Saturday, August 18, 2012

Ramadhan dan Idilfitri


Assalamualaikum w.b.t.

Hari ini 29 Ramadhan 1433H bersamaan 18 Ogos 2012. Jika anak bulan kelihatan pada petang ini, bermakna esok adalah hari raya idilfitri untuk umat Islam di Malaysia. (dan dari yang saya dengar, esok sememangnya Hari Raya.... walaupun anak bulan belum kelihatan....hehehe).

Hari ini merupakan hari ke lima anak lelakiku, Muhamad Danish Iman berpuasa penuh (jika dia dapat menyempurnakan puasanya sehari ini, insya-Allah). Walaupun pada awalnya dahulu, Iman hanya berpuasa setengah hari, namun atas usaha Mamanya memujuk Iman untuk cuba berpuasa penuh, akhirnya Iman bersetuju untuk mencuba berpuasa penuh walaupun ada ketikanya Iman merengek untuk makan, perut yang lapar, kehausan dan sebagainya. Dalam usianya yang baru melepasi 5 tahun, itu adalah suatu cabaran besar buat dirinya. Namun sebagai ibu bapa, kami cuba memujuk Iman meneruskan puasanya sehingga petang. Namun, kami bersedia membenarkan Iman berbuka sekiranya dia benar-benar tidak mampu meneruskan puasanya.

Sambutan Hari Raya di Malaysia sememangnya meriah. Para perantau yang mencari rezeki di kota atau lokasi yang jauh dari kampung halaman, berpusu-pusu balik ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Hari Raya Idilfitri bersama ibu bapa dan atuk nenek di kampung. Pergerakan yang hampir serentak ini menyebabkan laluan utama seperti lebuhraya utara-selatan dan laluan yang menyambungkan pantai timur dan pantai barat mengalami kesesakan teruk. Malah kesesakan lebuhraya ini sudah sinonim dengan musim perayaan di Malaysia, sehingga ada yang mengatakan sekiranya tidak bersesak-sesak di lebuhraya ketika balik ke kampung, terasa raya mereka kurang meriah.... :) 

Apabila diperhatikan, sememangnya budaya balik kampung ini hanya ketara di Malaysia, dan sinonim dengan orang Melayu. Kaum Melayu seolah terikat dengan kampung halaman dan semangat kekeluargaan yang tinggi. Jadi, walaupun jauh merantau mencari rezeki dan penghidupan, apabila menjelangnya hari raya (atau musim perayaan yang lain yang melibatkan cuti panjang) maka akan kelihatan orang Melayu berbondong-bondong keluar menuju ke kampung halaman bagi menjenguk ibu dan bapa serta datuk dan nenek. 

Itulah kesempatan yang ada dicelah-celah kesibukan harian bagi menziarahi sanak saudara sama ada jauh maupun dekat. Itulah kesempatan yang ada bagi memperkenalkan anak-anak kepada saudara-saudara yang jauh, mengeratkan tali silaturrahim sesama sanak saudara, jauh dan dekat.

Maka, semasa musim perayaan berlangsung, kita akan dapati Kota Kuala Lumpur akan lengang dari hiruk pikuk perantau dari desa, namun kekosongan ini diisi pula oleh perantau-perantau dari luar yang mengambil kesempatan  cuti perayaan ini untuk berjumpa sesama mereka, mengeratkan silaturrahim sesama mereka. Maka Kota Kuala Lumpur akan sebahagiannya bertukar menjadi Jakarta ataupun Dhakka apabila dimonopoli oleh pendatang-pendatang Indonesia mahupun Bangladesh yang keluar berpusu-pusu dari segenap ceruk pinggiran kota. Sehinggakan, penduduk asli Kuala Lumpur yang tidak balik ke kampung halaman menjadi keresahan, seolah-oleh diri berada di Jakarta atau Bandung.


Gambar hiasan...
Dan apabila Idilfitri menjelang, kebanyakan kita merayakannya dengan bersungguh-sungguh. Jelas terpamer wajah-wajah kegembiraan, namun kurang pasti adakah kegembiraan yang terpamer merupakan rentetan dari kejayaan mengharungi Ramadhan dengan jayanya, ataukah kegembiraan bebas dari Ramadhan. 

Sememangnya Idilfitri harus disambut dengan kegembiraan, namun janganlah melampau-lampau sehingga apa yang sepatutnya ditarbiah di dalam madrasah Ramadhan akhirnya hilang disapa angin lalu. Segalanya kembali seperti asal sebelum Ramadhan. Maka jadilah kita orang yang kerugian apabila mengabaikan pengajaran dari madrasah Ramadhan.

Sesungguhnya Ramadhan datang dan pergi, dan kita mengharunginya saban tahun selagi ada umur dan diizinkan Allah s.w.t. Seandainya kita muhasabah diri, sudah berapa Ramadhan kita lalui, dan bagaimana peningkatan diri kita selepas setiap Ramadhan, adakah bertambah baik ataukah bertambah buruk.

Dan kita juga tidak tahu sama ada kita masih berkesempatan untuk bertemu Ramadhan akan datang sekiranya Ramadhan datang bertamu. Namun seandainya ini Ramadhan terakhir, kita mengharapkan kebaikan yang sesungguhnya sebagai bekalan perjalanan kita menuju Ilahi....

Amiin.....

     

No comments:

Post a Comment