplah aurat, kerana orang yang tidak menutup aurat melakukan maksiat yang berpanjangan mengingkari perintah Allah.
  • Jauhilah maksiat seboleh mungkin, kerana kita tidak tahu bila tarikh akhir hidup kita.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada kita semua. Aminn...

Wassallam.     
     

No comments:

Post a Comment